2.10.05

Dosa pahala suami, isteri dan madu

Bersama:DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Suami saya berkahwin lagi satu tanpa pengetahuan saya. Hanya selepas dua tahun, saya dapat tahu. Saya sama sekali tidak rela. Selama ini saya menumpahkan kasih sayang, berkorban untuknya dan keluarga tetapi dia mengkhianatinya. Saya sentiasa mengawasinya dan tidak membenarkannya ke rumah isteri muda dan dia tidak pernah tidur di rumah isteri muda.

Saya pernah menemui bomoh untuk mengatasi masalah ini dan saya dapati suami saya takut dengan saya. Adakah suami saya berdosa kerana tidak tidur di rumah isteri mudanya? Untuk pengetahuan ustaz, saya baru balik daripada menunaikan umrah.

- AZURA, Batang Berjuntai.

JAWAPAN:

Allah s.w.t menyuruh agar seorang lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang baik-baik, dua, tiga atau empat orang isteri. Sekiranya seorang lelaki itu takut atau bimbang tidak berupaya bersikap adil, Allah menyuruh agar mengahwini seorang perempuan sahaja.

Maksud adil di sini iaitu kepada lelaki yang diharuskan berkahwin itu adalah adil menyediakan nafkah, penyediaan makan minum isteri atau isteri-isteri yang dikahwini, anak-anak yang bakal dilahirkan, menyediakan pakaian, tempat tinggal, termasuk giliran bertemu, pergi ke rumah isteri-isteri yang dikahwini.

Disyaratkan sedemikian rupa kerana keadilan zahiriah itu adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh manusia biasa. Namun keadilan yang berkaitan dengan kasih sayang, cinta dan seumpamanya adalah di luar keupayaan manusia untuk berlaku adil ataupun saksama.

Jelasnya Islam mengharuskan seorang lelaki itu berkahwin lebih daripada seorang perempuan yang diistilahkan sebagai poligami. Keharusan yang diberi oleh syariat adalah keharusan bersyarat, iaitu adil seperti yang dijelaskan.

Biarpun kebanyakan orang, iaitu orang Islam memahami juga menyedari keharusan tersebut, tetapi kebanyakan isteri tidak rela dimadu atau lebih jelas tidak rela suaminya berkahwin lagi kerana:

1) Ia adalah tabiat semula jadi manusia.

2) Sebahagian daripadanya tidak faham atau tidak menghayati bahawa keharusan bagi lelaki berkahwin lebih daripada satu itu adalah ketentuan Allah.

3) Kebanyakan lelaki atau suami tidak berupaya menunaikan tanggungjawab terhadap isteri-isteri yang telah dinikahi, terutamanya yang berkaitan dengan giliran, pemberian nafkah, tempat kediaman, persekolahan anak-anak dan sebagainya. Hal demikian terlalu membimbangkan para isteri yang dimadukan atau bakal dimadukan.

Keadaan atau latar belakang seperti ini menjadi seumpama gawat apabila jabatan-jabatan agama yang diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan, gagal untuk bertindak, mengatasi masalah yang timbul akibat ketidakadilan suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu tadi, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan nafkah.

Fenomena ini berlaku akibat daripada sebab-sebab yang saling berkait, kekurangan kakitangan, kekurangan pengalaman atau latihan, tidak mempunyai visi yang jelas dan sebagainya. Fenomena seumpama ini secara tidak langsung menggalakkan lelaki seumpama ini bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada hukuman yang jelas, lepas daripada tanggungjawab dan sebagainya menyebabkan pelbagai masalah dihadapi oleh isteri-isteri yang teraniaya.

Mereka tidak takutkan balasan Allah. Mereka telah melakukan sesuatu yang diharuskan, tetapi melanggar syarat-syarat yang ditetapkan terhadap keharusan tersebut.

Keharusan ini adalah keharusan bersyarat. Kerana itu apabila syarat tersebut tidak dipenuhi, maka keharusan tersebut tidak ada padanya. Kerana itu, lelaki atau suami yang bertindak sedemikian, telah melakukan dosa. Atas pengalaman yang banyak berlaku dalam masyarakat seperti inilah maka kaum wanita terlalu takut untuk dimadukan.

Poligami adalah keharusan yang ditetapkan oleh Allah kerana tidak adanya jalan keluar, selain daripada berpoligami atau berkahwin lagi. Seorang isteri contohnya, yang tua, uzur atau sakit yang tidak berupaya melayani kehendak batin suaminya, adalah wajar baginya merelakan suaminya yang masih mempunyai nafsu dan mempunyai sifat adil untuk berkahwin lagi.

Dalam keadaan tertentu, contohnya selepas berlaku peperangan, bencana alam menyebabkan bilangan perempuan banyak, tidak mendapat pembelaan atau perlindungan, adalah wajar bagi kaum lelaki melindungi mereka, termasuk anak-anak yang terbiar. Caranya ialah dengan mengahwininya.

Sesetengah lelaki mempunyai nafsu yang kuat berbanding dengan lelaki biasa, menyebabkan isteri yang sedia ada tidak berupaya melayani nafsu suaminya. Dalam keadaan seperti ini lelaki berkenaan layak untuk berkahwin lagi dengan syarat sifat adil itu ada pada dirinya.

Sekiranya lelaki berkenaan tidak dibenarkan berkahwin lagi, padahal nafsunya selalu membara, berkemungkinan dia akan melakukan perzinaan dengan perempuan simpanan, dengan teman-teman atau melanggani pelacur-pelacur. Kerana itu adalah wajar dan dapat diterima akal sekiranya lelaki atau suami seperti ini dibenarkan berkahwin lagi dengan syarat yang jelas.

Contoh-contoh di atas hanya merupakan sebahagian daripada fenomena yang mengharuskan seorang suami itu berkahwin lagi. Bagi orang yang seumpama ini jalan keluar tidak ada kecuali dengan berkahwin lagi satu.

Seorang lelaki yang terdorong untuk berkahwin lagi, tetapi disekat atau ditahan, dia akan terus bertindak untuk melaksanakan hasrat yang sentiasa membara, kalau keizinan isteri itu diwajibkan, berkemungkinan dia akan mencuri cap jari isteri ketika tidur, memujuk, menguliti lalu si isteri menurunkan tandatangan tanpa menyedari borang yang ditandatangani ialah tanda keizinan berkahwin lagi.

Jelasnya mewajibkan seorang isteri bagi seorang suami melalui pernikahan itu adalah tidak praktikal, biarpun berpoligami itu bukan merupakan satu idaman kebanyakan lelaki. Biar dalam keadaan apa sekalipun, sekiranya seorang suami itu dihalang berpoligami, si suami akan menganggap bahawa isterinya merupakan penghalang untuk berkahwin lagi. Dengan demikian kasih sayang itu akan terhakis daripada pasangan ini dan dia berkemungkinan akan mencari jalan keluar yang menyalahi undang-undang.

Di Malaysia perkara ini berlaku hingga sekarang. Amalan nikah lari di sempadan yang jelasnya menimbulkan pelbagai masalah, terutamanya kepada pasangan perempuan terus-menerus berlaku. Ada pula yang berkahwin menggunakan wali bapa, abang kandung dan sebagainya tanpa merujuk ke pejabat agama atau didaftarkan menurut lazimnya. Kahwin di sempadan menjadi seumpama satu kemelut yang tidak berpenghujung yang dibiarkan sehingga sekarang ini, kerana perkahwinan di sempadan itu menjadi seumpama satu eskapisme.

Tidak kira di mana perkahwinan itu dilakukan, dengan izin isteri atau tidak, atau hanya diizinkan oleh Mahkamah Syariah, apabila dia cukup syarat-syaratnya maka sahlah pernikahan tersebut. Dengan demikian, isteri yang baru dinikahi itu adalah menjadi isteri kepada lelaki yang telah sedia mempunyai isteri, seorang, dua orang atau tiga orang.

Dalam keadaan seperti ini, perempuan yang baru dinikahi itu adalah isteri yang sah. Sebagai isteri, dia mempunyai hak di sisi undang-undang, hak nafkah, perlindungan kediaman, pakaian dan sebagainya termasuk gilirannya.

Dalam situasi seperti ini, kedudukan isteri-isteri adalah sama, tidak kira sama ada dia isteri tua atau muda, isteri ketiga atau keempat. Dan apabila hak tersebut tidak dapat dinikmati oleh mana-mana pihak akibat daripada pihak yang satu lagi atau lebih jelas diperkatakan bahawa isteri muda itu tidak mendapat gilirannya kerana puan sentiasa mengawasi pergerakan si suami puan, hakikatnya telah melakukan kezaliman, menyekat hak yang sewajarnya dimiliki oleh madu puan.

Rasulullah pernah bertanya kepada sahabat-sahabat tentang orang yang dianggap bankrap. Di antara sahabat menjawab menyatakan orang yang bankrap itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.

Baginda menjelaskan pendapat itu tidak tepat. Orang yang bankrap itu ialah mereka yang pada hari kiamat kelak dibangkitkan oleh Allah berhimpun di padang mahsyar.

Bersama mereka ialah pahala hasil daripada ibadah sembahyang, pahala zakat, pahala puasa dan sebagainya. Ketika diadakan timbang tara atau hisab akan datang mereka yang menuntut, iaitu mereka yang dizalimi ketika hidup di dunia.

Akan datang menuntut di hadapan Allah mereka yang kena maki cela, yang kena bunuh, kena umpat dan sebagainya. Allah akan menyempurnakan segala tuntutan mereka dengan mengambil pahala kebajikan yang dilakukan di dunia kepada mereka yang menuntut. Tuntutan ini adalah umum. Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui.

Mengenai kes puan, sekiranya madu puan tidak puas hati atau tidak reda terhadap tindak- tanduk puan di dunia, dia akan menuntut haknya, iaitu hak giliran suami yang puan tahan dan sentiasa intai-intai. Lalu sebahagian daripada pahala puan itu diberikan kepada madu puan yang puan zalimi tadi.

Sekiranya kezaliman yang dilakukan oleh seseorang itu banyak, maka banyaklah mereka yang menuntut. Apabila pahala milik orang yang kena tuntut itu habis, padahal tuntutan masih berlaku akibat kezaliman yang dilakukan banyak, maka Allah akan mengambil dosa orang yang menuntut tadi dan dipertanggungjawabkan ke atas orang yang kena tuntut lalu akhirnya orang ini dimasukkan ke dalam neraka jahanam.

Inilah sebenar-benar orang yang bankrap, padahal ketika mula berada di padang mahsyar, dia mempunyai pahala, lalu akhirnya dia dicampakkan ke dalam neraka.

Orang yang banyak melakukan dosa ketika hidup, tidak ubah seperti orang yang banyak hutang. Untuk melangsaikan hutang, sesetengah orang terpaksa bekerja keras, apabila dapat wang, wang itu digunakan untuk membayar hutang yang ditanggung, tidak kira hutang yang baru atau hutang lapuk.

Semakin banyak seseorang itu melakukan dosa, maka semakin banyaklah dia perlu menghapuskan dosanya, iaitu dengan memperbanyakkan kebajikan. Untuk menjadi penghuni syurga, pahala yang dimiliki oleh seseorang itu perlu mengatasi dosa atau kejahatan yang dilakukan. Tidak ada gunanya seseorang itu memperbanyakkan amal ibadah atau kebajikan, tetapi dalam masa yang sama dia melakukan dosa yang lebih banyak daripada pahala yang dicari melalui ibadah tadi.

Orang yang bijak ialah mereka yang melakukan ibadah sederhana dan dalam masa yang sama mengurangkan dosa, namun mereka yang pintar ialah orang yang berupaya memperbanyakkan ibadah dan dalam masa yang sama mengurangkan kegiatan yang menyebabkan tanggungan dosa.

Menemui bomoh atau melibatkan ilmu penunduk seperti puan lakukan, menjadikan suami takut atau tunduk kepada isterinya ini menyebabkan rumah tangga akan menjadi kelam-kabut seumpama tidak terkawal.

Suami puan berdosa kerana zalim kepada isteri mudanya. Puan berdosa kerana menjadi punca utama suami melakukan dosa. Perbuatan puan menundukkan suami, menyebabkan suami takut itu diistilahkan sebagai ``tiwalah''.

Amalan tiwalah menyebabkan syirik. Demikian keterangan hadis yang perlu difahami untuk dijadikan pedoman mereka yang terlibat dengan amalan seperti ini.

Tiada ulasan:

My Headlines