21.9.05

Pelajar Darul Quran - Dibiayai kerajaan sepenuhnya

Bicara Agama
Pelajar Darul Quran - Dibiayai kerajaan sepenuhnya


Oleh ZUNAIDAH ZAINON

MOHAMAD MURNI AWANG MAT.


SESUNGGUHNYA Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan ar-Roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (Al-Qadr:1-5)

Pada malam Lailatul qadar, iaitu malam yang nilainya lebih dari seribu bulan, al-Quran diturunkan. Para malaikat dan Jibril turun ke dunia untuk mengatur segala urusan. Allah s.w.t. memerintahkan Rasulullah s.a.w. membaca al-Quran, Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. (Al-'Alaq:1)

Segala rahsia dan keistimewaan terkandung di dalam al-Quran yang merupakan petunjuk dan panduan kepada umat manusia. Justeru, mempelajari dan mendalaminya adalah satu tuntutan dalam Islam.

Menyedari betapa pentingnya usaha melahirkan para ilmuan dan cendekiawan Islam dengan kemampuan menghafaz al-Quran, di samping menguasai cabang ilmu yang lain, sebuah institusi khusus untuk mendidik hafiz dan hafizah ditubuhkan pada 1 Mac 1966.

Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang pada awalnya dikenali sebagai Institut Pengajian Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat, memulakan kelas pertamanya di Dewan Syarahan Masjid Negara dengan bilangan pelajar seramai lapan orang.

Pada masa itu, ia diterajui oleh pengetuanya yang pertama, Sheikh Mohd. Noor Ibrahim. Antara penuntut terawalnya ialah Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz yang pernah menjadi pengetua sekitar 1970.

Jika dilihat, kronologi penubuhannya tercetus ketika Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merasmikan Masjid Negara pada 1966.

Malah, saranan itu juga datangnya daripada Syeikhul Azhar, Sheikh Mahmud Syaltut ekoran pertandingan Musabaqah al-Quran yang diadakan sejak 1960.

Selama empat tahun menimba ilmu, kumpulan pertama Institut Pengajian al-Quran ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Maahad Qiraat al-Azhar Syubra bagi mengikuti kelas Marhalah Tajwid.

Rayuan

Bagaimanapun, mereka mengemukakan rayuan untuk mengikuti kelas Marhalah Takhassus. Sebaliknya pada tahun 1974, graduan seterusnya ditawarkan ke Marhalah Aliyah.

Institut Pengajian al-Quran menukar namanya kepada Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat pada 1972. Selama 12 tahun berada di bawah kelolaan Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urus setia Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam di Malaysia, akhirnya ia diletakkan di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1979 bagi tempoh setahun.

Sekian lama berada di Dewan Syarahan Masjid Negara, Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat dipindahkan ke bangunan Jabatan Kerja Raya 588/33, Jalan Chenderasari dengan seliaan Institut Dakwah dan Latihan Islam (Indah) sehingga 1983.

Pada awal 1984, ia dipindahkan pula ke bangunan Jabatan Kerja Raya 500/34 di lokasi yang sama dan lahir sebagai sebuah cawangan di bahagian agama dengan organisasinya sendiri.

Pada tahun itu juga, sekali lagi nama Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat ditukar kepada Institut Pengajian Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat dan berpindah ke bangunan Pusat Islam pada 28 Januari 1985.

``Setelah mengalami pelbagai perubahan sepanjang 24 tahun, institut ini mula menerima 11 pelajar perempuan bagi kelas pengajian Tahfiz dan Qiraat. Mereka ditempatkan di Asrama Tunku Kursyiah, Jalan Pantai sebelum berpindah ke Taman Tun Dr. Ismail.

`'Tidak berapa lama kemudian, mereka berpindah lagi ke Jalan Gurney dan Wisma Zubaidah, Kampung Baru,'' jelas Pengarah Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mohamad Murni Awang Mat.

Menurut beliau, Institut Pengajian Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat dinaik taraf menjadi salah satu bahagian di Jakim dan menukar namanya kepada Darul Quran pada 1997.

Sejurus selepas itu, pada 19 November 1998, mereka memulakan pengajian di kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.

``Pertukaran nama kepada Darul Quran turut mengubah sistem pengajian daripada sistem penggal kepada semester yang bersesuaian dengan sistem yang diamalkan di universiti pada masa itu,'' ujar beliau yang baru memulakan tugas pada Mei lalu.

Di antara kemudahan yang disediakan di kompleks seluas 90 hektar itu ialah bangunan pentadbiran, bilik kuliah, auditorium, perpustakaan, masjid, kuarters pensyarah dan asrama pelajar.

Malah, tambah mendamaikan, wujudnya tasik semula jadi di persekitaran masjid dan perpustakaan. Tidak ketinggalan pemandangan hijau dan berbukit-bukau yang boleh dilihat di sekeliling kawasan itu.

``Umpama lembah hijau yang cukup tenang, suasana di sini banyak membantu merangsang minat para pelajar. Tambahan pula, ia jauh daripada kebisingan bandar.

`'Bukan senang untuk menghafaz al-Quran. Malah jadual kuliahnya cukup padat di samping beberapa aktiviti kokurikulum yang perlu mereka ikuti,'' ujar Mohamad Murni mengenai lokasi baru Darul Quran.

Tambahnya, bermula 6 Januari 2000, Darul Quran Jakim dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menawarkan program Sijil Tahfiz Al-Quran khusus kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia aliran sains tulen.

Mereka akan mengikuti pengajian selama 18 bulan sebelum menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi UIAM dalam bidang perubatan, kejuruteraan, farmasi dan senibina.

Memorandum persefahaman antara Jakim dan UIAM disempurnakan pada 8 Mac lalu.

``Jika boleh pada masa hadapan, kami berharap dapat melahirkan para doktor, jurutera, arkitek, ahli farmasi dan saintis yang berkebolehan menghafaz al-Quran.

`'Ini akan menjadikan ilmu sains yang mereka pelajari lebih berharga dan bernilai serta dapat dikongsi bersama dengan masyarakat,'' jelasnya mengenai objektif utama program tersebut.

Pengajian sesi Mei 2001, Darul Quran turut memperkenalkan program baru, iaitu Diploma Tahfiz al-Quran Wa Dakwah. Manakala program Diploma Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat disusun semula daripada 153 jam kepada 95 jam kredit.

Pada masa ini, Darul Quran mempunyai jumlah penuntut diploma seramai 473 orang, manakala program sijil, 98 orang.

``Kelayakan Syahadah Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam pada 16 April 1983, yang setaraf dengan Diploma Universiti Teknologi Mara.

`'Dengan itu, lepasan institut ini boleh memohon ke jawatan yang bersesuaian dalam perkhidmatan kerajaan,'' ujar beliau.

Bagi mendidik dan melahirkan tenaga muda dalam hafazan al-Quran, Jakim mengambil inisiatif dengan menghantar rombongan ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk mendapatkan pengiktirafan diploma Darul Quran pada 1995 agar para pelajar boleh meneruskan pengajian di fakulti yang bersesuaian.

Hasilnya, Diploma Darul Quran diiktiraf setaraf dengan peringkat Aliyah (Tinggi) di Maahad Qiraat al-Azhar al-Syariff dan boleh menyambung pengajian di peringkat Takhassus.

Malah, lepasan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat juga boleh mengikuti pengajian di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Islam Antarabangsa; Kolej Universiti Islam Malaysia dan Universiti Islam Negeri Sultan Syariff Kasim Riau, Indonesia.

``Para pelajar di sini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan termasuklah yuran pengajian, peperiksaan dan penggunaan kemudahan kecuali makan minum, pakaian rasmi dan buku kuliah. Selain itu, mereka juga diberi biasiswa RM250 setiap bulan,'' jelas beliau mengenai pembiayaan kewangan penuntut Darul Quran.

Sebagai sebuah institusi pengajian agama tertua di Malaysia yang menawarkan program diploma, Darul Quran banyak memberikan sumbangan kepada agama, negara dan bangsa, terutama dari segi pembangunan keinsanan.

Usianya yang mencecah 40 tahun membuktikan keunggulannya menerajui pengajian hafazan al-Quran kepada generasi muda negara, di samping berusaha memartabatkan pengajian agama Islam di mata dunia.

Tiada ulasan:

My Headlines