Oleh Sharifah Salwa Sayed Hassan
KUALA TERENGGANU: Ketua kumpulan ajaran sesat, Ariffin Mohamad, 65, yang masih lesap dikatakan seorang lelaki kasanova yang cukup mementingkan diri sendiri dan licik memperdayakan pengikutnya dengan 22 ajaran gila yang tidak masuk akal.
Apa yang menghairankan, ajarannya sanggup diikuti pengikut fanatik dengan ajarannya didakwa lebih mudah daripada Islam.
Malah, Ariffin atau Ayah Pin dikatakan sudah berjaya menanam ajaran gila ciptaannya dalam hati pengikut sehingga ada antara mereka yang `berpatah arang' dan melihat masyarakat Islam di sekeliling mereka sesat.
Ayah Pin dikatakan mencipta ajaran baru itu selepas 25 ajaran gila yang dijaja kepada pengikutnya dari 1980-an hingga 1997 dibongkar dan difatwakan pihak berkuasa sebagai sesat.
Harian Metro 24 Ogos lalu melaporkan mengenai ajaran baru itu yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari negeri, Wan Mohamad Wan Hassan, pada sidang Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata, 22 ajaran itu dibongkarkan selepas siasatan dijalankan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) terhadap pengikut dan penduduk sekitar ‘Kerajaan Langit’.
Menurut ajaran itu juga, Ariffin dipercayai cuba memperhebatkan ajarannya dengan pelbagai dakwaan yang mengajak pengikutnya berfantasi dengan sesuatu tidak ada dalam Islam.
Sebagai contoh, pengikut yang tinggal di markasnya kononnya wali dan ghaib, manakala pengikut yang setia dihadiahkan seorang puteri.
Bagaimanapun, ajaran dan kepercayaannya terbukti karut dan dicipta semata-mata mengikut selera dan kepentingannya selepas ‘Kerajaan Langit’ diranapkan pihak berkuasa tanpa sebarang halangan pada 31 Julai lalu.
Malah, dia dan isteri pertamanya masih menghilangkan diri serta langsung tidak menampakkan batang hidung apabila pengikutnya terkapai-kapai dalam kegelapan sebelum tiga isterinya turut ditahan.
Sebelum ini, bilik tidak berbumbung di markasnya dikatakan digunakan setiap malam bulan mengambang bagi menyinari tubuh pangikutnya ketika upacara pengampunan atau bertaubat.
Dalam upacara itu, pengikut lelaki akan berbaiah (berikrar) dengan ‘tuhan’ (Ariffin sendiri), iaitu berjabat tangan dengannya.
Malah, pengikut wanita perlu menanggalkan pakaian yang dikatakannya tidak suci dan untuk mendapat lebih berkat, perlu bersetubuh dengannya.
Kubah di markasnya pula adalah tempat mengurung roh orang jahat yang mati, manakala kawasan sekitar markasnya untuk orang baik yang mati.
Wan Mohamad berkata, pengikut ketua ajaran sesat itu pula terbukti bukan wali atau orang ghaib, selepas mereka ditahan dan dibawa ke muka pengadilan dalam beberapa siri operasi JHEAT.
Malah, tiga daripada isteri Ayah Pin yang didakwa bukan manusia biasa sebaliknya Puteri Saadung, Gunung Ledang, Nanu dan Matahari, sudah ditahan dan menerima nasib sama seperti pengikut lain.
Seorang daripada mereka iaitu Nik Kamariah Nik Pa, 30-an juga pengsan seperti manusia biasa apabila mengalami tekanan ketika dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Besut, baru-baru ini.
Telaga air ‘zam-zam’ pula kononnya digalinya selepas mendapat wahyu dari langit, dan air itu boleh menyembuhkan penyakit selepas dijampi dan dibaca tujuh kali nama Ayah Pin.
Penggunaan bacaan sebanyak tujuh kali adalah ciplak Ariffin terhadap cara perubatan Islam apabila ayat suci al-Quran atau nama Nabi Muhamad disebut tujuh atau tiga kali sebelum memakan ubat atau meminum air.
Dia seolah-olah mahu menyamakan ajarannya dengan Islam bagi memudahkannya menarik pengikut Melayu yang beragama Islam, malah hanya mengubahnya dengan menggantikan ayat al-Quran atau nama nabi dengan dirinya sendiri.
Ariffin kini menjadi antara lelaki paling dikehendaki di negara ini, malah, pihak berkuasa merancang meletakkan nilai bagi sesiapa yang memberi maklumat mengenainya.
22 Ajaran Gila
-Kerajaan Langit milik Ariffin Mohamad (AM)
-AM boleh sembuhkan penyakit pengikutnya dengan meminum air telaga ‘zam-zam’ miliknya yang dijampi serta menyebut namanya tujuh kali.
-Binatang buas boleh tunduk kepada pengikut yang menyebut nama AM tujuh kali.
-Telaga ‘zam-zam’ digali selepas mendapat wahyu dari langit.
-AM ada keajaiban boleh sumpah seseorang menjadi batu.
-AM boleh melihat menembusi bukit-bukau.
-AM dapat tahu perkara yang orang lain tak tahu.
-AM boleh menjadikan orang tua menjadi muda.
-Wang yang diberi AM tidak habis walaupun dibelanjakan.
-AM boleh membawa pengikut yang rapat bertemu nenek moyang mereka setahun sekali.
-Penghuni markas Batu 13 adalah orang wali dan ghaib.
-Roh orang mati yang jahat akan dikurung di kubah di markas AM, manakala yang baik di sekitar markas.
-Pengikut AM yang rapat akan dihadiahkan seorang puteri.
-Isteri AM bukan manusia biasa tetapi Puteri Gunung Ledang, Puteri Saadung, Puteri Nanu dan Matahari.
-Pengikut perempuan yang cantik sekali akan diberitahu bahawa ‘tuhan’ (AM sendiri) mahu berjumpa dengannya seorang. Ia bertujuan untuk...
-Ada upacara pengampunan atau majlis terima taubat ahli dalam bilik yang tidak berbumbung supaya terkena cahaya bulan purnama dan bulan purnama ialah bulan paling sesuai untuk bertaubat. Ketika ini, pengikut lelaki akan berbaiah dengan ‘tuhan’ iaitu berjabat tangan dengannya. Pengikut perempuan mesti tanggalkan pakaian yang dirasakan AM tidak suci. Dan untuk mendapat lebih berkat, perlu bersetubuh dengan “tuhan’ (AM sendiri).
-Rasulullah tidak solat tetapi berzikir. Riwayat bahawa baginda bengkak di kaki kerana solat tidak benar, tetapi ia adalah kerana zikir.
-Anggap ajaran Islam susah seperti perlu berpuasa dan solat, sedangkan ajaran AM tidak perlu melakukan semua itu.
-AM mendakwa dirinya adalah manusia paling lama hidup dan adalah bapa segala manusia.
-Rukun Islam dan hukum syarak tidak ada kena-mengena dengan ‘Tuhan’ dan pergi ke Makkah untuk menunaikan haji adalah sia-sia.
-Semua perkara boleh dimakan termasuk yang diharamkan Islam.
-Ada proses nikah secara batin. Jika ada pengikut yang mempunyai anak perempuan yang cantik, AM akan memberitahu pengikutnya itu bahawa dia (AM) bersama anaknya dalam mimpi. Oleh itu, pengikut itu dikehendaki menyerahkan anaknya kepada AM. Malah, jika AM memberitahu pengikutnya bahawa dia bermimpi anak pengikutnya bersama seorang lelaki (pengikutnya), si bapa itu juga perlu menyerahkan anaknya kepada lelaki ‘bertuah’ itu.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan