21.7.06

Soal Jawab Umrah dan Haji: Lima syarat dikenakan dam bagi tamattu’

MENGAPA orang yang mengerjakan haji tamattu’ dikenakan dam?

Orang yang mengerjakan haji tamattu’ dikenakan dam kerana beliau mengerjakan umrah dan haji dalam bulan haji pada tahun sama. Dikatakan juga kerana ia bertamattu’ (bersedap-sedap dengan menanggalkan ihram selepas berihram) dalam bulan haji dan tidak keluar ke miqatnya atau ke suatu tempat yang jaraknya sekurang-kurangnya dua marhalah dari Tanah Haram itu untuk berniat ihram haji.

Apakah syarat dikenakan dam bagi orang yang mengerjakan haji tamattu’?


Syarat seseorang dikenakan dam adalah seperti berikut:
# Jemaah bukan daripada penduduk Makkah
# Tinggal di tempat yang jauhnya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram.
# Mengerjakan haji dan umrah dalam bulan haji pada tahun yang sama.
# Tidak berniat ihram haji miqat bagi penduduk negerinya atau bagi penduduk dari arah mana dia datang masuk ke Tanah Haram untuk mengerjakan haji.
# Tidak berniat ihram haji dari tempat yang jaraknya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram.

Sesetengah orang berkata ada antara orang yang mengerjakan haji tamattu’ tidak dikenakan dam, adakah ini benar dan bagaimana?

Benar, ada di antara orang yang mengerjakan haji tamattu’ tidak dikenakan dam sekiranya ia mempunyai salah satu dari lima keadaan berikut:
# Dia adalah penduduk Tanah Haram.
# Dia tinggal di tempat yang jauhnya tidak sampai dua marhalah dari Tanah Haram (91 kilometer atau 56 batu).
# Dia keluar pada miqat untuk berniat ihram haji.
# Dia keluar kepada dua marhalah dari Tanah Haram atau lebih untuk berniat haji di sana, kemudian baru masuk ke Makkah untuk mengerjakan haji.
# Dia mengerjakan umrah bukan di dalam bulan haji.

Bilakah masa sesuai melaksanakan dam tamattu’?

Dam tamattu’ itu boleh dilaksanakan pada bila-bila masa selepas tahallul umrah. Yang afdalnya pada hari nahar (hari raya haji). Tidak harus dilakukan sebelum tahallul daripada umrah dan hendaklah penyembelihan itu dilakukan di Tanah Haram.

Mengapa orang yang mengerjakan haji qiran dikenakan dam?


Sebabnya ialah ia mendapat keuntungan dan kesenangan dari segi amalan. Haji dan umrah hanya dikerjakan dengan sekali serentak iaitu dengan tawaf yang satu, sa’ie yang satu, bercukur atau bergunting yang satu dan juga miqatnya pun satu.

Apakah pula syarat dikenakan dam bagi orang mengerjakan haji qiran.

Syarat-syaratnya seperti berikut:
# Ia bukan penduduk Tanah Haram
# Ia tinggal di tempat yang jaraknya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram
# Ia tidak kembali ke miqatnya atau ke tempat yang jaraknya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram kerana berniat ihram haji.

Apakah sebab-sebab bagi orang yang mengerjakan haji qiran tidak dikenakan dam?


Ada orang yang mengerjakan haji qiran tidak dikenakan dam jika ada salah satu dari keadaan seperti berikut:
# Dia adalah penduduk Tanah Haram
# Tempat tinggalnya tidak sampai dua marhalah dari Tanah Haram (91 kilometer atau 56 batu)
# Dia kembali ke miqatnya atau ke tempat yang jaraknya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram kerana berniat ihram haji (mereka yang memasukkan haji berserta umrahnya). [BH]

Bicara Haji: Wanita dalam edah patut dapat kebenaran suami tunaikan haji

Bersama Abu Hassan Wahab

Tempoh talak rajii’ atasi wasiat lakukan ibadat bila lelaki meninggal lebih awal

SYARAT wajib haji dan umrah adalah sama iaitu:
# Islam. Orang kafir dan orang yang murtad tidak wajib menunaikan ibadat haji.
# Baligh. Kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib mengerjakannya. Sekiranya kanak-kanak pergi menunaikan haji, maka haji itu sah tetapi dikira sebagai haji sunat.
# Berakal. Orang gila atau akalnya tidak waras, tidak wajib menunaikan haji.
# Merdeka. Hamba sahaya tidak wajib menunaikan haji.
# Istito'ah. Istito'ah bermaksud berkemampuan untuk mengerjakan haji.

Syarat berkemampuan:

# Berkemampuan dengan sendiri

– Cukup perbelanjaan dan nafkah untuk dirinya pergi dan balik.

– Cukup keperluan nafkah asas, untuk orang di bawah tanggungannya.

– Ada kenderaan pergi dan balik.

– Aman perjalanan pergi dan balik contohnya tidak ada peperangan atau rompakan, musuh yang mengancam keselamatan diri atau harta, penyakit berjangkit yang membahayakan jiwa dan tubuh badan.

– Sihat tubuh badan.

– Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji.

# Berkemampuan dengan pertolongan orang lain (haji badal)

– Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh seperti lumpuh yang dibuat haji badal untuknya, kemudian dia meninggal dunia, dia telah mendapat haji fardu. Sekiranya dengan izin Allah beliau sembuh seperti sedia kala, maka beliau wajib melaksanakan haji sekali lagi, maka haji itu dinamakan haji fardu. Adapun haji badal yang dibuat terdahulu bagi pihaknya, dikira sebagai haji sunat. Ibadat haji adalah sesuatu yang unik.

– Orang yang terlalu tua lagi uzur.

– Orang yang meninggal dunia dan ketika hidupnya berkemampuan untuk menunaikan haji. Wajib ke atas ahli warisnya atau orang yang menerima wasiatnya, melangsaikan hutang hajinya, dengan upah yang berpatutan atau secara sukarela (haji badal).

Syarat-syarat haji badal:

Orang yang hendak menunaikan haji bagi pihak orang lain disyaratkan:

# Sudah menunaikan haji dengan sempurna bagi pihak dirinya sendiri.
# Menunaikan haji hanya untuk seorang saja, pada satu musim haji.
# Dia hendaklah berihram sama ada di miqat sama jauh dengan miqat orang yang hendak dihajikan; di miqat yang ditentukan kepadanya dan sekiranya tidak ditentukan miqat baginya, maka diharuskan ia berihram dari mana-mana miqat yang dilaluinya.
# Orang yang hendak menunaikan haji badal mestilah seseorang yang baligh. Bagi wanita dua syarat tambahan dikenakan iaitu dengan izin suami atau wali dan hendaklah ditemani suami atau mahramnya (orang yang haram nikah dengannya) atau yang thiqat (perempuan yang dipercayai).

– Izin suami dan mahram adalah bergantung rapat dan saling memerlukan, kerana pada pandangan syarak, jika seseorang isteri diberi keizinan oleh suaminya tetapi dia tidak ditemani mahramnya, hukum hajinya adalah sah tetapi berdosa. Begitu juga sekiranya seseorang wanita itu ditemani oleh mahramnya tetapi tidak mendapat keizinan suaminya, hukum hajinya tetap sah tetapi berdosa.

– Sekiranya seseorang wanita telahpun berniat ihram sama ada haji atau umrah tanpa pengetahuan suaminya, si suami boleh dengan paksaan meminta isterinya menanggalkan ihramnya, sekalipun terpaksa melakukan Tahallul-Ihsar. Pada zahirnya seolah-olah tidak patut suaminya berbuat demikian, tetapi pada syarak diharuskan. Pada syarak, hak suami ke atas isterinya adalah pada bila-bila masa (A'lal Faur), sedangkan haji dan umrah boleh ditangguhkan (A'lat Tarakhi).

– Seorang wanita dalam tempoh talak rajii' juga, dikehendaki mendapat keizinan suaminya sebelum pergi menunaikan fardu haji, kerana suaminya pada bila-bila masa harus merujuk kembali kepada isteri dalam tempoh edahnya.

Bagaimana pula sekiranya si suami berwasiat kepada isterinya supaya pergi juga menunaikan fardu haji walaupun ditakdirkan meninggal dunia sebelum sempat menunaikan fardu haji bersama isterinya? Dengan perkataan lain, menunaikan haji dalam masa edah kematian suami, adakah diharuskan?

Dalam perkara lain, wasiat adalah tinggi dan wajib dipatuhi dan dilaksanakan, tetapi berhubung dengan menunaikan fardu haji dalam masa edah kematian suami, hukum hajinya sah tetapi berdosa. Pandangan syarak dalam masalah ini adalah jelas, iaitu edah mengatasi wasiat.

Mahram dalam ibadat haji sunat atau umrah sunat:

Harus bagi seseorang perempuan menunaikan haji sunat atau umrah sunat tanpa ditemani mahram dengan syarat tertentu mengikut Qaul Muqabilul Asah.

Di antara syaratnya ialah:

# Memastikan tidak ada fitnah.
# Keselamatan diri terjamin.
# Sekiranya bernazar (bukan mengada-adakan alasan nazar bagi tujuan menunaikan haji). [BH]

14.7.06

Soal Jawab Umrah dan Haji: Sunat jika suami isteri bersama ke Tanah Suci

APAKAH persediaan untuk menunaikan fardu haji. Adakah wang perbelanjaan yang cukup menjadi matlamat terpenting dengan tidak mengambil perhatian terhadap perkara lain seperti sembahyang serta wajib, rukun dan cara mengerjakan haji dan perkara lain yang ada hubungan dengannya.

Selain wang perbelanjaan mengerjakan haji, kesihatan dan bekalan yang cukup, bakal jemaah mesti menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai cara hendak mengerjakan ibadat haji itu daripada rukun, wajib, sunat, sah, batal, haram dan sebagainya.

Sahibuzzubad berkata maksudnya: “ Sesiapa yang membuat amalan tanpa ilmu pengetahuan yang betul maka segala amalannya ditolak dan tidak diterima.”

Adakah wang perbelanjaan menunaikan ibadat haji seseorang isteri wajib ditanggung oleh suami.

Wang perbelanjaan naik haji seseorang isteri tidak wajib ditanggung oleh suami kerana ia tidak termasuk dalam nafkah yang wajib atas suami terhadap isteri. Bagaimanapun, sunat seorang suami mengerjakan haji bersama isterinya.

Terangkan dengan jelasnya apa maksud: (i) Rukun haji (ii) Wajib haji

Adakah menjadi kesalahan kepada jemaah haji sekiranya meninggalkan salah satu daripada perkara itu dan andainya berlaku yang demikian itu sama ada secara sedar atau tidak adakah sah hajinya.

Rukun haji ialah pekerjaan asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang mengerjakan haji sekiranya salah satu daripada rukun haji itu tidak dikerjakan sama ada sengaja atau terlupa maka ibadat hajinya tidak sah.

Wajib haji ialah perkara atau pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan ibadat itu. Jika tidak dikerjakan salah satu daripada perkara wajib haji, maka hajinya sah tetapi wajib ke atasnya dam serta berdosa jika ditinggalkan yang wajib itu dengan sengaja.

Bagaimana cara mengerjakan haji dan umrah.

Cara mengerjakan haji dan umrah ada tiga iaitu cara Ifrad, Tamattuk dan Qiran.

Apa perbezaan di antara ketiga-tiga cara itu.

Mengerjakan haji cara Ifrad ialah dengan berniat mengerjakan haji dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan umrah.

Mengerjakan haji cara Tamattuk ialah dengan berniat mengerjakan umrah terlebih dulu kemudian dikerjakan haji dalam tahun itu juga.

Mengerjakan haji cara Qiran ialah dengan berniat mengerjakan haji dan umrah serentak dalam bulan haji dengan mengerjakan amalan haji saja atau berniat mengerjakan umrah saja, tetapi sebelum tawaf berniat mengerjakan haji.

Mengerjakan haji cara Ifrad tidak dikenakan dam. Sementara, mengerjakan haji cara Tamattuk dan Qiran dikenakan dam dengan syarat tertentu.

Haji yang manakah terlebih afdal (baik) di antara haji Ifrad, Tamattuk dan Qiran.

Mengikut Imam Syafie, haji Ifrad adalah lebih afdal sekiranya umrah dikerjakan selepas haji pada tahun itu juga, kemudian Tamattuk dan Qiran.

Untuk mengerjakan haji Ifrad adakah seorang itu mesti pernah menunaikan fardu haji.

Tidak

Seorang membuat umrah dalam bulan haji kemudian dia keluar semula ke miqat untuk berihram haji seperti ke Bir Ali di Madinah. Adakah haji cara ini dikatakan haji Ifrad atau Tamattuk dan adakah diwajibkan dia membayar dam.

Cara ini dinamakan haji Tamattuk tetapi tidak wajib di atasnya membayar dam kerana dia berniat ihram di miqat. [BH]


Jawapan disediakan Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji

Bicara Haji: Kewajipan ibadat haji bergantung keupayaan perbelanjaan, kesihatan

Bersama Abu Hassan Wahab

HAJI pada syarak adalah mengunjungi Baitullah Al-Haram dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat serta menunaikan segala wajibnya.

Umrah pula mengikut syarak adalah menziarahi Baitullah Al-Haram kerana mengerjakan tawaf, sai dengan menurut syarat serta menunaikan segala wajibnya.

Cara mengerjakan haji dan umrah

Daripada Zaid bin Thabit, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardu yang hanya sekali (bagi seseorang Muslim yang cukup syaratnya) boleh dikerjakan yang mana satu dulu (sama ada haji atau umrah).” (Hadis riwayat Addailami)

Pada zahirnya ia membawa beberapa maksud:

i. Sekiranya seseorang itu menunaikan umrah dulu adalah diharuskan, kemudian apabila berkelapangan, menunaikan pula fardu haji.

ii. Menunaikan ibadat haji dalam bulan haji, tetapi ibadat umrah dilaksanakan bukan pada tahun sama. Cara ini dinamakan haji Ifrad mengikut kaedah definisi yang ketiga kerana definisi haji Ifrad ada tiga cara pelaksanaannya.

iii. Yang lebih tepat dan menjurus kepada kehendak hadis itu ialah:

Allah memberi pilihan

i. Sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadat haji dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan umrah pada tahun yang sama maka dinamakan haji Ifrad.

ii. Sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadat umrah dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan ibadat haji pada tahun yang sama dinamakan haji Tamattuk.

Apa yang dapat kita faham melalui hadis ini ialah Allah memberi kelonggaran dan sesuai dengan kehendak Allah yang tidak ada paksaan untuk melaksanakannya, sama ada seseorang itu hendak mengerjakan haji atau umrah dulu, terpulang kepada keselesaan masing-masing.

Sebetulnya, ramai di antara kita sering terperangkap dengan zahir hadis tanpa dapat menyelami apa yang tersirat, yang Allah dan rasul-Nya mahukan untuk difahami, diamalkan dan sebarkan kepada khalayak.

Syarat wajib haji

Sebahagian kita menghantar ibu bapa masing-masing ke Tanah Suci bagi mengerjakan fardu haji dengan menanggung semua kos perbelanjaan haji mereka, sedangkan yang wajib pergi ketika itu ialah kita sendiri, bukan ibu bapa. Syarat wajib haji ditaklifkan oleh Allah ketika itu kepada kita.

Kita faham, apa yang kita lakukan itu salah satu cara sebagai menghargai jasa baik mereka tetapi perlu diingat mereka tidak ditaklifkan.

Berbeza dengan sumbangan daripada anak atas kadar tertentu. Contohnya, anak menyumbang RM2,000 seorang bagi membolehkan ibu bapa mereka menunaikan fardu haji. Pada syarak dengan RM2,000 mereka belum memenuhi syarat wajib haji. Maka, pengagihan itu di kalangan ahli keluarga bagi membolehkan ibu bapa mereka menunaikan fardu haji diharuskan.

Ramai di antara anak memikirkan ibu bapa mereka sudah berusia, eloklah dihantar ke Tanah Suci untuk menunaikan fardu haji. Dikhuatiri ibu bapa mereka meninggal dunia sebelum menunaikan haji hinggakan mereka berasa bersalah.

Dalam keadaan tertentu, Allah memerintahkan boleh dibuat "haji Badal" untuk ibu bapa atau sesiapa saja yang meninggal dunia dengan ganjaran yang besar terhadap kedua-duanya iaitu orang yang mengerjakan Badal haji dan orang yang meninggal dunia yang dibuat Badal haji untuknya.

Bagaimanapun, syarak menetapkan hukum bagi tujuan itu, sekiranya seseorang itu meninggal dunia dan dia berkemampuan ketika hidupnya untuk menunaikan fardu haji, hukumnya wajib dibuat Badal haji untuknya kerana dia dikira masih berhutang dengan Allah.

Sekiranya dia meninggal dunia, sedangkan dia tidak berkemampuan ketika hidupnya, hukumnya adalah harus sama ada dibuat Badal haji untuknya atau tidak.


Jenis haji mengikut niat

Seperkara lagi yang menjadi masalah kepada sebahagian jemaah haji kita, apabila mereka terpilih masuk ke Makkah dulu sebelum wukuf, mereka sarankan supaya mengerjakan haji Ifrad hingga kadang-kadang membebankan diri mereka. Pada hemat saya, kenapa mereka membiarkan orang lain membuat keputusan bagi pihaknya. Keputusan untuk melaksanakan haji jenis apa pun adalah di tangan kita. Orang lain hanya boleh membantu untuk kita membuat keputusan.

Dari segi syarak, sebetulnya Allah tidak memaksa, bahkan memberi pilihan kepada kita berdasarkan kesesuaian masa, kesihatan dan dalam banyak perkara, bergantung kepada keupayaan kita.

Apa yang menjadi masalah ialah kadang-kadang kita sukar untuk melepaskan sesuatu yang afdal untuk semua orang dengan mengambil sesuatu yang diharuskan, sedangkan yang diharuskan oleh Allah kepada semua orang, itulah yang afdal bagi diri kita (bagi kes tertentu).

Maka itu, cuba elakkan daripada melakukan sesuatu yang afdal (untuk semua orang), tetapi apabila kita lakukan juga, sehinggakan akhirnya terpaksa melakukan Tahallul – Ihsar.

Contohnya, seorang wanita yang dijangka didatangi haid dalam tempoh sehari dua lagi telah melakukan yang afdal untuknya, dengan melontar Jamrah Kubra dan bergunting bagi menghasilkan Tahallul-Awwal.

Dia kemudian datang haid selama dua minggu, apa lagi waktu pulang ke Malaysia sudah dekat.

Kebetulan penerbangan tidak ada kekosongan tempat, sedangkan tawaf dan sai haji belum lagi dilakukan. Maka, mahu tidak mahu, beliau terpaksa pulang juga ke Malaysia.

Beliau dikenakan Tahallul-Ihsar dan kena datang lagi pada bila-bila masa untuk menyelesaikan rukun haji yang belum selesai. Ini bermakna masa dan perbelanjaan tambahan juga terseret sama.

Yang cantiknya kalau beliau memberi keutamaan seperti yang dianjurkan oleh syarak iaitu melaksanakan tawaf dan sai haji dulu dan bergunting. (Harus untuk semua orang, tetapi bagi kes seperti ini afdal untuknya).

Tiba-tiba haid datang selepas itu, beliau boleh pulang ke Malaysia mengikut jadual sekiranya ditakdirkan meninggal dunia, beliau sudah mendapat haji.

Sebab itulah Allah sentiasa perintah kita, lakukanlah sesuatu perkara mengikut kemampuan masing-masing. Jangan lakukan ibadat semata-mata ikutan.

Islam itu syumul, tetapi cara atau pendekatan yang diambil kadang-kadang memperlihatkan bagaikan kita tidak berilmu dan tidak bijak mempraktikkan ilmu yang ada walaupun bijak dan berilmu. Wallahualam.

INTI PATI
Ibadat haji dan umrah

Sekiranya seseorang itu menunaikan umrah dulu adalah diharuskan, kemudian apabila berkelapangan, menunaikan pula fardu haji.


Menunaikan ibadat haji dalam bulan haji, tetapi ibadat umrah dilaksanakan bukan pada tahun sama. Cara ini dinamakan haji Ifrad mengikut kaedah definisi yang ketiga kerana definisi haji Ifrad ada tiga cara pelaksanaannya.

Allah memberi pilihan; Sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadat haji dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan umrah pada tahun yang sama maka dinamakan haji Ifrad. Jika seseorang itu mengerjakan ibadat umrah dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan ibadat haji pada tahun yang sama dinamakan haji Tamattuk.

Perbelanjaan haji adalah tanggungan sendiri. Anak dan cucu sekadar membantu mengikut keihlasan mereka. [BH]

Penulis ialah Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji

7.7.06

Personaliti: Dr Azzam kongsi ilmu dengan ceramah

Oleh Hasliza Hassan

SIAPA Dr Azzam Tamimi, Pengarah Institute of Islamic Political Thought (IIPT) yang berpangkalan di London itu?

Beliau adalah antara ahli panel Seminar Nasional Hak Asasi Manusia dalam Islam anjuran bersama Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM), Kumpulan Karangkraf dan Allied Coordinating Committe of Islamic NGOs (ACCIN) yang diadakan baru-baru ini.

Tetapi, apabila melayari namanya di internet, rupa-rupanya Dr Azzam adalah ahli akademik yang pernah menimbulkan fenomena apabila dengan yakin dan tegas menyuarakan pendapat yang dilihat seakan membela tindakan ‘serangan bunuh diri.’

Apatah lagi, ketika diwawancara Tim Sebastian dalam rancangan HARDtalk di saluran penyiaran BBC pada November 2004, beliau dengan tidak teragak-agak memberitahu, dirinya bersedia melakukan serangan bunuh diri.

Hakikatnya, kesempatan menemui beliau pada seminar lalu tidak membicarakan mengenai kekalutan yang ditimbulkan sebelum ini, tetapi lebih kepada ingin mengenali peribadinya yang dilihat sentiasa tenang dan bersahaja.

Biar berat manapun kerisauan atau kebimbangan yang diutarakan peserta bertanyakan soalan, cara beliau menjawab menimbulkan tanda tanya, apakah beliau tidak serius atau memang keadaan tidak seperti disangkakan.

“Realitinya, apa dikatakan peserta mengenai nasib umat Islam, isu Palestin, hak asasi manusia atau kekejaman yang berlaku adalah benar. Memang keadaan sebenarnya tidak seperti yang kita mahukan.

“Bagaimanapun, dalam menangani kesulitan ini, kita tidak boleh jadi terdesak atau dipengaruhi emosi. Untuk maju ke depan dan mengembalikan kegemilangan umat Islam, kita perlu yakin dan berharap.

“Selain itu, kita kena ada ilmu dan kepakaran. Belajar daripada kesilapan kita dan kesilapan orang lain.

“Kerana itu apabila menjawab soalan, saya suka beri harapan dan beritahu mereka perkara positif terlebih dulu. Lepas itu baru beritahu yang negatif kerana saya nak galakkan mereka berfikir dan berusaha,” katanya.

Katanya, pembabitan beliau secara aktif sebagai penceramah serta ahli panel jemputan, adalah antara usaha beliau berkongsi ilmu dan pemikiran dalam pelbagai isu dengan umat Islam di seluruh dunia.

Dr Azzam berkata, sebagai umat Islam beliau memikul tanggungjawab dan bersandarkan kesedaran itu, misi hidupnya kini ialah mencari dan menyumbang kepada kebangkitan semula umat Islam.

Beliau berkata, apa juga kelebihan yang diberikan Allah seperti kebolehan berceramah dan menulis akan digunakan bagi mempertahankan hak umat Islam dan mengembangkan maklumat yang tepat mengenai Islam.

Anak kelahiran Hebron, Palestin itu, dibesarkan di Kuwait apabila mengikut keluarganya berpindah ketika berumur lapan tahun dan mendapat pendidikan asasnya di sana.

Pada 1974, beliau berpindah ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang fisiologi di University of Sunderland.

Selepas itu beliau berkerja di beberapa organisasi dan pada 1992, menubuhkan Pertubuhan Kebebasan Bagi Dunia Islam yang beroperasi hingga 1998.

Sebaik menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Teori Politik dari University of Westminster, London, beliau menubuhkan IIPT yang menawarkan kursus untuk mereka yang ingin mendalami bidang teori politik dan hak asasi manusia.

Selain aktif berceramah, bapa kepada tiga cahaya mata yang sudah menjadi datuk itu turut memilih bidang penulisan sebagai saluran dakwah dengan menghasilkan kertas kerja dan menerbitkan buku.

Antara buku dihasilkan, Democrat within Islamism, Islam and Secularism in the Middle East, Power-Sharing Islam dan dua dalam bahasa Arab, Musharakat al-Islamiyin Fis-Sultah serta Ash-Shar'iyah as-Siyasiyah fil-Islam.

Menyentuh mengenai Islam yang sering dilempar dengan imej negatif, Dr Azzam berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam sendiri untuk menggalakkan bangsa lain mengenali Islam.

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang ialah masyarakat Islam sendiri tidak faham mengenai Islam disebabkan sikap jahil mereka, jadi bagaimana hendak meyakinkan orang lain menerima Islam.

“Orang Islam sendiri tidak tahu mengenai Islam bagaimana hendak harapkan orang lain memahami dan menerima Islam. Apabila mereka jahil mengenai agama sendiri, mereka tidak yakin untuk berdepan dengan bukan Islam.

“Cara terbaik membangkitkan semula Islam ialah dengan menunjukkan keistimewaan Islam melalui contoh ditunjukkan, bagaimana kita membawa diri sebagai orang Islam.

“Mereka yang tahu Islam akan jatuh cinta dengan Islam. Di Barat, ramai sudah mula menerima Islam,” katanya.

Dr Azzam berkata, beliau berbangga dengan sokongan diberikan rakyat negara ini dalam perkara yang berkait rapat dengan Islam terutama perasan dikongsi bersama seperti isu Palestin.

Beliau yang datang ke Malaysia sejak awal 1990-an berasakan Malaysia ibarat rumah sendiri kerana selain mempunyai ramai kawan, beliau senang dengan sikap masyarakatnya yang mudah mesra.

Sebagai tetamu yang sering dijemput ke negara ini, Dr Azzam berkata, beliau mahu dikenali rakyat Malaysia sebagai ‘seorang pengembara yang dalam perjalanan mencari ilmu dan berkongsi pengetahuan yang diperoleh’.

“Saya mencari ilmu untuk belajar dan berkongsi apa yang saya pelajari. Saya bersyukur kerana berjaya menarik perhatian umum dengan idea serta pandangan saya. Inilah sumbangan saya untuk Islam,” katanya.

PROFIL
Nama: Dr Azzam Tamimi
Tarikh Lahir: 15 Mac 1955
Tempat Lahir: Hebron, Palestin

Pendidikan: Ijazah sarjana muda, bidang fisiologi di University of Sunderland. Ijazah doktor falsafah (PhD), bidang Teori Politik di University of Westminster, London

Buku Dihasilkan: Democrat within Islamism, Islam and Secularism in the Middle East, Power-Sharing Islam dan dua dalam bahasa Arab, Musharakat al-Islamiyin Fis-Sultah serta Ash-Shar'iyah as-Siyasiyah fil-Islam [BH]

My Headlines