27.10.05
Jejak Rasul 11: Pulau Sokotra ‘Permata Yemen Yang Dilupai’
PULAU Sokotra kira-kira 510 kilometer dari pantai Yemen adalah pulau terbesar di sebelah timur Lautan Hindi.
Sokotra yang terletak di timur Teluk Aden dihuni hampir 40,000 orang. Pada 1507 orang Portugis pernah datang ke sini untuk meninjau peluang perdagangan.
Hadibo, sebagai bandar utama di pulau ini, menjadi tumpuan 20,000 penduduk sekitarnya mencari sinar hidup seharian mereka.
Ketika dunia berubah dilanda arus globalisasi, Hadibo dan penghuninya tidak merasakan sebarang kelebihan itu.
Malah, sesiapa saja yang menjejak kaki di sini akan merasakan dirinya seolah-olah berada pada zaman peralihan sebelum pembangunan.
Sebelum bersatu dengan Yemen, masyarakat di sini bergantung dengan sistem barter.
Pada 1990 sistem itu bertukar kepada penggunaan mata wang Riyal dan dinar Yemen.
Namun, sebahagian kecil penduduknya masih lagi mengamalkan pertukaran madu dan susu lembu di kalangan mereka.
Berdasarkan catatan pengembara kurun ke-19, pulau yang bergelar The Forgotten Diamond of Yemen atau Permata Yemen Yang Dilupai ini sukar dilawati kerana bagaikan tertutup kepada pengunjung sepanjang abad lalu.
Sementara namanya diambil daripada bahasa Sanskrit ‘dvipa sukhadra’ yang bererti pulau rahmat.
Pada kurun pertama masihi, Periplus seorang penulis berbangsa Eritrea memberitahu bahawa kebanyakan penduduk di bahagian utara Sokotra berbangsa Arab, India dan Greek. Pada waktu itu mereka berada di bawah pemerintahan Raja Hadramaut dari Yemen.
Kesuburan Pulau Sokotra dengan hasil tanaman tamarnya menjadikannya antara pengeluar utama buah kurma di Yemen.
Bagi penduduk di sekitar pelabuhan lama Souk, tamar antara sumber utama rezeki mereka selain madu lebah.
Penduduk Sokotra yang kebanyakannya beragama Islam memiliki sikap tenang dan tidak risau terhadap ekonomi atau kenaikan harga barang kerana hasil daripada tamar memadai untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Pelabuhan lama Souk, 200 tahun silam dipenuhi kapal perdagangan dan kesibukan jemaah haji dari benua Afrika yang singgah di sini
Jemaah haji dari benua itu menjadikan Pelabuhan Souk sebagai lokasi perhentian untuk mengambil bekalan seperti air, kayu dan bertukar barang keperluan dengan penduduk tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.
Persinggahan jemaah haji di pelabuhan ini bagaikan membawa rahmat kepada penduduk sekitarnya kerana mereka dapat bertukar-tukar barangan seperti gandum dan beras untuk menampung keperluan hidup yang terpencil jauh di tengah lautan.
Sebagai tukaran, mereka menyediakan madu, minyak dan daging kepada jemaah haji dari benua Afrika itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan