7.7.06

Personaliti: Dr Azzam kongsi ilmu dengan ceramah

Oleh Hasliza Hassan

SIAPA Dr Azzam Tamimi, Pengarah Institute of Islamic Political Thought (IIPT) yang berpangkalan di London itu?

Beliau adalah antara ahli panel Seminar Nasional Hak Asasi Manusia dalam Islam anjuran bersama Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM), Kumpulan Karangkraf dan Allied Coordinating Committe of Islamic NGOs (ACCIN) yang diadakan baru-baru ini.

Tetapi, apabila melayari namanya di internet, rupa-rupanya Dr Azzam adalah ahli akademik yang pernah menimbulkan fenomena apabila dengan yakin dan tegas menyuarakan pendapat yang dilihat seakan membela tindakan ‘serangan bunuh diri.’

Apatah lagi, ketika diwawancara Tim Sebastian dalam rancangan HARDtalk di saluran penyiaran BBC pada November 2004, beliau dengan tidak teragak-agak memberitahu, dirinya bersedia melakukan serangan bunuh diri.

Hakikatnya, kesempatan menemui beliau pada seminar lalu tidak membicarakan mengenai kekalutan yang ditimbulkan sebelum ini, tetapi lebih kepada ingin mengenali peribadinya yang dilihat sentiasa tenang dan bersahaja.

Biar berat manapun kerisauan atau kebimbangan yang diutarakan peserta bertanyakan soalan, cara beliau menjawab menimbulkan tanda tanya, apakah beliau tidak serius atau memang keadaan tidak seperti disangkakan.

“Realitinya, apa dikatakan peserta mengenai nasib umat Islam, isu Palestin, hak asasi manusia atau kekejaman yang berlaku adalah benar. Memang keadaan sebenarnya tidak seperti yang kita mahukan.

“Bagaimanapun, dalam menangani kesulitan ini, kita tidak boleh jadi terdesak atau dipengaruhi emosi. Untuk maju ke depan dan mengembalikan kegemilangan umat Islam, kita perlu yakin dan berharap.

“Selain itu, kita kena ada ilmu dan kepakaran. Belajar daripada kesilapan kita dan kesilapan orang lain.

“Kerana itu apabila menjawab soalan, saya suka beri harapan dan beritahu mereka perkara positif terlebih dulu. Lepas itu baru beritahu yang negatif kerana saya nak galakkan mereka berfikir dan berusaha,” katanya.

Katanya, pembabitan beliau secara aktif sebagai penceramah serta ahli panel jemputan, adalah antara usaha beliau berkongsi ilmu dan pemikiran dalam pelbagai isu dengan umat Islam di seluruh dunia.

Dr Azzam berkata, sebagai umat Islam beliau memikul tanggungjawab dan bersandarkan kesedaran itu, misi hidupnya kini ialah mencari dan menyumbang kepada kebangkitan semula umat Islam.

Beliau berkata, apa juga kelebihan yang diberikan Allah seperti kebolehan berceramah dan menulis akan digunakan bagi mempertahankan hak umat Islam dan mengembangkan maklumat yang tepat mengenai Islam.

Anak kelahiran Hebron, Palestin itu, dibesarkan di Kuwait apabila mengikut keluarganya berpindah ketika berumur lapan tahun dan mendapat pendidikan asasnya di sana.

Pada 1974, beliau berpindah ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang fisiologi di University of Sunderland.

Selepas itu beliau berkerja di beberapa organisasi dan pada 1992, menubuhkan Pertubuhan Kebebasan Bagi Dunia Islam yang beroperasi hingga 1998.

Sebaik menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Teori Politik dari University of Westminster, London, beliau menubuhkan IIPT yang menawarkan kursus untuk mereka yang ingin mendalami bidang teori politik dan hak asasi manusia.

Selain aktif berceramah, bapa kepada tiga cahaya mata yang sudah menjadi datuk itu turut memilih bidang penulisan sebagai saluran dakwah dengan menghasilkan kertas kerja dan menerbitkan buku.

Antara buku dihasilkan, Democrat within Islamism, Islam and Secularism in the Middle East, Power-Sharing Islam dan dua dalam bahasa Arab, Musharakat al-Islamiyin Fis-Sultah serta Ash-Shar'iyah as-Siyasiyah fil-Islam.

Menyentuh mengenai Islam yang sering dilempar dengan imej negatif, Dr Azzam berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam sendiri untuk menggalakkan bangsa lain mengenali Islam.

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang ialah masyarakat Islam sendiri tidak faham mengenai Islam disebabkan sikap jahil mereka, jadi bagaimana hendak meyakinkan orang lain menerima Islam.

“Orang Islam sendiri tidak tahu mengenai Islam bagaimana hendak harapkan orang lain memahami dan menerima Islam. Apabila mereka jahil mengenai agama sendiri, mereka tidak yakin untuk berdepan dengan bukan Islam.

“Cara terbaik membangkitkan semula Islam ialah dengan menunjukkan keistimewaan Islam melalui contoh ditunjukkan, bagaimana kita membawa diri sebagai orang Islam.

“Mereka yang tahu Islam akan jatuh cinta dengan Islam. Di Barat, ramai sudah mula menerima Islam,” katanya.

Dr Azzam berkata, beliau berbangga dengan sokongan diberikan rakyat negara ini dalam perkara yang berkait rapat dengan Islam terutama perasan dikongsi bersama seperti isu Palestin.

Beliau yang datang ke Malaysia sejak awal 1990-an berasakan Malaysia ibarat rumah sendiri kerana selain mempunyai ramai kawan, beliau senang dengan sikap masyarakatnya yang mudah mesra.

Sebagai tetamu yang sering dijemput ke negara ini, Dr Azzam berkata, beliau mahu dikenali rakyat Malaysia sebagai ‘seorang pengembara yang dalam perjalanan mencari ilmu dan berkongsi pengetahuan yang diperoleh’.

“Saya mencari ilmu untuk belajar dan berkongsi apa yang saya pelajari. Saya bersyukur kerana berjaya menarik perhatian umum dengan idea serta pandangan saya. Inilah sumbangan saya untuk Islam,” katanya.

PROFIL
Nama: Dr Azzam Tamimi
Tarikh Lahir: 15 Mac 1955
Tempat Lahir: Hebron, Palestin

Pendidikan: Ijazah sarjana muda, bidang fisiologi di University of Sunderland. Ijazah doktor falsafah (PhD), bidang Teori Politik di University of Westminster, London

Buku Dihasilkan: Democrat within Islamism, Islam and Secularism in the Middle East, Power-Sharing Islam dan dua dalam bahasa Arab, Musharakat al-Islamiyin Fis-Sultah serta Ash-Shar'iyah as-Siyasiyah fil-Islam [BH]

Tiada ulasan:

My Headlines