Oleh DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
SYED Qutb dalam Fi Zilal al-Quran berkata: ``Ayat yang berikut menjelaskan betapa perlu adanya satu langkah pembersihan yang serius kerana tabiat yang merosakkan ini tidak dapat diperbetulkan, melainkan dengan tebusan dosa yang berat dan hukuman yang keras, sama ada dari segi cara perlaksanaan atau dari segi hakikat.
Allah s.w.t. meneruskan lagi berhubung kurniaan nikmat terhadap Bani Israel sebagaimana firman-Nya dalam ayat berikut:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI TURUNKAN KEPADA NABI MUSA KITAB (TAURAT) DAN KETERANGAN-KETERANGAN (YANG TERKANDUNG DI DALAMNYA, YANG MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH), SUPAYA KAMU MENDAPAT PETUNJUK.
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA KAUMNYA: ``WAHAI KAUMKU! SESUNGGUHNYA KAMU TELAH MENGANIAYA DIRI KAMU SENDIRI DENGAN SEBAB KAMU MENYEMBAH PATUNG ANAK LEMBU ITU, MAKA BERTAUBATLAH KAMU KEPADA ALLAH YANG MENJADIKAN KAMU; IAITU BUNUHLAH DIRI KAMU. YANG DEMIKIAN ITU LEBIH BAIK BAGI KAMU DI SISI ALLAH YANG MENJADIKAN KAMU, SUPAYA ALLAH MENERIMA TAUBAT KAMU ITU. SESUNGGUHNYA DIA LAH YANG MAHA PENGAMPUN (PENERIMA TAUBAT), LAGI MAHA MENGASIHANI. (Surah al-Baqarah ayat 53-54)
Firman Allah: `Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah)', iaitu ingatlah nikmat-Ku, juga ketika Aku kurniakan kepada Musa, Kitab Taurat yang menjadi pemisah antara kebenaran dengan kebatilan, dan Aku perkuatkannya dengan mukjizat. `Ataf di sini pada firman Allah Taala, (al-Kitab dan al-Furqan) dikenali sebagai `ataf sifat, sebahagiannya atas sebahagiannya. Ini kerana, kitab ialah Taurat dan Furqan, ia merupakan Taurat juga dan baiknya `ataf di sini kerana maknanya bahawa Allah mengurniakan kepada Musa yang menghimpunkan antara Kitab yang di turunkan dan Furqan ( pembeza ) yang membezakan antara kebatilan dengan kebenaran. Inilah pendapat al-Zajjaj dan al-Zamakhsyari.
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti melalui kitabnya, Adhwa' al-Bayan berkata: ``Zahir pada maknanya ialah bahawa Furqan itu ialah kitab yang dikurniakan kepada Musa dan sesungguhnya di`atafkan atas dirinya sebagai penurunan untuk berlainan sifat, mengambil tempat berlainan zat kerana kitab itu ialah Taurat, disifatkan dengan dua perkara:
1. Bahawa ia termaktub, Allah menulisnya bagi nabi-Nya, Musa a.s.
2. Bahawa ia pembeza antara kebenaran dengan kebatilan. Justeru, `ataf Furqan ke atas kitab bahawa ia bermaskud yang sama kerana melihat berlainan dua sifat. Ini kerana orang Arab biasa meng`atafkan sesuatu atas dirinya sendiri, sedangkan berlainan lafaz semata-mata.''
Di dalam Zad al-Masir, karangan Ibn al-Jauzi, beliau mengemukakan lima pendapat pada maksud al-Furqan:
1. Bahawa ia bermaksud kemenangan. Inilah pendapat Ibn `Abbas dan Ibn Zaid.
2. Bahawa apa yang ada pada Taurat mengenai perbezaan antara kebenaran dengan kebatilan. Maka ia dianggap Furqan yang menjadi sifat bagi Taurat. Inilah pendapat Ibn `Aliyah.
3. Bahawa ia adalah al-Kitab dan diulangkannya dengan lafaz yang berbeza. Inilah pandapat Mujahid dan dipilih oleh al-Farra' dan al-Zajjaj.
4. Bahawa ia membelah laut untuk mereka. Inilah pendapat al-Farra', al-Zajjaj dan Ibn al-Qasim.
5. Bahawa ia adalah al-Quran. Justeru, makna kalam ini, sesungguhnya Kami datangkan kepada Musa al-Kitab dan Muhammad dengan al-Furqan. Inilah yang disebut al-Farra' dan ia merupakan pendapat Qutrub.
`Supaya kamu mendapat petunjuk'. Iaitu supaya kamu mendapat petunjuk dengan mentadabbur padanya dan beramal dengannya segala hukum-hakam. Kemudian Allah menerangkan cara bagaimana keampunan berlaku berdasarkan kepada ayat berikut, `Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: `` Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri'. Iaitu ingatlah bagaimana Musa berkata kepada kaumnya selepas pulang daripada berjanji dengan Tuhannya, kemudian dia melihat mereka telah menyembah anak lembu seraya berkata: `Hai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menzalimi diri kamu'.
Ini kerana, dengan menyembah patung anak lembu itu, iaitu dengan cara kamu menyembah kepada lembu sebagai tuhan kamu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu, iaitu bertaubat kepada Pencipta kamu yang selamat daripada sebarang aib dan kekurangan.
Kejahilan
Abu as-Su`ud berkata: ``Dengan menyebut Tuhan yang menciptakan untuk menggambarkan perasaan bahawa mereka telah sampai ke tahap kejahilan yang memuncak dan kesesatan yang paling hujung. Kerana itulah mereka meninggalkan ibadat kepada Allah yang bersifat Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, yang menciptakan mereka dengan penuh kasih sayang. Beribadat dengan lembu diumpamakannya betapa dungunya mereka. Para `arifin bersepakat mengatakan bahawa taubat adalah permulaan `maqam'. Mereka juga bersependapat bahawa taubat juga adalah asas di dalam perjalanan kesufian. Tiada sebarang amal dalam dunia tanpa melalui proses taubat terlebih dahulu.
Taubat mempunyai tiga syarat:
1. Menyesali segala dosa yang telah dilakukan.
2. Meninggalkan terus segala dosa-dosa yang lain.
3. Berazam bersunguh-sungguh tidak akan kembali melakukan dosa-dosa yang telah lalu. Bagi mereka yang bertaubat, zauq yang mereka kecapi adalah berbeza-beza.
Abu Ali al-Daqqaq berkata: ``Taubat terbahagi kepada tiga jenis:
1. Taubat.
2. `Inabah.
3. `Aubah.
Imam al-Qusyairi pula menyebut dalam kitabnya, Risalah al-Qusyairiyyah: ``Seseorang yang bertaubat kerana takut kepada balasan Allah dinamakan taubat. Orang yang bertaubat kerana mengharapkan pahala daripada Allah dinamakan `inabah. Bertaubat kerana menyahut perintah Allah bukan kerana mengharap pahala atau takut pada seksa Allah, dinamakan `Aubah''.
Ada pendapat yang mengatakan, taubat adalah sifat orang yang beriman berdalilkan firman Allah dalam Surah an-Nur Ayat 31 yang bermaksud, Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. `Inabah adalah sifat auliya' al-muqarrabin. Firman Allah dalam Surah Qaf Ayat 33 yang bermaksud, Iaitu orang yang takut (melanggar perintah Tuhan ) yang amat pemurah dalam keadaan ia tidak dilihat orang dan dalam keadaan ia tidak melihat azab Tuhan, serta ia datang ( kepada Tuhannya ) dengan hati yang tunduk taat.
`Aubah adalah sifat para nabi dan rasul. Firman Allah dalam Surah Sad ayat 44 yang bermaksud, Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar, ia adalah sebaik-baik hamba, sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada kami dengan ibadatnya).
Dzu an-Nun al-Misri berkata: ``Taubat orang awam ialah bertaubat daripada segala dosa. Taubat para Khawwas pula ialah bertaubat daripada segala kelalaian.'' Ibn Ata`illah as-Sakandari berkata: ``Taubat itu terbahagi dua:
1. Taubat al-`Inabah, iaitu seseorang hamba itu bertaubat kerana takut kepada balasan azab daripada Allah.
2. Taubat al-Istihyaiyyah, iaitu seseorang itu bertaubat kerana malu kepada kemuliaan Allah Taala.''
Membunuh
`Bunuhlah diri kamu'. Iaitu orang yang tidak menyembah berhala di kalanganmu hendaklah membunuh orang yang menderhaka dengan cara menyembah berhala. Ulama telah khilaf, kepada siapakah arahan ini dengan tiga pendapat:
1. Ditujukan kepada semua seperti kenyataan as-Suddi daripada guru-gurunya.
2. Ucapan ini kepada sesiapa yang tidak menyembah anak lembu untuk membunuh sesiapa yang menyembahnya. Inilah pendapat Muqatil.
3. Ucapan ini ditujukan kepada penyembah sahaja, dengan cara mereka diperintahkan supaya membunuh antara satu sama lain. Inilah pandapat Abu Sulaiman ad-Dimasyqi.
Syed Qutb berkata: ``Bunuhlah diri kamu'' yakni hendaklah yang taat membunuh yang derhaka untuk membersihkan diri masing-masing. Demikianlah menurut riwayat-riwayat mengenai tebusan dosa yang amat berat itu. Memanglah satu tugas yang amat sukar dan berat apabila seseorang itu diperintah membunuh saudaranya, kerana ini bererti seolah-olah membunuh diri sendiri dengan kerelaannya, di samping merupakan hukuman tebusan dosa, ia juga merupakan suatu pendidikan untuk membetulkan tabiat mereka yang begitu rendah dan kosong, iaitu tabiat yang tidak dapat melarang dan menahan satu sama lain daripada kejahatan dan kemungkaran. Andainya mereka dapat menahan satu sama lain daripada kemungkaran semasa pemergian Musa, tentulah mereka tidak menyembah patung anak lembu. Dan oleh kerana mereka tidak dapat menahan satu sama lain dengan perkataan, maka hendaklah mereka menahan satu sama lain dengan mata pedang, dan hendaklah mereka membayar balasan yang berat itu yang akan memberi manfaat dan didikan kepada mereka.
Ibn Abbas sebagaimana yang dinaqalkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya, al-Nukat wa al-`Uyun berkata: ``Telah duduk mereka yang menyembah anak lembu, dan mereka yang tidak menyembah berdiri dengan mengambil pisau sabit. Dan ketika itu berlaku kegelapan sehingga menjadikan sebahagian mereka membunuh sebahagian yang lain, sehingga apabila hilangnya kegelapan, didapati 70,000 orang telah dibunuh pada satu ketika pada hari tersebut. Dan mereka menyeru pada ketika itu: ``Semoga Allah merahmati hamba yang bersabar sehingga Allah sampaikan keredhaan-Nya''. Musa dan Bani Israel merasa sedih atas pembunuhan tersebut, lantas Allah Azza Wajalla mewahyukan kepada Musa seraya berkata: ``Jangan bersedih. Adapun siapa yang dibunuh di kalangan kamu, maka sebenarnya mereka hidup di sisiku dan diberi rezeki. Dan adapun yang masih hidup pasti diterima taubatnya.'' Justeru, bergembiralah Bani Israel dengan berita tersebut.
Yang demikian itu, iaitu dengan cara membunuh sudah tentu, lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, iaitu Allah meredhaimu dengan hukuman Allah, dan kamu turun serta patuh arahannya adalah lebih baik bagimu di sisi Tuhan yang bersifat sebagai Pencipta yang Maha Besar, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Iaitu Allah menerima taubat kamu. `Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani'. Iaitu Allah bersifat amat besar keampunan dan amat luas taubah-Nya.
* DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan