31.10.05

Pintar Jawi: Seni grafik, khat serikan kad raya

SYAWAL masih hangat. Ia adalah bulan perayaan bagi umat Islam sedunia. Sambutan di Malaysia luar biasa hebatnya, tetapi keceriaan menjadi teras dalam perayaan hari itu. Sebelum menjelang Syawal, kad hari raya bertebaran ke mana arah saja sebagai salam kemesraan, minta maaf zahir dan batin. Lebih daripada itu, ia menjadi penghubung silaturahim dengan sahabat-handai dan kaum keluarga yang berjauhan.

Walaupun penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) terus memuncak, namun kad hari raya masih juga banyak beredar. Pilihan pengamal pengirim kad hari raya terkini nampak berubah ke arah tulisan jawi yang lebih memikat dengan khat yang bagus-bagus.

Secara perlahan masyarakat kini lebih cenderung menggunakan tulisan jawi dalam hal seperti membuat kad hari raya berbanding beberapa tahun lalu. Sikap ini wajar, memandangkan kemudahan yang sudah ada. Komputer peribadi mempunyai perisian jawi jelas dimanfaatkan sepenuhnya sempena perayaan tahun ini.

Kad hari raya itu bukan saja menggunakan perisian jawi seadanya, tetapi telah dipertingkat penggunaan dengan grafiknya hingga dapat membentuk semacam logo yang menarik. Adunan kepandaian menggunakan seni garik dan seni khat seperti itu mencerminkan keindahan hati nurani manusia penggubalnya.

Beberapa tahun lalu, kita menemui kad hari raya yang tidak Islamik wajah dan kandungannya. Isi ucapannya berbaur kata jenaka di luar musim perayaan. Ada pula iringan karikator yang tidak senonoh. Langsung tidak menggambarkan bahawa kad itu digunakan untuk sambutan hari yang mulia.

Kebelakangan ini, suasana itu berkurangan. Mungkin generasi yang berbuat begitu telah beralih ke SMS. Maka tinggallah pengamal yang menggunakan kad hari raya tidak luar biasa itu terus memulihara seni budaya, selain menjaga nilai ketertiban budi dan syiar agama yang amat wajar, selaras dengan suasana Aidilfitri.

Walaupun perubahan itu belum menyeluruh, namun ada kemungkinan asakan daripada semangat mencintai tulisan jawi yang ditanamkan oleh guru di sekolah, mulai memberi kesan di kalangan generasi remaja.

Jika mereka tidak mampu berbuat seperti kawannya yang ada komputer canggih, namun mereka masih mahu menuliskan ucapannya dalam tulisan jawi mengikut bentuk ‘air tangan’ masing-masing sebagai persembahan kepada gurunya, malah kepada penulis yang kerap berceramah dalam Program Motivasi Jawi di ceruk rantau tanah air.

Pintar Jawi: Hariraya atau hari raya?

KEMUSYKILANNYA ialah mengenai ejaan perkataan hari raya, sama ada perkataan itu ditulis gabung ‘hariraya’ atau ditulis berasingan ‘hari raya’. Kebanyakan perkataan itu dalam kad hari raya, katanya ditulis bersambung, sebaliknya cikgu kata ditulis berasingan.

Sebenarnya, mengikut kaedah ejaan lama, perkataan hari raya itu digabungkan menjadi satu perkataan tetapi ejaan jawi baru kedua-dua perkataan itu dipisahkan. Misalnya, kapal terbang dalam ejaan lama dieja sebagai kapal terbang. Demikian perkataan kereta api, tengah hari, jalan raya ditulis gabung: kaf-pa-lam-ta-ra-ba-nga (kapalterbang), kaf-ra-ya-ta-alif-pa-ya, ta-nga-Ha-alif-ra-ya, jim-alif-lam-nun-ra-alif-ya.

Dalam ejaan jawi baru, kata-kata bebas yang membentuk rangkai kata umum, setara (parataksis), kata istilah, simpulan bahasa hendaklah ditulis terpisah kecuali perkataan yang sudah lama terbina daripada dua bentuk kata dasar dan bentuk yang sudah mantap bentuknya.

Perkataan kereta api dalam ejaan lama ialah keretapi; tengah hari dieja sebagai kata gabung, tengahari; dan jalan raya dieja jim-alif-lam-nun-ra-alif-ya sebagai satu perkataan.

Yang dimaksudkan dengan perkataan yang telah terbina daripada dua bentuk kata dasar ialah seperti tanggungjawab, tatasusila, malapetaka. Manakala perkataan yang dikatakan bentuknya sudah mantap ialah seperti pesuruhjaya, suruhanjaya, setiausaha, sukarela, tandatangan, tanggungjawab dan matahari.

Dalam hal ini, perkataan hari raya adalah termasuk ke dalam kelompok kata bebas yang membentuk kata umum. Kedua-dua perkataan itu hendaklah ditulis terpisah, iaitu hari dan raya.

Kemungkinan besar, kad hari raya yang anda temui atau beli itu adalah tulisan yang diambil daripada mana-mana kad hari raya lama yang dicetak ulang oleh pengedarnya tanpa menyedari perbezaan di antara ejaan jawi lama dengan ejaan jawi baru.

Jejak Rasul: Beijing simpan khazanah Islam terulung



BEIJING yang turut dikenali sebagai Kota Larangan menerima kedatangan Islam sejak 1,000 tahun lalu dan kini dianggarkan bilangan umat Islam di bandar itu mencecah 250,000 orang daripada lebih 11 juta penduduknya.

Niu Jie pula bukan saja pusat perdagangan, malah turut popular di kalangan umat Islam tempatan untuk mendapatkan sumber makanan halal. Lebih penting, ia pusat perkembangan agama Islam.

Masjid Niu Jie yang dibina pada 996 ketika era pemerintahan Dinasti Song, tidak pernah susut daripada kunjungan jemaah yang terkenal berpegang teguh pada akidah Islam. Lebih 20,000 jemaah membanjiri masjid itu untuk mendirikan solat Jumaat.

Tulisan ayat suci al-Quran bertatahkan warna merah, emas dan beberapa warna lain memenuhi segenap ruang masjid tertua di Niu Jie dengan motif yang sama juga boleh dilihat pada lebih 35,000 masjid seluruh China.

Masjid Niu Jie yang digelar Li Bai Si, bermaksud gedung solat dibina di atas tapak seluas 6,000 meter persegi turut menempatkan kemudahan kelas agama, pejabat pentadbiran dan bilik wuduk.

Di situ juga ada dua makam lama dipercayai berusia lebih 700 tahun dipercayai tempat persemadian dua tokoh pendakwah, satu daripadanya milik Syeikh Ahmad al-Bartani yang banyak menyumbang kepada perkembangan Islam di Beijing.

Masjid Xia Taoyuan, satu di antara enam masjid utama di Selatan Shanghai menjadi nadi perkembangan Islam. Ia dipercayai mula berkembang apabila Shanghai membuka pintu perdagangan kepada dunia luar.

Krew Jejak Rasul ke Kashi atau Kashgar di Xinjiang, wilayah autonomi masyarakat Islam Uygur.

Kashgar dihuni lebih 200,000 penduduk daripada 30 suku kaum. Menjadi dasar Kerajaan China mengamalkan kebebasan kepada semua suku kaum untuk mengamalkan agama, budaya dan bahasa mereka.

Kampung Upoor dalam wilayah Shi Fu, 50 kilometer dari Kashgar menempatkan makam tokoh terkenal Uygur, Mehmud Kashgarli yang dilahirkan di Kashgar pada 1008.

Sebaik tamat persekolahan, beliau mengembara hampir ke seluruh rantau Asia tengah untuk mengkaji bahasa, budaya dan sejarah pelbagai suku kaum. Beliau kemudian berhijrah ke Baghdad bagi mendalami ilmu bahasa.

Ketika itulah beliau mengarang karya masyhur iaitu kamus bahasa Turki ditulis dalam bahasa Arab.

Selain kamus, Kashgarli menghasilkan manuskrip dalam bidang sastera, budaya, astronomi, geografi dan biologi yang turut menjadi rujukan utama ahli akademik.

Kashgarli kembali ke pangkuan masyarakat pada 1080 selepas 23 tahun berkelana mencari ilmu di kota Bahgdad, Iraq.

Di tanah kelahirannya, Kashgarli menabur jasa selama 25 tahun sehingga meninggal dunia pada 1105, ketika berusia 97 tahun.

28.10.05

Jejak Rasul 11: Pusat Islam Jepun sebar dakwah melalui penulisan



SELEPAS peperangan dunia kedua, masyarakat Islam dari pelbagai negara datang menetap di Jepun dan dari tahun ke tahun bilangan mereka kian bertambah.

Kegiatan dakwah semakin berkembang, namun masyarakat Islam di sana tidak memiliki satu tempat untuk menyelaras kegiatan dan kefahaman Islam.

Pada 1966, Pusat Islam Antarabangsa Jepun ditubuhkan sebagai pangkalan pergerakan dakwah Islam di negara matahari terbit itu. Malangnya, ia dibubarkan pada 1974 atas sebab tertentu dan diberi nama baru, Pusat Islam Jepun.

Selain menjadi nadi pergerakan Islam di Jepun, pusat berkenaan berperanan menyebarkan dakwah menerusi penulisan dan penerbitan melalui terjemahan buku mengenai Islam dalam bahasa Jepun.

Pusat Islam Jepun sudah menerbitkan lebih 2,000 buku. Antara yang menjadi keutamaan ialah buku berkaitan ibadat, muamalat, perundangan Islam, ekonomi dan cara pergaulan masyarakat Islam.

Pusat Islam Jepun turut membekalkan buku Islam yang diterjemah dalam bahasa Jepun dan Inggeris kepada persatuan serta pertubuhan Islam di seluruh negara dan Korea secara percuma.

Usaha berkenaan dipelopori seorang pendakwah Islam warga Jepun yang terkenal, Ahmad Ariga yang memeluk Islam pada 1900 dan menjadikan bidang penulisan sebagai medan dakwah.

Beliau juga adalah orang terawal menterjemahkan buku Islam dan al-Quran ke dalam bahasa Jepun.

Menurut pemangku pengerusi Pusat Islam Jepun yang berasal dari Pakistan, Syed Matloob Ali, kebanyakan masyarakat Jepun tersalah anggap mengenai Islam dan menjadi tanggungjawab Pusat Islam membetulkan tanggapan serong itu.

Oleh itu, katanya, pusat berkenaan sentiasa mengalu-alukan apa juga bentuk perbincangan kepada warga Jepun yang ingin mengenali dan mendekati Islam.

Perkembangan Islam di Jepun banyak berkaitan dengan persefahaman di antara Maharaja Meiji dengan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah.

Keinginan kedua-dua pemimpin untuk membebaskan hidup rakyat Jepun daripada tekanan kuasa besar mendorong mereka menjadi sahabat baik.

Putera Taro Katsura pada zaman pemerintahan Maharaja Meiji turut mementingkan pendidikan kerana pada pendapat baginda pendidikan adalah alat transformasi untuk merealisasikan impian maharaja berkenaan

Tanggapan bahawa pendidikan kunci kecemerlangan terbukti berdasarkan kesungguhan kerajaan dan rakyat menimba pengetahuan.

Tanggungjawab itu turut dipikul Persatuan Muslim Jepun, pertubuhan Islam terbesar di Jepun menjalankan aktiviti dakwah menerusi pendidikan dengan menterjemah buku Islam untuk dijadikan bahan rujukan.

Cara hidup Islam diterjemahkan sebaik mungkin oleh masyarakat Islam Jepun dalam kehidupan harian mereka termasuk bersikap tegas berkaitan makanan halal.

Jejak Rasul 11: Masjid Jami Tokyo bukti hubungan kukuh Jepun, Turki

Oleh Jami’ah Shukri


MASJID Jami di Jepun adalah manifestasi tauhid yang dikembangkan masyarakat Turki ketika Russia menguasai Turki pada 1917.

Empat huruf wau di Masjid Jami ini membuktikan akidah tauhid di bawah lembayung empayar Uthmaniyyah berkembang kukuh di Tokyo.

Huruf wau itu mewakili wahyu Ilahi yang bermaksud: "Pada hal kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi rasulnya dan bagi orang mukmin, tetapi orang munafik itu tiada mengetahuinya.” (Surah al-Munafiqun, ayat 8)

Sebahagian masyarakatnya melarikan diri ke beberapa negara termasuk Jepun untuk menyelamatkan diri daripada kuasa itu.

Kazan Turk, Qurban Ali dan Abdul Rashid Ibrahim adalah antara tokoh Islam Turki yang berhijrah ke Jepun.

Mereka mengambil keputusan untuk membina sekolah dan masjid kerana masyarakat Turki di Jepun semakin bertambah. Usaha mereka menjadi kenyataan dengan terbinanya masjid yang menjadi syiar Islam terkemuka di Tokyo pada 1938.

Hari ini, masjid asal sudah tiada lagi, ia musnah akibat faktor masa pada 1986 dan diganti dengan masjid baru yang dibina pada 1986 di tapak yang sama. Huruf wau yang menjadi simbol kekuatan empayar Islam Uthmaniyyah turut dikekalkan pada setiap masjid yang dibina oleh kerajaan Turki hingga ke hari ini.

Empat huruf wau itu membuktikan bahawa kekuatan dan kemuliaan hanya milik Allah, rasul-Nya dan orang beriman. Tazkirah berkobar mengimbas kembali kegemilangan empayar Uthmaniyyah yang mewarisi perjuangan Rasulullah bagi memastikan akidah tauhid terus berkembang ke pelusuk dunia.

Masjid Jami Tokyo yang mampu menampung seramai 600 jemaah ini membuktikan keutuhan perhubungan Jepun dan Turki sejak kurun ke-20. Walaupun hubungan itu baru, ia memberi makna yang mendalam kepada masyarakat Turki yang berada di bawah pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah.

Menurut seorang penulis Mesir, Abdul Rashid Ibrahim dari Persatuan Pemuda Islam di Kaherah, sekitar kurun ke-19 Maharaja Meiji telah mengutus sepucuk warkah kepada Sultan Abdul Hamid.

“Bahawa kamu dan saya berada di bawah tekanan kuasa besar, oleh itu ada baiknya rakyat kita saling mengenali. Kami meminta kamu menghantar bijak pandai yang mampu memperkenalkan negara kamu kepada rakyat kami.

Surat ini menggambarkan Jepun dan orang Islam bersedia untuk mewujudkan persefahaman antara satu sama lain dalam politik, ekonomi mahupun kebudayaan atau cara hidup.

“Orang Jepun terlalu memusatkan pemikiran mereka terhadap kebendaan. Mereka juga sering mempersoalkan asal usul agama.

“Persoalan kenapa khinzir tidak boleh dimakan. mereka terlalu mempersoalkan kebendaan.

“Misalnya, mereka tidak boleh menerima secara logik bahawa Allah menegah kita memakan khinzir. Pada pandangan saya, mereka melihat negara Islam dan bertanya realiti sebenar masyarakat Islam.

“Sekiranya Islam itu berkembang baik, mengapa umat Islam jadi begitu. Memang mereka sering berfikiran demikian.

“Oleh itu masyarakat Jepun melihat umat Islam harus mempunyai kedudukan yang tinggi.”

Jejak Rasul 11: Pokok Dammul Akhawain keunikan Sokotra



DAMMUL Akhawain sejenis tumbuhan istimewa hidup subur di Diksham yang terletak di dataran tinggi bahagian tengah Sokotra, Yaman.

Ia turut dikenali oleh masyarakat Sokotra sebagai dragon blood tree yang bermaksud pokok darah naga. Tumbuhan ini adalah khazanah flora yang amat berharga di pulau ini yang tidak mungkin ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.

Tumbuhan ini dipercayai hasil peninggalan zaman purba sekitar jutaan tahun lalu.

Pokok ini rata-rata mencapai ketinggian lima hingga sembilan meter. Sesiapa saja akan terpesona untuk menghayati keindahannya.

Lazimnya pokok ini bercambah secara pendebungaan setahun dua kali dan menghasilkan buahnya setahun dua kali.

Kewujudan pokok ini menjadikan Sokotra sebuah pulau yang diidami oleh setiap pengunjung.

Sebelum kehadiran akidah tauhid menyinari bumi Sokotra, tumbuhan luar biasa ini pernah disembah dan dianggap suci oleh masyarakatnya. Rupa bentuk pokok darah dua bersaudara ini yang istimewa berbanding tumbuhan lain di sini.

Menurut pengkaji alam tumbuhan, Dammul Akhawain yang indah dipandang ini mempunyai 250 jenis pokoknya yang tumbuh subur di pulau legenda ini.

Selain Diksham, pokok ini tumbuh dengan menebal di kawasan pergunungan Murmi berhampiran bandar Hadibo. Pohon yang hidup sejak jutaan tahun ini terus tumbuh dengan subur hingga kini.

Pengkaji hingga kini masih terus berusaha mengkaji kelebihan dan keistimewaannya.

Dammul Akhawain menjulang bagaikan mempunyai mahkota pada puncaknya memiliki buah yang kecil kemerah-merahan dipercayai berkhasiat untuk kesihatan.

Pokok ini tidak asing bagi masyarakat Socotra sehinggakan mereka amat mahir dan mengetahui kelebihannya.

Contohnya, getahnya boleh dijadikan cat dan bahan memperbaiki kenderaan kecil.

Namun, mereka tidak memandangnya sebagai perkara penting yang memberi manfaat.

Maklumat mengenai kelebihan pokok ini hanya diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Jejak Rasul 11: Masjid Adeni lambang syiar Islam di Hadibo



PANTAI Hadibo banyak melakarkan sejarah Kesultanan Mahra yang berkuasa di Sokotra, Yemen pada 1511. Penguasaan yang terlalu lama menyebabkan kesultanan ini dicemburui oleh suku kaum Arab.

Keadaan itu menyebabkan Kesultanan Mahra mendapat perlindungan British pada kurun ke-19.

Akidah tauhid tetap bergema membawa kesahihan wahyu dan kebenaran nubuwwah.

Kewujudan Masjid Adeni di persisiran pantai Hadibo adalah rentetan dakwah Islam yang berkembang di benua Afrika seawal kurun ke-7 masihi.

Meskipun, kubah masjid ini kelihatan lama, masyarakat Islam di Hadibo mengekalkannya sebagai lambang syiar Islam yang pertama bertapak di Sokotra. Ia satu-satunya bangunan masjid lama Adeni yang masih kelihatan kukuh.

Sebagai langkah pemuliharaan kubah ini dibiar berada di dalam bangunan masjid baru supaya sejarahnya sentiasa dikenang oleh generasi akan datang.

Masjid Adeni menjalani tiga kali proses pembesarannya untuk menampung jemaah yang semakin meningkat.

Penduduk di sini tidak mengetahui dengan tepat tarikh pembinaan Masjid Adeni, mereka berasa tanggungjawab untuk memperbaikinya dengan mengumpul dana secara derma dan wakaf bagi menjaga syiar Islam yang tertua ini.

Perkuburan lama masyarakat Islam turut menambahkan keunikan sejarah masjid ini. Jika diperhatikan gaya tulisan yang ada pada nesan ini, menunjukkan masyarakat Arab Islam sudah sekian lama bertapak di Pulau Sokotra .

Kedudukan Sokotra yang jauh dari tanah besar dan pergaulan menyebabkan berita dan sejarah mengenai umat Islamnya agak terbatas. Bandar utama Sokotra, Hadibo menjadi nadi bagi penduduknya mencari rezeki.

Pembangunan di bandar ini berjalan perlahan memandangkan faktor kedudukannya yang jauh dengan tanah besar Yemen.

Namun, penghuni Hadibo tidak pernah merungut atau melahirkan perasaan tidak puas hati dengan apa yang mereka hadapi.

Sebelum kedatangan Islam Sokotra menjadi milik golongan Nasrani Assyrian yang dikenali sebagai Nestorian.

Mereka memakmurkan bumi Sokotra dengan peradaban dan tamadun mereka berkurun lamanya.

Amalan dan kegiatan mereka tidak diterima oleh Paulus yang berpusat di Rom kerana dianggap bercanggah.

Kedatangan Islam yang di bawa oleh masyarakat Arab pada awal kurun ke-17 menerusi perdagangan menukar arah pegangan mereka kepada akidah tauhid.

Sumber: Jejak Rasul 11: Masjid Adeni lambang syiar Islam di Hadibo

My Headlines