16.10.05

Personaliti: Wan Alias pastikan sejarah gemilang Islam terus dikenang

Oleh Hasliza Hassan


Berazam terbitkan 12 jilid Ensiklopedia Jejak Rasul

BERKELULUSAN dalam bidang sejarah dan tamadun Islam, disokong dengan minat dan peluang yang ada, membolehkan Che Wan Alias Abdullah mengecap kepuasan dalam kerjaya serta melalui pengalaman hidup yang manis sepanjang 58 tahun usianya kini.

Mungkin juga disebabkan pencapaian yang dicapainya hari ini, agak sukar untuk anak kelahiran Jerangau, Dungun, Terengganu itu mengimbau kisah duka yang pernah dilaluinya.

“Entahlah, saya rasa bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang saya ada. Saya mendapat kepuasan daripada tugas yang saya lakukan,” katanya sambil tertawa dan sememangnya sepanjang sesi temu bual itu, wajahnya tidak lekang dengan senyuman.

Wan Alias adalah penerbit siri dokumentari Jejak Rasul terbitan TV3 dan bertanggungjawab menerbitkan program berkenaan sejak ia mula menemui penonton pada Ramadan 1995.

Sehingga usia Jejak Rasul mencecah 11 tahun pada Ramadan kali ini, beliau masih setia menyumbang khidmat serta idea bagi memastikan sejarah kegemilangan Islam yang tersebar luar di bumi Allah terus dikenang hari ini.

Tanya apa saja mengenai Jejak Rasul, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Wan di kalangan krew penerbitan Jejak Rasul dan warga kerja TV3 akan memberi jawapan dengan panjang lebar.

Menurutnya, setiap siri Jejak Rasul mempunyai keistimewaan tersendiri dan yang penting ia mencetus kepada penemuan baru yang seterusnya mendorong untuk siri itu diteruskan selama 11 tahun berturut-turut.

Sebenarnya, pengembaraan Wan Alias menjejak sejarah tamadun Islam bermula ketika beliau berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik di Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri (kini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - Jakim) pada 1978.

Sepanjang 17 tahun berkhidmat di sana beliau mempopularkan pameran sebagai pengantara dakwah melalui usahanya mencari dan artifak bagi tujuan menubuhkan sebuah Muzium Islam.

Berikutan itu juga, beliau kemudian dipertanggungjawabkan menubuhkan perpustakaan awam Islam di Malaysia di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Wan Alias berjaya mengumpul 300 naskhah al-Quran tulisan tangan dan salah satunya adalah al-Quran bersalut emas dari Terengganu serta 3,000 manuskrip Melayu yang disimpan di Muzium Islam.

Artifak itu kini dipinjamkan kepada Muzium Kesenian Islam sebagai bahan pameran untuk orang ramai dan rujukan bagi pelajar serta penyelidik yang berminat mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah tamadun Islam di Nusantara.

Warisan lain yang berjaya diperoleh ialah set lampu mamluk yang dibeli dari luar negara, pelbagai contoh tekstil dan mata wang yang kesemuanya menjadi satu koleksi muzium yang lengkap.

“Dengan semua bahan artifak itu juga saya mengadakan pameran tamadun Islam pertama dengan kerjasama akhbar Berita Harian di Muzium Negara pada 1984.

“Enam tahun kemudian, sekali lagi dengan kerjasama Berita Harian, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (ketika itu) serta Bahagian Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri, kami mengadakan Ekspo Tamadun Islam di Pusat Islam.

“Kejayaan ekspo itu mendorong saya untuk membawa bahan pameran menjelajah seluruh negara dan penutup acara diadakan di Terengganu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata, daripada ekspo juga, lahirlah buku Pengenalan dan Sejarah Tamadun Islam yang menjadi inspirasi program Jejak Rasul dari mula hingga ke hari ini.

Format buku itu sama seperti yang dipaparkan siri Jejak Rasul yang bermula dengan kisah nabi, rasul dan diikuti dengan sejarah negara Islam serta perkembangan Islam di seluruh dunia.

Selepas kejayaan Ekspo Tamadun Islam, Wan Alias menyelaras Festival Tamadun Islam Sedunia (WICF '94) yang merubah wajah Pusat Islam menjadi pusat pameran menarik dan bersejarah pada waktu itu.

Pameran itu adalah antara projek terakhir beliau sebelum menjadi Ketua Urus Setia Penyelaras Undang-undang Sivil/Syarak di Jakim.

Selepas setahun, beliau kemudian mengambil keputusan untuk bertukar angin dan menerima pelawaan menyertai TV3 sebagai Penolong Pengurus Liason Editorial.

Projek pertama beliau di TV3 ialah menerbitkan rancangan dokumentari Jejak Rasul yang kini sudah berusia 11 tahun dan pastinya Wan Alias berbangga melihat hasil buah tangannya yang memberi kesan besar kepada umat Islam hari ini.

Malah, masih kuat semangat di hatinya untuk menghasilkan dan menerbitkan Ensiklopedia Jejak Rasul sebanyak 12 jilid yang menceritakan pengembaraan Jejak Rasul.

Katanya, usaha menghasilkan Ensiklopedia Jejak Rasul sekarang masih di peringkat penulisan, pengumpulan dan penyusunan yang diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Mengimbau zaman persekolahan, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Al-Azhar Mesir akan terbayang visual beliau mengayuh basikal setiap hari sejauh 80 kilometer.

Apabila jalan dari kampungnya ke Kuala Berang semakin baik, beliau bertukar dari Sekolah Arab Dungun (kini Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail) ke Sekolah Agama Mahmudiah di Kuala Berang.

“Dungun dengan kampung saya hanya boleh pergi menaiki bot. Jadi, apabila saya bertukar sekolah ke Kuala Berang, saya perlu berkayuh pergi balik dari rumah.

“Bagi saya itulah pengalaman hidup paling mencabar dan saya selalu cerita kepada anak-anak serta kanak-kanak di kampung pengalaman ini. Saya ingatkan mereka betapa senang dan bertuahnya hidup mereka sekarang,” katanya.[Berita Harian]

Tiada ulasan:

My Headlines