12.1.06

Personaliti: Dr Sharifah Hayaati warisi kebolehan ibu bapa galas tugas penceramah profesional

Oleh Jami’ah Shukri


MENJADI
penceramah profesional dalam bidang keagamaan langsung tidak terlintas di kotak fikirannya.

Malah, minat dalam bidang itu sama sekali tiada dalam senarai cita-cita asalnya walaupun datuknya, Syed Mohamad Al-Mahsoor dan ibunya, Sharifah Fatma Syed Mohamad adalah antara penceramah bebas terkenal di Johor Bahru, Johor suatu ketika dulu. Bapanya juga kerap memberi ceramah di peringkat jabatan kerajaan.

Pada awalnya, Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail memang berasa tidak berkemampuan menjadi penceramah. Hal ini kerana perlu berhadapan dengan pelbagai lapisan umat Islam dan khuatir gagal menyampaikan ceramah dengan berkesan.

Cita-cita dan matlamat utama menjadi pensyarah terbaik serta berdedikasi sebagai kerjaya profesional.

Bagaimanapun kini, Pensyarah Kanan, Jabatan Siasah Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya itu, akhirnya akur dengan kebolehan sebenarnya beliau memang mempunyai aura tersendiri sebagai penceramah profesional. Kehadirannya memikat dan begitu disenangi serta diminati ribuan umat Islam di negara ini. Ini sekali gus mewarisi darah turun temurun sebagai penceramah agama.

“Apabila teringat semula, saya terfikir ia mungkin satu doa ummi (panggilan untuk ibunya) yang pernah meminta saya supaya menggantikan tempatnya sebagai penceramah suatu hari nanti.

“Mungkin juga disebabkan banyak pendedahan dan dorongan di kalangan keluarga, kerap melihat dan mengikut ibu berceramah agama, ia memberi input kepada saya terbabit dalam bidang itu,” katanya.

Kini, jadual hariannya amat ketat sekali kerana perlu memenuhi undangan menyampaikan ceramah, Beliau menerima banyak undangan menyampaikan ceramah pada pelbagai tempat termasuk di luar negara seperti Brunei dan Singapura.

Pembabitan awalnya dalam bidang itu adalah secara kebetulan apabila diperkenalkan oleh pensyarahnya, Prof Datuk Dr Mahmmod Zuhdi Abd Majid, sekembalinya dari Britian kepada penerbit di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Pertama kali adalah dalam slot pendek segmen agama terbitan RTM1, iaitu pada 1998. Diikuti beberapa program agama lain sebelum dilihat semakin kerap muncul dalam Forum Perdana,” katanya.

Dr Sharifah Hayaati berpendapat kerjaya sebagai pensyarah dan penceramah profesional saling melengkapi serta memberi banyak pendedahan. Perkara ini kerana ia secara tidak langsung sebagai satu cara untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dalam bidang keagamaan.

Interaksi dan komunikasi setiap hari dengan pelajar banyak membantunya meningkatkan keyakinan, keberanian dan menambah kepetahannya bercakap ketika berhadapan dengan penonton.

Beliau percaya sekiranya sudah ada keupayaan dalam bidang itu, seharusnya terus disemai bagi mengelak ia hilang sentuhannya.

“Saya berpendapat untuk menjadi penceramah agama, seseorang itu perlu ada ilmu, minat, dedikasi, kerap menjalankan kajian atau penyelidikan serta bersedia berkorban masa dan tenaga,” katanya.

Selain itu, tidak kurang penting, seseorang penceramah itu perlu mengenal pasti dengan mengkaji latar belakang kumpulan sasar, tahap pendidikan, lokasi dan peringkat umur orang yang ingin mendengar ceramah.

Metadologi yang diguna pakai penceramah juga perlu kena dengan gaya dan persembahannya supaya dapat diterima oleh semua pihak mengikut kumpulan sasar berkenaan.

“Kalau kita menggunakan bahasa yang terlalu tinggi, sedangkan hanya untuk memberi ceramah agama kepada orang kampung, pasti ia tidak difahami dan menimbulkan kebosanan.

“Oleh itu, ceramah perlu disampaikan dengan gaya dan bahasa yang mudah difahami golongan tertentu.

“Berceramah juga perlu ada seninya. Intonasi suara tidak terlalu keras sehingga boleh menakutkan pendengar atau sebaliknya.

“Kita perlu pandai bermain dengan bahasa juga. Kita tidak mahu jadi penceramah yang syok sendiri,” katanya yang mempunyai aset wajah yang lembut dan menarik.

Dr Sharifah Hayaati mendedahkan ada ibu yang datang kepadanya dan menyatakan apakah resipi digunakan kerana anaknya begitu meminati ceramah.

Justeru, beliau yakin semua metadologi yang diamalkan itu adalah hasil daripada kerja kuat yang sentiasa memperbaiki diri dan keterampilan untuk menjadi yang terbaik.

Beliau mengagumi Prof Dr Mahmood Zuhdi dan Prof Diraja Ungku Aziz dari segi pemikiran dan keterampilan mereka dan boleh dianggap mentornya dalam bidang ini.

Dr Sharifah Hayaati tidak pernah memilih topik bagi setiap ceramahnya. Baginya sebagai penceramah perlu sentiasa bersedia dan dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang bagi memudahkan tugasnya.

Ditanya mengenai bagaimana membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga, beliau berkata semuanya dapat diuruskan dengan baik berikut sokongan daripada suaminya yang juga mengajar di Institut Victoria, Kuala Lumpur.

Beliau juga bertuah kerana suaminya begitu memahami tugas yang sentiasa sibuk. Jadual hariannya amat ketat, iaitu pada hari biasa bekerja sebagai pensyarah, manakala pada lazimnya setiap hujung minggu atau malam memenuhi undangan berceramah agama di pelbagai tempat.

Oleh itu, Dr Sharifah Hayaati amat menghargai masa dan akan digunakan sepenuhnya bagi memastikan kebajikan keluarga tidak terabai. [BH]

Tiada ulasan:

My Headlines