Oleh Hasliza Hassan
ROM pernah meluaskan pengaruhnya ke Anatolia pada kurun pertama masihi yang kemudian diwarisi empayar Byzantine selama lebih seribu tahun sebelum kesultanan Seljuk cuba menguasai Anatolia.
Lewat kurun ke-13 Uthmaniyah muncul sebagai kuasa baru, bukan saja di Anatolia, bahkan Timur Tengah, sebahagian Afrika Utara dan tenggara Eropah.
Pada 29 Mei 1453, majoriti penduduk Costantinople yang diisytihar sebagai ibu kota Rom yang baru oleh Maharaja Constantine bersembunyi dalam gereja sekitar kota.
Pada hari itu juga, Sultan Muhammed al-Fateh yang berjaya menawan Costantinople berpesan kepada tenteranya supaya jangan mengasari penduduknya dan mengucapkan tahniah atas mereka merealisasikan sabda Rasulullah SAW.
Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”
Antara faktor kejayaan usaha perluasan wilayah Uthmaniyah ialah persenjataannya yang lengkap seperti meriam yang ada dibuat sendiri dan diimport dari Jerman serta Hungary.
Selepas dikuasai Islam, Hagia Sophia, gereja tertua zaman Byzantine dijadikan masjid dan sehingga kini imej mozek yang sama dapat dilihat, tidak berubah sama seperti ketika Sultan Muhammed al-Fateh pertama kali melangkah masuk ke gereja berkenaan
Pada 1934, di bawah arahan Mustapha Kamal Ataturk, fungsi Hagia Sofia sebagai masjid ditamatkan dan bermula 1 feb 1935, ia hanya sebuah muzium.
Pada kurun ke-16, Mimar Sinan, jurutera Uthmaniyah terulung telah membina dinding baru pada Hagia Sophia bertujuan menguatkan strukturnya setelah mengenal pasti kelemahan di beberapa bahagian tertentu.
Sejak itu usaha membaik pulih dan pemuliharaan Hagia Sophia diteruskan membuktikan kerajaan Uthmaniyah bukan perosak monumen bersejarah.
Ketika zaman Uthmaniyah berkuasa, rakyat bukan Islam diberi kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing dan kadar jizyah dikenakan juga lebih rendah berbanding cukai yang dibebankan pada era Byzantine.
Masyarakat bukan Islam mendapat jaminan keselamatan daripada pemerintah Islam, selain diberi peluang menyertai perkhidmatan awam manakala rahib diberi hak bersesuaian dengan kedudukan sebagai pemimpin agama.
Kepercayaan agama mereka diamalkan secara terbuka dalam masyarakat Uthmaniyah hingga dalam sesetengah keadaan mendapat bantuan khusus dari kerajaan.
Apabila Andalusia di Sepanyol dikuasai sepenuhnya oleh Ferdinand dan Isabella pada 1492, umat Islam dan orang Yahudi berhadapan tekanan yang memaksa mereka meninggalkan negara itu.
Pada kurun ke-16, sebahagian masyarakat Yahudi yang meninggalkan Portugal dan Sepanyol mendapat perlindungan di wilayah dikuasai Uthmaniyah.
Selain Hagia Sophia, sebuah gereja Chora atau dalam bahasa Turki, Kariye Camii dibina di Edirnekapi yang terletak di pinggir kota Constantinople atas arahan Maharaja Constantine.[Berita Harian]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan