WALAUPUN Mawi telah mengadakan banyak konsert di seluruh negara sejak dinobat sebagai juara Akademi Fantasia 3 (AF3) tetapi konsertnya yang dihadiri kira-kira 40,000 orang penonton di Padang Perdana di Kota Bharu malam semalam dilihat berbeza kerana Pas mendakwa konsert tajaannya itu sebagai konsert alternatif.
Maksud alternatif ialah konsert yang menjadi pengganti kepada konsert-konsert lain. Dalam erti kata lain konsert itu dianggap konsert alternatif kerana ia dianggap menepati hukum-hukum agama, manakala konsert-konsert lain dianggap sebaliknya.
Ini adalah kali pertama sejak 15 tahun memerintah Kelantan, Pas memberanikan diri mengadakan konsert. Selain Mawi, M. Nasir, Rabbani, Mestika, bekas penyanyi rock D'Riyadh - Akhil Hayy dan Halim Yazid turut dijemput mengadakan persembahan.
Betulkah konsert Mawi yang dipanggil konsert Tautan Kasih itu dianggap menepati hukum-hukum agama?
Sebenarnya betul atau tidak konsert Mawi semalam dari segi hukum-hukum agama mungkin boleh dianggap perkara kedua, apatah lagi jika diukur dari sudut hukum yang muktamad atau ketepatan hukum bersifat seratus peratus.
Tetapi yang mungkin dianggap perkara pertama ialah ketika masyarakat mencari-cari di manakah hiburan yang dianggap menepati hukum-hukum agama itu, sama ada hiburan berupa filem mahupun hiburan berupa konsert muzik dan nyanyian serta lain-lain, muncul Pas memberi jawapan. Betul atau tidak betul dari hukum sudah tentu boleh dibincang tak habis-habis dan penulis percaya orang Pas akan membangkitkan perkara ini dalam sedikit masa lagi.
Jika diperhatikan pandangan dan fatwa ulama kita hari ini mengenai semua hiburan yang ada sekarang, boleh dikatakan 99 peratus daripada mereka menghukumnya sebagai haram atau sekurang-kurang mempunyai kecenderungan untuk menghukumnya begitu. Pendirian ini boleh dikatakan hampir sama di kalangan kebanyakan ulama UMNO/kerajaan dan Pas.
Jika ada perbezaan di kalangan mereka pun tidaklah ketara kerana sumber hukum agama mereka adalah sama, iaitu fikah zaman kejatuhan ilmu umat Muslim sejak beratus-ratus tahun lalu.
Bagaimanapun, terdapat segelintir ulama UMNO/kerajaan atau ulama yang menyokong UMNO/kerajaan mempunyai pendirian terbuka terhadap hiburan, tetapi mereka pula tidak disukai oleh sesetengah orang UMNO sendiri.
Oleh itu apabila muncul konsert Mawi yang diijtihad oleh Pas atau Nik Aziz dan didakwa sebagai konsert alternatif, maka masyarakat yang dulu melihat semua hiburan yang ada sekarang tidak betul atau haram kerana terpengaruh dengan pandangan dan fatwa yang ditarib oleh kebanyakan ulama kita sejak sekian lama itu terpaksa memberi perhatian dan melihat sebagai perkara baru. Mereka ingin tahu jika semua hiburan yang ada dalam masyarakat dianggap haram macam mana bentuk konsert alternatif Pas yang dianggap menepati hukum-hukum agama itu. Pada mereka sebelum ini tidak ada konsert yang didakwa menepati hukum-hukum agama seperti itu kerana semua konsert yang pernah diadakan adalah merupakan konsert komersial yang didakwa haram belaka.
Sebenarnya penulis tidak dapat menerima dakwaan mengatakan konsert Mawi semalam menepati hukum-hukum agama, tetapi penulis menganggap jika ada yang dianggap berdosa dalam konsert itu pun adalah tergolong daripada dosa kecil sahaja. Bagaimanapun, secara umumnya konsert Mawi anjuran Pas berbeza dengan konsert-konsert lain.
Dianggap konsert Mawi berbeza kerana ia dimulakan dengan sembahyang maghrib, kemudian diteruskan dengan ceramah. Selepas ceramah tamat diadakan sembahyang isyak. Bagaimanapun, bukan Mawi yang melaungkan azan dalam konsert itu seperti yang telah diisytiharkan oleh Pas, tetapi Setiausaha Politik Nik Aziz, Annal Bakri Harun. Manakala yang menjadi imam sembahyang dalam konsert berkenaan bukan Nik Aziz seperti yang dijadualkan, tetapi bekas penyanyi rock kumpulan D'Riyadh, Akhil Hayy yang bertukar menjadi penceramah Pas. Akhil antara penceramah Pas yang hebat mengkritik Mawi dalam ceramahnya.
Menurut sumber di Kota Bharu tidak semua mereka yang hadir dalam konsert Mawi itu menunaikan sembahyang kerana tidak ada air sembahyang, uzur (bagi wanita) dan lain-lain.
Mungkin pada masa akan datang Pas perlu memasangkan kemudahan pili air bergerak macam tandas bergerak di setiap tempat mereka ingin mengadakan konsert alternatif bagi membolehkan orang ramai yang datang untuk menyaksi konsert itu menunaikan sembahyang secara lebih ramai. Ataupun Pas boleh menyuruh orang ramai membawa sebotol air seberat satu liter untuk digunakan mengambil air sembahyang. Malah mungkin juga ulama Pas boleh mengeluarkan fatwa menganggap berada dalam konsert alternatifnya itu sebagai dalam keadaaan darurat dan membenarkan orang ramai bertayamum dengan batu seperti yang dilakukan dalam Mazhab Maliki. Penulis sedar bahawa cadangan akhir ini tidak akan diterima kerana mana boleh menghadiri konsert dianggap darurat, tetapi dari segi hukum fiqah dibolehkan kerana tempat mengambil air sembahyang tidak cukup serta hiburan berupa konsert itu pula sudah dianggap harus dan dicampur aduk pula dengan ibadat dan ciri-ciri agama yang lain seperti ceramah dan lain-lain.
Dianggap konsert Mawi itu juga berbeza kerana terdapat pengasingan antara kaum lelaki, kaum wanita dan mereka yang berkeluarga. Kaum lelaki diberi tempat di sebelah hilir Padang Perdana, manakala kaum wanita pula diberi tempat di sebelah hulu padang itu dan mereka yang berkeluarga diberi tempat bahagian tengah padang berkenaan.
Itulah secara kasarnya dua perkara besar yang menjadikan konsert Mawi semalam dianggap berbeza dengan konsert-konsert yang lain.
Apakah dengan dua perbezaan itu memadai untuk dianggap bahawa konsert Mawi itu menepati hukum agama atau boleh dianggap sebagai Islamik sebagai didakwa Pas?
Jika diteliti dari segi seni kata atau lirik lagu-lagu yang dipersembahkan, kita dapati anggota Exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa yang juga pengerusi konsert berkenaan mendakwa bahawa lagu-lagu yang dipersembahkan membawa mesej jelas dan bukan khayal.
Tetapi kenyataan Husam ini sudah tentu merupakan kenyataan politik dan dengan itu kita perlu melihat kenyataannya dari sudut politik. Sebaliknya kenyataan yang bukan politik ialah datang daripada Mawi sendiri.
Beliau dengan bijaknya membuat penjelasan selepas mendendang lagu nasyid dan sebelum mendendangkan lagu pop bahawa kita perlu seimbang antara akhirat dan dunia. Lalu beliau mendendangkan lagu pop termasuk lagu Arab, Nurul Ain yang dipopularkan oleh penyanyi Mesir terkenal Amr Diab.
Dengan melihat lirik lagu Nurul Ain menjadi jelas kepada kita kenyatan Husam tidak betul dan ia tidak lebih daripada kenyataan politik semata-mata.
Cuba perhatikan terjemahan sebagian lirik lagu Nurul Ain ini.
Ia berbunyi:
Kekasihku wahai cahaya mata yang menduduki dalam khayalan ku
Aku cinta pada mu sejak bertahun-tahun.
Tiada yang lain dalam fikiranku kecuali kau jua.
Kekasihku, kekasihku, kekasihku wahai cahaya mata
Dua mata tercantik di dunia yang pernah ku menyaksinya
Allah bersama kau atas kecantikan dua mata kau itu
Dua mata bersamaku, dua mata kau mencukupi menyuluh malamku.
Tidakkah ini membuktikan lagu Nurul Ain Amr Diab itu merupakan lagu mengeceh atau mengurat? Dengan itu jika ada mesej pun hanyalah mesej cinta fantasia semata-mata.
Bagaimanapun, penulis menyedari bahawa bukan mudah bagi Pas untuk mencari lagu-lagu yang bermesej baik kecuali lagu-lagu nasyid, Yassin, Waheeda dan sesetengah lagu M. Nasir dan Ramli Sarip. Tetapi selera peminat lagu pula tidak mungkin terbatas dengan lagu-lagu mereka itu sahaja. Malah mahu tidak mahu Pas mesti membuka pintu persembahan konsert kepada bermacam-macam genre lagu bersifat campur aduk.
Dari segi lirik lagu Nik Aziz pun ada mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan mengadakan pertandingan lagu untuk mengulit suami dan mengulik anak. Mungkin cadangan Nik Aziz ini perlu diubahsuai sedikit dan dijadikan keizinan membolehkan Pas mengadakan pertandingan menghasilkan lirik beretika mencakupi semua bidang kehidupan. Penulis percaya Pas boleh melakukan perkara itu dengan syarat sanggup menghulur tangan bekerjasama dengan para penulis lirik dan komposer lagu terkenal tanah air.
Sebenarnya Pas perlu juga terbuka dengan penyanyi-penyanyi lain. Jika dalam konsert Mawi semalam Pas telah menjemput M. Nasir dan lain-lain, kenapa ia tidak boleh terbuka kepada penyanyi lain yang terkenal baik perilaku mereka?
Begitu juga Pas boleh memberi pertimbangan untuk menjemput Siti dan Waheeda yang terkenal sopan itu. Penulis percaya Muslimat Pas berminat dalam perkara ini. Muslimat Pas kini menunggu lampu hijau daripada Nik Aziz sahaja.
Penulis percaya jika Nik Aziz yang melakukan perkara ini tidak sesiapa pun dalam Pas berani menghalang kerana selain kredibiliti beliau, suasana dunia sekarang memaksa orang-orang berfikiran radikal dalam Pas termasuk ulama-ulamanya supaya membuat penilain semula terhadap pandangan dan pendirian lama mereka mengenai banyak perkara termasuk hiburan. Jika mereka tidak membuat perubahan ke arah itu, mereka akan disingkir oleh gologan muda Pas yang berfikiran lebih terbuka.
Selain itu seperti penulis pernah beberapa kali menjelaskan dalam ruangan ini bahawa hukum hiburan dalam fikah bukan perkara muktamad, tetapi ia berbeza-berbeza. Tetapi yang penting ialah perlu melihat kepada maslahah atau kepentingan hiburan itu.
Dalam konteks hari ini hiburan sudah berada di tahap melampau dan ia perlu semua pihak terlibat dalam mengtarsyid atau mengorientasinya supaya dapat mengurangkan tahap melampau itu atau supaya ia menjadi lebih berguna.
Dalam pada itu Nik Aziz menganggap konsert Mawi memang mempunyai matlamat politik. Dari sudut ini penulis percaya Pas boleh menjadikan konsert Mawi sebagai konsert pilot untuk mengenal pasti bahawa penglibatannya dalam hiburan, apakah akan mendapat keuntungan atau kerugian? Penulis menganggap adalah wajar Pas melihat konsert Mawi dari sudut itu.
UMNO pula pada pandangan penulis tidak perlu menentang sikap terbuka Pas dengan hiburan termasuk menganjur konsert Mawi semalam atau menganjur konsert-konsert lain pada masa akan datang. Ini kerana tindakan Pas selain membuktikan pada dasarnya parti itu tidak anti hiburan seperti juga dengan UMNO, isu hiburan adalah masalah khilafiah yang ulama berbeza pandangan sejak zaman berzaman. Ada ulama yang menganggap hiburan dalam bentuk muzik dan nyanyian adalah haram secara mutlak dan ada ulama menganggap sebaliknya.
Dengan itu Pas yang dulu lebih cenderung kepada pengharaman hiburan secara mutlak mengubah pendirian kepada pengharusan hiburan secara nisbi dianggap kemenangan aliran sederhana yang dipegang UMNO. Pada waktu yang sama jika terdapat persembahan-persembahan hiburan pada masa lalu termasuk yang diadakan oleh UMNO didapati mempunyai kelemahan atau dianggap melanggari hukum-hukum agama boleh dinilai semula dengan mengambil iktibar daripada konsert Pas semalam yang diadakan dalam keadaan tertib, sopan dan tidak dilihat melanggari hukum-hukum agama. Penulis tidak menyuruh meniru konsert Pas bulat-bulat seperti menjemput Setiausaha Parlimen Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan bekas Imam Masjid Negara Datuk Pirdaus masing-masing menyampai ceramah dan menjadi imam dalam konsert, tetapi memadai dengan melahirkan roh Islam atau sekurang-kurangnya perkara-perkara tidak baik dalam konsert itu.
Pemimpin kerajaan sudah banyak kali menyatakan pandangan tidak puas hati dengan beberapa program hiburan yang melampau, tetapi belum ada sebarang perubahan yang ketara dibuat oleh pelbagai pihak yang menganjurkan hiburan. Dengan itu ijtihad Pas dianggap penggerak ke arah perubahan yang lebih besar.
Di pihak lain jika penulis menuntut UMNO tidak menentang keterbukaan Pas terhadap hiburan, pada waktu yang sama penulis ingin menuntut Pas supaya tidak menentang semua perkara yang dilakukan oleh UMNO.
Ambil contoh isu negara Islam dan pendekatan Islam Hadhari adalah merupakan perkara ijtihad yang Pas mempunyai pandangan berbeza tentangnya. Pas berhak untuk mempunyai pandangan berbeza tentang perkara itu, tetapi ia tidak ada hak untuk menentangnya apatah lagi Kerajaan Pusat yang memperjuangkan perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan