Oleh Hasliza Hassan
MASJID Baiturrahman di Banda Aceh, Indonesia menjadi tempat perlindungan paling selamat ketika ombak besar tsunami menenggelamkan sebahagian besar wilayah itu pada 26 Disember tahun lalu.
Ketika Aceh di puncak kegemilangan, berhadapan konflik penjajahan mahupun tragedi tsunami, masjid itu menjadi saksi dan menyimpan segala kenangan yang kini menjadi detik sejarah.
Masjid Raya Banda Aceh, Baiturrahman yang masih utuh menjadi bukti kukuhnya Islam sebagai akidah yang berakar umbi di Tanah Rencong dan cara hidup Islam kekal subur sejak pertama kali dakwah tiba di rantau ini pada kurun ke-7.
Jika di Mesir, Masjid Al-Azhar menempatkan universiti pertama dunia, di Aceh, Masjid Raya Baiturrahman adalah universiti pertama di Nusantara dengan 17 dar atau fakulti dalam pelbagai bidang.
Aceh muncul sebagai pusat pengajian agama Islam terulung di Nusantara sebelum Melaka, malah ulama Aceh khususnya dari Pasai memainkan peranan penting menasihat sultan dan membimbing rakyat apabila Islam mula bertapak di Melaka.
Berdasarkan catatan Portugis oleh Tome Pires dalam Suma Oriental pada 1414, dalam rangka dakwah ulama Pasai di Melaka, salah seorang puteri kerajaan Pasai dikahwinkan dengan Sultan Melaka berusia 72 tahun, Iskandar Syah.
Selama lapan tahun berikutnya, sultan itu dikelilingi ulama yang membimbing dan menasihati baginda hingga akhir usianya.
Pada 1457, Kerajaan Pattani pula menerima Islam dan dicatatkan dalam Hikayat Pattani bahawa ulama Pasai yang mengislamkan rajanya.
Pengasas Masjid Raya Baiturrahman, Sultan Iskandar Muda menyumbang kepada kegemilangan ilmu pada zamannya dan baginda menubuhkan lembaga pelaksana pendidikan.
Pusat pendidikan tinggi di Masjid Raya Baiturrahman mempunyai 40 tenaga pengajar dari Tanah Arab, Turki, Parsi, India dan Aceh yang menawarkan hampir 20 jurusan ilmu membuktikan komitmen baginda itu.
Di dalam masyarakat Islam, masjid sentiasa mempunyai kisah tersendiri. Bagi Masjid Raya Baiturrahman, ia membuktikan keutuhan strukturnya, kejuruteraan serta seni bina alaf silam yang mampu bertahan walau dilanda gempa dan ombak besar.
Manakala mereka yang mempercayai keajaiban tuhan, masjid di bumi Aceh antara bukti kekuasaan Allah, menyelamatkan rumah-Nya dan mereka yang berlindung di bawah bumbungnya.
Masjid Baiturrahman pernah musnah akibat kebakaran apabila Belanda menawan masjid itu pada April 1873.
Bagaimanapun masjid itu dibangunkan semula oleh Belanda dan arkitek berketurunan Itali, De Brun, memberi wajah baru dengan memperkenalkan seni bina Moghul menjadikan Masjid Baiturrahman, masjid terindah di Nusantara.
Belanda cuba memberi isyarat bahawa mereka sedia membuka ruang kepada orang Aceh beribadah, namun ia tidak memadai kerana peristiwa masjid dibakar penjajah terus terpahat dalam ingatan masyarakat Islam Aceh.
Masjid itu berjaya ditawan Belanda tetapi ia berjaya dirampas semula pejuang Aceh pada malam hari yang sama.
Empat hari selepas itu, Panglima Angkatan Perang Belanda, Mejar Jeneral J H R Kohler mengerahkan seluruh tenteranya hingga berjaya kembali menduduki masjid berkenaan.
Bagaimanapun, ketika kemenangan disangka dalam genggamannya, Kohler terbunuh dan ia memaksa Belanda berundur.
Masjid Raya Baiturrahman diperbesarkan kali kedua pada 1936 dan dibesarkan sekali lagi pada 1988.
Kini, di desa Mureue Mauggra, Indrapuri, yang terletak 45 minit perjalanan dari Banda Aceh bersemadi pejuang Aceh.
Antara pahlawan Aceh yang terus dikenang ialah Al Mujahid Sheikh Muhammad Syaman Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tengku Chik dan Tengku Panglima Polem, keturunan Sultan Iskandar Muda dari isterinya, orang kebanyakan.
Tengku Chik seorang pemimpin yang amat tegar menentang penjajah Belanda dan pasukannya digeruni musuh kerana keberanian serta kemahiran teknik tempur jarak dekat dimiliki pasukannya.
Pada era penjajahan, Panglima Polem antara pemimpin yang mengepalai perjuangan rakyat menentang Belanda.
Seperti juga keluarga Tun Sri Lanang, keturunan Panglima Polem tidak menjadi korban revolusi sosial 1945-1950 di Aceh yang banyak mengorbankan keluarga bangsawan.[Berita Harian]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan