Oleh Abu Bakar Yang
Apa yang jelas kelihatan sekarang kepada dunia ialah tamadun dan kebudayaan Barat kini sedang dalam proses penurunan.
Perkembangan-perkembangan yang memperlihatkan peralihan tamadun dari Barat ke bahagian-bahagian lain di Asia, meletakkan dunia di tempat yang baru dalam sejarah.
Dunia yang suatu masa dulu gawat dengan suasana perang dingin kini berubah kepada babak baru ke arah pasca zaman moden. Cara pembangunan turut berubah dan memberi ruang kepada negara-negara membangun untuk memilih sendiri kaedah pembangunan yang sesuai dengan selera masing-masing.
Kini pembangunan dan kemajuan mengikut acuan sendiri menjadi ungkapan yang popular, disebut di mana-mana, walaupun untuk mencapainya masih perlu menempuh perjalanan yang jauh.
Begitulah juga halnya dengan negara kita, pembangunan mengikut acuan sendiri sudah pun disemarakkan. Cuma yang perlu diberi penekanan ialah pembangunan tersebut perlu menjadikan Islam sebagai asas dan agenda utama.
Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang terdahulu yang maju hampir dalam serba-serbinya adalah kerana berpegang kepada ajaran al-Quran yang dinamik serta mampu untuk menggerakkan masyarakat.
Dalam proses menggerakkan masyarakat ke arah pembangunan, al-Quran menekankan kebangkitan generasi penggerak iaitu generasi ulul al-bab - mereka yang dapat menjelaskan dan menghuraikan jalan dan arah yang hendak dilalui.
Keazaman kita untuk membentuk kemajuan mengikut acuan sendiri akan terus kabur, sekiranya kita kekurangan golongan ulul al-bab yang dapat menghurai tujuan dan matlamat pembangunan.
Proses pembangunan yang bercirikan Islam ini juga memerlukan kepada kelahiran generasi penggerak yang memenuhi ciri-ciri ulul al-bab. Antara ciri-ciri penting ulul al-bab ialah persiapan kerohanian yang teguh yang dapat memulakan pembangunan Islam daripada permulaan yang betul, iaitu pembangunan yang berpusatkan kepada pembangunan manusia.
Keteguhan kerohanian yang dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan serta dapat memperjelaskan dengan terperinci konsep, matlamat dan arah pembangunan yang ingin dibawa itu. Malah dapat menggerakkan sebarang bentuk pembangunan yang berteraskan tauhid dalam segala bidang sosial, sains dan teknologi, ekonomi, pendidikan, pengurusan, kebudayaan dan sebagainya yang mempunyai tenaga dan pengaruh dalam arus pembangunan hari ini.
Dengan berteraskan Islam dan berpusatkan pembangunan manusia, pembangunan yang akan dibina adalah sebenarnya bermula daripada pemikiran yang tertumpu kepada persoalan manusia dan nasibnya di dunia ini serta kesudahannya di akhirat.
Perincian mengenai persoalan inilah yang perlu dilaksanakan oleh generasi penggerak ini, dan sentiasa bersedia menghadapi masyarakat dengan penjelasan-penjelasan yang sudah semestinya memerlukan kepada keberanian, ketajaman dan kewibawaan ilmiah yang tinggi. Seiring dengan itu juga, tugas generasi penggerak ialah berusaha membangunkan kembali masyarakat Islam di atas asas-asasnya yang asal.
Desakan
Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilaksanakan ialah memastikan masyarakat menerima sistem Islam dan memantapkan keyakinan kepada keunggulan sistem Islam untuk kehidupan yang sejahtera.
Tanda-tanda penerimaan itu kini telah menjadi fenomena yang merata, sekali gus turut membantu dalam usaha menggerakkan masyarakat ke arah penerimaan tersebut. Usaha untuk memantapkan kesedaran ini adalah penting, sehingga kesedaran individu itu menjadi suara desakan dan tuntunan ke arah melaksanakan sistem Islam yang lebih syumul.
Untuk mencapai kesedaran yang sebegini, maka perancangan-perancangan yang rapi perlu dibuat bagi memenuhi keperluan setiap peringkat pembangunan.
Di samping itu juga kita tidak mahu perubahan ke arah pembangunan yang Islamik ini dicemar dengan perancangan-perancangan lain yang sama ada sedar atau tidak membantutkan kemurniannya.
Dalam erti kata yang lain, proses membangunkan masyarakat ini juga turut disertai dengan program-program yang akan meruntuhkannya. Banyak contoh dapat menerangkan fenomena ini, yang mana satu pihak mengembangkan unsur-unsur pembangunan yang Islamik, sementara satu pihak lagi giat menjalankan usaha menyebarkan unsur-unsur negatif yang meruntuhkannya.
Kehadiran unsur penghalang inilah yang menyulitkan lagi usaha ke arah menjadikan masyarakat yang mantap dan yakin dengan sistem Islam yang unggul dan sejahtera.
Di atas kesedaran inilah umat Islam perlu memahami bahawa perubahan daripada pembangunan moden kepada pembangunan yang Islamik memerlukan kepada tenaga penggerak dan juga jihad. Jihad dalam erti kata pengorbanan diri, masa, pemikiran dan juga harta benda.
- Abu Bakar Yang ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan