22.10.05

Jejak Rasul 11: Massawa pusat ketamadunan

Pelabuhan paling lama di Laut Merah sebelum kedatangan Islam

MASSAWA, pelabuhan terkenal Eritrea, menyimpan sejarah suka duka Massawa sebelum dan selepas kedatangan Islam. Ia bagaikan air mengalir ke bumi menyuburkan tanah dan memberi manfaat kepada rakyatnya.

Pelabuhan ini terletak kira-kira 120 kilometer dari Asmara. Dengan kedudukannya di sebelah pantai timur Afrika, ia turut digelar Pearl of The Red Sea atau Mutiara Laut Merah.

Ia dikatakan pelabuhan terbesar dan paling selamat di Eritrea, namun untuk sampai ke sana terpaksa melalui lereng bukit yang berbahaya.

Siri Jejak Rasul 11 di TV3, petang ini, membawa penonton menyusuri pelabuhan yang penuh dengan pelbagai pengaruh, namun tetap segar dan harum dengan cahaya Islam.

Massawa dikatakan tidak seperti pelabuhan lain di Afrika yang dijadikan tempat perdagangan hamba abdi. Pelabuhan ini dilihat sebagai laluan penyebaran agama, hijrah dan tamadun.

Kegemilangannya terserlah setelah menjadi tempat pertembungan budaya dan bangsa terutama Arab dan Eropah sejak 300 tahun dulu.

Jika Asmara terkenal sebagai bandar raya Itali, Batsa di Massawa pula tersohor sebagai pekan Turki-Mesir.

Batsa pernah berada di bawah dua kekuasaan iaitu Turki ketika pemerintahan Sultan Salim 1 pada kurun ke-16 sebelum berpindah tangan ke Mesir pada kurun ke-19.

Sultan Salim 1 pernah menghantar armadanya untuk menawan Massawa dan menjadikan Batsa sebagai penempatan sementara mereka.

Dalam tempoh 300 tahun empayar Uthmaniyyah bertapak di sini, Massawa muncul sebagai pelabuhan utama perdagangan antarabangsa.

Massawa yang menjadi pintu utama ke Pulau Dahlak, sekali lagi muncul sebagai kota metropolitan ketika berada di bawah kekuasaan British pada 1950-an.

Sebelum kedatangan Islam, ia adalah pelabuhan yang paling lama di Laut Merah. Ia bagaikan tempat pertemuan bangsa dan budaya,

Ramai bangsa Arab yang berpindah ke sini sebelum hijrah pertama Nabi Muhammad SAW. Orang Arab yang terkenal dengan bangsa yang suka berniaga menjadikan Massawa sebagai pangkalan perniagaan mereka.

Sejarah turut mencatatkan rombongan hijrah umat Islam pertama dari Makkah ke Habsyah yang diketuai Uthman bin Affan dan disertai isterinya, Ruqaiyyah, anak Rasulullah SAW singgah di pantai Massawa. Perkara pertama yang mereka lakukan di situ ialah menunaikan solat dua rakaat dan lokasi tempat mereka bersolat itu masih boleh dilihat hari ini di dalam kawasan pelabuhan. [BH]

Tiada ulasan:

My Headlines