SYAWAL masih hangat. Ia adalah bulan perayaan bagi umat Islam sedunia. Sambutan di Malaysia luar biasa hebatnya, tetapi keceriaan menjadi teras dalam perayaan hari itu. Sebelum menjelang Syawal, kad hari raya bertebaran ke mana arah saja sebagai salam kemesraan, minta maaf zahir dan batin. Lebih daripada itu, ia menjadi penghubung silaturahim dengan sahabat-handai dan kaum keluarga yang berjauhan.
Walaupun penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) terus memuncak, namun kad hari raya masih juga banyak beredar. Pilihan pengamal pengirim kad hari raya terkini nampak berubah ke arah tulisan jawi yang lebih memikat dengan khat yang bagus-bagus.
Secara perlahan masyarakat kini lebih cenderung menggunakan tulisan jawi dalam hal seperti membuat kad hari raya berbanding beberapa tahun lalu. Sikap ini wajar, memandangkan kemudahan yang sudah ada. Komputer peribadi mempunyai perisian jawi jelas dimanfaatkan sepenuhnya sempena perayaan tahun ini.
Kad hari raya itu bukan saja menggunakan perisian jawi seadanya, tetapi telah dipertingkat penggunaan dengan grafiknya hingga dapat membentuk semacam logo yang menarik. Adunan kepandaian menggunakan seni garik dan seni khat seperti itu mencerminkan keindahan hati nurani manusia penggubalnya.
Beberapa tahun lalu, kita menemui kad hari raya yang tidak Islamik wajah dan kandungannya. Isi ucapannya berbaur kata jenaka di luar musim perayaan. Ada pula iringan karikator yang tidak senonoh. Langsung tidak menggambarkan bahawa kad itu digunakan untuk sambutan hari yang mulia.
Kebelakangan ini, suasana itu berkurangan. Mungkin generasi yang berbuat begitu telah beralih ke SMS. Maka tinggallah pengamal yang menggunakan kad hari raya tidak luar biasa itu terus memulihara seni budaya, selain menjaga nilai ketertiban budi dan syiar agama yang amat wajar, selaras dengan suasana Aidilfitri.
Walaupun perubahan itu belum menyeluruh, namun ada kemungkinan asakan daripada semangat mencintai tulisan jawi yang ditanamkan oleh guru di sekolah, mulai memberi kesan di kalangan generasi remaja.
Jika mereka tidak mampu berbuat seperti kawannya yang ada komputer canggih, namun mereka masih mahu menuliskan ucapannya dalam tulisan jawi mengikut bentuk ‘air tangan’ masing-masing sebagai persembahan kepada gurunya, malah kepada penulis yang kerap berceramah dalam Program Motivasi Jawi di ceruk rantau tanah air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan