12.2.06

Tetamu BM: Ekstremis sekular dalangi karikatur hina Muhammad

Join a NEW INCOME program:

http://goldmine.ProBusinessSuccess.com/

Tindak balas umat Islam gugat kepentingan kuasa Barat

PENYIARAN karikatur Nabi Muhammad SAW di dalam akhbar Denmark, Jylland-Posten, menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam seluruh dunia. Tamparan lebih hebat apabila tindakan yang sama dilakukan akhbar lain di Eropah sebagai sokongan. Apakah yang menyebabkan media massa Barat, khususnya Eropah, kelihatan bersekongkol mempersendakan Islam dan umat Islam? Ikuti pandangan Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dari Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC).
Dalam pertemuan dengan wartawan Berita Minggu, ZIAUDDIN SHARUDDIN dan NORAKMAH MAT YOUB, beliau yang juga ahli Forum Ekonomi Dunia (Hubungan Barat-Islam) dan Inisiatif Dialog Dunia (C100) memperjelaskan asal-usul kebiadapan media massa Barat.

KONSEP peradaban tamadun merujuk kepada satu entiti budaya paling besar. Tamadun meliputi segala aspek kehidupan manusia dari segi agama, politik, ekonomi, sains, teknologi dan kebudayaan. Bagaimanapun, ahli sarjana yang mengkaji ilmu tamadun bersependapat inti tamadun ialah agama.

Ini kerana boleh dikatakan semua tamadun manusia dipengaruhi agama dan diasaskan atas nilai agama yang dominan dalam tamadun itu.

Sebelum bercakap mengenai pertembungan tamadun, kita perlu melihat adakah pertempuran agama sudah berlaku kerana agama adalah inti pati tamadun. Saya melihat dari segi dua tamadun yang mempunyai perbezaan dan kesamaan.

Walaupun dua tamadun berbeza, tetapi boleh hidup bersama atas dasar saling menghormati. Itu satu tahap. Tahap kedua, oleh kerana ada perbezaan jadi dua tamadun itu wujud dalam keadaan tegang. Ketegangan antara dua tamadun. Jika lebih dari itu, ketegangan berkenaan akan mencetus perbalahan dan pertempuran. Itu hubungan paling serius antara dua tamadun.

Dalam meninjau hubungan antara dunia Barat dan Islam, kita harus melihat mengikut perspektif yang dijelaskan tadi. Adakah tamadun Barat dan Islam akan mempunyai kesamaan? Sebenarnya, ada banyak kesamaan dan perbezaan.

Ada kesamaan kerana kedua-dua tamadun itu mengambil sumber nilai tamadun dari sumber yang sama. Tamadun Islam pada peringkat awal, antara sumber ialah dari tamadun Greek, iaitu tamadun Barat.

Tamadun Barat juga sama, tetapi cara pengolahan berbeza. Sumber yang sama tetapi menangani dengan cara yang berbeza. Kemudian dunia Barat banyak mengambil dari tamadun Islam ketika zaman keagungan Islam, terutama di Sepanyol, yang diperintah oleh Islam selama lebih kurang 800 tahun dan itu mempengaruhi dunia Barat dalam pelbagai segi.

Sekarang orang Barat banyak melupakan fakta sejarah bahawa sebahagian budaya Barat hari ini sebenarnya adalah daripada tamadun Islam. Barat yang sekarang ini ingin membawa kedua-dua tamadun lebih rapat dan saling memahami akan mengingatkan mereka fakta sejarah ini.

Eropah pinggir agama

KITA harus memahami bahawa tamadun Barat moden yang diasaskan pada kurun ke-16 Masihi berkembang hingga menjadi tamadun yang mempunyai beberapa ciri yang tiada langsung dalam sejarah Barat sendiri.

Di Eropah, agama dipinggirkan dalam kehidupan manusia. Kita harus memahami ini. Golongan yang menghina dan menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW digelar golongan ekstrem pelampau atau fanatik sekular yang berbeza dengan golongan sekular arus perdana.

Golongan fanatik sekular yang tidak percaya kepada Tuhan, tidak percaya kepada agama datang dari Tuhan, tidak percaya alam kerohanian, tidak ada hidup selepas mati. Perkara yang kita percaya tidak mereka percaya.

Mereka bukan golongan majoriti, tetapi berpengaruh dalam masyarakat dan khususnya, berjaya menjadikan kebebasan bersuara sebagai prinsip dan nilai yang tidak boleh disentuh.

Malah sesetengah orang Barat sendiri mengatakan bahawa kalau hendak faham mengapa orang Barat boleh melukis kartun menghina Nabi Muhammad, sebenarnya mereka ini terlebih dulu sudah menghina Kristian.

Mereka menghina Nabi Isa as, tetapi oleh kerana golongan Kristian di Eropah sudah lemah, mereka tidak berupaya membantah segala penghinaan terhadap agama itu. Ini sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat itu. Itu bukan bermakna paderi bersetuju dengan apa yang berlaku, tetapi suara mereka tidak begitu dilayan di Eropah.

Saya tidak berapa terkejut kerana perbuatan itu pernah dilakukan oleh orang Barat. Cuma yang berbeza ialah senario suasana. Mereka tidak bertanggungjawab dan tidak mahu melihat apakah akibatnya kepada dunia Barat sendiri, apatah lagi hubungan antara tamadun.

Mereka tahu apa yang dilakukan itu akan dimarahi oleh orang Islam dalam keadaan dunia Barat memerlukan majoriti sokongan Islam untuk memerangi keganasan yang dilakukan atas nama Islam. Saya tidak hairan kerana seperti mana mereka sering katakan bahawa kami pernah membuat karikatur terhadap Nabi Isa as, malah terhadap Tuhan kami sendiri.

Kita kena faham golongan itu terdapat di Barat. Ini lebih dikatakan pertembungan golongan antiagama tidak kira agama apa kerana mereka anti terhadap kepercayaan agama.

Kesan ekonomi

DI SEBALIK kontroversi ini, ada perkara baik timbul iaitu orang Barat akan melihat sendiri dan menyemak prinsip kebebasan bersuara yang dipegang selama ini. Mereka terkejut kerana dapat mengalahkan golongan Kristian, tiba-tiba mereka menghadapi reaksi spontan kemarahan umat Islam.

Sekarang, mereka sepatutnya memikirkan soal hubungan ekonomi. Dunia sekarang ini berbeza dengan dunia lampau. Sekarang ini masyarakat global, apa yang berlaku akan meninggalkan kesan terhadap satu sama lain.

Jika mereka sukar untuk memahami, sekurang-kurangnya mereka perlu faham terhadap kesan amali dan praktikal dalam kehidupan Barat. Mereka perlu bimbang apa tindakan negara Islam jika perkara ini berterusan. Mereka kena kaji semula sikap dan tanggapan mereka terhadap Islam selama ini.

Tragedi 11 September mencetuskan perubahan kerana ramai masyarakat Barat di sana meneliti ajaran Islam. Ini adalah antara faktor menguatkan lagi mendesak mereka melihat semula persepsi terhadap Islam dan umat Islam.

Menurut tinjauan umum, persepsi rakyat Amerika Syarikat terhadap Islam didapati lebih 55 peratus memahami Islam. Maknanya perkara yang baik ialah rakyat Amerika Syarikat mengkaji dan mula memahami Islam. Selain itu, semakin ramai memeluk Islam.

Menurut satu tinjauan, lebih 20,000 rakyat Amerika Syarikat memeluk Islam setiap tahun. Bayangkan setiap hari hampir 20 orang memeluk Islam. Kita tengok ada dua kesan selari, iaitu kesan baik dan kesan buruk.

Perbuatan menerbitkan karikatur memang patut dikutuk, bukan saja oleh orang Islam tetapi ramai orang bukan Islam yang mengecam penyiaran karikatur itu. Apa seharusnya kita lakukan? Banyak kelompok umat Islam memperlihatkan tindak balas yang sewajarnya. Mereka mengkritik keganasan.

Bagaimanapun, kita seharusnya mengelakkan tindak balas berbentuk keganasan kerana itu bukan ajaran Islam. Sebagai contoh, katakanlah Nabi Muhammad masih hidup, mungkin paling keras pun tindakan Baginda hanya akan menyaman akhbar itu. Tidak hingga hendak melancarkan perang. Itupun (tindakan mahkamah) mungkin sudah terlalu kasar.

Ada satu hadis yang Allah menasihati Nabi Muhammad yang maksudnya: Kalau ada orang berlaku tidak baik terhadap kamu, doakan kebaikan untuk mereka. Jadi kita ikut apa yang Baginda lakukan.

Memang mudah melepaskan geram dan marah. Kita sedih kerana ramai umat Islam tidak mahu mencontohi Rasulullah dalam perkara berkaitan hubungan kita dengan bukan Islam. Ini satu pengajaran kepada kita juga. Kita bersyukur kerana di Barat, kelompok Islam yang menetap di sana menolak keganasan.

Mereka mahu menggunakan kesempatan ini untuk berdialog dan berdakwah dengan bukan Islam mengenai siapa sebenarnya Nabi Muhammad dan mengapa Islam tidak membenarkan karikatur atau patungnya dibuat.

Umat Islam percaya mereka tidak boleh buat perkara itu, tetapi jarang diterangkan mengapa kita tidak boleh berbuat demikian. Kalau boleh kita nak terangkan kepada golongan bukan Islam di Malaysia. Sedih juga saya kerana Sarawak Tribune menyiarkan gambar itu.

Barat berhati-hati

KESAN daripada penyiaran karikatur ini, dunia Barat akan lebih berhati-hati apabila hendak bercakap dan menyiarkan sesuatu mengenai Islam. Padahnya mereka dapat rasakan. Bagi mereka yang boleh meninggalkan kesan ialah dari segi ekonomi kerana mereka bergantung kepada negara Islam untuk minyak dan eksport barangan mereka.

Senjata boikot ini, saya bersetuju untuk menimbulkan kesan kepada negara Barat tetapi dengan syarat. Patut atau tidak kita menghukum Denmark? Paling penting ialah jawapan daripada pemimpin negara itu, adakah ini pendirian segelintir atau seluruh rakyat Denmark. Yang kita hendak dengar ialah majoriti rakyat Denmark tidak bersetuju dengan perbuatan itu dan meminta maaf. Jika ia hanya segelintir, tidak wajar kita memulau barangan mereka. Itu yang saya gunakan pendekatan Islam. Jangan menghukum secara keseluruhan.

Tidak dapat dinafikan golongan media massa terlalu berkuasa di negara Barat dengan alasan kebebasan bersuara, tetapi apa yang kita lihat ialah sudah ada reaksi media massa Barat terhadap rakan mereka. Maknanya di kalangan media massa sudah ada perbahasan. Kita pertahankan konsep kebebasan media massa, tetapi perlu bertanggungjawab.

Prinsip kebebasan media massa tidak tercemar sedikit pun kalau kita buat keputusan tidak menyiarkan karikatur itu. Mereka menilai semula pendirian mereka terhadap Islam walaupun mereka masih mempertahankan kebebasan bersuara. Kebebasan bukan lagi konsep kebebasan mutlak.

Mengapa Islam menolak penyiaran karikatur Rasulullah? Ini menyentuh kedudukan dan peranan Nabi Muhammad dalam kehidupan setiap orang Islam. Dalam al-Quran ada dinyatakan bahawa Baginda adalah model yang perlu diikuti. Jadi kalau sudah dihina, bererti kita sudah tidak lagi menghargai dan membuka jalan kepada lebih banyak penghinaan, memperolok-olokkan dan mempersendakan seperti media Barat buat kepada Nabi Isa.

Kita tidak mahu itu berlaku dalam Islam kerana jika sudah dipermainkan, maknanya Nabi Muhammad bukan bukan manusia sempurna. Konsep kesempurnaan Nabi akan hilang oleh lukisan kartun itu. Ini penting demi menjaga kedudukan Nabi Muhammad dalam Islam.

Kita hendak menjaga kesucian Islam. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam yang menetap di Barat ialah mereka menggunakan kesempatan pada masa ini untuk menjelaskan mengapa kita tidak dapat terima karikatur menghina Nabi Muhammad.

Ada pelbagai kelompok di Barat. Ada kelompok yang berpendapat Islam tidak bertoleransi dan tidak boleh dikritik berhubung isu karikatur, tetapi bagi mereka yang sedikit-sebanyak mengenali Islam tahu bahawa pendapat itu tidak betul. Orang Islam sendiri dapat membezakan antara apa yang tidak boleh diubah dan dikritik, iaitu al-Quran.

Apa yang terdapat dalam al-Quran tidak boleh dipinda dan dikritik. Mereka yang tidak tahu langsung mengenai Islam tidak akan menghargai itu. Ada aspek Islam yang boleh dikritik seperti hukum yang tertakluk kepada zaman. Maksudnya, ada peraturan yang mengkaji semula undang-undang syariah yang digubal bertahun lamanya. Ia boleh berubah mengikut peredaran masa. Majoriti orang Barat masih belum memahami apa yang boleh dikritik dan tidak boleh dikritik dalam Islam.

Perjelas kekeliruan

AMERIKA Syarikat sendiri menggunakan media massa untuk menyatakan pendirian negara itu terhadap Islam. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi umat Islam sendiri. Misalnya, selepas peristiwa 11 September, Presiden Bush melawat masjid di Washington. Itu meninggalkan kesan cukup besar terhadap umat Islam. Majoriti pertubuhan Islam di Amerika Syarikat mengalu-alukan penjelasan yang dibuat Presiden Bush.

Berhubung isu karikatur, kita juga patut lakukan perkara yang sama. Misalnya di Kuala Lumpur, jika ada yang memanggil semua duta negara bukan Islam, khususnya Eropah untuk menerangkan pendirian kita, bukan saja media tempatan tetapi media antarabangsa dipanggil, ini meninggalkan kesan untuk memperjelaskan yang kami marah dan tidak setuju. Kalau boleh kita terangkan mengapa umat Islam tidak boleh menerima perbuatan itu.

Ada masanya, kalau tidak pun kerajaan tetapi golongan tertentu dalam media massa atau agama mereka tidak mahu hendak membezakan kelompok yang ekstrem dan masyarakat arus perdana. Mereka tidak bezakan, tetapi sebenarnya mereka perlu bezakan antara kelompok ini kerana pendirian mereka berbeza.

Kita tidak meminta menarik balik prinsip kebebasan bersuara, tetapi kalau dia menghormati kebebasan pelampau sekular ini untuk menyiarkan karikatur, mereka juga mempunyai kebebasan untuk tidak bersetuju dengan penyiaran itu.

Adalah penting untuk pemimpin negara itu untuk membuat kenyataan yang mereka tidak bersetuju sama sekali. Tetapi apa yang kita lihat, mereka langsung tidak bersuara kononnya menghormati kebebasan bersuara.

PROFIL
Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar

Asal: Kampung Bukit Lada, Temerloh, Pahang
Umur: 59

Pengalaman akademik:
Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik), Universiti London (1970), Ijazah Sarjana Matematik Universiti London (1971), Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Falsafah Islam, Universiti Temple, Amerika Syarikat (1987).

Pengalaman kerjaya:
Pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia (1973-1977), Pensyarah Fakulti Sains, Universiti Malaya (1978-2000), Penyandang Kursi Profesor Falsafah Sains Universiti Malaya (1992), Sarjana Pelawat Sejarah Sains Universiti Harvard Amerika Syarikat (1992) dan Penyandang Kursi Malaysia bagi bidang Islam Asia Tenggara di Universti Georgetown, Amerika Syarikat (2000).

Pengalaman Pentadbiran Universiti:
Timbalan Dekan Fakulti Sains, Universiti Malaya (1990) dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Malaya, 1995







©The New Straits Times Press (M) Berhad

Tiada ulasan:

My Headlines