Oleh Hasliza Hassan
PERMINTAAN tinggi terhadap rempah di Eropah pada awal kurun ke-15 dan kemunculan China sebagai kuasa di Asia menyaksikan kepesatan kegiatan perdagangan antara dunia Timur dan Barat.
Pemain utama pasaran rempah ketika itu ialah pedagang Islam yang membawa kekayaan kepada kerajaan maritim Nusantara dengan berkembangnya teknologi perkapalan, senjata dan sistem pertahanan.
Pedagang asing yang singgah bukan saja membawa barang dagangan dari dunia luar, bahkan menyebarkan berita serta idea baru kepada penguasa tempatan.
Islam juga tersebar di Asia Tenggara melalui perdagangan oleh pedagang Arab, Parsi dan India yang menyebarkan Islam bersama barang dagangan dari Timur Tengah ke Gujerat, India dan ke Asia Tenggara.
Di Aceh, Indonesia kerajaan maritim seperti Samudera Pasai bangun dan membina kekuatan melalui penguasaan perdagangan rempah di Selat Melaka termasuk memperkenalkan mata wang emas dirham menggantikan sistem barter.
Pada November 1600, kapal dagang Aceh dengan muatan lada dirompak dan ditenggelamkan oleh lanun Belanda di perairan Aceh menyebabkan pedagang Belanda yang tiba di pelabuhan Aceh dipenjarakan.
Akibat tindakan itu, Belanda menghantar perunding ke Aceh untuk menyelesaikan masalah.
Pihak perunding Aceh turut diwakili laksamana wanita Aceh yang terkenal Laksamana Kemalahayati, yang turut memimpin pasukan armana negaranya.
Rundingan yang diadakan membuahkan hasil positif kepada kedua-dua belah pihak dan kejayaan itu mungkin dipengaruhi reputasi cemerlang Laksamana Kemalahayati yang diwarisi ayah dan datuknya, juga seorang laksamana.
Beliau beberapa kali terbabit perundingan diplomatik dengan Belanda yang cuba menjalin hubungan dua hala dengan kesultanan Aceh dan pertemuan dengan utusan Inggeris, James Lancaster yang membawa surat Ratu England, Elizabeth 1.
Kecemerlangan Laksamana Kemalahayati melaksanakan tanggungjawabnya merintis peluang lebih besar kepada kaum Hawa di tanah Aceh. Sejarah membuktikan sepanjang empat dekad, empat ratu telah memerintah Aceh dengan jayanya.
Sesungguhnya sejarah lampau wanita Aceh adalah cerita ketabahan serta semangat perjuangan mereka membuktikan bahawa wanita juga mampu berjihad membela maruah negara dan bangsa.
Seperti srikandi Aceh terkenal, Cut Nyak Dhien bersama suaminya Teuku Umar menentang Belanda. Setelah suaminya gugur syahid, beliau meneruskan perjuangan dari hutan.
Pada November 1905 beliau ditawan dan dijadikan tahanan Belanda sehingga fizikalnya menjadi lemah sementara matanya hampir buta. Tokoh wanita Aceh itu, akhirnya menghembus nafas terakhir ketika dalam buangan pada usia 60 tahun.
Sekalipun tidak gugur di hujung senjata, semangat juang wanita Aceh menyinar inspirasi kepada generasi hari ini kerana jasanya memperjuangkan kemerdekaan bangsa sehingga diiktiraf sebagai Srikandi Nasional Indonesia.[Berita Harian]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan