Bersama Abu Hassan Wahab
HAJI pada syarak adalah mengunjungi Baitullah Al-Haram dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat serta menunaikan segala wajibnya.
Umrah pula mengikut syarak adalah menziarahi Baitullah Al-Haram kerana mengerjakan tawaf, sai dengan menurut syarat serta menunaikan segala wajibnya.
Cara mengerjakan haji dan umrah
Daripada Zaid bin Thabit, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardu yang hanya sekali (bagi seseorang Muslim yang cukup syaratnya) boleh dikerjakan yang mana satu dulu (sama ada haji atau umrah).” (Hadis riwayat Addailami)
Pada zahirnya ia membawa beberapa maksud:
i. Sekiranya seseorang itu menunaikan umrah dulu adalah diharuskan, kemudian apabila berkelapangan, menunaikan pula fardu haji.
ii. Menunaikan ibadat haji dalam bulan haji, tetapi ibadat umrah dilaksanakan bukan pada tahun sama. Cara ini dinamakan haji Ifrad mengikut kaedah definisi yang ketiga kerana definisi haji Ifrad ada tiga cara pelaksanaannya.
iii. Yang lebih tepat dan menjurus kepada kehendak hadis itu ialah:
Allah memberi pilihan
i. Sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadat haji dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan umrah pada tahun yang sama maka dinamakan haji Ifrad.
ii. Sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadat umrah dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan ibadat haji pada tahun yang sama dinamakan haji Tamattuk.
Apa yang dapat kita faham melalui hadis ini ialah Allah memberi kelonggaran dan sesuai dengan kehendak Allah yang tidak ada paksaan untuk melaksanakannya, sama ada seseorang itu hendak mengerjakan haji atau umrah dulu, terpulang kepada keselesaan masing-masing.
Sebetulnya, ramai di antara kita sering terperangkap dengan zahir hadis tanpa dapat menyelami apa yang tersirat, yang Allah dan rasul-Nya mahukan untuk difahami, diamalkan dan sebarkan kepada khalayak.
Syarat wajib haji
Sebahagian kita menghantar ibu bapa masing-masing ke Tanah Suci bagi mengerjakan fardu haji dengan menanggung semua kos perbelanjaan haji mereka, sedangkan yang wajib pergi ketika itu ialah kita sendiri, bukan ibu bapa. Syarat wajib haji ditaklifkan oleh Allah ketika itu kepada kita.
Kita faham, apa yang kita lakukan itu salah satu cara sebagai menghargai jasa baik mereka tetapi perlu diingat mereka tidak ditaklifkan.
Berbeza dengan sumbangan daripada anak atas kadar tertentu. Contohnya, anak menyumbang RM2,000 seorang bagi membolehkan ibu bapa mereka menunaikan fardu haji. Pada syarak dengan RM2,000 mereka belum memenuhi syarat wajib haji. Maka, pengagihan itu di kalangan ahli keluarga bagi membolehkan ibu bapa mereka menunaikan fardu haji diharuskan.
Ramai di antara anak memikirkan ibu bapa mereka sudah berusia, eloklah dihantar ke Tanah Suci untuk menunaikan fardu haji. Dikhuatiri ibu bapa mereka meninggal dunia sebelum menunaikan haji hinggakan mereka berasa bersalah.
Dalam keadaan tertentu, Allah memerintahkan boleh dibuat "haji Badal" untuk ibu bapa atau sesiapa saja yang meninggal dunia dengan ganjaran yang besar terhadap kedua-duanya iaitu orang yang mengerjakan Badal haji dan orang yang meninggal dunia yang dibuat Badal haji untuknya.
Bagaimanapun, syarak menetapkan hukum bagi tujuan itu, sekiranya seseorang itu meninggal dunia dan dia berkemampuan ketika hidupnya untuk menunaikan fardu haji, hukumnya wajib dibuat Badal haji untuknya kerana dia dikira masih berhutang dengan Allah.
Sekiranya dia meninggal dunia, sedangkan dia tidak berkemampuan ketika hidupnya, hukumnya adalah harus sama ada dibuat Badal haji untuknya atau tidak.
Jenis haji mengikut niat
Seperkara lagi yang menjadi masalah kepada sebahagian jemaah haji kita, apabila mereka terpilih masuk ke Makkah dulu sebelum wukuf, mereka sarankan supaya mengerjakan haji Ifrad hingga kadang-kadang membebankan diri mereka. Pada hemat saya, kenapa mereka membiarkan orang lain membuat keputusan bagi pihaknya. Keputusan untuk melaksanakan haji jenis apa pun adalah di tangan kita. Orang lain hanya boleh membantu untuk kita membuat keputusan.
Dari segi syarak, sebetulnya Allah tidak memaksa, bahkan memberi pilihan kepada kita berdasarkan kesesuaian masa, kesihatan dan dalam banyak perkara, bergantung kepada keupayaan kita.
Apa yang menjadi masalah ialah kadang-kadang kita sukar untuk melepaskan sesuatu yang afdal untuk semua orang dengan mengambil sesuatu yang diharuskan, sedangkan yang diharuskan oleh Allah kepada semua orang, itulah yang afdal bagi diri kita (bagi kes tertentu).
Maka itu, cuba elakkan daripada melakukan sesuatu yang afdal (untuk semua orang), tetapi apabila kita lakukan juga, sehinggakan akhirnya terpaksa melakukan Tahallul – Ihsar.
Contohnya, seorang wanita yang dijangka didatangi haid dalam tempoh sehari dua lagi telah melakukan yang afdal untuknya, dengan melontar Jamrah Kubra dan bergunting bagi menghasilkan Tahallul-Awwal.
Dia kemudian datang haid selama dua minggu, apa lagi waktu pulang ke Malaysia sudah dekat.
Kebetulan penerbangan tidak ada kekosongan tempat, sedangkan tawaf dan sai haji belum lagi dilakukan. Maka, mahu tidak mahu, beliau terpaksa pulang juga ke Malaysia.
Beliau dikenakan Tahallul-Ihsar dan kena datang lagi pada bila-bila masa untuk menyelesaikan rukun haji yang belum selesai. Ini bermakna masa dan perbelanjaan tambahan juga terseret sama.
Yang cantiknya kalau beliau memberi keutamaan seperti yang dianjurkan oleh syarak iaitu melaksanakan tawaf dan sai haji dulu dan bergunting. (Harus untuk semua orang, tetapi bagi kes seperti ini afdal untuknya).
Tiba-tiba haid datang selepas itu, beliau boleh pulang ke Malaysia mengikut jadual sekiranya ditakdirkan meninggal dunia, beliau sudah mendapat haji.
Sebab itulah Allah sentiasa perintah kita, lakukanlah sesuatu perkara mengikut kemampuan masing-masing. Jangan lakukan ibadat semata-mata ikutan.
Islam itu syumul, tetapi cara atau pendekatan yang diambil kadang-kadang memperlihatkan bagaikan kita tidak berilmu dan tidak bijak mempraktikkan ilmu yang ada walaupun bijak dan berilmu. Wallahualam.
INTI PATI
Ibadat haji dan umrah
Sekiranya seseorang itu menunaikan umrah dulu adalah diharuskan, kemudian apabila berkelapangan, menunaikan pula fardu haji.
Menunaikan ibadat haji dalam bulan haji, tetapi ibadat umrah dilaksanakan bukan pada tahun sama. Cara ini dinamakan haji Ifrad mengikut kaedah definisi yang ketiga kerana definisi haji Ifrad ada tiga cara pelaksanaannya.
Allah memberi pilihan; Sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadat haji dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan umrah pada tahun yang sama maka dinamakan haji Ifrad. Jika seseorang itu mengerjakan ibadat umrah dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan ibadat haji pada tahun yang sama dinamakan haji Tamattuk.
Perbelanjaan haji adalah tanggungan sendiri. Anak dan cucu sekadar membantu mengikut keihlasan mereka. [BH]
Penulis ialah Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji
Tiada ulasan:
Catat Ulasan