Oleh: KALAM MAS
MENTARI pagi bersinar lembut. Langit begitu redup. Bumi bagaikan berselimut, dek cuacanya yang amat sejuk. Memang aneh. Ini pertama kali New Zealand bertamukan pameran manuskrip al-Quran alam Melayu berwarna penuh seperti ini. Bumi ini seakan-akan menanti saat kunjungan tetamu ini.
Kini, redup memohon diri, memberi laluan buat mentari bersinar ceria. Memang biasa jika pameran al-Quran dihadiri oleh tetamu Muslim. Namun, hari ini ada sedikit kelainannya. Rata-rata pengunjung pameran ini orang kulit putih tempatan atau Kiwi, walaupun ada juga dari Arab, Afrika dan tidak ketinggalan pelajar kita di sana.
Lembaran ayat, zukhruf (hiasan), emas dan warnanya tampaknya telah mengundang kekaguman. Sinar mata, senyum manis dan gerak badan menceritakan segalanya. ``Nama saya Mellisa. Tolong tuliskan nama saya dengan huruf itu (al-Quran) dengan hiasan warna yang anda gunakan?'' Sapa anak gadis bermata biru yang bersama ibunya, penuh sopan sambil menuding jari kecilnya ke arah lembaran al-Quran indah berwarna. Pena pun menari diiringi simfoni warna-warna di tepian kertas yang harmoni. Anak dan ibu itu pun beredar, men-
yertai manusia yang sedang asyik dalam keindahan warna-warna mushaf al-Quran.
Detik-detik di Christchurch menggamit perasaan yang amat sukar dilupakan. Setelah seminggu di tanah air, sampai berita dari sana bahawa 10 wanita kulit putih telah menyambut hidayah Allah. Masya-Allah! Apakah ia satu kebetulan, atau al-Quran telah menyentuh hati mereka? Engkau lebih mengetahui. Walau apa pun, izinkan daku menitip syukur buat-Mu, Ya Rahman. Semoga Engkau menemukan permata hidayah-Mu bagi kami, manusia yang masih di dalam pencarian.
Suasana di atas berdasarkan kisah benar daripada pengalaman mengikuti pameran al-Quran beriluminasi penuh di negara Kiwi, New Zealand. Kehadiran al-Quran adalah satu fenomena buat manusia seluruhnya. Al-Quran adalah keajaiban, namun bagaimana untuk menyampaikan mesej kepada manusia tentang keaja-
ibannya? Ikuti rencana kali ini yang memaparkan satu pendekatan dalam menarik minat manusia mendekati al-Quran. Ikutilah seni pewarnaan mushaf al-Quran.
Warna adalah bahasa. Bahasa warna akan lebih mudah difahami oleh dewasa dan diminati oleh kanak-kanak. Allah s.w.t. mencipta alam dihiasi dengan beraneka warna. Manusia mempunyai kelemahan, iaitu ia lebih mudah untuk terpesona dengan perkara yang tampak di mata. Manusia lemah dengan dunia yang bersifat material. Dia akan melihat sesuatu yang mahal, popular, cantik dan sebagainya itu sebagai baik. Perkara yang baik seharusnya diperlihatkan. Perkara yang baik, diletakkan pula pada wadah yang baik, menambahkan lagi kesukaan dan pengiktirafan manusia terhadap kebaikannya, walaupun sebenarnya kebaikan itu tetap baik walau tanpa diakui manusia.
Al-Quran dibaca dengan suara yang baik, menambahkan kesukaan orang kepada al-Quran. Ayat al-Quran ditulis dengan baik, memudahkan dan menambahkan minat untuk membaca. Kitab al-Quran, di-
cetak, dijilid, dan dihiasi dengan baik dan benar, menarik kita yang lemah ini kepada al-Quran. Penggunaan warna dalam lembaran al-Quran memainkan peranannya yang pen-
ting di sini. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan terhadap nikmat Tuhanmu hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur). (Ad-Duha 93:11). Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: Hiasi al-Quran dengan suara mu. (Riwayat Bukhari).
Tidak semua manusia mampu untuk memahami ketinggian dan kedudukan al-Quran. Mata hanya dapat melihat yang zahir. Hanya akal dan hati sahaja yang dapat memikirkan dan merasai perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti ilmu, pemikiran, perasaan dan perkara ghaib. Maka, di sini seni mushaf memainkan peranan untuk memberi kefahaman kepada penglihatan zahir bahawa apa yang dilihatnya adalah sesuatu yang tinggi. Maka sebab itu mushaf disalin, dihias dan diwarnakan sebaik mungkin, kerana itu cara yang paling cepat untuk menyampaikan mesej, bahawa al-Quran ini adalah penting dan mulia.
Mungkin bagi sesetengah orang, warna lembaran al-Quran adalah dihasilkan mengikut ekspresi rasa seniman mushaf (muzahhib). Tetapi khat, zukhruf dan pewarnaan al-Quran mempunyai maksud tersirat yang ditimba daripada pemahaman isi kandungan al-Quran. Ia tidak hanya memenuhi fitrah berseni, tetapi ia adalah usaha ilmuwan Islam menyingkap tabir hati untuk melihat makna kebesaran al-Quran, keagu-
ngan Pencipta dan realiti kehidupan manusia melalui penelitian isi kandungannya.
Warna di dalam mushaf al-Quran digunakan sejak awal abad pertama Islam. Hitam digunakan untuk huruf, sementara merah digunakan sebagai titik menentukan bacaan. Seni pewarnaan mushaf turut mengalami perkembangan sebagaimana seni khat dan zukhruf mushaf al-Quran. (Sila rujuk Sisipan Seni Siri 3)
Allah s.w.t. menciptakan alam ini berwarna. Warna mengajak kita memperhati gelagat alam dan memikirkan keajaibannya. Hati menyebut `Maha Suci Allah', apabila sesuatu keajaiban itu disingkap untuk kita saksikan. Alam ini mengkagumkan kita. Tidak hairan jika ada yang sanggup menghabiskan umurnya untuk mengkaji serangga sekecil semut. Al-Quran itu adalah daripada Allah Maha Pencipta, sebagaimana alam itu adalah daripada Dia Maha Pencipta juga. Jika begitu sekali ketakjuban kita terhadap alam, maka tidakkah wajar untuk kita kagumi kewujudan al-Quran, mengkaji dan menghabiskan umur kita kerananya? Sedangkan al-Quran itu sendiri adalah fenomena, ia wujud tanpa manusia melakukannya. Warna pada mushaf mempunyai pe-
ranan yang sama kerana ia menarik mata untuk memandang al-Quran sebagaimana warna menarik mata mengkaji keajaiban alam. Adalah penting manusia dibawa mendekati khazanah al-Quran, dan di antara sebab yang boleh mendekatkan manusia kepada al-Quran ialah melalui penggunaan warna pada lembaran al-Quran.
Alam memang indah dan diperkaya dengan beraneka warna, maka dalam mencipta seni zukhruf, kita harus menggunakan beraneka warna juga. Oleh kerana itu, dalam mengatur warna manuskrip al-Quran beriluminasi penuh, Black & Brown menggunakan warna yang beraneka ragam. Warna yang diambil itu bukanlah rekaan, sebaliknya ia meniru warna alam yang telah sedia dijadikan Allah s.w.t. Kita hanya memindahkan visual warna ke atas lembaran sahaja. Justeru, amat logik mushaf dihiasi warna, kerana hiasannya diambil daripada bunga-bungaan yang dijadikan beraneka warna. Namun, ia tidak dibuat secara naturalistik supaya beradab kepada Pencipta dan tidak dilihat seperti cubaan menyaingi ciptaan-Nya yang sebenar. Inilah jiwa dan adab di sebalik seniman yang beriman dan mentauhidkan Allah s.w.t.
Allah Maha Indah, Dia suka kepada yang indah. Sesuatu keindahan memberi fahaman kepada kita tentang salah satu sifat Allah s.w.t., Yang Indah. Di antara medium yang menerbitkan keindahan itu ialah warna. Warna bersifat neutral. Namun penggunaannya harus kena pada tempatnya dan mestilah benar. Bumi ini adalah lambang yang membawa kepada satu tahap pengertian. Warna-warna di alam ini juga suatu lambang.
Penggunaan warna hijau menggambarkan satu perlambangan yang bersih, baru dan segar. Bumi ini dipenuhi kehijauan. Daun, sayuran dan pelbagai tumbuhan kebanyakannya mempunyai pigmen hijau. Di dalam al-Quran juga menyatakan syurga dan kehijauan di dalamnya. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Kelihatan syurga itu hijau tua warnanya. (Ar-Rahman 55:64). Perumpamaan di dunia, warna hijau dianggap positif. Manusia Muslim mengambilnya sebagai simbol kepada keindahan, supaya ingat dan tidak lupa kepada keindahan besar di akhirat. Tetapi ini tidak bermaksud Islam hanya menganjurkan warna hijau. Sekali lagi warna adalah neutral. Mengapa seorang Muslim jarang menggunakan lambang warna api, merah mungkin boleh kita fahami. Manusia Muslim berfikiran positif yang sentiasa ingin menjadi manusia yang baik dan memperoleh kebaikan sebenar, iaitu syurga. Dalam memilih lambang ia akan memilih yang positif. Islam sama sekali tidak mengharamkan penggunaan warna lain. Putih misalnya menjadi lambang kepada kesucian. Sebagai contoh, Malaikat Jibril berjumpa dengan Nabi s.a.w. berpakaian putih rapi dan ia dilihat oleh sahabat. Tidak timbul di sini persoalan warna yang boleh dan tidak boleh kerana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri menggunakan pakaian yang ada warna, walaupun dalam banyak keadaan baginda s.a.w. gemar memakai warna putih. Warna amat perlu untuk mencapai tahap keindahan. Seni Islam mengutamakan aspek keindahan. Perkara ini jelas terlihat dalam hasil seni umat Islam yang berwarna warni tetapi harmoni. Tidak salah jika dikatakan corak yang digunakan untuk kehidupan seharian seperti corak dan warna pada permaidani, tenunan, songket, pakaian, perhiasan dan peralatan turut diterapkan dalam pembinaan zukhruf dan warna dalam penyediaan mushaf al-Quran. Justeru, dalam penyediaan manuskrip al-Quran beriluminasi penuh, Black & Brown menggunakan pendekatan ini.
Pemilihan untuk menggunakan atau tidak sesuatu warna dibuat berdasarkan pilihan, bukan soal pengharaman. Warna merah sebagai contoh dijauhi bukan kerana diharamkan tetapi kerana seniman memilih menggunakan warna lain. Setiap satu warna ada peranannya. Kebanyakan muzahhib tidak menggunakan warna merah yang kelihatan garang jika memenuhi ruang lembaran. Ia juga dikaitkan dengan ritual pengorbanan dalam animisme. Di dalam beberapa mushaf, merah digunakan pada beberapa tempat, termasuk kepada nama-nama Allah s.w.t. tetapi sebagai pilihan warna supaya kontras dan ada kelainannya.
Warna memainkan peranan yang amat kuat dalam memberi karakter dan identiti sesuatu perkara. Warna di dalam mushaf selain melambangkan alam, ia juga mencerminkan identiti warna bagi sesuatu bangsa, adat dan budaya. Merah banyak digunakan oleh masyarakat Cina. Pengaruh ini boleh dilihat pada binaan masjid lama di Guangzhou dan lain-lain yang berusia ratusan tahun. Mushaf lama negeri China mengekalkan warna hitam untuk huruf-hurufnya. Pigmen warna pada mushaf juga menjadi rekod yang menyimpan latar belakang sosio budaya sesebuah bangsa. Seorang `pandai mushaf' dapat mengetahui latar masa, negara dan zaman pemerintahan mana dengan sedikit penelitian sahaja. Pengetahuan ini tidak mungkin diperoleh melainkan setelah mengkaji manuskrip al-Quran itu sendiri.
Komponen warna mushaf al-Quran di Asia Barat tidak begitu berbeza dengan jubin pada dinding mereka. Jika dinding diterap dengan pelbagai warna, maka begitulah juga penggunaan warna pada perkara yang lebih kudus. Di sini kita mengenengahkan aspek persamaan, bukan soal mana yang lebih dahulu dibangunkan,
mushafkah atau bangunan.
Warna biru amat banyak digunakan di Asia Barat. Mungkin sesetengahnya dipengaruhi kepercayaan biru sebagai penghindar keburukan, namun yang jelas ia digunakan untuk melambangkan langit biru. Langit membawa ingatan kepada penurunan wahyu Allah s.w.t. dari Lauh Mahfuz, ke langit dunia dan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Namun ini tidak bermakna keseluruhan mushaf mesti berwarna biru. Mushaf di Nusantara lebih banyak menggunakan warna yang lebih sesuai dengan alam mereka. Indonesia dari Aceh ke Cirebon lebih banyak menggunakan warna yang bersifat `tanah' seperti perang, kelabu, merah dan lain-lain yang mendekati unsur geografi daripada perlambangan syurgawi. Mushaf Tanah Melayu menggunakan pelbagai warna daripada pigmen primer atau pun tertiari (komponen warna daripada gabungan warna primer), sesuai dengan alam kita yang kaya dengan warna daripada mineral, kehidupan, laut, di mana-mana sahaja.
Emas adalah bahan galian. Walaupun begitu memang terdapat warna emas. Emas atau warna emas digunakan untuk memperkayakan lagi warna mushaf. Emas digunakan dalam zukhruf dan kadangkala pada tulisan. Emas tidak digunakan sebagai warna, tetapi untuk mengangkat karya ke tahap yang tinggi kerana ia berkaitan dengan nilai ketinggian yang dilambangkan dengan emas.
Kelainan antara satu bangsa de-
ngan yang lain adalah lumrah alam. Bukankah perbezaan warna pada kulit manusia adalah suatu keistimewaan dan satu lambang untuk mengenal sesuatu bangsa? Kepelbagaian adalah satu fitrah ciptaan yang tidak boleh dinafikan. Manusia perlu belajar menghormati perbezaan, dan melihat dari aspek yang positif. Impaknya amat besar kepada keharmonian hidup sesama manusia. Di sini terserlah keindahan ajaran al-Quran yang me-
nyamaratakan manusia tanpa perbezaan kasta dan warna kulit. Maka umat yang berpegang kepada al-Quran adalah lebih utama untuk menghayati nilai murni ini. Hanya Allah s.w.t. yang lebih mengetahui kelebihan seseorang daripada yang lain.
Warna itu fitrah alam. Ia menjadi identiti yang mempereratkan hubu-
ngan antara manusia. Perjalanan hidup manusia adalah warna-warna pengalaman yang perlu dilaluinya. Warna mengajar kita agar harmoni, merapati dan menyerlahkan keindahan dalam usaha menuju keredhaan Tuhan yang abadi. Warna pada mushaf mempunyai makna pada diri manusia andainya ia mengerti. Black & Brown mengetengahkan isu ini agar kita menyedari bahawa setiap satu di dunia adalah fenomena. Dan inilah peluang kita untuk mempelajari supaya melihat keajaiban-keajaiban ini, sebelum kita dijemput berhijrah ke pangkuan Ilahi.
* Artikel di atas adalah hak intelektual Black & Brown Resources Sdn.Bhd. Ia sebuah syarikat bumiputera yang berpengalaman dalam seni Islam, penerbitan dan pengiklanan selama 16 tahun dan pembinaan manuskrip al-Quran beriluminasi penuh selama 11 tahun. Untuk makluman lanjut sila layari laman web berikut.
http://www.blackbrown.com.my
E mel: sisipanseni@blackbrown.com.my Tel: 03-6156 5660 Faks: 03-6156 5661
Tiada ulasan:
Catat Ulasan