31.10.05

Pintar Jawi: Seni grafik, khat serikan kad raya

SYAWAL masih hangat. Ia adalah bulan perayaan bagi umat Islam sedunia. Sambutan di Malaysia luar biasa hebatnya, tetapi keceriaan menjadi teras dalam perayaan hari itu. Sebelum menjelang Syawal, kad hari raya bertebaran ke mana arah saja sebagai salam kemesraan, minta maaf zahir dan batin. Lebih daripada itu, ia menjadi penghubung silaturahim dengan sahabat-handai dan kaum keluarga yang berjauhan.

Walaupun penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) terus memuncak, namun kad hari raya masih juga banyak beredar. Pilihan pengamal pengirim kad hari raya terkini nampak berubah ke arah tulisan jawi yang lebih memikat dengan khat yang bagus-bagus.

Secara perlahan masyarakat kini lebih cenderung menggunakan tulisan jawi dalam hal seperti membuat kad hari raya berbanding beberapa tahun lalu. Sikap ini wajar, memandangkan kemudahan yang sudah ada. Komputer peribadi mempunyai perisian jawi jelas dimanfaatkan sepenuhnya sempena perayaan tahun ini.

Kad hari raya itu bukan saja menggunakan perisian jawi seadanya, tetapi telah dipertingkat penggunaan dengan grafiknya hingga dapat membentuk semacam logo yang menarik. Adunan kepandaian menggunakan seni garik dan seni khat seperti itu mencerminkan keindahan hati nurani manusia penggubalnya.

Beberapa tahun lalu, kita menemui kad hari raya yang tidak Islamik wajah dan kandungannya. Isi ucapannya berbaur kata jenaka di luar musim perayaan. Ada pula iringan karikator yang tidak senonoh. Langsung tidak menggambarkan bahawa kad itu digunakan untuk sambutan hari yang mulia.

Kebelakangan ini, suasana itu berkurangan. Mungkin generasi yang berbuat begitu telah beralih ke SMS. Maka tinggallah pengamal yang menggunakan kad hari raya tidak luar biasa itu terus memulihara seni budaya, selain menjaga nilai ketertiban budi dan syiar agama yang amat wajar, selaras dengan suasana Aidilfitri.

Walaupun perubahan itu belum menyeluruh, namun ada kemungkinan asakan daripada semangat mencintai tulisan jawi yang ditanamkan oleh guru di sekolah, mulai memberi kesan di kalangan generasi remaja.

Jika mereka tidak mampu berbuat seperti kawannya yang ada komputer canggih, namun mereka masih mahu menuliskan ucapannya dalam tulisan jawi mengikut bentuk ‘air tangan’ masing-masing sebagai persembahan kepada gurunya, malah kepada penulis yang kerap berceramah dalam Program Motivasi Jawi di ceruk rantau tanah air.

Pintar Jawi: Hariraya atau hari raya?

KEMUSYKILANNYA ialah mengenai ejaan perkataan hari raya, sama ada perkataan itu ditulis gabung ‘hariraya’ atau ditulis berasingan ‘hari raya’. Kebanyakan perkataan itu dalam kad hari raya, katanya ditulis bersambung, sebaliknya cikgu kata ditulis berasingan.

Sebenarnya, mengikut kaedah ejaan lama, perkataan hari raya itu digabungkan menjadi satu perkataan tetapi ejaan jawi baru kedua-dua perkataan itu dipisahkan. Misalnya, kapal terbang dalam ejaan lama dieja sebagai kapal terbang. Demikian perkataan kereta api, tengah hari, jalan raya ditulis gabung: kaf-pa-lam-ta-ra-ba-nga (kapalterbang), kaf-ra-ya-ta-alif-pa-ya, ta-nga-Ha-alif-ra-ya, jim-alif-lam-nun-ra-alif-ya.

Dalam ejaan jawi baru, kata-kata bebas yang membentuk rangkai kata umum, setara (parataksis), kata istilah, simpulan bahasa hendaklah ditulis terpisah kecuali perkataan yang sudah lama terbina daripada dua bentuk kata dasar dan bentuk yang sudah mantap bentuknya.

Perkataan kereta api dalam ejaan lama ialah keretapi; tengah hari dieja sebagai kata gabung, tengahari; dan jalan raya dieja jim-alif-lam-nun-ra-alif-ya sebagai satu perkataan.

Yang dimaksudkan dengan perkataan yang telah terbina daripada dua bentuk kata dasar ialah seperti tanggungjawab, tatasusila, malapetaka. Manakala perkataan yang dikatakan bentuknya sudah mantap ialah seperti pesuruhjaya, suruhanjaya, setiausaha, sukarela, tandatangan, tanggungjawab dan matahari.

Dalam hal ini, perkataan hari raya adalah termasuk ke dalam kelompok kata bebas yang membentuk kata umum. Kedua-dua perkataan itu hendaklah ditulis terpisah, iaitu hari dan raya.

Kemungkinan besar, kad hari raya yang anda temui atau beli itu adalah tulisan yang diambil daripada mana-mana kad hari raya lama yang dicetak ulang oleh pengedarnya tanpa menyedari perbezaan di antara ejaan jawi lama dengan ejaan jawi baru.

Jejak Rasul: Beijing simpan khazanah Islam terulung



BEIJING yang turut dikenali sebagai Kota Larangan menerima kedatangan Islam sejak 1,000 tahun lalu dan kini dianggarkan bilangan umat Islam di bandar itu mencecah 250,000 orang daripada lebih 11 juta penduduknya.

Niu Jie pula bukan saja pusat perdagangan, malah turut popular di kalangan umat Islam tempatan untuk mendapatkan sumber makanan halal. Lebih penting, ia pusat perkembangan agama Islam.

Masjid Niu Jie yang dibina pada 996 ketika era pemerintahan Dinasti Song, tidak pernah susut daripada kunjungan jemaah yang terkenal berpegang teguh pada akidah Islam. Lebih 20,000 jemaah membanjiri masjid itu untuk mendirikan solat Jumaat.

Tulisan ayat suci al-Quran bertatahkan warna merah, emas dan beberapa warna lain memenuhi segenap ruang masjid tertua di Niu Jie dengan motif yang sama juga boleh dilihat pada lebih 35,000 masjid seluruh China.

Masjid Niu Jie yang digelar Li Bai Si, bermaksud gedung solat dibina di atas tapak seluas 6,000 meter persegi turut menempatkan kemudahan kelas agama, pejabat pentadbiran dan bilik wuduk.

Di situ juga ada dua makam lama dipercayai berusia lebih 700 tahun dipercayai tempat persemadian dua tokoh pendakwah, satu daripadanya milik Syeikh Ahmad al-Bartani yang banyak menyumbang kepada perkembangan Islam di Beijing.

Masjid Xia Taoyuan, satu di antara enam masjid utama di Selatan Shanghai menjadi nadi perkembangan Islam. Ia dipercayai mula berkembang apabila Shanghai membuka pintu perdagangan kepada dunia luar.

Krew Jejak Rasul ke Kashi atau Kashgar di Xinjiang, wilayah autonomi masyarakat Islam Uygur.

Kashgar dihuni lebih 200,000 penduduk daripada 30 suku kaum. Menjadi dasar Kerajaan China mengamalkan kebebasan kepada semua suku kaum untuk mengamalkan agama, budaya dan bahasa mereka.

Kampung Upoor dalam wilayah Shi Fu, 50 kilometer dari Kashgar menempatkan makam tokoh terkenal Uygur, Mehmud Kashgarli yang dilahirkan di Kashgar pada 1008.

Sebaik tamat persekolahan, beliau mengembara hampir ke seluruh rantau Asia tengah untuk mengkaji bahasa, budaya dan sejarah pelbagai suku kaum. Beliau kemudian berhijrah ke Baghdad bagi mendalami ilmu bahasa.

Ketika itulah beliau mengarang karya masyhur iaitu kamus bahasa Turki ditulis dalam bahasa Arab.

Selain kamus, Kashgarli menghasilkan manuskrip dalam bidang sastera, budaya, astronomi, geografi dan biologi yang turut menjadi rujukan utama ahli akademik.

Kashgarli kembali ke pangkuan masyarakat pada 1080 selepas 23 tahun berkelana mencari ilmu di kota Bahgdad, Iraq.

Di tanah kelahirannya, Kashgarli menabur jasa selama 25 tahun sehingga meninggal dunia pada 1105, ketika berusia 97 tahun.

28.10.05

Jejak Rasul 11: Pusat Islam Jepun sebar dakwah melalui penulisan



SELEPAS peperangan dunia kedua, masyarakat Islam dari pelbagai negara datang menetap di Jepun dan dari tahun ke tahun bilangan mereka kian bertambah.

Kegiatan dakwah semakin berkembang, namun masyarakat Islam di sana tidak memiliki satu tempat untuk menyelaras kegiatan dan kefahaman Islam.

Pada 1966, Pusat Islam Antarabangsa Jepun ditubuhkan sebagai pangkalan pergerakan dakwah Islam di negara matahari terbit itu. Malangnya, ia dibubarkan pada 1974 atas sebab tertentu dan diberi nama baru, Pusat Islam Jepun.

Selain menjadi nadi pergerakan Islam di Jepun, pusat berkenaan berperanan menyebarkan dakwah menerusi penulisan dan penerbitan melalui terjemahan buku mengenai Islam dalam bahasa Jepun.

Pusat Islam Jepun sudah menerbitkan lebih 2,000 buku. Antara yang menjadi keutamaan ialah buku berkaitan ibadat, muamalat, perundangan Islam, ekonomi dan cara pergaulan masyarakat Islam.

Pusat Islam Jepun turut membekalkan buku Islam yang diterjemah dalam bahasa Jepun dan Inggeris kepada persatuan serta pertubuhan Islam di seluruh negara dan Korea secara percuma.

Usaha berkenaan dipelopori seorang pendakwah Islam warga Jepun yang terkenal, Ahmad Ariga yang memeluk Islam pada 1900 dan menjadikan bidang penulisan sebagai medan dakwah.

Beliau juga adalah orang terawal menterjemahkan buku Islam dan al-Quran ke dalam bahasa Jepun.

Menurut pemangku pengerusi Pusat Islam Jepun yang berasal dari Pakistan, Syed Matloob Ali, kebanyakan masyarakat Jepun tersalah anggap mengenai Islam dan menjadi tanggungjawab Pusat Islam membetulkan tanggapan serong itu.

Oleh itu, katanya, pusat berkenaan sentiasa mengalu-alukan apa juga bentuk perbincangan kepada warga Jepun yang ingin mengenali dan mendekati Islam.

Perkembangan Islam di Jepun banyak berkaitan dengan persefahaman di antara Maharaja Meiji dengan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah.

Keinginan kedua-dua pemimpin untuk membebaskan hidup rakyat Jepun daripada tekanan kuasa besar mendorong mereka menjadi sahabat baik.

Putera Taro Katsura pada zaman pemerintahan Maharaja Meiji turut mementingkan pendidikan kerana pada pendapat baginda pendidikan adalah alat transformasi untuk merealisasikan impian maharaja berkenaan

Tanggapan bahawa pendidikan kunci kecemerlangan terbukti berdasarkan kesungguhan kerajaan dan rakyat menimba pengetahuan.

Tanggungjawab itu turut dipikul Persatuan Muslim Jepun, pertubuhan Islam terbesar di Jepun menjalankan aktiviti dakwah menerusi pendidikan dengan menterjemah buku Islam untuk dijadikan bahan rujukan.

Cara hidup Islam diterjemahkan sebaik mungkin oleh masyarakat Islam Jepun dalam kehidupan harian mereka termasuk bersikap tegas berkaitan makanan halal.

Jejak Rasul 11: Masjid Jami Tokyo bukti hubungan kukuh Jepun, Turki

Oleh Jami’ah Shukri


MASJID Jami di Jepun adalah manifestasi tauhid yang dikembangkan masyarakat Turki ketika Russia menguasai Turki pada 1917.

Empat huruf wau di Masjid Jami ini membuktikan akidah tauhid di bawah lembayung empayar Uthmaniyyah berkembang kukuh di Tokyo.

Huruf wau itu mewakili wahyu Ilahi yang bermaksud: "Pada hal kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi rasulnya dan bagi orang mukmin, tetapi orang munafik itu tiada mengetahuinya.” (Surah al-Munafiqun, ayat 8)

Sebahagian masyarakatnya melarikan diri ke beberapa negara termasuk Jepun untuk menyelamatkan diri daripada kuasa itu.

Kazan Turk, Qurban Ali dan Abdul Rashid Ibrahim adalah antara tokoh Islam Turki yang berhijrah ke Jepun.

Mereka mengambil keputusan untuk membina sekolah dan masjid kerana masyarakat Turki di Jepun semakin bertambah. Usaha mereka menjadi kenyataan dengan terbinanya masjid yang menjadi syiar Islam terkemuka di Tokyo pada 1938.

Hari ini, masjid asal sudah tiada lagi, ia musnah akibat faktor masa pada 1986 dan diganti dengan masjid baru yang dibina pada 1986 di tapak yang sama. Huruf wau yang menjadi simbol kekuatan empayar Islam Uthmaniyyah turut dikekalkan pada setiap masjid yang dibina oleh kerajaan Turki hingga ke hari ini.

Empat huruf wau itu membuktikan bahawa kekuatan dan kemuliaan hanya milik Allah, rasul-Nya dan orang beriman. Tazkirah berkobar mengimbas kembali kegemilangan empayar Uthmaniyyah yang mewarisi perjuangan Rasulullah bagi memastikan akidah tauhid terus berkembang ke pelusuk dunia.

Masjid Jami Tokyo yang mampu menampung seramai 600 jemaah ini membuktikan keutuhan perhubungan Jepun dan Turki sejak kurun ke-20. Walaupun hubungan itu baru, ia memberi makna yang mendalam kepada masyarakat Turki yang berada di bawah pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah.

Menurut seorang penulis Mesir, Abdul Rashid Ibrahim dari Persatuan Pemuda Islam di Kaherah, sekitar kurun ke-19 Maharaja Meiji telah mengutus sepucuk warkah kepada Sultan Abdul Hamid.

“Bahawa kamu dan saya berada di bawah tekanan kuasa besar, oleh itu ada baiknya rakyat kita saling mengenali. Kami meminta kamu menghantar bijak pandai yang mampu memperkenalkan negara kamu kepada rakyat kami.

Surat ini menggambarkan Jepun dan orang Islam bersedia untuk mewujudkan persefahaman antara satu sama lain dalam politik, ekonomi mahupun kebudayaan atau cara hidup.

“Orang Jepun terlalu memusatkan pemikiran mereka terhadap kebendaan. Mereka juga sering mempersoalkan asal usul agama.

“Persoalan kenapa khinzir tidak boleh dimakan. mereka terlalu mempersoalkan kebendaan.

“Misalnya, mereka tidak boleh menerima secara logik bahawa Allah menegah kita memakan khinzir. Pada pandangan saya, mereka melihat negara Islam dan bertanya realiti sebenar masyarakat Islam.

“Sekiranya Islam itu berkembang baik, mengapa umat Islam jadi begitu. Memang mereka sering berfikiran demikian.

“Oleh itu masyarakat Jepun melihat umat Islam harus mempunyai kedudukan yang tinggi.”

Jejak Rasul 11: Pokok Dammul Akhawain keunikan Sokotra



DAMMUL Akhawain sejenis tumbuhan istimewa hidup subur di Diksham yang terletak di dataran tinggi bahagian tengah Sokotra, Yaman.

Ia turut dikenali oleh masyarakat Sokotra sebagai dragon blood tree yang bermaksud pokok darah naga. Tumbuhan ini adalah khazanah flora yang amat berharga di pulau ini yang tidak mungkin ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.

Tumbuhan ini dipercayai hasil peninggalan zaman purba sekitar jutaan tahun lalu.

Pokok ini rata-rata mencapai ketinggian lima hingga sembilan meter. Sesiapa saja akan terpesona untuk menghayati keindahannya.

Lazimnya pokok ini bercambah secara pendebungaan setahun dua kali dan menghasilkan buahnya setahun dua kali.

Kewujudan pokok ini menjadikan Sokotra sebuah pulau yang diidami oleh setiap pengunjung.

Sebelum kehadiran akidah tauhid menyinari bumi Sokotra, tumbuhan luar biasa ini pernah disembah dan dianggap suci oleh masyarakatnya. Rupa bentuk pokok darah dua bersaudara ini yang istimewa berbanding tumbuhan lain di sini.

Menurut pengkaji alam tumbuhan, Dammul Akhawain yang indah dipandang ini mempunyai 250 jenis pokoknya yang tumbuh subur di pulau legenda ini.

Selain Diksham, pokok ini tumbuh dengan menebal di kawasan pergunungan Murmi berhampiran bandar Hadibo. Pohon yang hidup sejak jutaan tahun ini terus tumbuh dengan subur hingga kini.

Pengkaji hingga kini masih terus berusaha mengkaji kelebihan dan keistimewaannya.

Dammul Akhawain menjulang bagaikan mempunyai mahkota pada puncaknya memiliki buah yang kecil kemerah-merahan dipercayai berkhasiat untuk kesihatan.

Pokok ini tidak asing bagi masyarakat Socotra sehinggakan mereka amat mahir dan mengetahui kelebihannya.

Contohnya, getahnya boleh dijadikan cat dan bahan memperbaiki kenderaan kecil.

Namun, mereka tidak memandangnya sebagai perkara penting yang memberi manfaat.

Maklumat mengenai kelebihan pokok ini hanya diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Jejak Rasul 11: Masjid Adeni lambang syiar Islam di Hadibo



PANTAI Hadibo banyak melakarkan sejarah Kesultanan Mahra yang berkuasa di Sokotra, Yemen pada 1511. Penguasaan yang terlalu lama menyebabkan kesultanan ini dicemburui oleh suku kaum Arab.

Keadaan itu menyebabkan Kesultanan Mahra mendapat perlindungan British pada kurun ke-19.

Akidah tauhid tetap bergema membawa kesahihan wahyu dan kebenaran nubuwwah.

Kewujudan Masjid Adeni di persisiran pantai Hadibo adalah rentetan dakwah Islam yang berkembang di benua Afrika seawal kurun ke-7 masihi.

Meskipun, kubah masjid ini kelihatan lama, masyarakat Islam di Hadibo mengekalkannya sebagai lambang syiar Islam yang pertama bertapak di Sokotra. Ia satu-satunya bangunan masjid lama Adeni yang masih kelihatan kukuh.

Sebagai langkah pemuliharaan kubah ini dibiar berada di dalam bangunan masjid baru supaya sejarahnya sentiasa dikenang oleh generasi akan datang.

Masjid Adeni menjalani tiga kali proses pembesarannya untuk menampung jemaah yang semakin meningkat.

Penduduk di sini tidak mengetahui dengan tepat tarikh pembinaan Masjid Adeni, mereka berasa tanggungjawab untuk memperbaikinya dengan mengumpul dana secara derma dan wakaf bagi menjaga syiar Islam yang tertua ini.

Perkuburan lama masyarakat Islam turut menambahkan keunikan sejarah masjid ini. Jika diperhatikan gaya tulisan yang ada pada nesan ini, menunjukkan masyarakat Arab Islam sudah sekian lama bertapak di Pulau Sokotra .

Kedudukan Sokotra yang jauh dari tanah besar dan pergaulan menyebabkan berita dan sejarah mengenai umat Islamnya agak terbatas. Bandar utama Sokotra, Hadibo menjadi nadi bagi penduduknya mencari rezeki.

Pembangunan di bandar ini berjalan perlahan memandangkan faktor kedudukannya yang jauh dengan tanah besar Yemen.

Namun, penghuni Hadibo tidak pernah merungut atau melahirkan perasaan tidak puas hati dengan apa yang mereka hadapi.

Sebelum kedatangan Islam Sokotra menjadi milik golongan Nasrani Assyrian yang dikenali sebagai Nestorian.

Mereka memakmurkan bumi Sokotra dengan peradaban dan tamadun mereka berkurun lamanya.

Amalan dan kegiatan mereka tidak diterima oleh Paulus yang berpusat di Rom kerana dianggap bercanggah.

Kedatangan Islam yang di bawa oleh masyarakat Arab pada awal kurun ke-17 menerusi perdagangan menukar arah pegangan mereka kepada akidah tauhid.

Sumber: Jejak Rasul 11: Masjid Adeni lambang syiar Islam di Hadibo

Ensiklopedia Nusantara: Tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin pedoman ilmu falak Melayu

Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah




SYEIKH Muhammad Tahir bin Muhammad bin Jalaluddin Ahmad bin 'Abdullah al-Minankabawi atau Syeikh Tahir Jalaluddin, ulama berasal dari Minangkabau banyak menulis mengenai ilmu falak.

Sebenarnya, sebelum kemunculan Syeikh Tahir Jalaluddin, ada beberapa ulama dunia Melayu yang ahli dalam bidang ilmu falak. Ulama falak sezaman dengannya, termasuk Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (di Makkah), Syeikh Jamil Jambek (Minangkabau, Sumatera Barat), Syeikh Abdullah Fahim (Pulau Pinang) dan Kadi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan (Muar, Johor).

Dalam ruangan kali ini hanya memperkatakan tulisannya mengenai falak.

Di antara tulisannya adalah:

# Natijatul ‘Umur

Tulisan ini selesai ditulis pada 1355 hijrah/1936. Ia dicetak oleh Penang Printer Press, Pulau Pinang pada 1355/1936.

Kandungannya bagi mendapatkan perkiraan/perhitungan pada takwim tarikh hijri dan miladi; arah kiblat dan waktu sembahyang yang boleh digunakan selama-lama hidup.

Data diperoleh daripada naskhah yang pernah dimiliki M Zain Abdullah. Pada Sabtu, 16 Jamadilawal 1420/28 Ogos 1999 ia diserahkan pula kepada saya oleh Fauziyah M Zain Abdullah di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau, Indonesia.

# Jadawil Pati Kiraan Pada Menyatakan Waktu Yang Lima Dan Hala Qiblat Dengan Logharitma.

Ia selesai ditulis pada 15 Syaaban 1356. Cetakan pertama oleh Al-Ahmadiah Press Singapura, 1357/1938. Dicetak dalam bentuk kombinasi tulisan Melayu/Jawi dan Latin/Rumi.

Kandungannya membicarakan perhitungan falakiyah. Pada halaman 13, dicatat bahawa guru beliau bernama al-'Allamah Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khaiyath, ulama al-Haram al-Makki mengajar pelbagai ilmu di Masjidil Haram, khususnya ilmu hisab (matematik) dan ilmu falak.

Ulama itu kemudian dilantik menjadi Syeikh al-Islam Kedah. Ulama itu meninggal dunia di Batu Uban, Pulau Pinang pada Rabu, 17 Rejab 1333.

# Nukhbah at-Taqrirat fi Hisab al-Auqat wa Sammath al-Qiblat bi al-Lugharitmat

Naskhah ini tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Cetakan pertama oleh Royal Press, 745 North Bird Road, Singapura, 1356/1937.

Kandungannya membicarakan kaedah ilmu falak. Huraiannya ditulis dalam bahasa Arab, sedangkan jadual yang menggunakan angka ditulis dalam angka Rumi/Latin.

Risalah yang ada pada saya, asalnya milik Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Kadi Muar, Johor. Beliau memperolehnya sebagai hadiah daripada pengarangnya, Syeikh Tahir Jalaluddin sendiri, tertulis,Hadiyah wa tazkir li hadhrat al-Fadhil Tuan Haji Abu Bakar ibnu Hasan, bekas Kadhi Muar, minal muallif al-haqir Muhammad Thahir Jalaluddin’.

Daripada kitab hadiah itu dapat diambil kesimpulan bahawa hubungan silaturahim antara Haji Abu Bakar dengan Syeikh Tahir Jalaluddin tetap kukuh walaupun berlaku polemik dalam pegangan dan pemikiran mengenai Islam kedua-duanya. Masing-masing mengarang kitab membantah pihak lawannya.

Haji Abu Bakar daripada golongan ulama ‘kaum tua’ dan Syeikh Tahir Jalaluddin pula golongan ulama ‘kaum muda’.

# Al-Qiblah fi Nushush 'Ulama' asy-Syafi'iyah fi ma Yata'allaqu bi Istiqbal al-Qiblah asy-Syar'iyah Manqulah min Ummuhat Kutub al-Mazhab.

Ia ditulis dalam dwi bahasa, Arab dan Melayu, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping 1951, atas kebenaran mengecap (mencetak) oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, No. (18) dlm. Pk. Red. Dept 110/50, bertarikh 21 September 1950. Dicap dan dikeluarkan oleh Yahya 'Arif Kuala Kangsar.

Kandungannya membicarakan falak dalam menentukan arah kiblat.

Risalah ini mendapat pujian ulama seperti Haji Zubeir bin Ahmad Ismail Bukit Candan, Kuala Kangsar, Guru Besar Madrasah Idrisiyah, tarikh 23 Mac 1950.

Ada lapan ulama yang mengesahkan yang hampir semuanya ‘kaum tua’. Hal ini menggambarkan walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin, tokoh ulama kaum muda, namun daripada beberapa segi pemikirannya masih diterima oleh kaum tua.

Sumber: Ensiklopedia Nusantara: Tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin pedoman ilmu falak Melayu

27.10.05

Ilmuan Islam: Cheng Ho tokoh pelayar Islam unggul, Muslim sejati


Oleh Karim Sulaiman

LAKSAMANA Cheng Ho berjaya menakluki dunia melalui tujuh ekspedisi pelayaran ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik Barat dari benua Asia hingga ke Afrika. Dalam ekspedisi itu, beliau berlabuh di 30 negara.

Kejayaan tokoh Islam ini membuktikan negara China mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang teknologi pembinaan kapal dan pelayaran.

Pelayar kurun ke-15 Dinasti Ming ini dijadikan sida-sida putera Zhu Di pada umur 13 tahun.

Beliau adalah sida-sida pertama memegang jawatan laksamana di China. Cheng Ho turut melakar sejarah peradaban China apabila menjadi pegawai tertinggi tentera pertama beragama Islam.

Sejarah mencatatkan, beliau adalah pemimpin unggul mengetuai armada lebih 100 kapal bersama 27,000 orang ke lautan Barat mendahului Vasco da Gama dan Christopher Colombus menemui laluan ke Laut Timur.

Kisah Cheng Ho adalah perjuangan mencari kesempurnaan hidup menerusi Islam. Perjuangan menyempurnakan kecacatan hidupnya yang dikasi dan terpaksa menghambakan diri kepada maharaja.

Beliau tidak berpeluang mengembangkan zuriatnya. Namun Cheng Ho, tidak berputus asa dengan suratan hidupnya kerana berpegang kuat kepada ajaran Islam.

Cita-citanya tinggi untuk menunaikan ibadah haji sebagai penyempurnaan kehidupan beragamanya. Bagi mencapai matlamat itu, beliau perlu membuktikan kesetiaannya kepada Maharaja.

Cheng Ho adalah contoh Muslim sejati dan lambang keamanan sejagat.

Kehebatan dan ketokohannya pelayar unggul Islam itu dapat disaksikan dalam siri Ilmuwan Islam di TV3 malam ini.

Dalam siri itu, sejarah hidup laksamana ini ditelusuri oleh Pengarah Urusan Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing (BFSU), China, Prof Wu Zong Yu.

Katanya, mengikut rekod pelayaran, ekspedisi Cheng Ho membadai samudera lebih awal daripada pelayar terkenal Eropah. Beliau mendahului Columbus selama 87 tahun, Vasco da Gama (93 tahun) dan Maggellan (116 tahun)

Laksamana Cheng Ho dan armadanya boleh sampai ke Afrika kerana kekuatan tentera China pada masa itu.

“Namun, pada saya, orang yang bijak pada masa itu ialah Maharaja Dinasti Ming, Ming Zheng Zhu.

“Dia mengamalkan dasar luar, damai dan persahabatan. Dia bertitah tenteramkan dalam negeri sendiri dan amankan jiran sekeliling kerana semuanya sama darjat dan bersama-sama menikmati kedamaian.

“Ini adalah dasar maharaja pada masa itu,” katanya.

Wu berkata, maharaja itu juga bijak memilih laksamana yang bakal memikul amanahnya kerana misi Cheng Ho berbeza dengan matlamat pelayar Eropah.

Contohnya, pelayaran Columbus ke Amerika untuk mencari emas, tanah jajahan, membunuh ramai Red Indian dan menjual hamba ke Sepanyol.

Maggellan pula mengelilingi dunia dengan menganggap dirinya sebagai penjajah. Akhirnya, dia mati dalam peperangan dan sewaktu pulang hanya tinggal satu kapal dengan 18 orang.

Keadaan itu sangat berbeza dengan Cheng Ho. Armadanya paling kuat di dunia, tetapi tidak pernah menjajah satu negara pun

Jelasnya, Laksamana Cheng Ho memartabatkan maruah China di pentas dunia.

Dalam tujuh ekspedisinya, tiga dilakukan pada musim sejuk iaitu pada ekspedisi kedua, keempat dan kelima. Namun, dalam cuaca sebegini buruk, tidak melenturkan semangatnya untuk melakukan pelayaran. Semangatnya kental seteguh Tembok Besar China.

Kehebatan laksamana ini tidak pada semangat saja, malah diserlahkan dengan armadanya. Beliau belayar bersama lebih 200 kapal berbeza dengan pelayar Eropah seperti Columbus yang hanya membawa tiga kapal, Vasco da Gama (empat) dan Maggellan (lima).

Armada Cheng Ho umpama sebuah pulau yang bergerak di tengah samudera sementara anak kapalnya berjumlah 27,000 hingga 28,000 orang.

Tiada rekod mencatatkan beliau menghadapi masalah menguruskan sejumlah besar pengikutnya. Mereka walaupun ada menganuti ajaran Buddha, Tao dan pemuja Dewi Sakti serta beragama Islam, tidak menghalang beliau memberi arahan kepada anak buahnya supaya dipatuhi.

Jejak Rasul 11: Pulau Sokotra ‘Permata Yemen Yang Dilupai’



PULAU Sokotra kira-kira 510 kilometer dari pantai Yemen adalah pulau terbesar di sebelah timur Lautan Hindi.

Sokotra yang terletak di timur Teluk Aden dihuni hampir 40,000 orang. Pada 1507 orang Portugis pernah datang ke sini untuk meninjau peluang perdagangan.

Hadibo, sebagai bandar utama di pulau ini, menjadi tumpuan 20,000 penduduk sekitarnya mencari sinar hidup seharian mereka.

Ketika dunia berubah dilanda arus globalisasi, Hadibo dan penghuninya tidak merasakan sebarang kelebihan itu.

Malah, sesiapa saja yang menjejak kaki di sini akan merasakan dirinya seolah-olah berada pada zaman peralihan sebelum pembangunan.

Sebelum bersatu dengan Yemen, masyarakat di sini bergantung dengan sistem barter.

Pada 1990 sistem itu bertukar kepada penggunaan mata wang Riyal dan dinar Yemen.

Namun, sebahagian kecil penduduknya masih lagi mengamalkan pertukaran madu dan susu lembu di kalangan mereka.

Berdasarkan catatan pengembara kurun ke-19, pulau yang bergelar The Forgotten Diamond of Yemen atau Permata Yemen Yang Dilupai ini sukar dilawati kerana bagaikan tertutup kepada pengunjung sepanjang abad lalu.

Sementara namanya diambil daripada bahasa Sanskrit ‘dvipa sukhadra’ yang bererti pulau rahmat.

Pada kurun pertama masihi, Periplus seorang penulis berbangsa Eritrea memberitahu bahawa kebanyakan penduduk di bahagian utara Sokotra berbangsa Arab, India dan Greek. Pada waktu itu mereka berada di bawah pemerintahan Raja Hadramaut dari Yemen.

Kesuburan Pulau Sokotra dengan hasil tanaman tamarnya menjadikannya antara pengeluar utama buah kurma di Yemen.

Bagi penduduk di sekitar pelabuhan lama Souk, tamar antara sumber utama rezeki mereka selain madu lebah.

Penduduk Sokotra yang kebanyakannya beragama Islam memiliki sikap tenang dan tidak risau terhadap ekonomi atau kenaikan harga barang kerana hasil daripada tamar memadai untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Pelabuhan lama Souk, 200 tahun silam dipenuhi kapal perdagangan dan kesibukan jemaah haji dari benua Afrika yang singgah di sini

Jemaah haji dari benua itu menjadikan Pelabuhan Souk sebagai lokasi perhentian untuk mengambil bekalan seperti air, kayu dan bertukar barang keperluan dengan penduduk tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.

Persinggahan jemaah haji di pelabuhan ini bagaikan membawa rahmat kepada penduduk sekitarnya kerana mereka dapat bertukar-tukar barangan seperti gandum dan beras untuk menampung keperluan hidup yang terpencil jauh di tengah lautan.

Sebagai tukaran, mereka menyediakan madu, minyak dan daging kepada jemaah haji dari benua Afrika itu.

23.10.05

Jejak Rasul 11: Uthmaniyah terus kekalkan monumen silam

Oleh Hasliza Hassan



Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah

NICOSIA dipanggil juga dengan Lefkosa, nama yang dikenali sejak penghujung kurun ke-12, apabila Cyprus menjadi milik Knights Templar yang membeli pulau itu daripada Richard the Lion Heart.

Pengaruh Byzantine di Cyprus berakhir pada 1191, apabila raja England, Richard, merampas pulau itu dalam perjalanannya ke Jerusalem dalam misi Perang Salib ketiga disebabkan layanan buruk penguasa Byzantine ketika armadanya singgah di sana.

Sebelum kehadiran orang Turki Uthmmaniyah pada 1570, sejarah Cyprus sudah bermula ribuan tahun lebih awal dari zaman Hittites, Assyrian hingga ke zaman Venetian.

Catatan sejarah menyatakan Lefkosa suatu masa dulu dibina begitu indah sekali dengan istana dan taman-taman oleh raja dan Ratu Lusignan.

Apabila Venetian mengambil alih pulau ini dari Ratu Cornaro sejak 1489, kebimbangan terhadap ancaman kerajaan Uthmaniyah semakin dirasai di sini.

Gereja dan istana indah yang dibina ketika era Lusignan diruntuhkan, batunya dijadikan bahan binaan kota pertahanan Venetian.

Namun ketika kota dibina dan diperkukuhkan bagi melindungi istana raja, rakyat jelata terus ditindas dan diperhambakan.

Khabar mengenai Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang sedang sibuk meluaskan empayarnya sejak tahun 1520 hingga 1566 di wilayah Eropah cukup menggerunkan Raja Venetian di Cyprus.

Kebimbangan Raja Venetian menjadi kenyataan ketika Sultan Selim II bertakhta, menggantikan Sultan Sulaiman Al-Qanuni.

Tahun 1570 menyaksikan 80 ribu tentera Selim II mendarat di pantai Cyprus bagaimanapun penguasaan Uthmaniyah tidak memaksa penduduk asalnya menukar kepercayaan mereka, sebaliknya mereka bebas meneruskan tradisi yang diwarisi.

Pemerintah Uthmaniyah juga tidak memusnahkan monumen tinggalan silam seperti yang dilakukan Raja Venetian sebelumnya.



Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran pasukan tentera Uthmaniyah.

Diriwayatkan juga ketika zaman Khalifah Uthman Affan, armada tentera Islam bergerak dari Mesir dan Syria menuju Cyprus pada tahun 28 hijrah.

Armada Mesir dipimpin Abdullah bin Quais al-Jazim memasuki daerah selatan dari Larnaka manakala armada Syria diketuai Abdullah bin Sad menyerang kawasan utara dan timur pulau Cyprus.

Bersama kumpulan itu ialah Ummu Haram binti Milhan yang dipercayai bersama pasukan dari Mesir yang tiba bersama rombongan sahabat dan tabiin untuk menyebarkan Islam di pulau Cyprus ketika itu dikuasai Byzantine.

Walaupun beliau seorang wanita, Ummu Haram berhasrat untuk turut berjihad dan mati syahid. Nabi Muhammad pernah mendoakannya agar impiannya itu menjadi kenyataan.

Ketika ekspedisi jihad di Larnaka berlangsung, Ummu Haram jatuh dari kudanya dan menemui ajal, lalu dimakamkan di itu dan sebuah masjid dibangunkan bagi mengingati semangat perjuangan seorang wanita yang diberkati dengan doa seorang nabi.

Cyprus turut dijajah British dan sepanjang 1950-an, wujud gerakan kemerdekaan yang diperjuang etnik Greek bermatlamatkan penyatuan dengan Greece tetapi ditentang etnik Turki.

Pada 16 Ogos 1960, republik Cyprus yang merdeka diisytiharkan melihatkan seorang Archbishop Greek dilantik sebagai presidennya manakala naib presiden seorang berketurunan Turki.

Seperti retak menanti belah, selepas tiga tahun yang aman objektif asas kemerdekaan Cyprus yang diperjuangkan etnik Greek untuk penyatuan dengan Greece kedengaran semula.

Sejak 1963, masyarakat Turki Cyprus menyaksikan tahun-tahun penuh pergolakan akibat tindakan radikal orang Greek dalam usaha menyingkirkan etnik Turki dari pulau itu.

Pada 20 Julai 1974, pertumpahan darah di pulau rebutan ini dihentikan selepas sedekad berleluasa dan tentera kerajaan Turki memasuki bandar-bandar utamanya di utara menyebabkan pulau itu terbelah dua berdasarkan etnik.

Hubungan rapat antara Cyprus utara dengan Turki berterusan apabila mereka berjaya membentuk negara kedua di pulau itu, kerajaan baru yang merdeka tanggal 15 November 1983 dengan nama Turkish Republic of Northern Cyprus.

Selepas 22 tahun merdeka, Cyprus utara masih berjuang untuk pengiktirafan antarabangsa, namun di kalangan dunia Islam mereka sentiasa diiktiraf saudara seagama.[BH]

Cara mengeja cik, cek, che’


EJAAN perkataan cik, ca-ya-qaf iaitu kata panggilan kepada orang yang dimuliakan termasuk encik dan cikgu. Cik kata Melayu jati. Bunyi glotalnya dilambangkan dengan huruf qaf seperti perkataan budak, naik, pokok dan duduk, masing-masing dieja ba-wau-dal-qaf, nun-alif-hamzah-ya-qaf, pa-wau-kaf-way-qaf dan dal-wau-dal-wau-qaf.

Dalam ejaan jawi lama (Ejaan Jawi Za’ba) menggunakan huruf qaf untuk budak dan duduk, kaf untuk naik dan hamzah untuk pokok. Dalam ejaan jawi baru, lambang hentian glotis ialah qaf saja.

Sebaliknya, kata serapan Inggeris seperti cek, hentian glotisnya dilambangkan dengan huruf kaf. Ejaan cek ialah ca-ya-kaf seperti ejaan perkataan teks, ekspo, doktor, klinik dan kompleks yang dieja ta-ya-kaf-sin, alif-ya-kaf-sin-pa-wau, dal-wau-kaf-ta-wau-ra, kaf-lam-ya-nun-ya-kaf, dan kaf-wau-mim-pa-lam-ya-kaf-sin.

Che’ ialah nama khas yang banyak digunakan dalam masyarakat Melayu, dan nama khas itu tidak mengira jantina. Sebagai kata nama khas, ia dieja berbeza daripada dua bentuk perkataan di atas, iaitu dengan menggunakan huruf hamzah, ca-ya-hamzah. Kaedah ini berlainan dengan penetapan kaedah mengeja kata serapan daripada bahasa Inggeris (kaf) dan kata jati Melayu (qaf).

Perkataan lain yang membenarkan pengejaannya menggunakan huruf hamzah ialah panggilan hormat kepada orang yang menerima bintang kehormatan ‘Datuk’ dengan ejaan dal-alif-ta-wau-hamzah. Perkataan datuk pangkat dalam keluarga dieja sebagai kata umum, dal-alif-ta-wau-qaf – datuk.

Kesimpulannya ada tiga bentuk ejaan yang jelas di antara sebutan yang hampir serupa: cik, cek dan che’ masing-masing menggunakan lambang huruf qaf, huruf kaf dan huruf hamzah.

Kaedah ini tidak membabitkan ejaan kata serapan dari bahasa Arab. Kata serapan itu dieja mengikut kata asalnya yang menggunakan huruf-huruf qaf, kaf dan hamzah.

Misalnya, perkataan hak dan takdir dieja menggunakan huruf qaf: ha-qaf /hak/ dan ta-qaf-dal-ya-ra [tak.dir]. Perkataan syak dan takbir dieja syin-kaf /syak/ dan ta-kaf-ba-ya-ra [tak.bir]. Perkataan wuduk dan isyak dieja wau-dhad-wau-hamzah [wu.duk], ain-syin-alif-hamzah [i.syak].

Bolehkah anda bezakan

di antara ejaan berikut:

1. kaf-ra-ya-ta-ya-qaf (bahasa Melayu) - kaf-ra-ya-ta-ya-kaf (kata serapan Inggeris)

2. mim-nun-alif-pa-qaf (bahasa Melayu) - mim-na-alif-fa-qaf (kata serapan Arab)

3. ta-ra-ya-qaf (bahasa Melayu) - ta-ra-ya-kaf (kata serapan Inggeris) - tho-ra-ya-qaf (kata serapan bahasa Arab).
[BH]

22.10.05

Jejak Rasul: Pelabuhan purba Adulis pernah jadi pintu masuk utama ke benua Afrika

Oleh Jami’ah Shukri


MASYARAKAT Islam Zula di Eritrea, meskipun ketinggalan dari segi kemodenan, namun 2,000 penduduknya tabah menjalani kehidupan serba kekurangan. Apa yang lebih penting, Zula pernah menjadi laluan hijrah sahabat Nabi Muhammad SAW.

Laluan bersejarah itu meninggalkan kesan yang mendalam di hati masyarakat Islam di sini. Misalnya, dari segi pengorbanan dan perjuangan menghadapi cabaran fitnah sehingga mereka terpaksa berhijrah ke Habsyah.

Peninggalan daripada penghijrahan itu masih kekal hingga hari ini. Contohnya, perigi yang dibina oleh empayar Uthmaniyyah ratusan tahun dulu, turut mewarnai lembaran sejarah Kampung Zula. Ia masih digunakan sehingga hari ini sebagai sumber kehidupan masyarakat Zula.

Menurut mereka air telaga ini belum pernah kering sejak digali meskipun kemarau panjang melanda Eritrea.

Pada kurun ke-19, keharmonian penduduk Zula terganggu akibat pertempuran di antara puak Tigre yang diketuai Dejaz Nagasyh dan Raja Tewodros II dari Ethiopia.

Dejaz menuntut Tewodros II menyerahkan Zula kepada Perancis, namun dia tidak mampu berhadapan dengan kekuatan raja dari Ethiopia itu dan tewas dalam pertempuran. Akibat kekalahan itu Perancis hilang minatnya untuk bertapak di Zula.

Penduduk Zula tidak pernah berputus asa, mereka terus bersemangat untuk meneruskan kehidupan walaupun dalam serba kekurangan. Mereka sanggup melakukan apa saja pekerjaa yang boleh memberi rezeki halal.

Rata-rata masyarakat Zula menjalani kehidupan seperti ini tanpa mengadu kesusahan mereka kepada sesiapa. Bagi mereka kesenangan dan kemewahan hanya bersifat maknawi yang sukar diterjemahkan dalam bentuk zahir.

Kesederhanaan hidup mempamerkan kecekalan dan ketabahan hati mereka menghadapi apa juga cabaran yang bakal ditempuhi. Begitulah perasaan masyarakat Zula, yang jarang menyimpan cita-cita untuk menikmati kesenangan.

Justeru, kemiskinan tidak menjadi agenda utama mereka, kerana sebaik-baik kekayaan ialah orang yang kaya jiwanya.

Dalam siri Jejak Rasul 11 petang ini, turut dipaparkan pelabuhan purba Adulis.

Menurut sejarah, kaum Rashaida adalah masyarakat Badwi yang terakhir berhijrah ke sini melalui Sudan selepas mengalami kekalahan dalam pertempuran antara kaum di tanah Arab.

Pelabuhan ini diasaskan oleh Raja Yunani Patoleomy Philadolpy, pada kurun ketiga sebelum masihi. Dia menjadikan tempat ini sebagai pusat perdagangan dan markas ketenteraan. Sebahagian ahli sejarah Eritrea berpendapat masyarakat Arab adalah bangsa pertama mengguna pelabuhan ini.

Pantai yang sunyi sepi ini suatu masa dulu sibuk dengan aktiviti perdagangan dan pernah disebut oleh ulama tafsir terkenal Thabari Adulis atau Aduliyah. Ia menjadi tumpuan peniaga Quraisy sebelum kedatangan Islam.

Malah, tempat ini pernah menjadi pintu masuk utama ke benua Afrika melalui pantai timurnya Pelabuhan Adulis. Ketika Musa al-Asyari melarikan diri daripada kekejaman kaum jahiliah di Makkah, beliau ke Yemen masuk ke Habsyah melalui Pelabuhan Adulis.

Sebelum Abu Musa al-Asyari mendarat di sini, kumpulan hijrah kedua yang diketuai oleh Jaafar bin Abu Thalib terlebih dulu tiba di Pelabuhan Adulis. Mereka bertemu di sini mengatur langkah ke Debarwa untuk menghadap Najasyi yang adil. [BH]

Jejak Rasul 11: Massawa pusat ketamadunan

Pelabuhan paling lama di Laut Merah sebelum kedatangan Islam

MASSAWA, pelabuhan terkenal Eritrea, menyimpan sejarah suka duka Massawa sebelum dan selepas kedatangan Islam. Ia bagaikan air mengalir ke bumi menyuburkan tanah dan memberi manfaat kepada rakyatnya.

Pelabuhan ini terletak kira-kira 120 kilometer dari Asmara. Dengan kedudukannya di sebelah pantai timur Afrika, ia turut digelar Pearl of The Red Sea atau Mutiara Laut Merah.

Ia dikatakan pelabuhan terbesar dan paling selamat di Eritrea, namun untuk sampai ke sana terpaksa melalui lereng bukit yang berbahaya.

Siri Jejak Rasul 11 di TV3, petang ini, membawa penonton menyusuri pelabuhan yang penuh dengan pelbagai pengaruh, namun tetap segar dan harum dengan cahaya Islam.

Massawa dikatakan tidak seperti pelabuhan lain di Afrika yang dijadikan tempat perdagangan hamba abdi. Pelabuhan ini dilihat sebagai laluan penyebaran agama, hijrah dan tamadun.

Kegemilangannya terserlah setelah menjadi tempat pertembungan budaya dan bangsa terutama Arab dan Eropah sejak 300 tahun dulu.

Jika Asmara terkenal sebagai bandar raya Itali, Batsa di Massawa pula tersohor sebagai pekan Turki-Mesir.

Batsa pernah berada di bawah dua kekuasaan iaitu Turki ketika pemerintahan Sultan Salim 1 pada kurun ke-16 sebelum berpindah tangan ke Mesir pada kurun ke-19.

Sultan Salim 1 pernah menghantar armadanya untuk menawan Massawa dan menjadikan Batsa sebagai penempatan sementara mereka.

Dalam tempoh 300 tahun empayar Uthmaniyyah bertapak di sini, Massawa muncul sebagai pelabuhan utama perdagangan antarabangsa.

Massawa yang menjadi pintu utama ke Pulau Dahlak, sekali lagi muncul sebagai kota metropolitan ketika berada di bawah kekuasaan British pada 1950-an.

Sebelum kedatangan Islam, ia adalah pelabuhan yang paling lama di Laut Merah. Ia bagaikan tempat pertemuan bangsa dan budaya,

Ramai bangsa Arab yang berpindah ke sini sebelum hijrah pertama Nabi Muhammad SAW. Orang Arab yang terkenal dengan bangsa yang suka berniaga menjadikan Massawa sebagai pangkalan perniagaan mereka.

Sejarah turut mencatatkan rombongan hijrah umat Islam pertama dari Makkah ke Habsyah yang diketuai Uthman bin Affan dan disertai isterinya, Ruqaiyyah, anak Rasulullah SAW singgah di pantai Massawa. Perkara pertama yang mereka lakukan di situ ialah menunaikan solat dua rakaat dan lokasi tempat mereka bersolat itu masih boleh dilihat hari ini di dalam kawasan pelabuhan. [BH]

20.10.05

Jejak Rasul 11: Habsyah negara pertama hijrah sebelum Madinah

Oleh Jami’ah Shukri

ETHIOPIA negara tertua yang tidak pernah dijajah dalam sejarah di benua Afrika. Kemakmuran negara ini menggambarkan keadilan pemerintah silamnya.

Ia pernah diperintah oleh raja yang bergelar Najasyi dan kerajaan ketika itu menjangkau hingga ke Sudan, sebahagian dari Mesir dan Somalia itulah Habsyah.

Selain dikenali sebagai Habsyah di kalangan bangsa Arab, ia dikenali sebagai Abisinia sehingga kurun ke-20. Hari ini, Ethiopia merujuk kepada kedua-dua nama itu. Ethiopia muncul sebagai negara pertama hijrah umat Islam Makkah sebelum berpindah ke Madinah. [BH]

Keadilan raja dan keharmonian penduduknya menarik perhatian Rasulullah SAW sehingga Baginda memerintah sahabatnya berhijrah ke sana buat sementara waktu.

Hubungan Ethiopia dengan tanah Arab wujud sejak zaman Nabi Sulaiman dan negeri itu juga pernah berada di bawah pemerintahan Ratu Balkis, iaitu pemerintah kerajaan Saba’. Selepas kelahiran Nabi Muhammad hubungan kedua-dua negara ini semakin rapat melalui peristiwa hijrah.

Penindasan yang dideritai oleh umat Islam di Makkah menyebabkan Rasulullah diwahyukan agar mereka berhijrah ke Habsyah.

Habsyah dipilih kerana rajanya adil. Mereka bergelar Najasyi dalam bahasa Tigrinya, raja. Selain itu, kisah Najasyi diketahui oleh Rasulullah menerusi rombongan perniagaan mereka yang menyeberang Laut Merah ke tanah Arab.

Rombongan Hijrah yang pertama ialah seramai 11 lelaki dan empat wanita, antaranya Uthman bin Affan, isterinya Ruqaiyyah binti Rasulullah, Abdul Rahman bin Auf dan beberapa sahabat lain. Rombongan itu disambut baik Najasy yang menganggap mereka sebagai tetamu istimewa. Tetapi, selepas tiga bulan mereka kembali ke Makkah kerana faktor geografi di sini yang berbeza dan selepas Saidina Hamzah serta Umar al-Khattab memeluk islam.

Jika Ethiopia menyimpan jasad Najasyi, negara jirannya, Eritrea berbangga dengan lokasi pertama sahabat Rasulullah menjejaki kaki mereka. Di sanalah bermulanya segala episod sejarah hijrah dan perjuangan mereka. Negara yang sinonim dengan pergolakan, rakyatnya pula sudah biasa mengharungi peperangan selama 30 tahun.

Eritrea di Afrika Timur Laut baru mengecapi kenikmatan kemerdekaan dari Ethiopia, pada 1993. Negara ini mendapat nama daripada perkataan Yunani yang bermaksud Semenanjung. Sebahagian ahli sejarah Afrika mengatakan kalimah itu berasal daripada bahasa Arab ‘irt’ yang bermakna api yang bernyala kemerah-merahan. Orang Yunani menambahkan sebutan ‘ea’ di hadapan perkataan irt sebagai rujukan kepada bangsa mereka. Akhirnya negara ini dipanggil Eritrea.

Sebagai negara pertama menjadi lokasi hijrah, Eritrea agak istimewa berbanding negara Afrika lain. Seperti diketahui bahawa Islam masuk ke Eritrea melalui hijrah sahabat. Seperti juga diketahui bahawa Nabi cuba menjalankan dakwah di Makkah, tetapi ditentang oleh Musyrikin Quraisy. Malah, hanya sedikit kalangan mereka yang beriman dengannya. Mereka yang memeluk Islam berhadapan dengan kesukaran dan seksaan.

Selepas Nabi melihat segala bentuk seksaan yang dilakukan kaum Musyrikin ke atas mereka, lalu Baginda bersabda: “Bagaimana jika kamu berhijrah?”

Lalu sahabat bertanya: “Ke mana ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Pergilah ke bumi Habsyah. Sesungguhnya rajanya tidak pernah menzalimi seseorang dan ia adalah bumi kebenaran.”

Selepas itu, sahabat pun berhijrah ke Habsyah secara rahsia. Mereka berhijrah melalui jalan laut dan mendarat di bumi Eritrea. Habsyah dan Eritrea adalah negeri yang sama kerana dulu semuanya dikenali sebagai Habsyah.

19.10.05

Ensiklopedia Nusantara: Tabligh al-Amanat pencatat polemik tarikat di Minangkabau

Bersama Wan Mohd Saghir Abdullah

PERTIKAIAN pendapat atau khilafiah dalam beberapa persoalan keIslaman memang banyak berlaku di Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Contohnya, mengenai Tarikat Naqsyabandiyah yang menggemparkan seluruh dunia Melayu kerana penolakan oleh seorang ulama, Syeikh Ahmad Khatib Abdul Latif al-Minankabawi di Makkah. Syeikh Ahmad Khatib dibantah keras oleh ulama besar yang berasal Minangkabau juga iaitu Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka al-Minankabawi yang berasal dari Mungkar Tua, Minangkabau.

Artikel ini tidak membicarakan perkara itu, tetapi karya berjudul Tabligh al-Amanat fi Izalah al-Munkarat wa asy-Syubuhat yang disusun oleh Syeikh Sulaiman ar-Rasuli. Ia selesai ditulis pada 19 Jamadilakhir 1373 bersamaan 23 Januari 1954. Dicetak oleh Mathba'ah Nusantara, Bukit Tinggi, 1373 hijrah/1954.

Kandungannya membantah buku Tarikat Naqsyabandiyah berjudul Risalah Mutiara, jilid keenam, karangan Dr Syeikh Jalaluddin.

Catatan persoalan pelbagai segi diulas sebagai berikut.

Tuan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli menyusun Tabligh al-Amanat berdasarkan keputusan Persidangan Dewan Tarikat Parti Islam Perti pada 16 hingga 18 Februari 1954 yang menyerahkan kepercayaan kepadanya untuk membantah beberapa karangan Dr Syeikh Jalaluddin, iaitu Ketua PPTI (Persatuan Pembela Tarikat Islam).

Selanjutnya sebelum Tabligh al-Amanat diterbit atau disebarluaskan pada 13 Jamadilakhir 1373, ia dipersetujui oleh 34 ulama dalam Parti Islam Perti. Selanjutnya pada 19 Jamadilakhir 1373 bersamaan 23 Januari 1954 diperkukuhkan lagi.

Di antara kalimat dalam Tablighul Amanat, petikan muka 42-43 adalah seperti berikut “... sedari dulu bahawa yang mempertahankan Tarikat Naqsyabandi di Sumatera Tengah ini dan di Minangkabau, khususnya dengan lisan dan tulisannya ialah dua ‘ulama’ besar yang masyhur. Pertama, Syeikh Muhammad Sa'ad, Munkar, Payakumbuh.

Dipertahankannya dengan lisannya sendiri ketika pertemuan besar di Masjid Bonjol Alam Ampat Angkat pada Jamadilakhir 1334.

Pertemuan itu dihadiri Syeikh Muhammad Jamil Jambek dan Abdul Karim Amrullah. Turut hadir Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan 'ulama' lainnya.

Di samping itu, dipertahankannya dengan tulisannya dengan mengarang Risalah Tanbih al-'Awam dan Irgham Unuf al-Muta'annitin, kedua-dua risalah itu masih ada pada tangan kami.

Kedua, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, pengarang Tabligh al-Amanat yang dibicarakan sekarang. Beliau yang mempertahankan Tarikat Naqsyabandi dalam perdebatan dengan Tuan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Syeikh Muhammad Jamil Jambek dan kawannya yang lain.

Perdebatan itu berlaku di Masjid Jamik Pasir Ampat Angkat, yang dihadiri ribuan orang pada Isnin, 10 Muharam 1342.

Beliau juga mengarang Risalah al-Aqwal al-Wasithah fi az-Zikri wa ar-Rabithah yang masih ada sekarang ini sebagai mempertahankan Tarikat Naqsyabandi.

Begitulah petikan tulisan Yunus Yahya, Bukit Tinggi, 30 Ramadan 1373 yang dilampirkan dalam Tabligh al-Amanat.[BH]

Jejak Rasul 11 : Tentera Uthmaniyah ambil setahun takluki Cyprus Utara

Oleh Hasliza Hassan

FAMAGUSTA atau Gazimagusa adalah kota pelabuhan Cyprus Utara di timur Lefkosa yang disinggahi pelbagai tamadun bangsa sepanjang sejarah kewujudannya. Ia juga menjadi pelabuhan sibuk pada zaman Venetian hingga hari ini.

Republik Turki Cyprus Utara merdeka pada 1983, namun hanya Turki satu-satunya negara yang mengiktirafnya sebagai entiti berdaulat.

Hubungan sejarah antara Turki dan Cyprus Utara begitu ketara dan berterusan hingga sekarang dipaparkan melalui episod ke-14 siri Jejak Rasul 11 yang menemui penonton TV3 setiap petang sepanjang Ramadan ini.

Ketika bahtera perang Uthmaniyah melabuhkan sauh di perairan Cyprus pada 1570, anggota tentera Uthmaniyah seramai 80,000 orang sudah bersedia untuk gugur sebagai syuhada dan ternyata kemenangan berpihak kepada mereka.

Sekalipun, kota dan kubu dibina bagi melindungi Gazimagusa daripada kemaraan tentera Sultan Selim II, ia tidak bertahan selamanya apabila tentera Uthmaniyah menduduki kota itu pada 1571.

Ketika zaman Khalifah Uthman Al Affan dan Harun Ar Rasyid, tentera Islam pernah berjaya menawan pulau itu pada 648 dan 791, tetapi berjaya dirampas semula oleh Byzantine.

Sebelum Byzantine kehilangan ibu kotanya Constantinople kepada Uthmaniyah, kuasa Rom timur itu lebih awal dikalahkan di Cyprus oleh Raja England dan sejak itu Byzantine tidak pernah berjaya merampas semula pulau Cyprus.

Pasukan perang Uthmaniyah tiba di pulau itu pada zaman pendudukan Venetian. Untuk menewaskan pertahanan Venetian di Gazimagusa bukanlah tugas mudah walaupun tentera Uthmaniyah mempamerkan keberanian serta daya juang yang tinggi.

Nama pahlawan Turki Uthmaniyah, Cambulat Bey begitu masyhur di kota pelabuhan itu kerana keberanian beliau menunggang kuda dengan laju, merempuh dan berjaya membuka pintu kota yang disekat roda besar dipenuhi mata pisau serta pedang.

Sebenarnya, sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah, Raja Venetian sudah lama bersiap sedia kerana bimbang mendengar kisah Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang begitu agresif menggerakkan tenteranya ke Eropah hingga Hungary.

Gereja dan bangunan indah yang dibina pada zaman Lusignan dirobohkan manakala batu batan digunakan untuk membina kota pertahanan.

Oleh itu, apabila berita kemangkatan Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang tiba, Raja Venetian menarik nafas lega.

Bagaimanapun, serangan tidak berlaku pada zaman Sultan Sulaiman, tetapi penggantinya Sultan Selim II meneruskan misi itu hingga berjaya menguasai pulau Cyprus sepenuhnya sekali gus menamatkan pengaruh Venetian.

Sekalipun, Turki tiba ke pulau ini sebagai kuasa tentera, mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pentadbir dengan baik. Masyarakat tempatan tidak dipaksa menukar kepercayaan asal, sebalik mereka diberi pilihan dan kebebasan.

Sejarah Cyprus turut menceritakan mengenai St Barnabas yang berbangsa Yahudi dan bersama St Paul, beliau menyebarkan agama Masihi di pulau pada zaman pemerintahan Raja Lusignan.

Apabila rajanya yang terakhir, King James mangkat, permaisuri Ratu Conoro menyerahkan pulau yang diwarisi sejak lebih 200 tahun kepada Venetian.

Sejak itu, Venetian menjadi penguasa yang menindas rakyat dengan cukai membebankan sehinggalah tentera Uthmaniyah mengepung Gazimagusa beberapa bulan lamanya dan menyebabkan tentera Vanetian menyerah kalah pada 1571.[BH]

FAKTA NOMBOR
80,000 - Tentera Uthmaniyah serang Cyprus

Jejak Rasul 11: Uthmaniyah letak asas perkembangan Islam di Cyprus

Oleh Hasliza Hassan

TENTERA Uthmaniyah digeruni kerana semangat jihad menjulang panji Islam. Mereka mempunyai kemampuan tempur yang tinggi, perancangan bijak dan kelengkapan terbaik yang membawa kemenangan kepada Turki dalam usaha meluaskan empayarnya.

Muhammad Al-Fatih adalah sultan Uthamaniyah pertama merintis kemenangan dalam pertempuran di laut apabila baginda mengerahkan armada dengan kekuatan 180 kapal perang dari Gallipoli menuju Laut Aegean pada 1456.

Sejarah Cyprus dan Turki bermula sejak 1570 dan pendaratan tentera Turki di pantai pulau itu pada 20 Julai 1974 adalah satu rahmat bagi lebih 200,000 rakyat Cyprus Utara berketurunan Turki.

Etnik Greek, Greek Cypriot melancarkan kempen Enosis yang menyaksikan gerakan penghapusan etnik bagi mewujudkan sebuah negara Cyprus yang bersatu dengan Greece.

Kedatangan tentera Turki ibarat doa yang dimakbulkan Tuhan kerana kesengsaraan selama sedekad dirasakan etnik Turki, akhirnya selesai dengan campur tangan kerajaan itu. Sekali gus memisahkan Cyprus kepada dua entiti, utara dan selatan.

Girne Kapisi atau Kyrenia Gate menyaksikan seribu satu detik peristiwa sehingga terbentuk negara republik yang muda, kerajaan merdeka Republik Turki Cyprus Utara tanggal 15 November 1983.

Kisah lama berpalit darah dan air mata empat dekad lalu masih segar dalam ingatan warganya yang menyaksikan ribuan etnik Greek menyeberangi sempadan ke Cyprus Selatan selepas pulau itu dibahagi dua.

Tindakan sama dibuat etnik Turki yang berhijrah ke utara untuk memulakan kehidupan baru lebih aman.

Hari ini negara kecil yang terpinggir itu berusaha mendapat pengiktirafan dunia dan pada masa sama berhasrat untuk turut menyertai blok ekonomi Eropah.

Sejak kurun keenam dan ketujuh hijrah, tasawuf mengambil tempat dalam kehidupan umat Islam hingga menjadi falsafah hidup yang diamalkan secara individu pada mulanya dan perlahan-lahan berkembang sebagai organisasi di serata dunia Islam.

Jika di Libya dan Afrika Utara kelompok tarikat muncul sebagai kumpulan pejuang menentang penjajahan Eropah, di Cyprus pula tarikat Maulawiyah menyumbang kepada pembangunan sosial dan kebajikan masyarakatnya.

Generasi tua Cyprus masih mengingati detik bersejarah sekitar tahun 50-an ketika penduduk pulau itu mengangkat senjata cuba mengusir penjajah British.

Oleh itu, keamanan hari ini mahal nilainya bagi generasi baru Cyprus Utara kerana walaupun konflik 11 tahun antara etnik Turki dan Greek berakhir, hubungan antara dua wilayah yang berkongsi pulau Cyprus masih terasa tegangnya.

Sebagai negara republik demokratik yang sekular, majoriti penduduk Cyprus Utara adalah Muslim, hasil sejarah, budaya dan bahasa yang dikongsi bersama masyarakat tanah besar Turki.

Sejarah kehadiran tentera Uthmaniyah memasuki Lefkosa pada 1570 menamatkan zaman penindasan rakyat oleh Venetian akan terus dikenang. Begitu juga pemberontakan orang Greek terhadap kerajaan walaupun ia tidak seburuk konflik etnik 1963 lalu.

Peninggalan kesan sejarah di pulau Cyprus Utara ternyata membawa peringatan dan pengajaran agar kejadian lalu dikenang bagi mengelak kesilapan daripada berulang.[BH]

Sejarah Bani Israel kejam dan keji

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYED Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: ''Peristiwa-peristiwa ini berlaku pada masa mutaakhir, iaitu beberapa generasi selepas zaman

Nabi Musa a.s. tetapi di sini, ayat ini menyegerakan sebutan peristiwa kehinaan, kepapaan dan kemurkaan Allah itu kerana adanya kesesuaian dengan sikap mereka yang menuntut kacang `adas (dal), bawang besar, bawang putih dan mentimun, yakni sikap itu sesuai dengan perkataan Musa kepada mereka: "Jika begitu kembalilah sahaja ke negeri Mesir!" Ini kerana perkataan tersebut boleh membuat mereka terkenang kepada keadaan hidup mereka yang hina dina di negeri Mesir, terkenang kepada peristiwa mereka diselamatkan Allah daripada hidup yang hina dina itu, terkenang kepada keinginan dan kesukaan kepada makanan-makanan yang biasa dinikmati di negeri Mesir di mana mereka hidup hina.''

DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMU BERKATA: "WAHAI MUSA, KAMI TIDAK SABAR (SUDAH JEMU) DENGAN MAKANAN YANG SEMACAM SAHAJA; MAKA POHONKANLAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI, SUPAYA DIKELUARKAN BAGI KAMI SEBAHAGIAN DARIPADA APA YANG TUMBUH DI BUMI; IAITU; SAYUR-SAYURANNYA, DAN MENTIMUNNYA, DAN BAWANG PUTIHNYA, DAN ADAS (KACANG DALNYA), SERTA BAWANG MERAHNYA." NABI MUSA MENJAWAB: "ADAKAH KAMU MAHU MENUKAR SESUATU YANG KURANG BAIK DENGAN MENINGGALKAN YANG LEBIH BAIK? TURUNLAH KAMU KE BANDAR KERANA DI SANA KAMU BOLEH DAPATI APA YANG KAMU MINTA ITU." DAN MEREKA DITIMPAKAN DENGAN KEHINAAN DAN KEPAPAAN, DAN SUDAH SEPATUTNYA MEREKA MENDAPAT KEMURKAAN DARIPADA ALLAH. YANG DEMIKIAN ITU IALAH DISEBABKAN MEREKA KUFUR (MENGINGKARI) AYAT-AYAT ALLAH (PERINTAH-PERINTAH DAN MUKJIZAT-MUKJIZAT YANG MEMBUKTIKAN KEBESARANNYA); DAN MEREKA PULA MEMBUNUH NABI-NABI DENGAN TIDAK ADA ALASAN YANG BENAR. YANG DEMIKIAN ITU IALAH DISEBABKAN MEREKA MENDERHAKA DAN MEREKA PULA SENTIASA MENCEROBOH. (Surah al-Baqarah ayat 61)

Firman Allah Taala 'Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa', iaitu ketika kamu berada di padang pasir dalam kesukaran tetapi dikurniakan makanan al-manna dan as-salwa.

'Kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja', seperti yang direzekikan Allah itu sahaja. As-Syaukani di dalam tafsirnya, Fath al-Qadir berkata: "Dikehendaki dengan makanan yang satu ialah al-Manna dan as-Salwa. Kedua-duanya adalah sejenis makanan. Dan dikatakan berulang-ulang, kedua-duanya setiap hari tanpa ada makanan lain.''

Al-Imam al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: ''Sabar ialah menahan jiwa dan menahannya daripada sesuatu. Di sini fahamlah kita bahawa hakikat sabar amat terpuji dan ia sesungguhnya menjadikan seseorang hamba benar-benar layak mendapat kurniaan Allah. Betapa besarnya sabar ini sehingga ramai ulama menulis berkaitan dengan sabar. Di antaranya, al-Imam al-Khusyairi dalam kitabnya, Risalah al-Khusyairiyah menyebut takrif sabar secara panjang lebar mengikut pengertian ulama, di antaranya:

* Ibn `Ataillah as-Sakandari: ''Sabar ialah berhenti bersama bala dengan adab yang baik.''

* `Amru bin Uthman: ''Sabar ialah thabat bersama Allah dan sanggup menerima sebarang bala-Nya dengan penuh penerimaan.''

* Ibrahim al-Khawwas: ''Sabar ialah thabat di atas segala hukum Kitab dan sunah.''

* Yahya bin Muaz ar-Razi: ''Sabar ialah orang yang cintanya lebih kuat daripada sabar orang yang zuhud.''

* Zu an-Nun al-Misri: ''Sabar ialah meminta tolong kepada Allah Taala.''

* Abu Muhammad Ahmad al-Jariri: ''Sabar ialah tidak memisahkan antara keadaan nikmat dengan ujian serta tenangnya jiwa.''

* Zu an-Nun al-Misri juga berkata: ''Sabar ialah menjauhkan daripada segala kesalahan, tenang ketika menghadapi kesukaran dan menzahirkan kekayaan sekalipun ditimpa bencana dan kefakiran.''

Syeikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya, al-Manar berkata: ''Sesungguhnya diibaratkan permohonan mereka dengan huruf 'nafi' ( lan ) yang datang untuk mencabut perbuatan pada masa akan datang beserta ta'kidnya (penguat), maka seolah-olah mereka berkata: Ini melambangkan betapa ingkarnya mereka.

'Maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian daripada tumbuhan di bumi; Ini kerana kami mahu makanan-makanan yang lain dan kami merasa bosan dengan makanan yang sama'.

'Daripada sayur-sayurannya', seperti na'na', kurfus dan karas. Di dalam al-Kasyaf disebut, iaitu segala yang ditumbuhkan daripada sayur-sayuran hijau. 'Dan mentimunnya', daripada sejenis mentimun, 'Dan bawang putihnya dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya'. Jenis makanan yang makruf dan dikenali.

'Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?' Persoalan dalam bentuk mengingkari daripada Musa kepada kaumnya, lantas 'Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu'. Ini kerana jenis makanan dan tumbuhan tersebut banyak terdapat di sana. Kemudian Allah Taala memberi peringatan terhadap kesesatan, kedurjanaan dan sikap melampau mereka bersama akibatnya. Perkataan Mesir ditafsirkan dengan dua pendapat:

1. Nama bagi tempat yang tertentu tanpa dijelaskannya. Inilah pendapat Ibn Mas`ud, Ibn Abbas, Qatadah dan Ibn Zaid.

2. Ia adalah negeri yang bernama Mesir. Dalam qiraat Abdullah, al-Hasan, Talhah bin Masraf, dan al-A'masyh, (Misra) dibaca tanpa tanwin (baris dua). Abu Salih menyebut daripada Ibn Abbas bahawa dikehendaki Mesir itu ialah Firaun. Inilah pendapat Abu al-`Aliah, ad-Dhahhaq dan yang telah dipilih oleh al-Farra' berdasarkan hujah qiraat Abdullah. Ditanya tentangnya kepada

A'masyh, jawabnya: ''Ia adalah bumi Mesir yang dikuasai oleh Sulaiman bin Ali.''

Mufaddal ad-Dhabbi berkata: ''Dinamakan Mesir kerana ia akhir sempadan timur dan permulaan sempadan barat. Maka jadilah ia sebagai had atau batasan antara kedua-duanya. Iaitu zahir ayat ini, bahawa Allah mengizinkan mereka memasuki Mesir dan dikatakan perkara ini untuk melemahkan kerana mereka dalam kesesatan di padang pasir.''

Ayat ini boleh diertikan bahawa makanan yang dipinta oleh mereka itu merupakan permintaan yang amat kecil, yang tidak perlu berdoa kerana makanan itu boleh didapati dengan banyaknya di mana-mana negeri. Oleh itu, masuklah mana-

mana negeri, di sana kamu boleh mendapat makanan itu. Atau boleh diertikan, jika begitu permintaan kamu, kembalilah sahaja ke negeri Mesir, di mana kamu telah dikeluarkan darinya. Kembalilah kepada kehidupan kamu yang biasa, iaitu kehidupan yang hina dina. Perkataan ini merupakan kecaman Musa a.s. terhadap mereka.

Syed Qutub berkata: ''Saya lebih cenderung kepada pendapat ini, walaupun telah ditolak oleh sesetengah mufassirin. Ia kerana ayat ini diiringi dengan kenyataan, 'Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan.'' Kemiskinan di sini ditafsirkan kepada dua makna:

1. Kefakiran dan ketidakcukupan. Inilah pendapat Abu al-`Aliah, as-Suddi, Abu `Ubaidah dan diriwayatkan daripada as-Suddi katanya: ''Ia merupakan fakir jiwa.

2. Ia bermakna rendah diri. Inilah pendapat az-Zajjaj.

Mereka ialah golongan yang membayar jizyah sebagaimana riwayat Ibn Abbas. Daripada Qatadah dan al-Hasan katanya: "Ditimpa ke atas mereka kepapaan dan kehinaan iaitu mereka terpaksa membayar jizyah dalam keadaan yang hina."

Justeru, jadilah mereka sentiasa bersama dengan bala kehinaan, kemiskinan bahkan yang lebih parah lagi ialah sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Mereka amat berhak dimurkai Allah sebagaimana yang dikeluarkan oleh Abu Daud at-Toyalisi dan Ibn Abi Hatim daripada Ibn Mas`ud katanya: "Adalah Bani Israel pada satu hari sahaja telah membunuh tiga ratus nabi, kemudian mereka menetap di pasar sayuran mereka pada lewat hari."

Ini kerana yang demikian itu disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh nabi-nabi tanpa alasan yang benar. Dengan sebab mereka kufur terhadap ayat-ayat Allah dan takbur, di samping mereka membunuh para rasul dengan penuh kezaliman dan permusuhan.

Imam an-Nasafi di dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil berkata: "Orang Yahudi membunuh ramai nabi, di antaranya Nabi Syu`aib, Zakaria dan Yahya.'' Ibn Jarir at-Tabari berkata dalam tafsirnya, Jami' al-Bayan: ''Mereka membunuh rasul-rasul yang diutuskan Allah kepada mereka tanpa izin Allah dengan pembunuhan tersebut, di samping mereka mengingkari risalah mereka dan kenabiannya. Asal perkataan nabi ialah jalan, kerana beliau menunjukkan jalan yang zahir lagi nyata. Ada pendapat menyatakan perkataan nabi diambil daripada perkataan naba' yang memberi maksud perkhabaran atau berita kerana baginda mendapat perkhabaran daripada Tuhan dan menyampaikannya kepada manusia.''

Sayid Qutub berkata: ''Sejarah mana-mana bangsa tidak pernah menyaksikan peristiwa-peristiwa seperti yang dilakukan oleh sejarah Israel yang penuh dengan kekejaman, keingkaran, pencerobohan dan penindasan terhadap para pendakwah. Mereka membunuh, menyembelih dan menggergaji sebilangan nabi-nabi mereka. Itulah perbuatan paling keji yang dilakukan oleh satu umat terhadap pendakwah-pendakwah yang benar dan ikhlas. Mereka melakukan kekufuran, pencerobohan dan penderhakaan yang paling keji. Mereka melakukan pada bidang-bidang ini perbuatan-perbuatan yang tidak ada tolok bandingnya.

Sebagaimana yang disebut oleh Allah, 'Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh'. Dengan sebab derhaka dan melampau mereka terhadap segala hukum Allah.[UM]

* DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI , Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

16.10.05

Jejak Rasul 11: Uthmaniyah terus kekalkan monumen silam



Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah

NICOSIA dipanggil juga dengan Lefkosa, nama yang dikenali sejak penghujung kurun ke-12, apabila Cyprus menjadi milik Knights Templar yang membeli pulau itu daripada Richard the Lion Heart.

Pengaruh Byzantine di Cyprus berakhir pada 1191, apabila raja England, Richard, merampas pulau itu dalam perjalanannya ke Jerusalem dalam misi Perang Salib ketiga disebabkan layanan buruk penguasa Byzantine ketika armadanya singgah di sana.

Sebelum kehadiran orang Turki Uthmmaniyah pada 1570, sejarah Cyprus sudah bermula ribuan tahun lebih awal dari zaman Hittites, Assyrian hingga ke zaman Venetian.

Catatan sejarah menyatakan Lefkosa suatu masa dulu dibina begitu indah sekali dengan istana dan taman-taman oleh raja dan Ratu Lusignan.

Apabila Venetian mengambil alih pulau ini dari Ratu Cornaro sejak 1489, kebimbangan terhadap ancaman kerajaan Uthmaniyah semakin dirasai di sini.

Gereja dan istana indah yang dibina ketika era Lusignan diruntuhkan, batunya dijadikan bahan binaan kota pertahanan Venetian.

Namun ketika kota dibina dan diperkukuhkan bagi melindungi istana raja, rakyat jelata terus ditindas dan diperhambakan.

Khabar mengenai Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang sedang sibuk meluaskan empayarnya sejak tahun 1520 hingga 1566 di wilayah Eropah cukup menggerunkan Raja Venetian di Cyprus.

Kebimbangan Raja Venetian menjadi kenyataan ketika Sultan Selim II bertakhta, menggantikan Sultan Sulaiman Al-Qanuni.

Tahun 1570 menyaksikan 80 ribu tentera Selim II mendarat di pantai Cyprus bagaimanapun penguasaan Uthmaniyah tidak memaksa penduduk asalnya menukar kepercayaan mereka, sebaliknya mereka bebas meneruskan tradisi yang diwarisi.

Pemerintah Uthmaniyah juga tidak memusnahkan monumen tinggalan silam seperti yang dilakukan Raja Venetian sebelumnya.



Hingga ke hari ini semuanya hampir dalam keadaan asal, seperti sebelum kehadiran pasukan tentera Uthmaniyah.

Diriwayatkan juga ketika zaman Khalifah Uthman Affan, armada tentera Islam bergerak dari Mesir dan Syria menuju Cyprus pada tahun 28 hijrah.

Armada Mesir dipimpin Abdullah bin Quais al-Jazim memasuki daerah selatan dari Larnaka manakala armada Syria diketuai Abdullah bin Sad menyerang kawasan utara dan timur pulau Cyprus.

Bersama kumpulan itu ialah Ummu Haram binti Milhan yang dipercayai bersama pasukan dari Mesir yang tiba bersama rombongan sahabat dan tabiin untuk menyebarkan Islam di pulau Cyprus ketika itu dikuasai Byzantine.

Walaupun beliau seorang wanita, Ummu Haram berhasrat untuk turut berjihad dan mati syahid. Nabi Muhammad pernah mendoakannya agar impiannya itu menjadi kenyataan.

Ketika ekspedisi jihad di Larnaka berlangsung, Ummu Haram jatuh dari kudanya dan menemui ajal, lalu dimakamkan di itu dan sebuah masjid dibangunkan bagi mengingati semangat perjuangan seorang wanita yang diberkati dengan doa seorang nabi.

Cyprus turut dijajah British dan sepanjang 1950-an, wujud gerakan kemerdekaan yang diperjuang etnik Greek bermatlamatkan penyatuan dengan Greece tetapi ditentang etnik Turki.

Pada 16 Ogos 1960, republik Cyprus yang merdeka diisytiharkan melihatkan seorang Archbishop Greek dilantik sebagai presidennya manakala naib presiden seorang berketurunan Turki.

Seperti retak menanti belah, selepas tiga tahun yang aman objektif asas kemerdekaan Cyprus yang diperjuangkan etnik Greek untuk penyatuan dengan Greece kedengaran semula.

Sejak 1963, masyarakat Turki Cyprus menyaksikan tahun-tahun penuh pergolakan akibat tindakan radikal orang Greek dalam usaha menyingkirkan etnik Turki dari pulau itu.

Pada 20 Julai 1974, pertumpahan darah di pulau rebutan ini dihentikan selepas sedekad berleluasa dan tentera kerajaan Turki memasuki bandar-bandar utamanya di utara menyebabkan pulau itu terbelah dua berdasarkan etnik.

Hubungan rapat antara Cyprus utara dengan Turki berterusan apabila mereka berjaya membentuk negara kedua di pulau itu, kerajaan baru yang merdeka tanggal 15 November 1983 dengan nama Turkish Republic of Northern Cyprus.

Selepas 22 tahun merdeka, Cyprus utara masih berjuang untuk pengiktirafan antarabangsa, namun di kalangan dunia Islam mereka sentiasa diiktiraf saudara seagama.

[Berita Harian]

Jejak Rasul 11: Sultan perintah usah kasari rakyat Constantinopole

Oleh Hasliza Hassan
SPS Income - Earn Up to 10% Daily!

ROM pernah meluaskan pengaruhnya ke Anatolia pada kurun pertama masihi yang kemudian diwarisi empayar Byzantine selama lebih seribu tahun sebelum kesultanan Seljuk cuba menguasai Anatolia.

Lewat kurun ke-13 Uthmaniyah muncul sebagai kuasa baru, bukan saja di Anatolia, bahkan Timur Tengah, sebahagian Afrika Utara dan tenggara Eropah.

Pada 29 Mei 1453, majoriti penduduk Costantinople yang diisytihar sebagai ibu kota Rom yang baru oleh Maharaja Constantine bersembunyi dalam gereja sekitar kota.

Pada hari itu juga, Sultan Muhammed al-Fateh yang berjaya menawan Costantinople berpesan kepada tenteranya supaya jangan mengasari penduduknya dan mengucapkan tahniah atas mereka merealisasikan sabda Rasulullah SAW.

Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”

Antara faktor kejayaan usaha perluasan wilayah Uthmaniyah ialah persenjataannya yang lengkap seperti meriam yang ada dibuat sendiri dan diimport dari Jerman serta Hungary.

Selepas dikuasai Islam, Hagia Sophia, gereja tertua zaman Byzantine dijadikan masjid dan sehingga kini imej mozek yang sama dapat dilihat, tidak berubah sama seperti ketika Sultan Muhammed al-Fateh pertama kali melangkah masuk ke gereja berkenaan

Pada 1934, di bawah arahan Mustapha Kamal Ataturk, fungsi Hagia Sofia sebagai masjid ditamatkan dan bermula 1 feb 1935, ia hanya sebuah muzium.

Pada kurun ke-16, Mimar Sinan, jurutera Uthmaniyah terulung telah membina dinding baru pada Hagia Sophia bertujuan menguatkan strukturnya setelah mengenal pasti kelemahan di beberapa bahagian tertentu.

Sejak itu usaha membaik pulih dan pemuliharaan Hagia Sophia diteruskan membuktikan kerajaan Uthmaniyah bukan perosak monumen bersejarah.

Ketika zaman Uthmaniyah berkuasa, rakyat bukan Islam diberi kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing dan kadar jizyah dikenakan juga lebih rendah berbanding cukai yang dibebankan pada era Byzantine.

Masyarakat bukan Islam mendapat jaminan keselamatan daripada pemerintah Islam, selain diberi peluang menyertai perkhidmatan awam manakala rahib diberi hak bersesuaian dengan kedudukan sebagai pemimpin agama.

Kepercayaan agama mereka diamalkan secara terbuka dalam masyarakat Uthmaniyah hingga dalam sesetengah keadaan mendapat bantuan khusus dari kerajaan.

Apabila Andalusia di Sepanyol dikuasai sepenuhnya oleh Ferdinand dan Isabella pada 1492, umat Islam dan orang Yahudi berhadapan tekanan yang memaksa mereka meninggalkan negara itu.

Pada kurun ke-16, sebahagian masyarakat Yahudi yang meninggalkan Portugal dan Sepanyol mendapat perlindungan di wilayah dikuasai Uthmaniyah.

Selain Hagia Sophia, sebuah gereja Chora atau dalam bahasa Turki, Kariye Camii dibina di Edirnekapi yang terletak di pinggir kota Constantinople atas arahan Maharaja Constantine.[Berita Harian]

Jejak Rasul 11: Istanbul abadikan banyak peninggalan tamadun dunia

Oleh Hasliza Hassan


KEHEBATAN Istanbul sebagai salah sebuah bandar raya dunia bermula 200 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi.

Istanbul, kotanya berdiri di dua benua antara Asia dan Eropah kini menjadi kota metropolis kebanggaan Turki kerana sejarahnya yang lahir daripada tamadun bangsa silih berganti.

Kesan peninggalan tamadun seawal alaf ketiga Sebelum Masihi dari bangsa Assyrian hingga ke zaman Byzantine boleh ditemui di laluan sutera Anatolia, penyambung Barat dan Iimur dunia.

Pada muara Selat Dardanelles pernah muncul kota Troy yang terkenal dengan peristiwa kuda trojan 3,600 tahun Sebelum Masihi.

Selat yang sentiasa sibuk dengan kapal perang yang sebahagiannya terkubur di dasar Dardanelles pernah diseberangi orang Parsi, bala tentera pimpinan Alexander the Great, orang Rom, Byzantine dan Arab.

Kejayaan pasukan Gazi Sulaiman Pasa menyeberangi Selat Dardanelles pada 1354 dari Asia dan menawan kota Byzantine di Callipolis dicatatkan sejarah sebagai kejayaan pertama Uthmaniyah di Eropah.

Malah laut dan pantai di selat itu menjadi saksi pertempuran yang berlarutan selama sembilan bulan dari April 1915 hingga awal 1916 antara tentera bersekutu yang dipimpin Sir Winston Churchill dengan kerajaan Uthmaniyah.

Perang Cannakale di Semenanjung Gallipoli itu menyaksikan kegagalan kuasa Barat mencapai objektif mereka, kononnya mahu mengekang ancaman terhadap negara sekutu di Balkan.

Ternyata persenjataan lengkap, teknik dan taktik perang semata-mata tidak memadai untuk pihak bersekutu mara dan mencapai objektif mereka, sebaliknya menyaksikan setengah juta nyawa tentera bersekutu menjadi taruhan di Gallipoli.

Pasukan bersekutu yang dianggotai Australia, Britain, Perancis, India dan New Zealand yang mendarat di pantai barat semenanjung ini tidak menjangka mereka akan berkubur di wilayah asing itu.

Tentera Turki sememangnya telah bersedia menggadaikan darah dan nyawa apabila tentera bersekutu British dan Perancis mula mendarat di hujung Semenanjung Gallipoli, sementara Australia dan New Zealand mendarat di Anzac Cove.

Pendaratan kedua pasukan bersekutu hampir empat bulan kemudiannya pada 7 Ogos 1915 di Teluk Suvla juga tidak membawa mereka untuk mara lebih jauh, tetapi melihat penambahan jumlah korban di kedua-dua belah pihak.

Dalam serangan awal tentera bersekutu di Anzac Cove, 10,000 anggota Turki cedera manakala dianggarkan 3,000 yang lain terkorban.

Berkat keberanian dan semangat juang anak Turki mempertahankan Semenanjung Gallipoli, menjelang 1916 atau selepas sembilan bulan bertempur, pasukan bersekutu akhirnya berundur dari wilayah Turki.

Selain kisah Perang Dunia Pertamanya, cerita perang zaman purba yang berlaku 3,600 tahun Sebelum Masihi turut menarik pelancong untuk melihat kuda kayu di Truva atau Troia, taman sejarah negara.

Mengikut sejarah kuda trojan, kuda kayu yang ditinggalkan tentera Sparta diheret masuk ke dalam kota untuk dipersembahkan kepada Dewi Athena, sekalipun sudah diberi amaran ia mungkin suatu tipu muslihat orang Greek.

Menjelang dinihari, perajurit Sparta yang bersembunyi di dalam kuda kayu keluar menyerang penghuni kota yang nyenyak tidur, serta membakar rumah dalam kota Troia.

Perang Trojan meletus apabila Paris, putera Raja Troia melarikan permaisuri Raja Spartan, Helen.

Selama 10 tahun Raja Spartan mencuba merampas kembali permaisurinya tetapi gagal hinggalah muslihat kuda trojan digunakan.

Kisah kuda trojan dan perang Cannakale hanya pengajaran bahawa musuh sentiasa mencari helah mengabui mata kasar yang lalai dan bersedia memecah masuk ke kubu yang lemah.
[Berita Harian]

Personaliti: Wan Alias pastikan sejarah gemilang Islam terus dikenang

Oleh Hasliza Hassan


Berazam terbitkan 12 jilid Ensiklopedia Jejak Rasul

BERKELULUSAN dalam bidang sejarah dan tamadun Islam, disokong dengan minat dan peluang yang ada, membolehkan Che Wan Alias Abdullah mengecap kepuasan dalam kerjaya serta melalui pengalaman hidup yang manis sepanjang 58 tahun usianya kini.

Mungkin juga disebabkan pencapaian yang dicapainya hari ini, agak sukar untuk anak kelahiran Jerangau, Dungun, Terengganu itu mengimbau kisah duka yang pernah dilaluinya.

“Entahlah, saya rasa bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang saya ada. Saya mendapat kepuasan daripada tugas yang saya lakukan,” katanya sambil tertawa dan sememangnya sepanjang sesi temu bual itu, wajahnya tidak lekang dengan senyuman.

Wan Alias adalah penerbit siri dokumentari Jejak Rasul terbitan TV3 dan bertanggungjawab menerbitkan program berkenaan sejak ia mula menemui penonton pada Ramadan 1995.

Sehingga usia Jejak Rasul mencecah 11 tahun pada Ramadan kali ini, beliau masih setia menyumbang khidmat serta idea bagi memastikan sejarah kegemilangan Islam yang tersebar luar di bumi Allah terus dikenang hari ini.

Tanya apa saja mengenai Jejak Rasul, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Wan di kalangan krew penerbitan Jejak Rasul dan warga kerja TV3 akan memberi jawapan dengan panjang lebar.

Menurutnya, setiap siri Jejak Rasul mempunyai keistimewaan tersendiri dan yang penting ia mencetus kepada penemuan baru yang seterusnya mendorong untuk siri itu diteruskan selama 11 tahun berturut-turut.

Sebenarnya, pengembaraan Wan Alias menjejak sejarah tamadun Islam bermula ketika beliau berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik di Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri (kini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - Jakim) pada 1978.

Sepanjang 17 tahun berkhidmat di sana beliau mempopularkan pameran sebagai pengantara dakwah melalui usahanya mencari dan artifak bagi tujuan menubuhkan sebuah Muzium Islam.

Berikutan itu juga, beliau kemudian dipertanggungjawabkan menubuhkan perpustakaan awam Islam di Malaysia di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Wan Alias berjaya mengumpul 300 naskhah al-Quran tulisan tangan dan salah satunya adalah al-Quran bersalut emas dari Terengganu serta 3,000 manuskrip Melayu yang disimpan di Muzium Islam.

Artifak itu kini dipinjamkan kepada Muzium Kesenian Islam sebagai bahan pameran untuk orang ramai dan rujukan bagi pelajar serta penyelidik yang berminat mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah tamadun Islam di Nusantara.

Warisan lain yang berjaya diperoleh ialah set lampu mamluk yang dibeli dari luar negara, pelbagai contoh tekstil dan mata wang yang kesemuanya menjadi satu koleksi muzium yang lengkap.

“Dengan semua bahan artifak itu juga saya mengadakan pameran tamadun Islam pertama dengan kerjasama akhbar Berita Harian di Muzium Negara pada 1984.

“Enam tahun kemudian, sekali lagi dengan kerjasama Berita Harian, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (ketika itu) serta Bahagian Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri, kami mengadakan Ekspo Tamadun Islam di Pusat Islam.

“Kejayaan ekspo itu mendorong saya untuk membawa bahan pameran menjelajah seluruh negara dan penutup acara diadakan di Terengganu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata, daripada ekspo juga, lahirlah buku Pengenalan dan Sejarah Tamadun Islam yang menjadi inspirasi program Jejak Rasul dari mula hingga ke hari ini.

Format buku itu sama seperti yang dipaparkan siri Jejak Rasul yang bermula dengan kisah nabi, rasul dan diikuti dengan sejarah negara Islam serta perkembangan Islam di seluruh dunia.

Selepas kejayaan Ekspo Tamadun Islam, Wan Alias menyelaras Festival Tamadun Islam Sedunia (WICF '94) yang merubah wajah Pusat Islam menjadi pusat pameran menarik dan bersejarah pada waktu itu.

Pameran itu adalah antara projek terakhir beliau sebelum menjadi Ketua Urus Setia Penyelaras Undang-undang Sivil/Syarak di Jakim.

Selepas setahun, beliau kemudian mengambil keputusan untuk bertukar angin dan menerima pelawaan menyertai TV3 sebagai Penolong Pengurus Liason Editorial.

Projek pertama beliau di TV3 ialah menerbitkan rancangan dokumentari Jejak Rasul yang kini sudah berusia 11 tahun dan pastinya Wan Alias berbangga melihat hasil buah tangannya yang memberi kesan besar kepada umat Islam hari ini.

Malah, masih kuat semangat di hatinya untuk menghasilkan dan menerbitkan Ensiklopedia Jejak Rasul sebanyak 12 jilid yang menceritakan pengembaraan Jejak Rasul.

Katanya, usaha menghasilkan Ensiklopedia Jejak Rasul sekarang masih di peringkat penulisan, pengumpulan dan penyusunan yang diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Mengimbau zaman persekolahan, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Al-Azhar Mesir akan terbayang visual beliau mengayuh basikal setiap hari sejauh 80 kilometer.

Apabila jalan dari kampungnya ke Kuala Berang semakin baik, beliau bertukar dari Sekolah Arab Dungun (kini Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail) ke Sekolah Agama Mahmudiah di Kuala Berang.

“Dungun dengan kampung saya hanya boleh pergi menaiki bot. Jadi, apabila saya bertukar sekolah ke Kuala Berang, saya perlu berkayuh pergi balik dari rumah.

“Bagi saya itulah pengalaman hidup paling mencabar dan saya selalu cerita kepada anak-anak serta kanak-kanak di kampung pengalaman ini. Saya ingatkan mereka betapa senang dan bertuahnya hidup mereka sekarang,” katanya.[Berita Harian]

Jejak Rasul 11: Turki bantu Aceh lawan Portugal

Oleh Hasliza Hassan


ISTANBUL, Turki pernah dikenali sebagai ‘Islambul’ yang bermaksud Kota Islam yang dibelah dua oleh Selat Bosphorus, memisahkan benua Asia dari Eropah.

Menara masjid yang kelihatan di mana saja di kota itu menggambarkan pengaruh Islam yang kuat sepanjang 471 tahun era Uthmaniyah di Istanbul.

Sejak 1453 hingga 1924 iaitu dari detik Muhammad Al-Fateh membuka kota Constantinople hingga ke saat Mustafa Kamal Atarturk mengisytiharkan berakhirnya institusi Khalifah Uthmaniyah di Turki, 1001 peristiwa tercatat di lembaran sejarah Islam.

Keagungan Sultan Sulaiman Al-Qanuni, pembina empayar Uthmaniyah yang mewariskan kemegahan Islam melalui perluasan jajahan takluk dan penyebaran agama Islam, masih disebut hingga hari ini.

Mungkin kejayaan itulah yang menjadi inspirasi kepada Sultan Aceh, Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahhar, hingga merangsang beliau menghantar wakil diplomatik ke Istanbul.

Rombongan Aceh tiba di Istanbul dengan kapal bermuatan lada, komoditi paling berharga zaman itu ditugaskan Sultan Alauddin mempersembahkan lada yang dibawa kepada Sultan Sulaiman.

Lada yang dibawa itu juga menjadi sumber perbelanjaan selama rombongan itu di Istanbul menanti dibenarkan menghadap Sultan Sulaiman yang sedang memimpin tenteranya di Hungary.

Akhirnya, Sultan Sulaiman mangkat pada 1566 dan jasadnya dibawa pulang untuk dimakamkan di Masjid Sulaimaniye, Edirne.

Cubaan rombongan Aceh untuk menghadap khalifah yang baru juga tidak pernah berjaya, sedangkan mereka sudah terlalu lama di Turki dan bekalan lada yang dibawa semakin hari semakin susut dijual di pasar.

Suatu hari khalifah melawat pasar dan kesempatan keemasan itu dimanfaatkan utusan Aceh untuk menyampaikan salam sultan mereka serta mempersembahkan hadiah kepada khalifah iaitu secupak lada, baki terakhir bekalan mereka.

Ancaman Portugis di Nusantara turut diceritakan kepada sultan, maka baginda mengerahkan armadanya bersama meriam Turki, tukang mahir membuat meriam dan senjata api pulang bersama rombongan Aceh.

Sempena peristiwa bersejarah itu, meriam Turki yang dihantar ke Aceh.

Pelabuhan Melaka bersejarah adalah kota rebutan di Selat Melaka yang menyaksikan kehadiran tiga kuasa Eropah sejak 1511 berpunca daripada perdagangan rempah yang dikuasai pedagang Islam yang berulang alik antara dunia timur dan barat.

Sebelum berdirinya kesultanan Melayu Melaka, di Samudera Pasai sudah terbina sebuah kesultanan Islam menguasai perdagangan lada yang sultannya bersambung nasab dengan Rasulullah SAW.

Samudera Pasai yang terkenal kerana sultannya menghormati ulama dan menyokong usaha penyebaran Islam menjadi tumpuan persinggahan pedagang Islam dari India, Parsi dan Yaman.

Sultan Melaka memeluk Islam dan menjadi menantu Sultan Pasai 97 tahun sebelum pencerobohan Portugis ke atas Melaka dan sejak itu ulama Pasai sering mengunjungi istana Melaka bagi membimbing sultannya.

Pada masa sama, pelabuhan Melaka semakin sibuk dikunjungi pedagang Islam selama lebih sembilan dekad berikutnya, sebelum armada Portugis tiba bersama meriam yang menghancurkan pertahanan Kota Melaka.

Senjata api dan teknik pertempuran Eropah mengatasi senjata tradisional perajurit Melaka, tetapi apabila peperangan menentang Portugis diisytihar sebagai jihad oleh ulama ketika itu, Melaka dipertahan habis-habisan.

Berikutan kejayaan delegasi Aceh ke Istanbul, dengan sokongan armada Turki, Sultan Alauddin melancarkan dua serangan ke atas Portugis di Melaka pada 1568 dan 1570.

Sekalipun tidak berjaya mengusir penjajah dari Melaka, kesultanan Aceh memberi isyarat jelas kepada Portugis bahawa Aceh bukan negara belasahan dan kerajaan Islam itu turut mempunyai sekutu disegani di Eropah.[Berita Harian]

Ajaran kumpulan Pemuda Kahfi boleh pesong akidah

IKLAN: Twin-N-Cash Hits & Auto surf

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan kumpulan Daulah Islamiyah Nusantara (DIN)/Pemuda Kahfi, sebagai menyebarkan ajaran yang salah dan boleh memesongkan akidah umat Islam.

Pegawai Perhubungan Awam Jais, Fakhrul Azam Yahya, berkata siasatan menerusi Unit Penyelidik jabatan itu menunjukkan kumpulan berkenaan berasal dari Indonesia dan didapati menyeleweng dan berselindung di sebalik siri pengajian tafsir al-Quran.

Katanya, Jais setakat ini sudah mengumpul maklumat mengenai kumpulan berkenaan, tetapi masih memerlukan masa untuk mengenal pasti markas dan lokasi yang dijadikan transit bagi menjalankan aktiviti.

“Jais sudah menyiasat ajaran kumpulan ini dan sehingga kini sudah mengumpul maklumat dan bukti tertentu yang menunjukkan ia jelas menyeleweng dan kita akan terus siasat bagi menjejaki mereka.

“Setakat ini pendedahan yang dilakukan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan beberapa bekas anggota kumpulan itu masih belum mencukupi kerana kita masih tidak mengetahui lokasi sebenar kumpulan itu.

“Walaupun mereka bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain untuk mengelak diketahui umum, kita boleh menjejaki mereka sekiranya ada maklumat seperti di mana tempat pertemuan atau sesi pengajian al-Quran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar pada 29 September lalu, melaporkan kumpulan Din/Pemuda Kahfi mendakwa dapat membantu pengikutnya menebus dosa dengan ‘wang taubat’ RM300. Ia didedahkan seorang bekas pengikut kumpulan itu pada sidang media bersama Presiden Abim, Yusri Mohamad.

Kumpulan itu juga mendakwa solat tidak perlu dan bukan pengikutnya dianggap kafir, manakala rasul masih wujud sehingga sekarang, termasuk di kalangan tenaga pengajar pergerakan itu.[Berita Harian]

Jejak Rasul 11: Kemalahayati, Cut Nyak Dhien srikandi Aceh

Oleh Hasliza Hassan


PERMINTAAN tinggi terhadap rempah di Eropah pada awal kurun ke-15 dan kemunculan China sebagai kuasa di Asia menyaksikan kepesatan kegiatan perdagangan antara dunia Timur dan Barat.

Pemain utama pasaran rempah ketika itu ialah pedagang Islam yang membawa kekayaan kepada kerajaan maritim Nusantara dengan berkembangnya teknologi perkapalan, senjata dan sistem pertahanan.

Pedagang asing yang singgah bukan saja membawa barang dagangan dari dunia luar, bahkan menyebarkan berita serta idea baru kepada penguasa tempatan.

Islam juga tersebar di Asia Tenggara melalui perdagangan oleh pedagang Arab, Parsi dan India yang menyebarkan Islam bersama barang dagangan dari Timur Tengah ke Gujerat, India dan ke Asia Tenggara.

Di Aceh, Indonesia kerajaan maritim seperti Samudera Pasai bangun dan membina kekuatan melalui penguasaan perdagangan rempah di Selat Melaka termasuk memperkenalkan mata wang emas dirham menggantikan sistem barter.

Pada November 1600, kapal dagang Aceh dengan muatan lada dirompak dan ditenggelamkan oleh lanun Belanda di perairan Aceh menyebabkan pedagang Belanda yang tiba di pelabuhan Aceh dipenjarakan.

Akibat tindakan itu, Belanda menghantar perunding ke Aceh untuk menyelesaikan masalah.

Pihak perunding Aceh turut diwakili laksamana wanita Aceh yang terkenal Laksamana Kemalahayati, yang turut memimpin pasukan armana negaranya.

Rundingan yang diadakan membuahkan hasil positif kepada kedua-dua belah pihak dan kejayaan itu mungkin dipengaruhi reputasi cemerlang Laksamana Kemalahayati yang diwarisi ayah dan datuknya, juga seorang laksamana.

Beliau beberapa kali terbabit perundingan diplomatik dengan Belanda yang cuba menjalin hubungan dua hala dengan kesultanan Aceh dan pertemuan dengan utusan Inggeris, James Lancaster yang membawa surat Ratu England, Elizabeth 1.

Kecemerlangan Laksamana Kemalahayati melaksanakan tanggungjawabnya merintis peluang lebih besar kepada kaum Hawa di tanah Aceh. Sejarah membuktikan sepanjang empat dekad, empat ratu telah memerintah Aceh dengan jayanya.

Sesungguhnya sejarah lampau wanita Aceh adalah cerita ketabahan serta semangat perjuangan mereka membuktikan bahawa wanita juga mampu berjihad membela maruah negara dan bangsa.

Seperti srikandi Aceh terkenal, Cut Nyak Dhien bersama suaminya Teuku Umar menentang Belanda. Setelah suaminya gugur syahid, beliau meneruskan perjuangan dari hutan.

Pada November 1905 beliau ditawan dan dijadikan tahanan Belanda sehingga fizikalnya menjadi lemah sementara matanya hampir buta. Tokoh wanita Aceh itu, akhirnya menghembus nafas terakhir ketika dalam buangan pada usia 60 tahun.

Sekalipun tidak gugur di hujung senjata, semangat juang wanita Aceh menyinar inspirasi kepada generasi hari ini kerana jasanya memperjuangkan kemerdekaan bangsa sehingga diiktiraf sebagai Srikandi Nasional Indonesia.[Berita Harian]

Jejak Rasul 11: Masjid Baiturrahman bukti kekukuhan syiar Islam di Aceh

Oleh Hasliza Hassan


MASJID Baiturrahman di Banda Aceh, Indonesia menjadi tempat perlindungan paling selamat ketika ombak besar tsunami menenggelamkan sebahagian besar wilayah itu pada 26 Disember tahun lalu.

Ketika Aceh di puncak kegemilangan, berhadapan konflik penjajahan mahupun tragedi tsunami, masjid itu menjadi saksi dan menyimpan segala kenangan yang kini menjadi detik sejarah.

Masjid Raya Banda Aceh, Baiturrahman yang masih utuh menjadi bukti kukuhnya Islam sebagai akidah yang berakar umbi di Tanah Rencong dan cara hidup Islam kekal subur sejak pertama kali dakwah tiba di rantau ini pada kurun ke-7.

Jika di Mesir, Masjid Al-Azhar menempatkan universiti pertama dunia, di Aceh, Masjid Raya Baiturrahman adalah universiti pertama di Nusantara dengan 17 dar atau fakulti dalam pelbagai bidang.

Aceh muncul sebagai pusat pengajian agama Islam terulung di Nusantara sebelum Melaka, malah ulama Aceh khususnya dari Pasai memainkan peranan penting menasihat sultan dan membimbing rakyat apabila Islam mula bertapak di Melaka.

Berdasarkan catatan Portugis oleh Tome Pires dalam Suma Oriental pada 1414, dalam rangka dakwah ulama Pasai di Melaka, salah seorang puteri kerajaan Pasai dikahwinkan dengan Sultan Melaka berusia 72 tahun, Iskandar Syah.

Selama lapan tahun berikutnya, sultan itu dikelilingi ulama yang membimbing dan menasihati baginda hingga akhir usianya.

Pada 1457, Kerajaan Pattani pula menerima Islam dan dicatatkan dalam Hikayat Pattani bahawa ulama Pasai yang mengislamkan rajanya.

Pengasas Masjid Raya Baiturrahman, Sultan Iskandar Muda menyumbang kepada kegemilangan ilmu pada zamannya dan baginda menubuhkan lembaga pelaksana pendidikan.

Pusat pendidikan tinggi di Masjid Raya Baiturrahman mempunyai 40 tenaga pengajar dari Tanah Arab, Turki, Parsi, India dan Aceh yang menawarkan hampir 20 jurusan ilmu membuktikan komitmen baginda itu.

Di dalam masyarakat Islam, masjid sentiasa mempunyai kisah tersendiri. Bagi Masjid Raya Baiturrahman, ia membuktikan keutuhan strukturnya, kejuruteraan serta seni bina alaf silam yang mampu bertahan walau dilanda gempa dan ombak besar.

Manakala mereka yang mempercayai keajaiban tuhan, masjid di bumi Aceh antara bukti kekuasaan Allah, menyelamatkan rumah-Nya dan mereka yang berlindung di bawah bumbungnya.

Masjid Baiturrahman pernah musnah akibat kebakaran apabila Belanda menawan masjid itu pada April 1873.

Bagaimanapun masjid itu dibangunkan semula oleh Belanda dan arkitek berketurunan Itali, De Brun, memberi wajah baru dengan memperkenalkan seni bina Moghul menjadikan Masjid Baiturrahman, masjid terindah di Nusantara.

Belanda cuba memberi isyarat bahawa mereka sedia membuka ruang kepada orang Aceh beribadah, namun ia tidak memadai kerana peristiwa masjid dibakar penjajah terus terpahat dalam ingatan masyarakat Islam Aceh.

Masjid itu berjaya ditawan Belanda tetapi ia berjaya dirampas semula pejuang Aceh pada malam hari yang sama.

Empat hari selepas itu, Panglima Angkatan Perang Belanda, Mejar Jeneral J H R Kohler mengerahkan seluruh tenteranya hingga berjaya kembali menduduki masjid berkenaan.

Bagaimanapun, ketika kemenangan disangka dalam genggamannya, Kohler terbunuh dan ia memaksa Belanda berundur.

Masjid Raya Baiturrahman diperbesarkan kali kedua pada 1936 dan dibesarkan sekali lagi pada 1988.

Kini, di desa Mureue Mauggra, Indrapuri, yang terletak 45 minit perjalanan dari Banda Aceh bersemadi pejuang Aceh.

Antara pahlawan Aceh yang terus dikenang ialah Al Mujahid Sheikh Muhammad Syaman Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tengku Chik dan Tengku Panglima Polem, keturunan Sultan Iskandar Muda dari isterinya, orang kebanyakan.

Tengku Chik seorang pemimpin yang amat tegar menentang penjajah Belanda dan pasukannya digeruni musuh kerana keberanian serta kemahiran teknik tempur jarak dekat dimiliki pasukannya.

Pada era penjajahan, Panglima Polem antara pemimpin yang mengepalai perjuangan rakyat menentang Belanda.

Seperti juga keluarga Tun Sri Lanang, keturunan Panglima Polem tidak menjadi korban revolusi sosial 1945-1950 di Aceh yang banyak mengorbankan keluarga bangsawan.[Berita Harian]

My Headlines