27.10.05

Ilmuan Islam: Cheng Ho tokoh pelayar Islam unggul, Muslim sejati


Oleh Karim Sulaiman

LAKSAMANA Cheng Ho berjaya menakluki dunia melalui tujuh ekspedisi pelayaran ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik Barat dari benua Asia hingga ke Afrika. Dalam ekspedisi itu, beliau berlabuh di 30 negara.

Kejayaan tokoh Islam ini membuktikan negara China mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang teknologi pembinaan kapal dan pelayaran.

Pelayar kurun ke-15 Dinasti Ming ini dijadikan sida-sida putera Zhu Di pada umur 13 tahun.

Beliau adalah sida-sida pertama memegang jawatan laksamana di China. Cheng Ho turut melakar sejarah peradaban China apabila menjadi pegawai tertinggi tentera pertama beragama Islam.

Sejarah mencatatkan, beliau adalah pemimpin unggul mengetuai armada lebih 100 kapal bersama 27,000 orang ke lautan Barat mendahului Vasco da Gama dan Christopher Colombus menemui laluan ke Laut Timur.

Kisah Cheng Ho adalah perjuangan mencari kesempurnaan hidup menerusi Islam. Perjuangan menyempurnakan kecacatan hidupnya yang dikasi dan terpaksa menghambakan diri kepada maharaja.

Beliau tidak berpeluang mengembangkan zuriatnya. Namun Cheng Ho, tidak berputus asa dengan suratan hidupnya kerana berpegang kuat kepada ajaran Islam.

Cita-citanya tinggi untuk menunaikan ibadah haji sebagai penyempurnaan kehidupan beragamanya. Bagi mencapai matlamat itu, beliau perlu membuktikan kesetiaannya kepada Maharaja.

Cheng Ho adalah contoh Muslim sejati dan lambang keamanan sejagat.

Kehebatan dan ketokohannya pelayar unggul Islam itu dapat disaksikan dalam siri Ilmuwan Islam di TV3 malam ini.

Dalam siri itu, sejarah hidup laksamana ini ditelusuri oleh Pengarah Urusan Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing (BFSU), China, Prof Wu Zong Yu.

Katanya, mengikut rekod pelayaran, ekspedisi Cheng Ho membadai samudera lebih awal daripada pelayar terkenal Eropah. Beliau mendahului Columbus selama 87 tahun, Vasco da Gama (93 tahun) dan Maggellan (116 tahun)

Laksamana Cheng Ho dan armadanya boleh sampai ke Afrika kerana kekuatan tentera China pada masa itu.

“Namun, pada saya, orang yang bijak pada masa itu ialah Maharaja Dinasti Ming, Ming Zheng Zhu.

“Dia mengamalkan dasar luar, damai dan persahabatan. Dia bertitah tenteramkan dalam negeri sendiri dan amankan jiran sekeliling kerana semuanya sama darjat dan bersama-sama menikmati kedamaian.

“Ini adalah dasar maharaja pada masa itu,” katanya.

Wu berkata, maharaja itu juga bijak memilih laksamana yang bakal memikul amanahnya kerana misi Cheng Ho berbeza dengan matlamat pelayar Eropah.

Contohnya, pelayaran Columbus ke Amerika untuk mencari emas, tanah jajahan, membunuh ramai Red Indian dan menjual hamba ke Sepanyol.

Maggellan pula mengelilingi dunia dengan menganggap dirinya sebagai penjajah. Akhirnya, dia mati dalam peperangan dan sewaktu pulang hanya tinggal satu kapal dengan 18 orang.

Keadaan itu sangat berbeza dengan Cheng Ho. Armadanya paling kuat di dunia, tetapi tidak pernah menjajah satu negara pun

Jelasnya, Laksamana Cheng Ho memartabatkan maruah China di pentas dunia.

Dalam tujuh ekspedisinya, tiga dilakukan pada musim sejuk iaitu pada ekspedisi kedua, keempat dan kelima. Namun, dalam cuaca sebegini buruk, tidak melenturkan semangatnya untuk melakukan pelayaran. Semangatnya kental seteguh Tembok Besar China.

Kehebatan laksamana ini tidak pada semangat saja, malah diserlahkan dengan armadanya. Beliau belayar bersama lebih 200 kapal berbeza dengan pelayar Eropah seperti Columbus yang hanya membawa tiga kapal, Vasco da Gama (empat) dan Maggellan (lima).

Armada Cheng Ho umpama sebuah pulau yang bergerak di tengah samudera sementara anak kapalnya berjumlah 27,000 hingga 28,000 orang.

Tiada rekod mencatatkan beliau menghadapi masalah menguruskan sejumlah besar pengikutnya. Mereka walaupun ada menganuti ajaran Buddha, Tao dan pemuja Dewi Sakti serta beragama Islam, tidak menghalang beliau memberi arahan kepada anak buahnya supaya dipatuhi.

Tiada ulasan:

My Headlines