19.10.05

Jejak Rasul 11 : Tentera Uthmaniyah ambil setahun takluki Cyprus Utara

Oleh Hasliza Hassan

FAMAGUSTA atau Gazimagusa adalah kota pelabuhan Cyprus Utara di timur Lefkosa yang disinggahi pelbagai tamadun bangsa sepanjang sejarah kewujudannya. Ia juga menjadi pelabuhan sibuk pada zaman Venetian hingga hari ini.

Republik Turki Cyprus Utara merdeka pada 1983, namun hanya Turki satu-satunya negara yang mengiktirafnya sebagai entiti berdaulat.

Hubungan sejarah antara Turki dan Cyprus Utara begitu ketara dan berterusan hingga sekarang dipaparkan melalui episod ke-14 siri Jejak Rasul 11 yang menemui penonton TV3 setiap petang sepanjang Ramadan ini.

Ketika bahtera perang Uthmaniyah melabuhkan sauh di perairan Cyprus pada 1570, anggota tentera Uthmaniyah seramai 80,000 orang sudah bersedia untuk gugur sebagai syuhada dan ternyata kemenangan berpihak kepada mereka.

Sekalipun, kota dan kubu dibina bagi melindungi Gazimagusa daripada kemaraan tentera Sultan Selim II, ia tidak bertahan selamanya apabila tentera Uthmaniyah menduduki kota itu pada 1571.

Ketika zaman Khalifah Uthman Al Affan dan Harun Ar Rasyid, tentera Islam pernah berjaya menawan pulau itu pada 648 dan 791, tetapi berjaya dirampas semula oleh Byzantine.

Sebelum Byzantine kehilangan ibu kotanya Constantinople kepada Uthmaniyah, kuasa Rom timur itu lebih awal dikalahkan di Cyprus oleh Raja England dan sejak itu Byzantine tidak pernah berjaya merampas semula pulau Cyprus.

Pasukan perang Uthmaniyah tiba di pulau itu pada zaman pendudukan Venetian. Untuk menewaskan pertahanan Venetian di Gazimagusa bukanlah tugas mudah walaupun tentera Uthmaniyah mempamerkan keberanian serta daya juang yang tinggi.

Nama pahlawan Turki Uthmaniyah, Cambulat Bey begitu masyhur di kota pelabuhan itu kerana keberanian beliau menunggang kuda dengan laju, merempuh dan berjaya membuka pintu kota yang disekat roda besar dipenuhi mata pisau serta pedang.

Sebenarnya, sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah, Raja Venetian sudah lama bersiap sedia kerana bimbang mendengar kisah Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang begitu agresif menggerakkan tenteranya ke Eropah hingga Hungary.

Gereja dan bangunan indah yang dibina pada zaman Lusignan dirobohkan manakala batu batan digunakan untuk membina kota pertahanan.

Oleh itu, apabila berita kemangkatan Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang tiba, Raja Venetian menarik nafas lega.

Bagaimanapun, serangan tidak berlaku pada zaman Sultan Sulaiman, tetapi penggantinya Sultan Selim II meneruskan misi itu hingga berjaya menguasai pulau Cyprus sepenuhnya sekali gus menamatkan pengaruh Venetian.

Sekalipun, Turki tiba ke pulau ini sebagai kuasa tentera, mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pentadbir dengan baik. Masyarakat tempatan tidak dipaksa menukar kepercayaan asal, sebalik mereka diberi pilihan dan kebebasan.

Sejarah Cyprus turut menceritakan mengenai St Barnabas yang berbangsa Yahudi dan bersama St Paul, beliau menyebarkan agama Masihi di pulau pada zaman pemerintahan Raja Lusignan.

Apabila rajanya yang terakhir, King James mangkat, permaisuri Ratu Conoro menyerahkan pulau yang diwarisi sejak lebih 200 tahun kepada Venetian.

Sejak itu, Venetian menjadi penguasa yang menindas rakyat dengan cukai membebankan sehinggalah tentera Uthmaniyah mengepung Gazimagusa beberapa bulan lamanya dan menyebabkan tentera Vanetian menyerah kalah pada 1571.[BH]

FAKTA NOMBOR
80,000 - Tentera Uthmaniyah serang Cyprus

Tiada ulasan:

My Headlines