29.7.05

Tiada dalil musafir dikecuali solat Jumaat

MAJORITI fuqaha berpendapat seseorang yang dalam perjalanan atau musafir yang mencukupi syarat mengqasarkan solat, tidak diwajibkan untuk mengerjakan solat Jumaat.

Hal itu kerana tidak diterima sebarang riwayat bahawa Nabi Muhammad SAW ada melaksanakan solat Jumaat dalam mana-mana peperangan atau perjalanan sepanjang hidupnya.

Begitu juga, tidak ada riwayat daripada sahabat sama ada ketika kehidupan Rasulullah atau selepas kewafatan Baginda, bahawa mereka ada melakukan solat Jumaat ketika musafir.

Bagaimanapun, seseorang yang bermusafir sangat dianjurkan supaya berusaha untuk menghadiri solat Jumaat berjemaah. Ia bagi mengelak daripada pergeseran dengan pendapat lain yang mengatakan solat Jumaat tetap wajib sekalipun bagi orang musafir.

Pendapat yang mewajibkan ini berhujah atas dasar bahawa tiada nas atau dalil sahih yang mengatakan bahawa seseorang yang musafir tidak perlu menghadiri solat Jumaat.

Oleh kerana tiada dalil yang mengecualikan suasana musafir, maka hukum solat Jumaat ini kembali pada perintah asal, iaitu tetap wajib bagi semua orang, mastautin mahupun musafir.

Tambahan lagi Nabi tidak mengecualikan seorang musafir daripada solat Jumaat kecuali wanita, budak belum baligh, orang sakit dan hamba sahaya.

Ada riwayat berbunyi: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka wajib ke atasnya solat Jumaat kecuali wanita atau orang musafir atau hamba sahaya atau orang sakit.” Bagaimanapun, riwayat ini tersangat daif kedudukannya.

Demikian juga sebuah lagi riwayat lain yang bermaksud : “Tidak wajib Jumaat atas orang musafir...” juga daif kedudukannya.

Kedua-dua hadis itu tidak boleh dijadikan hujah pegangan atau sumber rujukan hukum.

Justeru, sekalipun majoriti fuqaha berpendapat bahawa solat Jumaat tidak wajib ke atas orang musafir, tetapi sebagai pilihan selamat, digalakkan seseorang itu untuk tetap berusaha menghadiri solat Jumaat berjemaah.

Anjuran itu menjadi lebih berat mengingatkan banyaknya fadilat Jumaat itu sendiri berserta keutamaan solatnya.

Solat Jumaat ketika bermusafir juga membuka peluang untuk kita berkenalan dengan komuniti tempatan dan beramah mesra serta memperluaskan hubungan sesama umat.

23.7.05

Persediaan fizikal, mental menjelang usia tua

BAGI menghadapi usia tua, setiap orang harus membuat persiapan dari segi fizikal, mental, kerohanian dan sebagainya. Persiapan ini sebenarnya proses seumur hidup yang harus dilaksanakan oleh manusia.

Persiapan itu juga seharusnya dilakukan oleh orang yang sedang berada di ambang usia tua dengan penuh usaha dan sedar.

Tanpa persediaan menghadapi usia tua, seorang yang lanjut usianya mungkin mengalami rasa sepi dan tidak berharga. Malah, ada kalanya membawa kepada tekanan jiwa yang hebat.

Perasaan ini sangat mudah dialami orang yang berusia tua jika tidak bersiap untuk hidup sebagai seorang anggota tua dalam rumah tangga bersama-sama keluarganya, masyarakat dan orang ramai di daerah sekelilingnya yang lebih besar.

Dari sudut kerohanian dan keagamaan, sungguhpun beribadat juga amalan berterusan sepanjang hayat. Namun, orang lanjut usia, yang menginsafi kenyataan hidup, akan berasa lebih lazat dan puas dengan melakukan amal ibadat dengan lebih tekun dan berlipat ganda.

Amal ibadat yang dilakukan hendaklah difahami dalam konteks lebih luas. Ia bukan sekadar ibadat khusus seperti sembahyang saja sebaliknya wajar merangkumi kerja kebajikan, khidmat sosial, sukarela dan sebagainya.

Setiap insan mempunyai naluri yang tabii mengharapkan kehidupan yang panjang. Ia sering diungkapkan sebagai ‘panjang umur’. Orang sering berdoa semoga dikurniakan Tuhan umur yang panjang bagi dirinya dan orang lain yang dikasihinya.

Persoalan yang harus dipecahkan di sini apakah konsep umur yang panjang dan apakah hubungan umur panjang ini dengan kualiti dan kuantitinya?

Bagi orang Islam, ada syarat dan panduan al-Quran dan sunnah mengenai persoalan ini.

Kualiti umur

Firman Allah bermaksud: “...masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, pada hal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 96).

Ketentuan umur

Allah berfirman bermaksud: “... dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang dipanjangkan umurnya melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab.” (Surah al-Fatir, ayat 11)

Pusingan umur

Allah berfirman bermaksud: “Dan barang siapa yang Kami panjangkan usianya nescaya Kami kembalikan dia kepada kejadiannya (kembali menjadi lemah).” (Surah Yasin, ayat 68)

Keperluan meneruskan hidup

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah sekali-kali salah seorang antara kamu mengharapkan kematian, kerana apabila dia seorang yang baik, maka mudah-mudahan kebaikannya akan bertambah, tetapi apabila dia seorang yang melakukan kejahatan, semoga dia akan bertaubat.”

Kedudukan terbaik dalam usia lanjut

Rasulullah bersabda bermaksud: “Apabila Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang, diberi-Nya kedudukan yang baik. Baginda ditanya: Bagaimanakah caranya diberikan kedudukan itu? Baginda menjawab: Ditunjukkan ke arah perbuatan yang baik sebelum (seorang itu) meninggal, dan setelah itu barulah dicabut nyawanya.”

Realiti usia tua

Penyakit tua tidak punya ubat. Rasulullah bersabda maksudnya: “Berubatlah kamu semua, kerana semua penyakit yang dijadikan Allah mempunyai ubatnya, kecuali satu penyakit saja yang tidak punya ubat, iaitu penyakit tua.”

Memanfaatkan usia tua

Anas ibn Malik menceritakan bahawa Rasulullah berdoa bermaksud : “Ya Allah, aku mohon perlindungan daripadamu dari sifat bakhil, malas, usia tua dan seburuk-buruk umur, seksa kubur, fitnah dajal, fitnah kehidupan dan fitnah kematian.”

Ternyata daripada kenyataan di atas bahawa:

  • Manusia paling baik ialah manusia yang panjang usianya serta baik amalannya.
  • Seburuk-buruk manusia ialah manusia yang juga panjang usianya, tetapi usianya itu dihabiskan untuk amalan yang buruk.
  • Alangkah bahagianya manusia yang dapat memanfaatkan usianya yang lanjut dengan pelbagai kegiatan berkualiti dan bermanfaat serta penuh kebajikan untuk dunia dan akhirat. Ia untuk Allah dan manusia, terutama keluarga sendiri, jiran tetangga dan semua orang di sekelilingnya.

Masjid Putra hasil gabungan seni bina Parsi, tempatan


KONSEP reka bentuk Masjid Putra berdasarkan seni bina Parsi zaman kerajaan Safawe. Keindahan itu digabungkan dengan seni bina dan reka bentuk tempatan, khususnya Melayu.

Seni bina tradisional digunakan bagi mengharmonikan perubahan bentuk segi empat (dewan solat) kepada berbentuk bulat (kubah) dengan memperkenalkan segi lapan sebagai bentuk perantaraan.

Identiti dan keunikan masjid ini dapat dilihat melalui konsep rekabentuk bertingkat-tingkat. Ini dipamerkan dari aras ke aras dengan pelbagai elemen menarik.

Masjid Putra di Putrajaya, dinamakan sempena Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kedudukannya bersebelahan dengan Dataran Perdana dan berhadapan dengan Tasik Putrajaya menjadikan pemandangan di masjid ini cukup indah di lihat daripada pelbagai sudut.

Dari masjid ini dapat dilihat dengan jelas keindahan tasik dan kawasan sekitarnya. Kedudukan masjid yang dikelilingi sebahagian besar Tasik Putrajaya menjadikan Masjid Putra kelihatan terapung.

Satu lagi keunikan masjid ini adalah aras bawah dua yang menampilkan imej pertahanan kuat dengan bahagian bawahnya dihias dengan dinding dan benteng (buttress wall). Ia didirikan di sekeliling aras ini bagi memberi gambaran keteguhan.

Aras bawah pula, menggambarkan konsep terbuka di mana tiang berbentuk payung (umbrella column) dan ukiran yang direka (masyrabiah) dapat memberi perlindungan daripada hujan dan panas serta membolehkan pengudaraan semula jadi.

Konsep Masjid Putra yang terbuka ini membolehkan kesinambungan di antara saf dalam dengan luar.

Masjid ini turut mengandungi lapan kubah kecil yang membentuk empat penjuru dewan solat utama. Di sekeliling aras itu konsep terbuka jelas kelihatan dengan adanya tingkat besar yang dihiasi dengan masyrabiah.

Keunikan lain masjid ini ialah 16 tudung konkrit. Ia mengandungi aras yang bermulanya kubah utama.

Puncak kubah ini dihiasi dengan sebuah mercu tajam yang menghala ke langit.
Menara Masjid Putra pula berdiri megah setinggi 116 meter di sebelah kiri pintu gerbang masjid.

Menara berbentuk bintang lapan penjuru ini jelas memperlihatkan keunggulan seni bina dan seni reka Islam.

Ada lima tingkat pembahagi pada menara ini yang melambangkan lima Rukun Islam dan sembahyang lima waktu.

Kubah Masjid Putra berwarna merah jambu direka bentuk berasaskan `arabesque' iaitu ukiran tumbuhan seperti pada kubah masjid di Mesir.

Ukiran dan hiasan dalaman kubah dan masjid keseluruhannya diilhamkan dari seni ukir tradisional orang Melayu.

Penggunaan kayu cengal dan seraya hitam menghidupkan lagi seni ukir dalam masjid ini.

15.7.05

Membangunkan generasi berciri ulul al-bab

Oleh Abu Bakar Yang


Apa yang jelas kelihatan sekarang kepada dunia ialah tamadun dan kebudayaan Barat kini sedang dalam proses penurunan.

Perkembangan-perkembangan yang memperlihatkan peralihan tamadun dari Barat ke bahagian-bahagian lain di Asia, meletakkan dunia di tempat yang baru dalam sejarah.

Dunia yang suatu masa dulu gawat dengan suasana perang dingin kini berubah kepada babak baru ke arah pasca zaman moden. Cara pembangunan turut berubah dan memberi ruang kepada negara-negara membangun untuk memilih sendiri kaedah pembangunan yang sesuai dengan selera masing-masing.

Kini pembangunan dan kemajuan mengikut acuan sendiri menjadi ungkapan yang popular, disebut di mana-mana, walaupun untuk mencapainya masih perlu menempuh perjalanan yang jauh.

Begitulah juga halnya dengan negara kita, pembangunan mengikut acuan sendiri sudah pun disemarakkan. Cuma yang perlu diberi penekanan ialah pembangunan tersebut perlu menjadikan Islam sebagai asas dan agenda utama.

Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang terdahulu yang maju hampir dalam serba-serbinya adalah kerana berpegang kepada ajaran al-Quran yang dinamik serta mampu untuk menggerakkan masyarakat.

Dalam proses menggerakkan masyarakat ke arah pembangunan, al-Quran menekankan kebangkitan generasi penggerak iaitu generasi ulul al-bab - mereka yang dapat menjelaskan dan menghuraikan jalan dan arah yang hendak dilalui.

Keazaman kita untuk membentuk kemajuan mengikut acuan sendiri akan terus kabur, sekiranya kita kekurangan golongan ulul al-bab yang dapat menghurai tujuan dan matlamat pembangunan.

Proses pembangunan yang bercirikan Islam ini juga memerlukan kepada kelahiran generasi penggerak yang memenuhi ciri-ciri ulul al-bab. Antara ciri-ciri penting ulul al-bab ialah persiapan kerohanian yang teguh yang dapat memulakan pembangunan Islam daripada permulaan yang betul, iaitu pembangunan yang berpusatkan kepada pembangunan manusia.

Keteguhan kerohanian yang dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan serta dapat memperjelaskan dengan terperinci konsep, matlamat dan arah pembangunan yang ingin dibawa itu. Malah dapat menggerakkan sebarang bentuk pembangunan yang berteraskan tauhid dalam segala bidang sosial, sains dan teknologi, ekonomi, pendidikan, pengurusan, kebudayaan dan sebagainya yang mempunyai tenaga dan pengaruh dalam arus pembangunan hari ini.

Dengan berteraskan Islam dan berpusatkan pembangunan manusia, pembangunan yang akan dibina adalah sebenarnya bermula daripada pemikiran yang tertumpu kepada persoalan manusia dan nasibnya di dunia ini serta kesudahannya di akhirat.

Perincian mengenai persoalan inilah yang perlu dilaksanakan oleh generasi penggerak ini, dan sentiasa bersedia menghadapi masyarakat dengan penjelasan-penjelasan yang sudah semestinya memerlukan kepada keberanian, ketajaman dan kewibawaan ilmiah yang tinggi. Seiring dengan itu juga, tugas generasi penggerak ialah berusaha membangunkan kembali masyarakat Islam di atas asas-asasnya yang asal.

Desakan

Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilaksanakan ialah memastikan masyarakat menerima sistem Islam dan memantapkan keyakinan kepada keunggulan sistem Islam untuk kehidupan yang sejahtera.

Tanda-tanda penerimaan itu kini telah menjadi fenomena yang merata, sekali gus turut membantu dalam usaha menggerakkan masyarakat ke arah penerimaan tersebut. Usaha untuk memantapkan kesedaran ini adalah penting, sehingga kesedaran individu itu menjadi suara desakan dan tuntunan ke arah melaksanakan sistem Islam yang lebih syumul.

Untuk mencapai kesedaran yang sebegini, maka perancangan-perancangan yang rapi perlu dibuat bagi memenuhi keperluan setiap peringkat pembangunan.

Di samping itu juga kita tidak mahu perubahan ke arah pembangunan yang Islamik ini dicemar dengan perancangan-perancangan lain yang sama ada sedar atau tidak membantutkan kemurniannya.

Dalam erti kata yang lain, proses membangunkan masyarakat ini juga turut disertai dengan program-program yang akan meruntuhkannya. Banyak contoh dapat menerangkan fenomena ini, yang mana satu pihak mengembangkan unsur-unsur pembangunan yang Islamik, sementara satu pihak lagi giat menjalankan usaha menyebarkan unsur-unsur negatif yang meruntuhkannya.

Kehadiran unsur penghalang inilah yang menyulitkan lagi usaha ke arah menjadikan masyarakat yang mantap dan yakin dengan sistem Islam yang unggul dan sejahtera.

Di atas kesedaran inilah umat Islam perlu memahami bahawa perubahan daripada pembangunan moden kepada pembangunan yang Islamik memerlukan kepada tenaga penggerak dan juga jihad. Jihad dalam erti kata pengorbanan diri, masa, pemikiran dan juga harta benda.

- Abu Bakar Yang ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

My Headlines