28.10.05

Jejak Rasul 11: Pusat Islam Jepun sebar dakwah melalui penulisan



SELEPAS peperangan dunia kedua, masyarakat Islam dari pelbagai negara datang menetap di Jepun dan dari tahun ke tahun bilangan mereka kian bertambah.

Kegiatan dakwah semakin berkembang, namun masyarakat Islam di sana tidak memiliki satu tempat untuk menyelaras kegiatan dan kefahaman Islam.

Pada 1966, Pusat Islam Antarabangsa Jepun ditubuhkan sebagai pangkalan pergerakan dakwah Islam di negara matahari terbit itu. Malangnya, ia dibubarkan pada 1974 atas sebab tertentu dan diberi nama baru, Pusat Islam Jepun.

Selain menjadi nadi pergerakan Islam di Jepun, pusat berkenaan berperanan menyebarkan dakwah menerusi penulisan dan penerbitan melalui terjemahan buku mengenai Islam dalam bahasa Jepun.

Pusat Islam Jepun sudah menerbitkan lebih 2,000 buku. Antara yang menjadi keutamaan ialah buku berkaitan ibadat, muamalat, perundangan Islam, ekonomi dan cara pergaulan masyarakat Islam.

Pusat Islam Jepun turut membekalkan buku Islam yang diterjemah dalam bahasa Jepun dan Inggeris kepada persatuan serta pertubuhan Islam di seluruh negara dan Korea secara percuma.

Usaha berkenaan dipelopori seorang pendakwah Islam warga Jepun yang terkenal, Ahmad Ariga yang memeluk Islam pada 1900 dan menjadikan bidang penulisan sebagai medan dakwah.

Beliau juga adalah orang terawal menterjemahkan buku Islam dan al-Quran ke dalam bahasa Jepun.

Menurut pemangku pengerusi Pusat Islam Jepun yang berasal dari Pakistan, Syed Matloob Ali, kebanyakan masyarakat Jepun tersalah anggap mengenai Islam dan menjadi tanggungjawab Pusat Islam membetulkan tanggapan serong itu.

Oleh itu, katanya, pusat berkenaan sentiasa mengalu-alukan apa juga bentuk perbincangan kepada warga Jepun yang ingin mengenali dan mendekati Islam.

Perkembangan Islam di Jepun banyak berkaitan dengan persefahaman di antara Maharaja Meiji dengan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah.

Keinginan kedua-dua pemimpin untuk membebaskan hidup rakyat Jepun daripada tekanan kuasa besar mendorong mereka menjadi sahabat baik.

Putera Taro Katsura pada zaman pemerintahan Maharaja Meiji turut mementingkan pendidikan kerana pada pendapat baginda pendidikan adalah alat transformasi untuk merealisasikan impian maharaja berkenaan

Tanggapan bahawa pendidikan kunci kecemerlangan terbukti berdasarkan kesungguhan kerajaan dan rakyat menimba pengetahuan.

Tanggungjawab itu turut dipikul Persatuan Muslim Jepun, pertubuhan Islam terbesar di Jepun menjalankan aktiviti dakwah menerusi pendidikan dengan menterjemah buku Islam untuk dijadikan bahan rujukan.

Cara hidup Islam diterjemahkan sebaik mungkin oleh masyarakat Islam Jepun dalam kehidupan harian mereka termasuk bersikap tegas berkaitan makanan halal.

Tiada ulasan:

My Headlines