23.7.05

Persediaan fizikal, mental menjelang usia tua

BAGI menghadapi usia tua, setiap orang harus membuat persiapan dari segi fizikal, mental, kerohanian dan sebagainya. Persiapan ini sebenarnya proses seumur hidup yang harus dilaksanakan oleh manusia.

Persiapan itu juga seharusnya dilakukan oleh orang yang sedang berada di ambang usia tua dengan penuh usaha dan sedar.

Tanpa persediaan menghadapi usia tua, seorang yang lanjut usianya mungkin mengalami rasa sepi dan tidak berharga. Malah, ada kalanya membawa kepada tekanan jiwa yang hebat.

Perasaan ini sangat mudah dialami orang yang berusia tua jika tidak bersiap untuk hidup sebagai seorang anggota tua dalam rumah tangga bersama-sama keluarganya, masyarakat dan orang ramai di daerah sekelilingnya yang lebih besar.

Dari sudut kerohanian dan keagamaan, sungguhpun beribadat juga amalan berterusan sepanjang hayat. Namun, orang lanjut usia, yang menginsafi kenyataan hidup, akan berasa lebih lazat dan puas dengan melakukan amal ibadat dengan lebih tekun dan berlipat ganda.

Amal ibadat yang dilakukan hendaklah difahami dalam konteks lebih luas. Ia bukan sekadar ibadat khusus seperti sembahyang saja sebaliknya wajar merangkumi kerja kebajikan, khidmat sosial, sukarela dan sebagainya.

Setiap insan mempunyai naluri yang tabii mengharapkan kehidupan yang panjang. Ia sering diungkapkan sebagai ‘panjang umur’. Orang sering berdoa semoga dikurniakan Tuhan umur yang panjang bagi dirinya dan orang lain yang dikasihinya.

Persoalan yang harus dipecahkan di sini apakah konsep umur yang panjang dan apakah hubungan umur panjang ini dengan kualiti dan kuantitinya?

Bagi orang Islam, ada syarat dan panduan al-Quran dan sunnah mengenai persoalan ini.

Kualiti umur

Firman Allah bermaksud: “...masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, pada hal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 96).

Ketentuan umur

Allah berfirman bermaksud: “... dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang dipanjangkan umurnya melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab.” (Surah al-Fatir, ayat 11)

Pusingan umur

Allah berfirman bermaksud: “Dan barang siapa yang Kami panjangkan usianya nescaya Kami kembalikan dia kepada kejadiannya (kembali menjadi lemah).” (Surah Yasin, ayat 68)

Keperluan meneruskan hidup

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah sekali-kali salah seorang antara kamu mengharapkan kematian, kerana apabila dia seorang yang baik, maka mudah-mudahan kebaikannya akan bertambah, tetapi apabila dia seorang yang melakukan kejahatan, semoga dia akan bertaubat.”

Kedudukan terbaik dalam usia lanjut

Rasulullah bersabda bermaksud: “Apabila Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang, diberi-Nya kedudukan yang baik. Baginda ditanya: Bagaimanakah caranya diberikan kedudukan itu? Baginda menjawab: Ditunjukkan ke arah perbuatan yang baik sebelum (seorang itu) meninggal, dan setelah itu barulah dicabut nyawanya.”

Realiti usia tua

Penyakit tua tidak punya ubat. Rasulullah bersabda maksudnya: “Berubatlah kamu semua, kerana semua penyakit yang dijadikan Allah mempunyai ubatnya, kecuali satu penyakit saja yang tidak punya ubat, iaitu penyakit tua.”

Memanfaatkan usia tua

Anas ibn Malik menceritakan bahawa Rasulullah berdoa bermaksud : “Ya Allah, aku mohon perlindungan daripadamu dari sifat bakhil, malas, usia tua dan seburuk-buruk umur, seksa kubur, fitnah dajal, fitnah kehidupan dan fitnah kematian.”

Ternyata daripada kenyataan di atas bahawa:

  • Manusia paling baik ialah manusia yang panjang usianya serta baik amalannya.
  • Seburuk-buruk manusia ialah manusia yang juga panjang usianya, tetapi usianya itu dihabiskan untuk amalan yang buruk.
  • Alangkah bahagianya manusia yang dapat memanfaatkan usianya yang lanjut dengan pelbagai kegiatan berkualiti dan bermanfaat serta penuh kebajikan untuk dunia dan akhirat. Ia untuk Allah dan manusia, terutama keluarga sendiri, jiran tetangga dan semua orang di sekelilingnya.

Tiada ulasan:

My Headlines