Oleh Jami’ah Shukri
MASYARAKAT Islam Zula di Eritrea, meskipun ketinggalan dari segi kemodenan, namun 2,000 penduduknya tabah menjalani kehidupan serba kekurangan. Apa yang lebih penting, Zula pernah menjadi laluan hijrah sahabat Nabi Muhammad SAW.
Laluan bersejarah itu meninggalkan kesan yang mendalam di hati masyarakat Islam di sini. Misalnya, dari segi pengorbanan dan perjuangan menghadapi cabaran fitnah sehingga mereka terpaksa berhijrah ke Habsyah.
Peninggalan daripada penghijrahan itu masih kekal hingga hari ini. Contohnya, perigi yang dibina oleh empayar Uthmaniyyah ratusan tahun dulu, turut mewarnai lembaran sejarah Kampung Zula. Ia masih digunakan sehingga hari ini sebagai sumber kehidupan masyarakat Zula.
Menurut mereka air telaga ini belum pernah kering sejak digali meskipun kemarau panjang melanda Eritrea.
Pada kurun ke-19, keharmonian penduduk Zula terganggu akibat pertempuran di antara puak Tigre yang diketuai Dejaz Nagasyh dan Raja Tewodros II dari Ethiopia.
Dejaz menuntut Tewodros II menyerahkan Zula kepada Perancis, namun dia tidak mampu berhadapan dengan kekuatan raja dari Ethiopia itu dan tewas dalam pertempuran. Akibat kekalahan itu Perancis hilang minatnya untuk bertapak di Zula.
Penduduk Zula tidak pernah berputus asa, mereka terus bersemangat untuk meneruskan kehidupan walaupun dalam serba kekurangan. Mereka sanggup melakukan apa saja pekerjaa yang boleh memberi rezeki halal.
Rata-rata masyarakat Zula menjalani kehidupan seperti ini tanpa mengadu kesusahan mereka kepada sesiapa. Bagi mereka kesenangan dan kemewahan hanya bersifat maknawi yang sukar diterjemahkan dalam bentuk zahir.
Kesederhanaan hidup mempamerkan kecekalan dan ketabahan hati mereka menghadapi apa juga cabaran yang bakal ditempuhi. Begitulah perasaan masyarakat Zula, yang jarang menyimpan cita-cita untuk menikmati kesenangan.
Justeru, kemiskinan tidak menjadi agenda utama mereka, kerana sebaik-baik kekayaan ialah orang yang kaya jiwanya.
Dalam siri Jejak Rasul 11 petang ini, turut dipaparkan pelabuhan purba Adulis.
Menurut sejarah, kaum Rashaida adalah masyarakat Badwi yang terakhir berhijrah ke sini melalui Sudan selepas mengalami kekalahan dalam pertempuran antara kaum di tanah Arab.
Pelabuhan ini diasaskan oleh Raja Yunani Patoleomy Philadolpy, pada kurun ketiga sebelum masihi. Dia menjadikan tempat ini sebagai pusat perdagangan dan markas ketenteraan. Sebahagian ahli sejarah Eritrea berpendapat masyarakat Arab adalah bangsa pertama mengguna pelabuhan ini.
Pantai yang sunyi sepi ini suatu masa dulu sibuk dengan aktiviti perdagangan dan pernah disebut oleh ulama tafsir terkenal Thabari Adulis atau Aduliyah. Ia menjadi tumpuan peniaga Quraisy sebelum kedatangan Islam.
Malah, tempat ini pernah menjadi pintu masuk utama ke benua Afrika melalui pantai timurnya Pelabuhan Adulis. Ketika Musa al-Asyari melarikan diri daripada kekejaman kaum jahiliah di Makkah, beliau ke Yemen masuk ke Habsyah melalui Pelabuhan Adulis.
Sebelum Abu Musa al-Asyari mendarat di sini, kumpulan hijrah kedua yang diketuai oleh Jaafar bin Abu Thalib terlebih dulu tiba di Pelabuhan Adulis. Mereka bertemu di sini mengatur langkah ke Debarwa untuk menghadap Najasyi yang adil. [BH]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan