28.10.05

Jejak Rasul 11: Masjid Adeni lambang syiar Islam di Hadibo



PANTAI Hadibo banyak melakarkan sejarah Kesultanan Mahra yang berkuasa di Sokotra, Yemen pada 1511. Penguasaan yang terlalu lama menyebabkan kesultanan ini dicemburui oleh suku kaum Arab.

Keadaan itu menyebabkan Kesultanan Mahra mendapat perlindungan British pada kurun ke-19.

Akidah tauhid tetap bergema membawa kesahihan wahyu dan kebenaran nubuwwah.

Kewujudan Masjid Adeni di persisiran pantai Hadibo adalah rentetan dakwah Islam yang berkembang di benua Afrika seawal kurun ke-7 masihi.

Meskipun, kubah masjid ini kelihatan lama, masyarakat Islam di Hadibo mengekalkannya sebagai lambang syiar Islam yang pertama bertapak di Sokotra. Ia satu-satunya bangunan masjid lama Adeni yang masih kelihatan kukuh.

Sebagai langkah pemuliharaan kubah ini dibiar berada di dalam bangunan masjid baru supaya sejarahnya sentiasa dikenang oleh generasi akan datang.

Masjid Adeni menjalani tiga kali proses pembesarannya untuk menampung jemaah yang semakin meningkat.

Penduduk di sini tidak mengetahui dengan tepat tarikh pembinaan Masjid Adeni, mereka berasa tanggungjawab untuk memperbaikinya dengan mengumpul dana secara derma dan wakaf bagi menjaga syiar Islam yang tertua ini.

Perkuburan lama masyarakat Islam turut menambahkan keunikan sejarah masjid ini. Jika diperhatikan gaya tulisan yang ada pada nesan ini, menunjukkan masyarakat Arab Islam sudah sekian lama bertapak di Pulau Sokotra .

Kedudukan Sokotra yang jauh dari tanah besar dan pergaulan menyebabkan berita dan sejarah mengenai umat Islamnya agak terbatas. Bandar utama Sokotra, Hadibo menjadi nadi bagi penduduknya mencari rezeki.

Pembangunan di bandar ini berjalan perlahan memandangkan faktor kedudukannya yang jauh dengan tanah besar Yemen.

Namun, penghuni Hadibo tidak pernah merungut atau melahirkan perasaan tidak puas hati dengan apa yang mereka hadapi.

Sebelum kedatangan Islam Sokotra menjadi milik golongan Nasrani Assyrian yang dikenali sebagai Nestorian.

Mereka memakmurkan bumi Sokotra dengan peradaban dan tamadun mereka berkurun lamanya.

Amalan dan kegiatan mereka tidak diterima oleh Paulus yang berpusat di Rom kerana dianggap bercanggah.

Kedatangan Islam yang di bawa oleh masyarakat Arab pada awal kurun ke-17 menerusi perdagangan menukar arah pegangan mereka kepada akidah tauhid.

Sumber: Jejak Rasul 11: Masjid Adeni lambang syiar Islam di Hadibo

Tiada ulasan:

My Headlines