15.11.05

Ensiklopedia Nusantara: Penulis kitab Taj as-Salathin masih diragui

Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah

GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits

TAJ as-Salathin dianggap kitab bertujuan membentuk peradaban raja Melayu, maka beberapa salinan tersimpan dalam istana.

Tidak sedikit pengkaji menyebut bahawa Taj as-Salathin adalah karya Bukhari al-Jauhari. Bagaimanapun, bagi saya masih sangat meraguinya, kerana hingga kini saya belum menemui manuskrip yang menyebut nama Bukhari al-Jauhari itu.

Judul ini adalah tidak asing bagi pengkaji sastera Melayu klasik baik yang berasal dari dunia Melayu mahupun golongan Barat (orientalis).

Begitu pun, pelajar termasuk mereka yang belajar sastera dan bahasa Melayu, termasuk pengkaji, barangkali tidak berapa yang mengenali Taj as-Salathin dalam bentuk Melayu/Jawi, iaitu tulisan asal yang digunakan dalam penulisan judul ini.

Taj as-Salathin yang diterjemahkan ke bahasa Belanda telah lama diperkenalkan. Roorda van Eijsinga menerbitnya bersama teks Melayu/Jawi di Batavia (sekarang Jakarta) pada 1827.

Dalam bahasa Perancis pula diusahakan oleh Marre pada 1878. Pada 1420 hijrah/1999 saya berhasil memperoleh dua manuskrip Taj as-Salathin.

Satu diperoleh di Mempawah, Kalimantan Barat, Indonesia dan yang sebuah lagi di Dabo' Singkep, Kepulauan Riau. Manuskrip dan edisi cetakan Tajus Salathin dengan ringkas dibicarakan sebagai berikut:

Taj as-Salathin versi Lingga.

Manuskrip ini diperoleh di Pulau Lingga, maka saya namakan Taj as-Salathin versi Lingga.

Data versi ini dengan judul terjemahan dalam bahasa Melayu, Makuta Segala Raja. Tidak ada nama pengarang.

Pada halaman akhir tercatat: "Tamat kitab ini kepada sembilan belas hari bulan Zulhijjah, Sabtu, jam pukul dua belas, hijrah Nabi SAW seribu dua ratus lima puluh tujuh tahun (19 Zulhijjah 1257/1841, pen:). Encik Yusuf empunya kitab ini. Encik Utsman yang menyuratnya, fakir Terengganu yang amat hina serta miskin dan bebal kepada makhluk Allah Taala yang banyak.

Jika benar jangan dipuji,

Jikalau salah pun mi(n)taklah betuli

Kerana fakir menyurat belung pahang (maksudnya: belum faham, pen:) lagi, mi(n)taklah tuan-tuan dan encik-encik baiki.

Di mana yang lebisy (maksudnya: lebih, pen:) dan yang kurang telah haraplah baiki dia adanya ..."

Saya peroleh manuskrip Taj as-Salathin di Dabo' Singkep pada 11 Jamadilawal 1420/23 Ogos 1999 daripada bekas milik Tuan Guru Encik Arifin (meninggal dunia 21 Ramadan 1407/22 Mei 1987) bin Muhammad Shalih bin Sulaiman. Beliau memperolehnya daripada Encik Fatimah, tercatat pada halaman akhir dengan menggunakan pensil: "Yang empunya kitab ini iaitu Encik Fatimah di dalam negeri Lingga adanya."

Encik Fatimah memperolehnya daripada Encik Yusuf. Ada catatan pada halaman depan: "Milik al-faqir al-haqir adh-dha'if Encik Yusuf Shalih dari Sultan Mahmud bin al-Marhum Muhammad Syah, syahru Rejab 12, sanah 1259 (hijrah)."


Taj as-Salathin versi Pontianak

Ada dua manuskrip Taj as-Salathin yang saya peroleh di Pontianak, Kalimantan Barat. Oleh kerana, manuskrip yang dibicarakan ini ada dua versi, saya namakan Taj as-Salathin Pontianak versi A dan Taj as-Salathin Pontianak versi B.

Taj as-Salathin Pontianak versi A terjemahan dalam bahasa Melayu ialah Mahkota Segala Raja-Raja. Tidak ada nama pengarang seperti Taj as-Salathin versi Lingga.

Nama penyalin dinyatakan: "Syahdan maka adalah yang menyuratnya hamba al-haqir al-faqir ilallahi Ta'ala Al-Haji Muhammad Thaha ibnu al-Marhum Abu Na'im." Tarikh salinan dinyatakan pada halaman akhir, "Tamat al-Kitab Taj as-Salathin ini di dalam negeri Pontianak kepada dua puluh dalapan hari bulan Jamadilakhir, Ahad, waktu jam pukul satu sanah 1306 hijrah (28 Jamadilakhir 1306/1888)."

Manuskrip berasal dari Istana Qadriyah (Istana Sultan Pontianak). Kemudian dihadiahkan kepada Pangeran Temenggung Kerajaan Sanggau. Pangeran Temenggung Kerajaan Sanggau menghadiahkan kepada Penembahan Muhammad Taufiq Aqamuddin.

Manuskrip Taj as-Salathin versi ini menjadi koleksi saya pada 28 Februari 1999 yang diperoleh di Mempawah.

Taj as-Salathin Pontianak versi B saja yang ada nama pengarang. Datanya dinyatakan nama pengarang pada mukadimah sebagai yang berikut, "asy-Syeikh 'Abdullah bin Muhammad bin Abi Bakar bin asy-Syeikh Ibrahim al-Mashri... bahawa adalah aku bertemu dengan seorang sauda(ra)ku Tuan Khathib 'Abdus Salam bin Orang Kaya Seri Wangsa, Wazir Orang Melayu Petapahan, lagi mempunyai ilmu fiqih dan ilmu tasawuf. Maka sanya telah membicarakan ia akan ilmu syariat dan hakikat dan bijaksana ia kepada membicarakan daripada segala ilmu dunia dan ilmu akhirat. Maka, berkehendak ia kepada al-haqir ilmu pengajar akan segala raja-raja yang memerintah negeri.

“Dan kata Tuan Khathib 'Abdus Salam, adalah ia meninggalkan negeri Petapahan, maka sangat hendak berbuat bakti akan raja dan datuk-datuk penghulu yang memerintah negeri Petapahan itu. Maka sanya yang niat berbuat baik akan raja-raja itu wajib atas segala manusia..."

Taj as-Salathin versi ini diselesaikan pada 7 Rabiulakhir 1236/1820. [BH]

9.11.05

Tafsir al-Quran - Kenapa jumlahnya mencecah ribuan?

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

AL-QURAN boleh diletak kan dalam saku dibawa ke mana-mana untuk dibaca, dihayati dan tadabbur, tetapi apabila dilihat kepada tafsir-tafsirnya ada yang menjangkau puluhan jilid dan cukup luas.

Dalam hal ini, Abdul Latif as-Subkhi melalui kitabnya Fi Riyad al-Quran, halaman 132 menjawab : Ini kerana cabang-cabang al-Quran terlalu banyak, sama ada tasyri' untuk ibadat yang fardu dan sunatnya, haram dan makruh.

Ada bidang sosial dan kemasyarakatan, institusi kekeluargaan, ekonomi, politik, hukum mahkamah, peperangan dan lain-lain.

Semuanya adalah limpahan khazanah yang tidak mampu dikuasai oleh satu akal sahaja. Justeru setiap ulama yang mempunyai kepakaran dalam bidangnya, akan menumpukan lebih kepada bidangnya dan yang lain dengan bidang yang lain.

Antara alasan yang kuat ialah kerana al-Quran bersifat hidup, anjal dan serasi pada semua tempat, keadaan dan masa.

Justeru penemuan-penemuan hakikat baru mungkin wujud, sedangkan zaman dahulu tiada. Antara lain wujudnya mazhab-mazhab fikah mempengaruhi tafsiran mereka mengikut pegangan mazhab.

Oleh kerana itu, al-Quran akan di-tafsirkan dan terus ditafsirkan, tanpa selesai sehingga kiamat menandakan luasnya ilmu Allah dan mukjizat al-Quran itu sendiri.

Melihat kepada tafsiran ulama ayat-ayat al-Quran, terdapat kekhilafan antara mereka. Antara faktor yang menyumbang kepada kekhilafan ini seperti yang dinyatakan oleh Ibn Juzai di dalam kitabnya at-Tashil Li Ulum at-Tanzil 1/9.

1. Ikhtilaf al-Quran.

2. Ikhtilaf wajah I'rab sekalipun qiraat sepakat.

3. Ikhtilaf ahli bahasa pada makna kalimah.

4. Isytirak lafaz antara dua makna atau lebih.

5. Ihtimal umum dan khusus.

6. Ihtimal itlak dan taqyid.

7. Ihtimal hakikat atau majaz.

8. Ihtimal idhmar atau istiqlal.

9. Ihtimal kalimah yang lebih. (Tiada lebih dalam al-Quran mengikut pendapat ulama yang kuat seperti Syeikh as-Sya'rawi.)

10. Ihtimal bahawa hukum itu mansukh atau muhkam.

11. Ikhtilaf riwayat dalam tafsir daripada Nabi s.a.w. dan salaf.

12. Ihtimal menanggung kalam sama ada tertib atau taqdim dan ta'khir.

Kemungkinan ditanya kepada seseorang, Apakah keperluan kepada tafsir? Ini kerana al-Quran kitab yang nyata, mudah difahami?

Al-Qardhawi menjawab antara lain: Manusia amat perlu kepada tafsir al-Quran sehingga kefahamannya betul dan menepati kehendak Allah dan dapat beramal dengan sahih. Justeru Allah menuntut daripada mereka tadabbur al-Quran.

Mengikut as-Suyuti dalam Itqan 4/173, telah ijma' ulama bahawa belajar ilmu tafsir adalah fardu kifayah dan semulia-mulia ilmu yang tiga, iaitu tafsir, hadis dan fikah. Begitu juga pendapat al-Asbahani.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah ketika ditanya nama-nama kitab tafsir yang paling hampir kepada kitab dan sunah menegaskan, bahawa tafsir Muhammad bin Jarir at-Tabari adalah yang paling tinggi, yang memuatkan segala kenyataan salaf dan sanad-sanad yang thabit tanpa ada unsur-unsur bidaah.

Ibn Jarir juga tidak menaqalkan dalam tafsirnya, orang yang dipertikai kewibawaannya seperti Muqatil bin Bukair dan al-Kalbi.

Tafsir yang tidak ma'thur dengan sanad-sanadnya terlalu banyak, seperti tafsir Abdul Razzak, Abdun bin Humaid, Waki', Ibn Abi Qutaibah, Ahmad bin Hanbal, Ishak bin Rahuyah.

Antara tafsir yang banyak daripada unsur-unsur bidaah dan hadis-hadis daif ialah Tafsir al-Baghawi tetapi beliau meringkaskannya daripada Tafsir ath-Tha'labi, Tafsir al-Wahidi yang juga murid kepada ath-Tha'labi yang banyak faedahnya.

Adapun Tafsir az-Zamakhsari, terdapat banyak unsur-unsur bidaah dan berasaskan kepada golongan mu'tazilah daripada ingkar sifat, ru'yah dan pendapat al-Quran sebagai makhluk dan lain-lain.

Unsur akidah mereka (al-Mu'tazilah) lima perkara : Tauhid, keadilan, manzilah antara dua kedudukan, melaksanakan ancaman, dan amar makruf serta nahi munkar.

Tafsir al-Qurtubi lebih baik dan selamat daripada bidaah. Perbincangan Tafsir Qurtubi lebih kepada fikah. Tafsir Ibn Atiah pula lebih baik daripada Tafsir az-Zamakhsari dan lebih sahih naqalnya serta jauh daripada terjebak kepada bidaah.

Sebenarnya tafsir terlalu banyak, lebih daripada ratusan, mungkin ribuan tafsir yang masih ditulis daripada ulama-ulama Nusantara sama ada Indonesia, Patani, Singapura dan Malaysia.

Justeru mengkaji banyak tafsir amat penting sehingga Syeikh as-Sobuni mengarang kitab Sofwah at-Tafasir yang dikutip daripada ulama-ulama yang terkemuka.

Dicadangkan tafsiran al-Quran dengan cara mengemukakan ayat dan asbab an-Nuzul serta maksud kalimah dan bahasa yang dikehendaki.

Juga intipati hidayah yang dapat diambil daripada ayat tersebut untuk dihayati, tadabbur amali dan diyakini. Semoga dengan cara ini kita menjejaki para sahabat yang bacaan ayatnya tidak banyak tetapi disertakan sekali dengan kefahaman, penghayatan, amalan dan juga keimanan.

Justeru ia lebih mudah dan menyenangkan daripada membuka medan perbahasan fikah, tauhid, tasawuf, lughah atau lainnya. Tanpa dinafikan semuanya baik dan elok mengikut kepakaran dan kecenderungan ahli tafsir serta pengaruh persekitaran dan guru-guru mereka.

DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

[UM]

Tafsir - Pelbagai jenis dan syaratnya

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

TERBARU..!!! PROGRAM AFFILIATE

TAFSIR al-Quran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis: 1. Mengikut masa l Tafsir zaman sahabat. Terdapat sahabat yang mentafsir al-Quran seperti Abu Bakar, Umar, Aisyah dan terutamanya Abdullah Ibn Abbas. Ini kerana berkat doa Rasulullah s.a.w. kepadanya ketika dilahirkan, di samping kesungguhan dan kesabarannya dalam menimba ilmu sehingga dikenali sebagai Turjuman al-Quran, juga dikenali dengan Habr al-Ummah. Katanya Demi Allah, kalau kamu tanyakan makna-makna ayat dalam al-Quran apa maksudnya, di mana diturunkan dan segala maksudnya nescaya aku akan menjawab untukmu.

* Tafsir zaman tabiin seperti Said bin Jubair yang banyak meriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Masud, Ibn Umar, Abu Hurairah dan lain-lain. Dikatakan Abu Ubaidah Ma'mar bin al-Muthanna, perintis pertama dalam pembukuan tafsir yang dinamakan al-Majaz Fi al-Quran al-Karim pada tahun 188H.

* Tafsir zaman selepas Tabi' at-Tabiin atau golongan kemudian. Seperti Ibn Jarir (310H) dengan tafsirnya Jami' al-Bayan Fi Tafsir al-Quran, al-Zamakhsyari dengan tafsirnya al-Kasyfu `an Haqaiq al-Tanzil Wa `Uyun al-Aqawil Fi Wujuh al-Ta'wil dan lain-lain.

2. Cara tafsiran

* Tafsir al-Quran dengan al-Quran.

* Tafsir al-Quran dengan hadis, terutamanya yang sahih dan mutawatir.

* Tafsir al-Quran dengan pendapat sahabat.

* Tafsir al-Quran dengan bahasa dan sastera.

3. Sumber tafsiran

* Tafsir dengan ma'thur dikenali juga tafsir riwayat.

* Tafsir dengan ra'yi (akal).

Imam as-Syaukani di dalam tafsirnya Fath al-Qadir (1 / 12) membahagikan dua cara ahli tafsir :

* Terikat dengan riwayat.

* Mengembangkan tafsir kepada aspek bahasa dan ilmu-ilmu alat yang lain.

Ulama sepakat menerima tafsir dengan ma'thur dan beramal. Ibn Kathir berkata dalam mukadimah tafsirnya (1 / 3) - Jika kami tidak mendapati tafsir dalam al-Quran dan juga sunah, kami akan kembali kepada pendapat sahabat kerana mereka lebih mengetahui dengan penyaksian dan hal ehwal mereka ketika turunnya ayat.

Ijtihad

Antara kitab-kitab tafsir mathur : Jami' al-Bayan - Ibn Jarir at-Tabari, Al-Kashfu Wa al-Bayan - ath-Tha'alabi, Ma'alim at-Tanzil - Abu Muhammad al-Husain bin Masud al-Baghawi, Ad-Durru al-Manthur - Jalaludin as-Suyuti, Tafsir al-Quran al-'Azim - Abu al-Fida' Ismail Ibn Kathir.

Adapun tafsir ar-Ra'yi yang dibina atas asas akal dan ijtihad para ulama berkhilaf hukum keharusannya. Ada yang menyokongnya dan ada yang mencegahnya. Imam al-Ghazali dan ar-Raghib al-Asfahani menganggap khilaf ini bersifat lafzi bukan hakiki, justeru tidaklah menjadi masalah beramal dengan tafsir ra'yi tetapi disyaratkan dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh ulama. (Lihat Tafsir Bi ar-Ra'yi, Dr. Hamad al-Zaghlul hal 107-115).

Walaupun begitu kalau ditafsirkan al-Quran semata-mata dengan akal, hukumnya haram seperti nas hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas - sabda Rasulullah s.a.w. : Sesiapa yang berkata tentang al-Quran tanpa ilmu, nescaya disediakan tempatnya daripada neraka. Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

Antara tafsir ar-Ra'yi ialah: Madarik at-Tanzil oleh Imam Abdullah bin Ahmad an-Nasafi, Anwar at-Tanzil Wa Asrar at-Ta'wil oleh Al-Baidhawi, Lubab at-Ta'wil oleh Al-Khazin, Ruh al-Ma'ani oleh Al-Alusi, Tafsir al-Kabir atau Mafatih al-Ghaib oleh Al-Fakhr al-Razi.

4. Ada juga ulama membahagikan tafsir mengikut subjek, seperti berikut :

* Tafsir Tahlili.

* Tafsir Al-Mathur.

* Tafsir Alr-Ra'yi.

* Tafsir As-Sufi.

Ibn as-Salah dalam `fatawanya' menyatakan ``Aku dapati daripada Imam Abi al-Hasan al-Wahidi ahli tafsir berkata : Telah mengarang Abu Abdul Rahman as-Sulami - Haqaiq at-Tafsir dan jika dia beriktikad begitu maka hukumnya kafir. Justeru an-Nasafi berkata dalam akaidnya, ``Segala nas-nas mengikut zahirnya dan berpaling daripadanya kepada mana-mana yang didakwa oleh ahli batin termasuk dalam ilhad.

At-Taftazani menyatakan, dinamakan Malahidah (golongan mulhid) dengan batiniah kerana dakwaan mereka bahawa segala nas-nas bukan mengikut zahirnya, tetapi mempunyai makna-makna batiniah yang tidak diketahuinya kecuali guru, matlamat mereka menafikan syariah semuanya. Al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma'ani berkata : Adapun ucapan ahli tasawuf tentang al-Quran, ia termasuk dalam isyarat kepada kehalusan-kehalusan yang terdedah kepada golongan ini, dan mungkin dilaksanakan antaranya dan zahir yang dikehendaki, inilah kesempurnaan iman dan sebenar-benar makrifat. Mereka beriktikad bahawa yang zahir bukan kehendak tetapi batin sahaja, sebenarnya termasuk iktikad batiniah yang mulhid membawa kepada menafikan syariah semuanya, jauh sekali daripada tuan guru tasawuf kita terbabit seperti ini. Sedangkan kenyataan mereka : Tidak dapat tidak mesti daripada zahir per-tamanya, sesiapa yang sangka sampai kepada faham rahsia

al-Quran sebelum hukum-hukum tafsir samalah seperti yang mendakwa sampai ke dalam rumah sebelum masuk pintu lagi.

Menafikan

Secara umumnya tafsir sufi dibolehkan dengan syarat-syarat :

* Jangan menafikan bagi zahir al-Quran.

* Mempunyai dalil syarak yang menyokongnya.

* Tidak bertentangan dengan syarak dan akal.

* Jangan mendakwa bahawa yang dikehendaki itu sahaja tanpa yang zahir tetapi mesti mengiktiraf yang zahir seperti dinaskan oleh al-Alusi.

Antara tafsir tasawuf ialah: Tafsir al-Quran al-Azim oleh al-Imam at-Tusturi (383H), Haqaiq at-Tafsir oleh al-Allamah as-Sulami (412H), `Arais al-Bayan Fi Haqaiq al-Quran oleh as-Shirazi (606H), Tafsir Al-Fiqhi, Tafsir Al-Falsafi, Tafsir Al-Ilmi (sains). Era teknologi terkini dengan ciptaan-ciptaan moden serta penemuan-penemuan hukum sains baru, adalah dibolehkan al-Quran dimasukkan dalam bidang ilmu ini bagi menyatakan bahasa sains dan al-Quran tidak bertentangan tetapi seiring.

Mengenai hukum mentafsir al-Quran dengan sains atau sebaliknya, ulama telah khilaf antara yang menyokong dan menentangnya. Antara yang menentang ialah Imam al-Azhar Syeikh Mahmud Syaltut dengan berhujah, ia boleh membawa kepada pemikiran yang tidak dikehendaki oleh al-Quran. Ini kerana Allah tidak menurunkannya bermatlamatkan teori-teori ilmu sains dan perkara-perkara seni. Kerana teori boleh berubah sedangkan al-Quran bersifat thabit dan tetap. Justeru selayaknya ditinggalkan al-Quran sebagai kitab suci dengan keagungannya. Lihat Mukadimah Tafsir Syaltut halaman 11-14.

Pendapat

Sependapat dengan Syeikh Syaltut ialah Syeikh Amin al-Khauli yang menaqalkan pendapat Imam as-Shatibi, inilah juga pendapat Imam Akbar Muhammad Mustafa al-Maraghi, Syeikh al-Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh Abdullah Masud, Syeikh Abu Bakar Zikri dan termasuk juga pengarang Zilal al-Quran as-Shahid Syed Qutb.

Antara yang menyokongnya pula Imam al-Ghazali melalui kitab tafsirnya - Jawahir al-Quran yang dikarang selepas Ihya', kerana berhujah segala ilmu daripada Allah, mengikuti pendapat ini Ibn Abi al-Fadl al-Mursi yang dinyatakan oleh as-Suyuti dalam Itqan 4 / 27-31.

Pandangan yang rajih

Dengan mengamati hujah-hujah daripada kedua-dua pihak, al-Qardhawi menyeru pa-

ra ulama kepada beberapa perkara :

* Keperluan mengkaji keutamaan ilmu-ilmu ini apabila mencakupi kefahamannya, sudah tentu lebih mudah untuk berkhidmat menjelaskan makna-makna al-Quran.

* Kesedaran golongan pakar dalam ilmu yang tidak disedari oleh golongan lain.

* Mensyaratkan penggunaan sains dalam tafsir seperti kepakaran, tidak menyusahkan, meraikan bahasa al-Quran, menjauhkan daripada tuduhan semua umat jahil dan beberapa syarat lagi.(Lihat Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 379-385).

Mengenai perbezaan mukjizat sains dalam al-Quran dengan tafsir sains, mengikut al-Qardhawi, pada kedua-duanya terdapat perbezaan, iaitu mukjizat sains dalam al-Quran lebih sempit berbanding tafsir sains atau ilmu ini. Justeru itu Rabitah al-'Alami al-Islami menubuhkan satu badan dinamakan Badan Ilmiah Alam Bagi Mukjizat al-Quran. Antara yang terlibat secara langsung seperti Syeikh Abdul Majid az-Zandani, Profesor Dr. Zaghlul an-Najjar dan lain-lain.

Selain tafsir-tafsir yang disebut tadi ada juga Tafsir Al-Adabi, Tafsir Ijmali, Tafsir Muqaran (perbandingan) dan Tafsir Maudhu'i.

Pendirian

Tafsir Maudhu`i ini seperti mengambil satu-satu tajuk untuk dikaji seperti kejadian langit, manusia atau lain-lain. Dr. Muhammad al-Bahi dalam kitabnya Nahwa al-Quran halaman 89 menjelaskan seperti berikut - seperti menjadikan al-Quran dalam perlembagaan masyarakat atau pendirian al-Quran terhadap madiah atau menyelesaikan kehendak surah.

Mengikut Ibn Jarir at-Tabari, dengan sanadnya kepada Ibn Abbas, tafsir terdapat empat bahagian :

* Difahami oleh orang arab.

* Tafsir yang tidak diuzur seorang pun dengan kejahilannya.

* Tafsir yang hanya diketahui ulama.

* Tafsir yang tidak diketahui kecuali Allah. Lihat Mukadimah Tafsir at-Tabari 1 / 75.

* DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan. [UM]

Mentafsir al-Quran - Syarat dan adabnya

Mulai hari ini Ruangan Tafsir Al-Quran dan Asbabun Nuzul akan menemui pembaca pada setiap hari Isnin, insya-Allah. Ruangan ini akan dikelolakan oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri sembilan.

Beliau mendapat ijazah sarjana mudanya dalam bidang Syariah dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Ijazah sarjananya dalam bidang yang sama diterima dari Universiti Ulum Islamiyyah Wal Arabiyyah, Syiria. Sementara P.hd Syariah dari Universiti Sains Malaysia.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ISLAM merupakan agama Ilahi berpandukan kepada wahyu al-Quran. Ia adalah petunjuk hidayah dalam lautannya, tinggi fahamannya, dan tidak sampai kepada kefahamannya kecuali yang benar-benar berkecimpung dalam banyak ilmu.

Di samping itu bermuamalat kepada Allah dengan penuh ketaqwaan dalam keadaan sir dan terang-terangan, terutamanya ketika dalam banyak perkara syubhat, lataif dan hakikat yang tidak difahami kecuali sesiapa yang diberikan kurniaan Allah.

Al-Quran ialah kitab suci Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril, mengandungi 114 surah daripada al-Fatihah hingga al-Nas.

Antara keistimewaan al-Quran ialah merupakan kitab Ilahi yang terpelihara, mukjizat, berisi penerangan dan mudah, kitab agama yang benar semuanya, sepanjang masa dan kitab insaniyah semuanya.

Hal ini telah dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 17-70.

Antara matlamat-matlamat al-Quran al-Karim seperti kata al-Qardhawi :

* Mentashihkan akidah sama ada berkaitan uluhiyyah, risalah dan perbahasan.

* Membenarkan karamah insani dan hak-haknya.

* Mengajar manusia ibadah yang baik kepada Allah.

* Menyeru kepada pembersihan jiwa.

* Pembentukan usrah yang solehah.

* Mengasaskan ummah yang menjadi saksi kepada sekalian manusia.

* Dakwah kepada alam insani yang bersifat tolong menolong.

Sebahagian ulama menyatakan intipati dalam al-Quran ada empat:

* Permasalahan akidah.

* Permasalahan syariah.

* Perbandingan agama dan akhlak.

* Kisah nabi-nabi dan umat dahulu kala.

Tafsir al-Quran atau dikenali juga takwil pada definisi bahasa, membawa maksud penerangan dan pendedahan. Ini pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa seperti pengarang al-Qamus, al-Bahr al-Muhit dan Tha'lab.

Pada istilahnya pula, ia adalah ilmu yang membincangkan bagaimana menyebut dengan lafaz al-Quran, madlulnya, hukum-hukumnya sama ada berbentuk satu atau tersusun dan maknanya.

Al-Suyuti menaqalkan daripada Imam Zarkasyi, definisi tafsir dengan maksud ilmu yang difaham dengannya, kitab Allah yang diturunkan kepada nabi-Nya Muhammad s.a.w. yang menerangkan makna-maknanya dan hukumnya (Lihat al-Itqan 4 / 169).

Ulama berselisih pendapat mengenai perbezaan antara kalimah tafsir dan takwil. Abu Ubaidah berpendapat ia memberi makna yang sama. Al-Gharib pula berpendapat tafsir lebih umum dan luas penggunaannya pada lafaz-lafaz dan mufradatnya dalam kitab-kitab Ilahi.

Al-Maturidi menganggap tafsir adalah memutuskan dengan apa yang dikehendaki Allah. Sedangkan takwil kembali kepada beberapa andaian. (Tarikh ilmi al-Tafsir / Dr. Ali Hasan al-'Aridu).

Rumusan yang dapat dinyatakan bahawa menghimpunkan makna takwil dan tafsir lebih baik daripada memisahkannya. Justeru kedua-duanya memberi makna yang sama seperti pendapat Ibn Jarir.

Para ulama banyak membahaskan syarat-syarat tafsir al-Quran sebelum ditafsirkannya seperti al-Suyuti melalui kitabnya, al-Itqan Fi Ulum al-Quran, Syeikh Ibn Taimiyah dengan Mukadimah Fi Usul al-Tafsir, Ibn al-Qayyim dengan al-Tibyan Fi Aqsam al-Quran, al-Zarkasyi dengan al-Burhan, al-Zurqani dengan Manahil al-Irfan dan ramai lagi ulama.

Syarat syarat mufassir dan adab-adabnya.

* Keikhlasan.

* Iktikad yang sahih.

* Sejahtera daripada amalan dan iktikad bidaah.

* Bertaubat dan sentiasa kembali kepada Allah.

* Sentiasa berwaspada daripada terjebak mengikut hawa nafsu.

* Mempunyai pelbagai ilmu, antaranya, Ilmu lughah seperti kata Mujahid : Tidak halal bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat bercakap tentang kitab Allah jika tidak arif / tahu dengan bahasa Arab.

Antara ilmu bahasa itu :

* Nahu.

* Tasrif atau Sarf.

* Istiqaq sama ada istiqaq besar atau kecil.

* Balaghah iaitu bayan ma'ani dan badi'.

* Usuluddin.

* Usul fiqh.

* Asbab al-Nuzul

- sebab-sebab diturunkan ayat.

* Nasikh dan mansukh.

* Ilmu Fikah.

* Ilmu Hadis

* Ilmu Qiraat.

* Ilmu al-Mauhibah. Al-Zarkasyi dalam al-Burhan berkata: ``Ketahuilah bahawa tidak tercapai kefahaman makna wahyu dan nyata segala sir-sirnya sedangkan dalam hatinya terdapat unsur bidaah, takabbur, hawa nafsu, cinta dunia atau yang kekal melakukan maksiat, atau tidak tahqiq iman atau daif tahqiq atau bergantung kepada pendapat mufassir tanpa ilmu atau kembali kepada akalnya. Ini semua adalah hijab / terdinding daripada tafsir.''

* Ilmu Sirah.

* Ilmu Tarikh al-Adyan (agama). Ini terutamanya agama-agama samawi antaranya Yahudi, Masihi dan juga agama lain. Suka ditambah di sini ilmu-ilmu moden seperti mukjizat al-Quran mengikut sains dan lain-lain lagi.

Disyaratkan juga ahli tafsir menjauhkan perkara-perkara ini :

* Tanpa ilmu dan tidak mencukupi syarat-syarat ahli tafsir.

* Membincangkan perkara yang berada di dalam ilmu Allah semata-mata.

* Mengikut hawa nafsu.

* Tafsir ayat-ayat dengan makna yang tidak boleh ditanggungnya.

* Tafsir secara pasti seperti kehendak Allah daripada ayat ini begini-begini.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam Mukadimah Fi Usul al-Tafsir halaman 83, memberi peringatan kepada golongan yang berpaling daripada tafsir al-Sahabat dan al-Tabiin tegasnya, ``Sesiapa yang berpaling daripada mazhab-mazhab sahabat dan al-Tabiin, sedangkan tafsir mereka bercanggah daripada yang demikian itu, sebenarnya dia tersilap dan juga ahli bidaah. [UM]


My Headlines