16.10.05

Jejak Rasul 11: Syiah Kuala reda konflik gugat Aceh




KEMERIAHAN pasar bersebelahan masjid raya Baiturrahman di Banda Aceh, Aceh, Indonesia tidak melupakan pengunjungnya dari bencana tsunami yang melanda hampir setahun lalu. Pasar itu umpama nadi yang menjadi petunjuk kota tua ini bernafas semula.

Penggambaran siri Jejak Rasul 11 di sepanjang kuala sungai Aceh dilakukan 10 hari selepas berlakunya tsunami. Masih jelas kelihatan bot nelayan yang menjadi sebahagian daripada sampah yang belum dibersihkan.

Wilayah itu yang menjadi mangsa tsunami mungkin antara wilayah termiskin Indonesia yang hanya menyumbang 2.7 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia pada 2004.

Begitu pun, sumbangan Aceh dalam penyebaran Islam di rantau ini tidak boleh diperkecilkan kerana Aceh telah melahirkan ramai ulama yang berdakwah bertebaran di segenap pelusuk nusantara hingga ke Pattani dan Melaka.

Kampung Kuala adalah antara kawasan yang tidak terkecuali dilanda ombak besar sehingga menyebabkan pusara Syiah Kuala Abdul Rauf as-Singkili yang berusia 300 tahun itu roboh.

Syeikh Abdul Rauf atau lebih dikenali dengan gelaran Syiah Kuala pernah tinggal di daerah Kampung Kuala dan beliau dikatakan berusaha meredakan konflik yang menggugat perpaduan umat Islam Aceh.

Pertentangan pendapat dalam masalah ketuhanan bermula apabila ulama, Sheikh Nuruddin ar-Raniri yang juga penasihat kepada Sultan Iskandar Thani mula mempertikaikan fahaman sebahagian umat Islam Aceh ketika itu.

Karya Hamzah Al Fansuri seperti syairnya dan kitab Zinatul Wahidin dikatakan menyesatkan dan Hamzah Al Fansuri terpengaruh dengan pemikiran Ibnu Arabi, tokoh tasawuf kurun ke-12 dan 13.

Beliau juga banyak mengutip pandangan ahli tasawuf lain seperti Al-Junaid, Mansur Hallaj, Jalaluddin Rumi serta Syamsu Tabriz.

Bagi penyokong aliran Hamzah, tuduhan bahawa Hamzah Al Fansuri menempuh jalan sesat adalah tidak berasas kerana dalam karyanya beliau sering mengecam sufi palsu yang menyeleweng daripada ajaran tasawuf sebenar.

Malah, pada zaman Sultan Iskandar Muda, Hamzah Al Fansuri mendapat penghormatan sebagai ulama yang diiktiraf. Namun, ajarannya mendapat tentangan hebat dari Syeikh Nuruddin ar-Raniri ketika zaman Sultan Iskandar Thani.

Sebagai ulama besar Aceh, Ar-Raniri turut menyumbang kepada perkembangan ilmu antaranya melalui penulisan kitab Fathul Mubin yang menjelaskan persoalan akidah dan tasawuf, isu paling besar diperdebatkan di Aceh pada kurun ke-17 itu.

Ar-Raniri melihat fahaman yang dibawa oleh Hamzah Al Fansuri menyebabkan kekeliruan akidah yang parah, justeru menyarankan ia dibanteras, sedangkan ia sudah diterima umum semasa era Sultan Iskandar Muda.

Selain menulis mengenai akidah bagi menjelaskan fatwanya, Ar-Raniri turut menulis kitab Feqah Siratol Mustaqim sementara Syiah Kuala menghasilkan kitab hukum Mir’aatut Tullab” sebagai panduan kepada qadi di nusantara.[Berita Harian]

Ilmu saka boleh sakiti orang lain dan diri sendiri

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Saya sekeluarga mengalami masalah besar. Ayah saya sebelum meninggal dunia lebih kurang empat bulan, sebelum dia sakit suka keluar rumah pada waktu malam. Selepas pukul 12 malam merayau di seluruh kampung.

Orang kampung takut kerana dia begitu garang ketika itu. Ketika sakit, selain makanan yang biasa, dia suka makan isi kelapa muda setiap malam.

Siang dia tidak bermaya, tetapi bertenaga dan liar pada waktu malam. Setelah meninggal dunia semua anaknya mengalami sakit badan seperti digigit-gigit lembaga hitam berwajah arwah ketika tidur.

Anak saya selalu kena pijak perut dan ditindih ketika tidur. Di rumah selalu ada bau busuk atau hanyir dan hilang dengan tiba-tiba. Anak lelaki saya selalu didatangi lembaga hitam berwajah arwah. Saya katakan kepada adik-beradik apa yang berlaku adalah saka, tetapi mereka semua marah kepada saya, dikata saya memperlekeh dan tidak menghormati arwah ayah, sedangkan orang kampung tahu arwah ayah adalah orang alim.

Saya sekarang berikhtiar hanya untuk menyelamatkan keluarga saya. Apa yang saya perlu tahu di sini, apakah sebenarnya saka itu? Adakah ia benar-benar wujud?

- Amir, Kajang, Selangor.

JAWAPAN: Membicarakan tentang saka adalah satu perkara sensitif. Sesuatu yang tidak nampak dan tidak mudah untuk diyakini. Masyarakat Melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya, daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.

Yang dimaksudkan dengan ``ilmu yang dipusakai'' itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari.

Dengan perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun. Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris ada kalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri, seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan al-Fatihah, silat syeikh, amalan sinar Islam dan sebagainya.

Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi, seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional.

Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya, yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus.

Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya.

Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak.

Keadaan seperti ini dikenali sebagai ``menurun'' di mana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia.

Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat, dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab-musabab berlaku seperti yang dijelaskan. Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.

Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.

Jin atau makhluk halus yang dibela oleh manusia, pada kebiasaannya memerlukan manusia yang biasanya terdiri daripada kaum keluarga atau terus berdampingan dengan manusia setelah tuan yang asal tadi meninggal dunia. Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan saka, yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja. Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu, seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakan mewarisi ilmu pemiliknya, yang dimiliki selama ini. Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu, dia telah mewarisi saka tadi.

Penurunan ilmu saka juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila seseorang waris itu menerima barang-barang tertentu, yang pada kebiasaannya terdiri daripada keris, lembing, ataupun tombak atau objek lain seperti tangkal, azimat, batu geliga, akik dan sebagainya.

Objek-objek tersebut pada zahirnya merupakan benda yang dapat dipegang dan dirasa dengan tenaga atau dilihat oleh pancaindera. Objek tersebut hakikatnya adalah merupakan lambang, di mana di sebalik lembing atau batu geliga atau lain-lain objek tadi terdapat jin atau jin-jin berserta dengannya. Penurunan kaedah kedua ini biasanya berlaku setelah pewaris meninggal dunia di mana barang-barang tadi menjadi barang peninggalan si mati (pewaris).

Objek-objek ini, terutamanya keris pada kebiasaannya dilangiri dengan air limau nipis pada malam-malam tertentu, seperti malam Jumaat, sebulan sekali atau di malam Jumaat awal Muharam setiap tahun ketika bulan penuh dan diperasapkan dengan kemenyan.

Limau nipis merupakan satu bahan penting yang sering digunakan dalam pelbagai upacara amalan kebatinan termasuk perubatan Melayu tradisional, untuk memutus ubat, mandi perajan, mandi membuang sial badan dan sebagainya. Kaedah atau upacara melangiri senjata mungkin diketahui melalui pengajaran oleh pewaris ataupun melalui mimpi.

Apabila seseorang itu menerima saka tadi, tidak kira sama ada pada asalnya pewaris itu reda atau tidak, lalu akhirnya tunduk menerima dan melakukan upacara atau syarat-syarat yang diajar secara langsung atau tidak langsung termasuk ketika mimpi, makhluk tadi akan semakin rapat dengan ``tuan'' barunya yang boleh ``diperintah'' melakukan sesuatu. Iaitu untuk tujuan rawatan seperti yang dijelaskan. Untuk membinasakan lawan atau orang lain dengan permintaan ``pelanggan'' yang datang menemuinya.

Dari sinilah lahirnya pelbagai jenis amalan kebatinan seperti ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu seri muka, ilmu pemisah iaitu untuk memisahkan antara suami isteri, ilmu pelalau iaitu ilmu menyebabkan seseorang itu, tidak kira lelaki atau perempuan tidak mendapat jodoh atau premis perniagaan yang tidak didatangi oleh pelanggan.

Termasuk dalam ilmu kebatinan ini ialah khidmat daripada pemilik saka yang boleh digunakan untuk menyakiti seseorang yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak normal atau bertindak seperti orang yang tidak waras, santau dan sebagainya.

Semua amalan ini termasuk dalam kategori ilmu sihir iaitu tindak-tanduk manusia yang melibatkan jin-jin atau yang dikenali sebagai makhluk-makhluk halus. Perlu dijelaskan bahawa amalan sihir adalah salah satu perbuatan dosa besar yang membinasakan.

Ilmu yang diwarisi melalui saka ada dua jenis. Jenis pertama adalah seperti yang dijelaskan di atas, yang ada kalanya boleh digunakan untuk sesuatu yang dianggap boleh memberi manfaat, seperti untuk tujuan rawatan, ilmu pengasih, ilmu seri muka, digunakan untuk mencari barang hilang dan sebagainya.

Selain mencari barang hilang, saka juga boleh digunakan untuk mencuri barang kepunyaan orang lain, seperti mencuri wang, barang kemas, pakaian termasuk seluar dalam dan baju dalam. Terlalu banyak hadis membicarakan tentang keupayaan jin-jin yang mencuri bahan makanan iaitu kurma di zaman nabi s.a.w.

Selain boleh ``digunakan'' untuk tujuan yang dijelaskan, makhluk ini juga sering menyakiti orang lain, jiran-jiran termasuk kaum keluarga ``tuan'' saka tadi, malah dalam keadaan tertentu makhluk ini boleh menyesatkan iman si empunya diri, yang dianggap sebagai ``tuan'' tadi, akan menyerang tuannya, terutama ketika telah uzur, sakit atau ketika tua.

Orang Melayu yang memahami hal-hal yang berkaitan dengan saka ini sering beranggapan bahawa makhluk ini seumpama tidak terkawal apabila ``tuannya'' meninggal dunia dan tidak ada di kalangan keluarga yang ``bersedia'' untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh pewaris selama ini.

Keadaan akan menjadi reda apabila salah seorang daripada waris sudi menjadi tuan kepada makhluk ini.

Anggapan ini ada kebenarannya, tetapi pada hakikatnya biarpun makhluk ini mempunyai tuan baru, ia tetap menjadi masalah kepada manusia, terutama kepada keluarga yang terlibat kerana antara tujuan utama iblis dan syaitan itu ialah untuk menyesatkan manusia seberapa banyak yang boleh, agar mereka dapat masuk ke neraka bersamanya.

Jenis kedua ialah saka ataupun penyakit yang diwarisi daripada seorang pewaris kepada seorang atau beberapa orang waris akibat daripada gangguan atau serangan iblis dan syaitan yang berlaku turun-temurun. Bermaksud sekiranya seorang pewaris itu sakit, sakit yang sama akan dideritai oleh warisnya.

Pada kebiasaannya, sakit yang berpunca daripada saka tidak kira sama ada saka jenis pertama atau kedua adalah sama. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu tidak boleh tidur malam, selalu termenung, berasa sakit kepala seperti dibaji-baji lalu dia menghantuk-hantukkan kepala maka keadaan yang sama akan dialami oleh keturunannya, atau mereka yang diserang oleh saka tadi yang terdiri daripada kaum keluarganya.

Tidak mudah untuk memberi penjelasan bahawa seseorang itu sakit akibat saka. Umumnya, apabila sesuatu masalah atau sakit itu dirujuk kepada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan, maka selalunya dikatakan bahawa penyakit tersebut dirujuk sebagai kena buatan orang, kena sihir, gangguan, saka dan sebagainya.

Hakikatnya masalah penyakit perlu dirujuk kepada pakar, kerana punca penyakit itu adalah pelbagai akibat kecederaan, seperti luka, patah, keracunan, stres, depres dan sebagainya, akibat gangguan ataupun sihir.

Punca kedua ini sukar diakui oleh pengamal perubatan moden juga, berpunca daripada dua faktor yang dijelaskan yang berlaku serentak kepada mangsa.

2.10.05

Puasa dari sudut perubatan

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

``WOIT, kalau nak bersiar-siar, pergi taman bungalah. Bawa kereta terhegeh-hegeh macam @#$%&? *%$@!#^.'' Honnnnn! ``Ooops! Orang puasa mana boleh marah-marah, nanti kurus pahala puasa''.

Marhaban ya Ramadan al-mubarak. Bulan penuh berkat, keampunan dan seribu rahmat.

Insiden di atas membenarkan banyak hasil kajian klinikal ke atas perangai manusia ketika berpuasa pada bulan Ramadan. Mereka lebih bersifat tenang, mengambil kira ganjaran pahala yang banyak pada bulan berkenaan.

Penyelidikan turut membuktikan bahawa kes-kes jenayah berkurangan sepanjang sebulan umat Islam berpuasa sebagaimana yang ditetapkan oleh syariah.

Ini bersesuaian dengan definisi puasa mengikut Islam iaitu menahan diri daripada makan dan minum dari saat terbit fajar hingga matahari tenggelam serta menahan diri daripada semua perkataan, pemikiran atau pendengaran yang tidak baik (menahan nafsu).

Pakar Perubatan Am dan Respiratori Hospital Pusrawi, Dr. Fazilah Ahmad berkongsi pelbagai fakta menarik mengenai puasa serta kebaikannya dari sudut perubatan.

Sebelum itu, apa kata kita ketahui dahulu proses-proses yang berlaku ketika seseorang itu menunaikan ibadah puasa.

Makanan merupakan sumber tenaga yang penting di dalam kehidupan manusia di mana ia akan diproses di dalam sistem penghadaman manusia, iaitu dari pemecahan karbohidrat kepada unit glukosa untuk digunakan sebagai tenaga.

``Makanan yang berlebihan akan disimpan di dalam bentuk glikogen di dalam hati dan tisu lemak di bahagian otot-otot.

``Ketika berpuasa yang berpanjangan, tenaga akan dibekalkan dari pemecahan tisu simpanan ini sekiranya diperlukan. Jadi, tidak timbul soal tidak cukup tenaga sepanjang waktu berpuasa,'' katanya kepada Mingguan Malaysia.

Oleh itu, untuk menyediakan diri dan membekalkan keperluan tenaga sepanjang waktu berpuasa, umat Islam digalakkan bersahur.

Di samping itu, puasa juga memberikan kesempatan kepada saluran pencernaan untuk beristirahat setelah bekerja keras terus-menerus selama lebih kurang 18 jam sehari, hampir sepanjang tahun.

Ini kerana, badan tidak perlu mengeluarkan asid dan lain-lain enzim untuk memproses makanan semasa berpuasa.

Fungsi perkumuhan yang semakin berkesan membolehkan sel badan memberikan tumpuan terhadap proses pembuangan toksin melalui pembakaran lemak.

Malah, sekiranya berpuasa dilakukan secara teratur, gejala-gejala penyakit berat seperti diabetes, darah dan kolesterol tinggi, migrain hingga obesiti dapat dikurangkan.

Kebaikan berpuasa dari sudut perubatan

Penurunan berat badan
Dr. Fazilah berkata, mereka yang berpuasa dengan amalan pemakanan baik boleh mengurangkan berat badan dengan ketara.

Kajian dari University of Medical Sciences, Tehran ke atas sembilan orang lelaki dewasa yang sihat mendapati, mereka menunjukkan kekurangan berat badan di antara lima hingga tujuh kilogram sepanjang bulan Ramadan.

Hasil yang sama turut dibuktikan oleh kajian berasingan di University Hospital, Amman, Jordan di mana 42 lelaki dan 26 wanita mencapai penurunan berat badan dalam lingkungan yang sama.

``Ini dapat membantu individu di dalam kategori berat badan berlebihan atau obes untuk menurunkan berat badan mereka dengan cara yang sihat dan murah.

``Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi pula, ini dapat menurunkan paras tekanan darah serta kandungan gula mereka dengan lebih baik,'' katanya.

Menurutnya, perbezaan penurunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan adalah berbeza dengan amalan crash diet atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air).

Penurunan melalui puasa, kata Dr. Fazilah, selalunya lebih stabil di mana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak sekiranya seseorang berhenti puasa.

``Berbeza dengan crash diet, tidak berlaku malnutrisi atau kekurangan kalori yang ketara dalam puasa Ramadan kerana tidak berlaku sekatan terhadap jumlah makanan atau jenis makanan ketika bersahur atau berbuka.''

Beliau menarik perhatian tentang wujudnya satu bahagian di dalam otak yang dipanggil lipostat, yang bertugas mengawal berat badan.

``Sekiranya penurunan berat badan berlaku disebabkan oleh diet `kebuluran', lipostat tidak menerimanya sebagai normal.

``Lalu, ia akan mengubahsuai program supaya berat badan meningkat dengan cepat setelah cara pemakanan diet kebuluran dihentikan,'' kata Dr. Fadilah.

Dalam kata lain, lipostat akan memberitahu badan satu-satu diet itu adalah tidak normal dan akan melipatgandakan pemakanan apabila berpeluang.

Keadaan ini berbeza dengan puasa Ramadan di mana ia dilakukan secara perlahan, di bawah kawalan dan tidak secara mendadak.

Mempercepat proses pemulihan

``Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem-sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme badan.

``Proses penggantian tisu yang rosak menjadi bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan, yang disebabkan oleh antibodi badan yang lebih teratur,'' ujar beliau.

Pembentukan protein yang lebih efisien akan menghasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat.

``Kalau anda pernah melihat program Discovery Channel menunjukkan, binatang seperti harimau misalnya akan berhenti atau mengurangkan pengambilan makanannya selagi berada dalam kecederaan, sehinggalah pulih.''

Kajian turut mendapati, berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme badan ketika berpuasa, menjadikan badan menyimpan lebih tenaga.

Sekali lagi, Dr. Fazilah menekankan bahawa, kadar metabolisme yang menurun tidak memerlukan tenaga yang banyak justeru, tidak makan semasa berpuasa menyebabkan letih dan malas cuma satu alasan.

Puasa juga akan meningkatkan respons sel darah putih B limfosit di dalam sistem pertahanan badan. Ini dibuktikan dengan kajian ke atas pesakit artritis reumatoid dan dibandingkan dengan individu normal yang telah diberikan imunisasi.

Selepas seminggu, darah diperiksa dan didapati bahawa respons B limfosit meningkat di dalam kedua-dua kumpulan.

Awet muda dan memanjangkan usia

Hormon pertumbuhan, sejenis hormon antipenuaan didapati dirembeskan dengan banyaknya ketika berpuasa.

Selain itu, fenomena ini dikatakan juga berpunca daripada proses pembentukan sintesis protein yang lebih efektif, ketahanan badan yang lebih baik serta kadar metabolik yang lebih rendah.

Kajian pada haiwan menunjukkan, puasa dapat memanjangkan usia, memperlahankan kadar penurunan fungsi badan dan mengurangkan insiden penyakit tua.

``Bagi sesiapa yang mahu awet muda serta hidup lebih lama, bolehlah berpuasa selalu.

``Jika anda perasan, orang-orang alim atau kiai kebanyakannya mempunyai wajah yang lebih berseri, tampak awet muda dan panjang usianya,'' katanya.

Mengurangkan

risiko penyakit aterosklerosis

Kajian turut mengesahkan penurunan dari segi kandungan kolesterol dan gula.

Ini tentunya mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis (sejenis penyakit pada arteri di mana plak-plak berlemak berkembang pada dinding-dinding dalam dan akhirnya menyebabkan aliran darah tersekat).

Keadaan ini terutamanya berlaku di kalangan pesakit diabetes.

Solat tarawih memetabolismekan makanan

``Cantik sekali apabila bulan puasa turut diiringi dengan sembahyang sunat tarawih pada sebelah malamnya.

``Ia membantu memetabolismekan (memproses) makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200 kalori),'' kata Dr. Fazilah.

Di samping itu, ia juga bertindak sebagai satu cara senaman yang ringkas dan baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah).

Mendisiplinkan diri agar berhenti merokok

Ramadan merupakan bulan untuk melatih diri menjadi insan yang lebih bertakwa. Ganjaran pengampunan dan banyak ibadah dapat dijalankan sebagai deposit pahala.

``Ia boleh juga digunakan untuk kita melatih diri meninggalkan amalan yang kurang baik seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok.

``Ketika siang hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa manakala pada malam hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana takut akan kemudaratan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit sekatan pernafasan,'' katanya.

Namun, Dr. Fazilah secara peribadinya berpendapat: ``Merokok atau tak nak merokok ini sebenarnya lebih kepada soal hati. Kalau turun ubat dari syurga sekalipun, kalau mereka tak mahu berhenti, tak mahu juga.''

Ketenangan mental

Dari segi kesihatan mental, di bulan Ramadan ini, umat manusia berasa lebih tenang.

Ganjaran yang berlipat ganda pada bulan puasa menjadikan mereka lebih bertumpu kepada menunaikan ibadah, sekali gus mengurangkan kes-kes jenayah.

Pemakanan di bulan Ramadan

* Pastikan makanan yang seimbang (buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat, protein) ketika bersahur dan berbuka puasa.

``Tidak perlu makan banyak. Ketika berbuka, disunatkan mengambil kurma kerana kandungan gula yang tinggi bertindak sebagai pembekal tenaga.

``Bagaimanapun, bagi pesakit diabetes dinasihatkan memakan kurma sekadar sunat sahaja (sebiji), jangan banyak,'' jelasnya.

Sementara itu, ketika bersahur, banyakkan makanan yang lambat hadam iaitu bijirin seperti oats, gandum dan lain-lain kerana makanan jenis ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk diproses iaitu, lapan jam. Justeru, ia dapat membekalkan tenaga dengan lebih lama.

``Jika dibandingkan antara nasi dengan capati, capati adalah lebih perlahan untuk dicernakan manakala bagi pesakit kencing manis, mereka digalakkan makan roti berserat dan bukannya roti biasa.''

Dosa pahala suami, isteri dan madu

Bersama:DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Suami saya berkahwin lagi satu tanpa pengetahuan saya. Hanya selepas dua tahun, saya dapat tahu. Saya sama sekali tidak rela. Selama ini saya menumpahkan kasih sayang, berkorban untuknya dan keluarga tetapi dia mengkhianatinya. Saya sentiasa mengawasinya dan tidak membenarkannya ke rumah isteri muda dan dia tidak pernah tidur di rumah isteri muda.

Saya pernah menemui bomoh untuk mengatasi masalah ini dan saya dapati suami saya takut dengan saya. Adakah suami saya berdosa kerana tidak tidur di rumah isteri mudanya? Untuk pengetahuan ustaz, saya baru balik daripada menunaikan umrah.

- AZURA, Batang Berjuntai.

JAWAPAN:

Allah s.w.t menyuruh agar seorang lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang baik-baik, dua, tiga atau empat orang isteri. Sekiranya seorang lelaki itu takut atau bimbang tidak berupaya bersikap adil, Allah menyuruh agar mengahwini seorang perempuan sahaja.

Maksud adil di sini iaitu kepada lelaki yang diharuskan berkahwin itu adalah adil menyediakan nafkah, penyediaan makan minum isteri atau isteri-isteri yang dikahwini, anak-anak yang bakal dilahirkan, menyediakan pakaian, tempat tinggal, termasuk giliran bertemu, pergi ke rumah isteri-isteri yang dikahwini.

Disyaratkan sedemikian rupa kerana keadilan zahiriah itu adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh manusia biasa. Namun keadilan yang berkaitan dengan kasih sayang, cinta dan seumpamanya adalah di luar keupayaan manusia untuk berlaku adil ataupun saksama.

Jelasnya Islam mengharuskan seorang lelaki itu berkahwin lebih daripada seorang perempuan yang diistilahkan sebagai poligami. Keharusan yang diberi oleh syariat adalah keharusan bersyarat, iaitu adil seperti yang dijelaskan.

Biarpun kebanyakan orang, iaitu orang Islam memahami juga menyedari keharusan tersebut, tetapi kebanyakan isteri tidak rela dimadu atau lebih jelas tidak rela suaminya berkahwin lagi kerana:

1) Ia adalah tabiat semula jadi manusia.

2) Sebahagian daripadanya tidak faham atau tidak menghayati bahawa keharusan bagi lelaki berkahwin lebih daripada satu itu adalah ketentuan Allah.

3) Kebanyakan lelaki atau suami tidak berupaya menunaikan tanggungjawab terhadap isteri-isteri yang telah dinikahi, terutamanya yang berkaitan dengan giliran, pemberian nafkah, tempat kediaman, persekolahan anak-anak dan sebagainya. Hal demikian terlalu membimbangkan para isteri yang dimadukan atau bakal dimadukan.

Keadaan atau latar belakang seperti ini menjadi seumpama gawat apabila jabatan-jabatan agama yang diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan, gagal untuk bertindak, mengatasi masalah yang timbul akibat ketidakadilan suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu tadi, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan nafkah.

Fenomena ini berlaku akibat daripada sebab-sebab yang saling berkait, kekurangan kakitangan, kekurangan pengalaman atau latihan, tidak mempunyai visi yang jelas dan sebagainya. Fenomena seumpama ini secara tidak langsung menggalakkan lelaki seumpama ini bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada hukuman yang jelas, lepas daripada tanggungjawab dan sebagainya menyebabkan pelbagai masalah dihadapi oleh isteri-isteri yang teraniaya.

Mereka tidak takutkan balasan Allah. Mereka telah melakukan sesuatu yang diharuskan, tetapi melanggar syarat-syarat yang ditetapkan terhadap keharusan tersebut.

Keharusan ini adalah keharusan bersyarat. Kerana itu apabila syarat tersebut tidak dipenuhi, maka keharusan tersebut tidak ada padanya. Kerana itu, lelaki atau suami yang bertindak sedemikian, telah melakukan dosa. Atas pengalaman yang banyak berlaku dalam masyarakat seperti inilah maka kaum wanita terlalu takut untuk dimadukan.

Poligami adalah keharusan yang ditetapkan oleh Allah kerana tidak adanya jalan keluar, selain daripada berpoligami atau berkahwin lagi. Seorang isteri contohnya, yang tua, uzur atau sakit yang tidak berupaya melayani kehendak batin suaminya, adalah wajar baginya merelakan suaminya yang masih mempunyai nafsu dan mempunyai sifat adil untuk berkahwin lagi.

Dalam keadaan tertentu, contohnya selepas berlaku peperangan, bencana alam menyebabkan bilangan perempuan banyak, tidak mendapat pembelaan atau perlindungan, adalah wajar bagi kaum lelaki melindungi mereka, termasuk anak-anak yang terbiar. Caranya ialah dengan mengahwininya.

Sesetengah lelaki mempunyai nafsu yang kuat berbanding dengan lelaki biasa, menyebabkan isteri yang sedia ada tidak berupaya melayani nafsu suaminya. Dalam keadaan seperti ini lelaki berkenaan layak untuk berkahwin lagi dengan syarat sifat adil itu ada pada dirinya.

Sekiranya lelaki berkenaan tidak dibenarkan berkahwin lagi, padahal nafsunya selalu membara, berkemungkinan dia akan melakukan perzinaan dengan perempuan simpanan, dengan teman-teman atau melanggani pelacur-pelacur. Kerana itu adalah wajar dan dapat diterima akal sekiranya lelaki atau suami seperti ini dibenarkan berkahwin lagi dengan syarat yang jelas.

Contoh-contoh di atas hanya merupakan sebahagian daripada fenomena yang mengharuskan seorang suami itu berkahwin lagi. Bagi orang yang seumpama ini jalan keluar tidak ada kecuali dengan berkahwin lagi satu.

Seorang lelaki yang terdorong untuk berkahwin lagi, tetapi disekat atau ditahan, dia akan terus bertindak untuk melaksanakan hasrat yang sentiasa membara, kalau keizinan isteri itu diwajibkan, berkemungkinan dia akan mencuri cap jari isteri ketika tidur, memujuk, menguliti lalu si isteri menurunkan tandatangan tanpa menyedari borang yang ditandatangani ialah tanda keizinan berkahwin lagi.

Jelasnya mewajibkan seorang isteri bagi seorang suami melalui pernikahan itu adalah tidak praktikal, biarpun berpoligami itu bukan merupakan satu idaman kebanyakan lelaki. Biar dalam keadaan apa sekalipun, sekiranya seorang suami itu dihalang berpoligami, si suami akan menganggap bahawa isterinya merupakan penghalang untuk berkahwin lagi. Dengan demikian kasih sayang itu akan terhakis daripada pasangan ini dan dia berkemungkinan akan mencari jalan keluar yang menyalahi undang-undang.

Di Malaysia perkara ini berlaku hingga sekarang. Amalan nikah lari di sempadan yang jelasnya menimbulkan pelbagai masalah, terutamanya kepada pasangan perempuan terus-menerus berlaku. Ada pula yang berkahwin menggunakan wali bapa, abang kandung dan sebagainya tanpa merujuk ke pejabat agama atau didaftarkan menurut lazimnya. Kahwin di sempadan menjadi seumpama satu kemelut yang tidak berpenghujung yang dibiarkan sehingga sekarang ini, kerana perkahwinan di sempadan itu menjadi seumpama satu eskapisme.

Tidak kira di mana perkahwinan itu dilakukan, dengan izin isteri atau tidak, atau hanya diizinkan oleh Mahkamah Syariah, apabila dia cukup syarat-syaratnya maka sahlah pernikahan tersebut. Dengan demikian, isteri yang baru dinikahi itu adalah menjadi isteri kepada lelaki yang telah sedia mempunyai isteri, seorang, dua orang atau tiga orang.

Dalam keadaan seperti ini, perempuan yang baru dinikahi itu adalah isteri yang sah. Sebagai isteri, dia mempunyai hak di sisi undang-undang, hak nafkah, perlindungan kediaman, pakaian dan sebagainya termasuk gilirannya.

Dalam situasi seperti ini, kedudukan isteri-isteri adalah sama, tidak kira sama ada dia isteri tua atau muda, isteri ketiga atau keempat. Dan apabila hak tersebut tidak dapat dinikmati oleh mana-mana pihak akibat daripada pihak yang satu lagi atau lebih jelas diperkatakan bahawa isteri muda itu tidak mendapat gilirannya kerana puan sentiasa mengawasi pergerakan si suami puan, hakikatnya telah melakukan kezaliman, menyekat hak yang sewajarnya dimiliki oleh madu puan.

Rasulullah pernah bertanya kepada sahabat-sahabat tentang orang yang dianggap bankrap. Di antara sahabat menjawab menyatakan orang yang bankrap itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.

Baginda menjelaskan pendapat itu tidak tepat. Orang yang bankrap itu ialah mereka yang pada hari kiamat kelak dibangkitkan oleh Allah berhimpun di padang mahsyar.

Bersama mereka ialah pahala hasil daripada ibadah sembahyang, pahala zakat, pahala puasa dan sebagainya. Ketika diadakan timbang tara atau hisab akan datang mereka yang menuntut, iaitu mereka yang dizalimi ketika hidup di dunia.

Akan datang menuntut di hadapan Allah mereka yang kena maki cela, yang kena bunuh, kena umpat dan sebagainya. Allah akan menyempurnakan segala tuntutan mereka dengan mengambil pahala kebajikan yang dilakukan di dunia kepada mereka yang menuntut. Tuntutan ini adalah umum. Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui.

Mengenai kes puan, sekiranya madu puan tidak puas hati atau tidak reda terhadap tindak- tanduk puan di dunia, dia akan menuntut haknya, iaitu hak giliran suami yang puan tahan dan sentiasa intai-intai. Lalu sebahagian daripada pahala puan itu diberikan kepada madu puan yang puan zalimi tadi.

Sekiranya kezaliman yang dilakukan oleh seseorang itu banyak, maka banyaklah mereka yang menuntut. Apabila pahala milik orang yang kena tuntut itu habis, padahal tuntutan masih berlaku akibat kezaliman yang dilakukan banyak, maka Allah akan mengambil dosa orang yang menuntut tadi dan dipertanggungjawabkan ke atas orang yang kena tuntut lalu akhirnya orang ini dimasukkan ke dalam neraka jahanam.

Inilah sebenar-benar orang yang bankrap, padahal ketika mula berada di padang mahsyar, dia mempunyai pahala, lalu akhirnya dia dicampakkan ke dalam neraka.

Orang yang banyak melakukan dosa ketika hidup, tidak ubah seperti orang yang banyak hutang. Untuk melangsaikan hutang, sesetengah orang terpaksa bekerja keras, apabila dapat wang, wang itu digunakan untuk membayar hutang yang ditanggung, tidak kira hutang yang baru atau hutang lapuk.

Semakin banyak seseorang itu melakukan dosa, maka semakin banyaklah dia perlu menghapuskan dosanya, iaitu dengan memperbanyakkan kebajikan. Untuk menjadi penghuni syurga, pahala yang dimiliki oleh seseorang itu perlu mengatasi dosa atau kejahatan yang dilakukan. Tidak ada gunanya seseorang itu memperbanyakkan amal ibadah atau kebajikan, tetapi dalam masa yang sama dia melakukan dosa yang lebih banyak daripada pahala yang dicari melalui ibadah tadi.

Orang yang bijak ialah mereka yang melakukan ibadah sederhana dan dalam masa yang sama mengurangkan dosa, namun mereka yang pintar ialah orang yang berupaya memperbanyakkan ibadah dan dalam masa yang sama mengurangkan kegiatan yang menyebabkan tanggungan dosa.

Menemui bomoh atau melibatkan ilmu penunduk seperti puan lakukan, menjadikan suami takut atau tunduk kepada isterinya ini menyebabkan rumah tangga akan menjadi kelam-kabut seumpama tidak terkawal.

Suami puan berdosa kerana zalim kepada isteri mudanya. Puan berdosa kerana menjadi punca utama suami melakukan dosa. Perbuatan puan menundukkan suami, menyebabkan suami takut itu diistilahkan sebagai ``tiwalah''.

Amalan tiwalah menyebabkan syirik. Demikian keterangan hadis yang perlu difahami untuk dijadikan pedoman mereka yang terlibat dengan amalan seperti ini.

Nilai takwa di sebalik Ramadan

Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID (Penolong Pengarah YADIM)

PUASA yang akan kita jalani beberapa hari lagi sebagai salah satu Rukun Islam bertujuan agar kita bertakwa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Muslim kita wajib menerima dan menyambutnya dengan rasa penuh kesyukuran. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; Sesiapa yang senang dengan ketibaan Ramadan, maka jasadnya diharamkan Allah daripada api neraka.

Bulan Ramadan merupakan kesempatan yang berharga bagi kaum Muslimin setelah selama sebelas bulan mereka disibukkan dengan pelbagai jenis kesibukan duniawi, untuk menemukan kembali semangat spiritual mereka yang hilang.

Menahan lapar daripada makan, menahan diri daripada berbicara perkara yang sia-sia, beriktikaf di masjid, membaca al-Quran, mengerjakan amal-amal kebajikan, bersilaturahim, memberikan infak dan sedekah dapat menjadi ubat penawar bagi pelbagai penyakit masyarakat Muslim, baik yang boleh dilihat mahupun yang tersembunyi.

Salah satu bentuk kegembiraan menyambut Ramadan adalah dengan bersedia melakukan ibadah puasa dan hal-hal yang diperintahkan-Nya. Dalam tradisi kaum Muslimin, Ramadan dikenali sebagai bulan amal. Apabila tiba bulan Ramadan, umat Islam dianjurkan supaya melakukan pembersihan jasmani dan rohani dengan mempertingkat dan memperbanyakkan amalan. Di samping itu, kita juga dapat menyaksikan peningkatan dari segi kualiti dan kuantiti amal yang dilakukan oleh setiap Muslim baik yang bersifat ritual mahupun sosial.

Banyak kelebihan yang diberikan oleh bulan Ramadan kepada kita. Semua kelebihan itu berkaitan dengan beberapa keistimewaan yang ditawarkan Allah kepada manusia melalui bulan ini, iaitu bulan makrifah, bulan penuh hikmah, bulan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan syaitan dibelenggu. Kelebihan-kelebihan itu hanya akan bermakna apabila dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud; Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. Dalam pengertian yang mudah, dikatakan kalau kita tidak bertakwa, maka seluruh ibadah puasa yang kita lakukan selama sebulan sebenarnya adalah sia-sia sahaja.

Dalam mengerjakan ibadah puasa, umat Islam harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat ketakwaan. Takwa merupakan satu cara atau pola dalam menempuh kehidupan menerusi tingkah laku yang berasaskan kesedaran bahawa Allah itu sentiasa hadir di sisi kita. Ibadah puasa bukan setakat menahan makan dan minum sahaja, tetapi pemahaman tentang apa yang harus kita tahan itu lebih daripada sekadar berpuasa secara fizikal bahkan juga menahan nafsu (batiniah) itu lebih utama serta berupaya meningkatkan lagi tahap puasa seseorang itu.

Dalam masa sebulan berpuasa ini, kita seharusnya bermujahadah bersungguh-sungguh dengan menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara keji seperti mengumpat, buruk sangka, bergaduh, memutuskan hubungan silaturahim dan melakukan perkara-perkara maksiat yang lain. Jika tidak puasanya itu akan sia-sia belaka. Sifat prasangka buruk merupakan kategori daripada perbuatan zalim. Selalunya orang yang mempunyai sifat buruk sangka sesama Muslim adalah mereka yang kurang melakukan introspeksi diri, hanya melihat diri sendiri lebih baik daripada orang lain.

Oleh hal yang demikian itu, Nabi menganjurkan kepada semua manusia, terutama orang yang sedang berpuasa agar banyak melakukan introspeksi diri sebagaimana sabda baginda yang bermaksud; Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.

Berhubung aspek sosial, orang lebih senang melakukan penilaian terhadap orang lain daripada melakukan hal yang sama terhadap dirinya. Perkara ini berlaku disebabkan seseorang itu `ditagih' untuk bersikap tulus jujur dan rendah hati untuk menilai dan melihat diri sendiri. Disebabkan lemah menilai diri sendiri, maka seseorang itu sering memandang dirinya lebih suci dan bersih daripada orang lain.

Dalam hal ini, Sayidina Umar pernah menyatakan, ``Banyak sekali orang berpuasa, namun tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar.''

Menahan nafsu inilah yang perlu kita pertahankan sehingga sampai kepada sepuluh hari terakhir di mana waktu itu ibadah puasa lebih bersifat rabbani. Dalam fasa ketiga ini kita akan mengalami puncak pengalaman kita dalam keadaan berpuasa iaitu berusaha memperoleh lailatulqadar. Untuk mencapainya kita harus memulai dari sekarang dengan memahami hal-hal berkaitan amalan berpuasa.

Dalam beberapa hadis, ditegaskan bahawa puasa adalah suatu ibadah yang sangat peribadi sifatnya. Ada sebuah hadis Qudsi yang kedengaran agak aneh namun sebenarnya tidak aneh, iaitu sabda Nabi yang bermaksud; Dari Abu Shalih Az-Zayyat, dia mendengar Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda Allah berfirman; Setiap amal anak Adam bagi dirinya, kecuali puasa, puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang menanggung pahalanya. (Hadis riwayat Bukhari).

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

Oleh hal yang demikian, semua perbuatan umat manusia itu adalah untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Mengapa demikian? Kerana puasa merupakan ibadah yang paling peribadi dan tidak ada sesiapa yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak kecuali kita sendiri dan Allah. Kalau orang melakukan solat, maka perbuatan solat itu boleh diketahui orang. Begitu pula dengan zakat, kerana ada yang menerimanya. Lebih-lebih lagi ibadah haji dilakukan di tempat yang umum. Maka ketika kita berpuasa, kemudian kita berasa sangat haus dan dahaga dan tersedia di depan kita segala macam minuman, tetapi kita menahannya, inilah sebenarnya satu bentuk latihan untuk menyedari tentang kehadiran atau kewujudan Tuhan dalam hidup kita.

Kita tidak akan minum padahal kita bersendirian, kerana kita meyakini bahawa Allah mengawasi dan menuntut satu pertanggungjawaban. Puasa adalah latihan untuk menguatkan lagi kesedaran kita bahawa Allah itu sentiasa berada terlalu hampir dengan kita.

Allah berfirman yang bermaksud; Dan Dia bersamamu di mana pun kamu berada. Dan Allah Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang engkau kerjakan. (Q 57:4).

Sayyid Quthb pernah berkata, ``Puasa adalah ladang tempat terciptanya niat kepada Tuhan yang sempurna dan kepasrahan diri.'' Sifat perhambaan ini akan membuat manusia menjadi abdi Allah, yang bersedia untuk melakukan apa sahaja yang disenangi Allah. Melalui puasa seseorang akan merasakan penderitaan orang yang lapar kerana serba kekurangan sehingga hatinya akan tergerak untuk memberi kelebihan yang dimilikinya kepada orang lain yang kurang bernasib baik.

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih-Nya untuk sama-sama `meraikan' kehadiran Ramadan yang terkandung rahmat-Nya yang tidak terhitung.

Mawi ajak seimbang antara dunia, akhirat

Oleh: ASTORA JABAT

WALAUPUN Mawi telah mengadakan banyak konsert di seluruh negara sejak dinobat sebagai juara Akademi Fantasia 3 (AF3) tetapi konsertnya yang dihadiri kira-kira 40,000 orang penonton di Padang Perdana di Kota Bharu malam semalam dilihat berbeza kerana Pas mendakwa konsert tajaannya itu sebagai konsert alternatif.

Maksud alternatif ialah konsert yang menjadi pengganti kepada konsert-konsert lain. Dalam erti kata lain konsert itu dianggap konsert alternatif kerana ia dianggap menepati hukum-hukum agama, manakala konsert-konsert lain dianggap sebaliknya.

Ini adalah kali pertama sejak 15 tahun memerintah Kelantan, Pas memberanikan diri mengadakan konsert. Selain Mawi, M. Nasir, Rabbani, Mestika, bekas penyanyi rock D'Riyadh - Akhil Hayy dan Halim Yazid turut dijemput mengadakan persembahan.

Betulkah konsert Mawi yang dipanggil konsert Tautan Kasih itu dianggap menepati hukum-hukum agama?

Sebenarnya betul atau tidak konsert Mawi semalam dari segi hukum-hukum agama mungkin boleh dianggap perkara kedua, apatah lagi jika diukur dari sudut hukum yang muktamad atau ketepatan hukum bersifat seratus peratus.

Tetapi yang mungkin dianggap perkara pertama ialah ketika masyarakat mencari-cari di manakah hiburan yang dianggap menepati hukum-hukum agama itu, sama ada hiburan berupa filem mahupun hiburan berupa konsert muzik dan nyanyian serta lain-lain, muncul Pas memberi jawapan. Betul atau tidak betul dari hukum sudah tentu boleh dibincang tak habis-habis dan penulis percaya orang Pas akan membangkitkan perkara ini dalam sedikit masa lagi.

Jika diperhatikan pandangan dan fatwa ulama kita hari ini mengenai semua hiburan yang ada sekarang, boleh dikatakan 99 peratus daripada mereka menghukumnya sebagai haram atau sekurang-kurang mempunyai kecenderungan untuk menghukumnya begitu. Pendirian ini boleh dikatakan hampir sama di kalangan kebanyakan ulama UMNO/kerajaan dan Pas.

Jika ada perbezaan di kalangan mereka pun tidaklah ketara kerana sumber hukum agama mereka adalah sama, iaitu fikah zaman kejatuhan ilmu umat Muslim sejak beratus-ratus tahun lalu.

Bagaimanapun, terdapat segelintir ulama UMNO/kerajaan atau ulama yang menyokong UMNO/kerajaan mempunyai pendirian terbuka terhadap hiburan, tetapi mereka pula tidak disukai oleh sesetengah orang UMNO sendiri.

Oleh itu apabila muncul konsert Mawi yang diijtihad oleh Pas atau Nik Aziz dan didakwa sebagai konsert alternatif, maka masyarakat yang dulu melihat semua hiburan yang ada sekarang tidak betul atau haram kerana terpengaruh dengan pandangan dan fatwa yang ditarib oleh kebanyakan ulama kita sejak sekian lama itu terpaksa memberi perhatian dan melihat sebagai perkara baru. Mereka ingin tahu jika semua hiburan yang ada dalam masyarakat dianggap haram macam mana bentuk konsert alternatif Pas yang dianggap menepati hukum-hukum agama itu. Pada mereka sebelum ini tidak ada konsert yang didakwa menepati hukum-hukum agama seperti itu kerana semua konsert yang pernah diadakan adalah merupakan konsert komersial yang didakwa haram belaka.

Sebenarnya penulis tidak dapat menerima dakwaan mengatakan konsert Mawi semalam menepati hukum-hukum agama, tetapi penulis menganggap jika ada yang dianggap berdosa dalam konsert itu pun adalah tergolong daripada dosa kecil sahaja. Bagaimanapun, secara umumnya konsert Mawi anjuran Pas berbeza dengan konsert-konsert lain.

Dianggap konsert Mawi berbeza kerana ia dimulakan dengan sembahyang maghrib, kemudian diteruskan dengan ceramah. Selepas ceramah tamat diadakan sembahyang isyak. Bagaimanapun, bukan Mawi yang melaungkan azan dalam konsert itu seperti yang telah diisytiharkan oleh Pas, tetapi Setiausaha Politik Nik Aziz, Annal Bakri Harun. Manakala yang menjadi imam sembahyang dalam konsert berkenaan bukan Nik Aziz seperti yang dijadualkan, tetapi bekas penyanyi rock kumpulan D'Riyadh, Akhil Hayy yang bertukar menjadi penceramah Pas. Akhil antara penceramah Pas yang hebat mengkritik Mawi dalam ceramahnya.

Menurut sumber di Kota Bharu tidak semua mereka yang hadir dalam konsert Mawi itu menunaikan sembahyang kerana tidak ada air sembahyang, uzur (bagi wanita) dan lain-lain.

Mungkin pada masa akan datang Pas perlu memasangkan kemudahan pili air bergerak macam tandas bergerak di setiap tempat mereka ingin mengadakan konsert alternatif bagi membolehkan orang ramai yang datang untuk menyaksi konsert itu menunaikan sembahyang secara lebih ramai. Ataupun Pas boleh menyuruh orang ramai membawa sebotol air seberat satu liter untuk digunakan mengambil air sembahyang. Malah mungkin juga ulama Pas boleh mengeluarkan fatwa menganggap berada dalam konsert alternatifnya itu sebagai dalam keadaaan darurat dan membenarkan orang ramai bertayamum dengan batu seperti yang dilakukan dalam Mazhab Maliki. Penulis sedar bahawa cadangan akhir ini tidak akan diterima kerana mana boleh menghadiri konsert dianggap darurat, tetapi dari segi hukum fiqah dibolehkan kerana tempat mengambil air sembahyang tidak cukup serta hiburan berupa konsert itu pula sudah dianggap harus dan dicampur aduk pula dengan ibadat dan ciri-ciri agama yang lain seperti ceramah dan lain-lain.

Dianggap konsert Mawi itu juga berbeza kerana terdapat pengasingan antara kaum lelaki, kaum wanita dan mereka yang berkeluarga. Kaum lelaki diberi tempat di sebelah hilir Padang Perdana, manakala kaum wanita pula diberi tempat di sebelah hulu padang itu dan mereka yang berkeluarga diberi tempat bahagian tengah padang berkenaan.

Itulah secara kasarnya dua perkara besar yang menjadikan konsert Mawi semalam dianggap berbeza dengan konsert-konsert yang lain.

Apakah dengan dua perbezaan itu memadai untuk dianggap bahawa konsert Mawi itu menepati hukum agama atau boleh dianggap sebagai Islamik sebagai didakwa Pas?

Jika diteliti dari segi seni kata atau lirik lagu-lagu yang dipersembahkan, kita dapati anggota Exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa yang juga pengerusi konsert berkenaan mendakwa bahawa lagu-lagu yang dipersembahkan membawa mesej jelas dan bukan khayal.

Tetapi kenyataan Husam ini sudah tentu merupakan kenyataan politik dan dengan itu kita perlu melihat kenyataannya dari sudut politik. Sebaliknya kenyataan yang bukan politik ialah datang daripada Mawi sendiri.

Beliau dengan bijaknya membuat penjelasan selepas mendendang lagu nasyid dan sebelum mendendangkan lagu pop bahawa kita perlu seimbang antara akhirat dan dunia. Lalu beliau mendendangkan lagu pop termasuk lagu Arab, Nurul Ain yang dipopularkan oleh penyanyi Mesir terkenal Amr Diab.

Dengan melihat lirik lagu Nurul Ain menjadi jelas kepada kita kenyatan Husam tidak betul dan ia tidak lebih daripada kenyataan politik semata-mata.

Cuba perhatikan terjemahan sebagian lirik lagu Nurul Ain ini.

Ia berbunyi:

Kekasihku wahai cahaya mata yang menduduki dalam khayalan ku

Aku cinta pada mu sejak bertahun-tahun.

Tiada yang lain dalam fikiranku kecuali kau jua.

Kekasihku, kekasihku, kekasihku wahai cahaya mata

Dua mata tercantik di dunia yang pernah ku menyaksinya

Allah bersama kau atas kecantikan dua mata kau itu

Dua mata bersamaku, dua mata kau mencukupi menyuluh malamku.

Tidakkah ini membuktikan lagu Nurul Ain Amr Diab itu merupakan lagu mengeceh atau mengurat? Dengan itu jika ada mesej pun hanyalah mesej cinta fantasia semata-mata.

Bagaimanapun, penulis menyedari bahawa bukan mudah bagi Pas untuk mencari lagu-lagu yang bermesej baik kecuali lagu-lagu nasyid, Yassin, Waheeda dan sesetengah lagu M. Nasir dan Ramli Sarip. Tetapi selera peminat lagu pula tidak mungkin terbatas dengan lagu-lagu mereka itu sahaja. Malah mahu tidak mahu Pas mesti membuka pintu persembahan konsert kepada bermacam-macam genre lagu bersifat campur aduk.

Dari segi lirik lagu Nik Aziz pun ada mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan mengadakan pertandingan lagu untuk mengulit suami dan mengulik anak. Mungkin cadangan Nik Aziz ini perlu diubahsuai sedikit dan dijadikan keizinan membolehkan Pas mengadakan pertandingan menghasilkan lirik beretika mencakupi semua bidang kehidupan. Penulis percaya Pas boleh melakukan perkara itu dengan syarat sanggup menghulur tangan bekerjasama dengan para penulis lirik dan komposer lagu terkenal tanah air.

Sebenarnya Pas perlu juga terbuka dengan penyanyi-penyanyi lain. Jika dalam konsert Mawi semalam Pas telah menjemput M. Nasir dan lain-lain, kenapa ia tidak boleh terbuka kepada penyanyi lain yang terkenal baik perilaku mereka?

Begitu juga Pas boleh memberi pertimbangan untuk menjemput Siti dan Waheeda yang terkenal sopan itu. Penulis percaya Muslimat Pas berminat dalam perkara ini. Muslimat Pas kini menunggu lampu hijau daripada Nik Aziz sahaja.

Penulis percaya jika Nik Aziz yang melakukan perkara ini tidak sesiapa pun dalam Pas berani menghalang kerana selain kredibiliti beliau, suasana dunia sekarang memaksa orang-orang berfikiran radikal dalam Pas termasuk ulama-ulamanya supaya membuat penilain semula terhadap pandangan dan pendirian lama mereka mengenai banyak perkara termasuk hiburan. Jika mereka tidak membuat perubahan ke arah itu, mereka akan disingkir oleh gologan muda Pas yang berfikiran lebih terbuka.

Selain itu seperti penulis pernah beberapa kali menjelaskan dalam ruangan ini bahawa hukum hiburan dalam fikah bukan perkara muktamad, tetapi ia berbeza-berbeza. Tetapi yang penting ialah perlu melihat kepada maslahah atau kepentingan hiburan itu.

Dalam konteks hari ini hiburan sudah berada di tahap melampau dan ia perlu semua pihak terlibat dalam mengtarsyid atau mengorientasinya supaya dapat mengurangkan tahap melampau itu atau supaya ia menjadi lebih berguna.

Dalam pada itu Nik Aziz menganggap konsert Mawi memang mempunyai matlamat politik. Dari sudut ini penulis percaya Pas boleh menjadikan konsert Mawi sebagai konsert pilot untuk mengenal pasti bahawa penglibatannya dalam hiburan, apakah akan mendapat keuntungan atau kerugian? Penulis menganggap adalah wajar Pas melihat konsert Mawi dari sudut itu.

UMNO pula pada pandangan penulis tidak perlu menentang sikap terbuka Pas dengan hiburan termasuk menganjur konsert Mawi semalam atau menganjur konsert-konsert lain pada masa akan datang. Ini kerana tindakan Pas selain membuktikan pada dasarnya parti itu tidak anti hiburan seperti juga dengan UMNO, isu hiburan adalah masalah khilafiah yang ulama berbeza pandangan sejak zaman berzaman. Ada ulama yang menganggap hiburan dalam bentuk muzik dan nyanyian adalah haram secara mutlak dan ada ulama menganggap sebaliknya.

Dengan itu Pas yang dulu lebih cenderung kepada pengharaman hiburan secara mutlak mengubah pendirian kepada pengharusan hiburan secara nisbi dianggap kemenangan aliran sederhana yang dipegang UMNO. Pada waktu yang sama jika terdapat persembahan-persembahan hiburan pada masa lalu termasuk yang diadakan oleh UMNO didapati mempunyai kelemahan atau dianggap melanggari hukum-hukum agama boleh dinilai semula dengan mengambil iktibar daripada konsert Pas semalam yang diadakan dalam keadaan tertib, sopan dan tidak dilihat melanggari hukum-hukum agama. Penulis tidak menyuruh meniru konsert Pas bulat-bulat seperti menjemput Setiausaha Parlimen Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan bekas Imam Masjid Negara Datuk Pirdaus masing-masing menyampai ceramah dan menjadi imam dalam konsert, tetapi memadai dengan melahirkan roh Islam atau sekurang-kurangnya perkara-perkara tidak baik dalam konsert itu.

Pemimpin kerajaan sudah banyak kali menyatakan pandangan tidak puas hati dengan beberapa program hiburan yang melampau, tetapi belum ada sebarang perubahan yang ketara dibuat oleh pelbagai pihak yang menganjurkan hiburan. Dengan itu ijtihad Pas dianggap penggerak ke arah perubahan yang lebih besar.

Di pihak lain jika penulis menuntut UMNO tidak menentang keterbukaan Pas terhadap hiburan, pada waktu yang sama penulis ingin menuntut Pas supaya tidak menentang semua perkara yang dilakukan oleh UMNO.

Ambil contoh isu negara Islam dan pendekatan Islam Hadhari adalah merupakan perkara ijtihad yang Pas mempunyai pandangan berbeza tentangnya. Pas berhak untuk mempunyai pandangan berbeza tentang perkara itu, tetapi ia tidak ada hak untuk menentangnya apatah lagi Kerajaan Pusat yang memperjuangkan perkara itu.

25.9.05

Aurat suara pada wanita

Kemusykilan Agama: Perbandingan aurat suara pada wanita

DALAM pertandingan tilawah al-Quran baru-baru ini, qariah ada memperdengarkan bacaan mereka.

Tetapi dalam hal ini suara mereka bukanlah dikira sebagai aurat. Dalam keadaan apakah suara wanita itu adalah aurat dan apakah dalil-dalilnya?

Ingin tahu,
Melalui e-mel

MENGENAI suara, wanita memang ada perbezaan pendapat di kalangan ulama fiqah. Ada yang mengatakan suara wanita termasuk aurat.

Ada juga yang mengatakannya bukan termasuk aurat.

Sesungguhnya suara wanita itu pada prinsipnya bukanlah aurat. Sedangkan aurat suara wanita sebenarnya terletak kepada kemerduan dan kelembutan suaranya yang boleh menggoda kaum lelaki bukan kepada suara wanita itu sendiri.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud: "Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja semasa bercakap dengan lelaki ajnabi kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)".

My Headlines